Friday, July 10, 2015

Selamat Hari Lahir Tun

Pada umur 90, Dr Mahathir masih agresif dan tegas
Meskipun berusia 90 tahun dan sudah bersara daripada dunia politik, Tun Dr Mahathir Mohamad kekal menjadi tokoh politik paling berpengaruh di Malaysia.Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Julai, 2015.

Tun Dr Mahathir Mohamad meraikan ulang tahun kelahirannya ke-90 hari ini dan bekas perdana menteri itu kekal tegas dan agresif terutama dalam kempennya menentang Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri pada 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003 dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 10 Julai 1925 namun menyambut hari jadinya secara rasmi pada 20 Disember.

Difahamkan satu majlis besar-besaran diadakan bagi sambutan hari jadi ahli politik lulusan kedoktoran itu pada bulan ini.

Meskipun berusia 90 tahun, namun ia tidak menghalang beliau kerana biarpun mengumumkan pengunduran secara umum pada 2003, Dr Mahathir kekal menjadi tokoh politik paling berpengaruh di Malaysia.

Ini termasuk apabila menjadi antara penggerak yang berjaya menyingkirkan penggantinya Tun Abdullah Badawi daripada pentadbiran kerajaan pada 2009 dan kini melakukan perkara sama terhadap Najib susulan skandal membabitkan firma pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ahli politik berpengaruh itu menarik kembali sokongannya terhadap Najib pada Ogos 2014 dan baru-baru ini melancarkan kempen menentang anak Tun Abdul Razak Huseein yang juga salah seorang perdana menteri di Malaysia.

Beliau juga mendesak Najib meletakkan jawatannya selari dengan gesaan kedua-dua pentadbiran kerajaan dan pemimpin pembangkang yang mahu melihat kebenaran di sebalik pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) pada minggu lepas apabila AS$700 juta (RM 2.67 bilion) disalurkan ke akaun peribadi perdana menteri.

Ekoran pendedahan itu, perdana menteri berikrar menentang dakwaan WSJ dengan menyatakan beliau tidak meraih sebarang kepentingan peribadi daripada akaun di AmBank.

Setakat ini Bank Negara membekukan 6 akaun bank namun menegaskan tidak ada satu pun berkaitan dengannya.

Meskipun dengan penafian itu, Dr Mahathir meminta pihak berkuasa termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri menyiasat kekayaan Najib dan mendesak kerajaan menjelaskan hutang syarikat 1MDB.

Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat urus niaga 1MBD namun dalam laporan interim yang diserahkan semalam, menafikan wujudnya salah laku.

Namun Dr Mahathir tetap tegas dengan persoalanya – mengapa 1MDB mengumpul terlalu banyak hutang tetapi hanya memperuntukkan AS$15 bilion untuk mengambil alih tanah dan utiliti di sekitar Malaysia dan Asia.

Najib pada minggu lalu menuduh bekas mentor politiknya itu bekerjasama dengan media antarabangsa menentangnya selepas beberapa siri pendedahan WSJ dan The New York Times.

Dr Mahathir menafikan dakwaan itu namun kekal menggerunkan sebagai ahli politik berpengaruh di kalangan 30 juta penduduk di Malaysia di mana rata-rata membesar semasa pentadbirannya.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pada-umur-90-dr-mahathir-masih-agresif-dan-tegas#sthash.KSd09CNh.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-