Tuesday, August 4, 2015

Mari kita baca apa Mufti Perlis ni kata................

Pemberian luar biasa kerana kedudukan adalah rasuah, kata mufti PerlisPublished: 4 August 2015 11:00 AM
Pemberian luar biasa kepada seorang penguasa atau pegawai boleh dianggap rasuah jika tujuannya adalah kerana kedudukannya, kata Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin. – Gambar fail The Malaysian Insider, 4 Ogos, 2015.

Jumlah atau nilai pemberian yang luar biasa kepada seorang penguasa atau pegawai boleh dianggap rasuah jika tujuannya adalah kerana kedudukannya, kata Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Mufti Perlis itu berkata, seseorang penguasa, pegawai atau petugas hendaklah merenung dirinya, pemberian yang diberikan kepadanya itu mempunyai kaitan dengan jawatan dipegangnya atau tidak.

"Jika ada kaitan yang akan mempengaruhi tindakannya atau akan mengganggu keadilan atau amanahnya, maka itu rasuah. Kesan itu sama ada secara langsung atau tidak langsung," katanya dalam kenyataan Facebook, hari ini.

Asri berkata, sebaliknya jika pemberian itu atas dasar sahabat dan kenalan, ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa, dan tiada ruang untuk penyalahgunaan kuasa maka ia dinamakan hadiah.

Katanya, situasi itu seperti memberikan hadiah kepada sahabat walaupun penerimanya adalah seorang pegawai besar dalam sesuatu urusan.

"Namun pemberian itu bukan kerana kedudukan atau untuk penyalahgunaan kuasa maka itu dianggap hadiah," katanya.

Beliau berkata sedemikian selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengatakan semalam wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah dana sumbangan derma dan bukannya daripada syarikat pelaburan negara sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SPRM dalam kenyataan semalam mengesahkan hasil siasatan yang dibuat dan sudah dirujuk dan dimaklumkan kepada peguam negara.

Laporan akhbar The Wall Street Journal (WSJ) sebelum ini mendedahkan penyiasat Malaysia mengesan berbilion ringgit wang 1MDB disalurkan ke beberapa syarikat sebelum transaksi terakhir didepositkan ke akaun peribadi Najib di Ambank.

Bekas timbalan perdana menteri yang disingkirkan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Najib mengaku kepadanya wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaunnya adalah dari "Timur Tengah".

Beberapa menteri Kabinet baru dilantik Datuk Seri Azalina Othman Said dan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional Datuk Abdul Rahman Dahlan mempertahankan pemberian derma ke akaun Najib dan bukannya duit rakyat. – 4 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pemberian-luar-biasa-kerana-kedudukan-adalah-rasuah-kata-mufti-perlis#sthash.lxd2uFwL.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-