Saturday, September 12, 2015

Fitnah UMNO makin tak masuk akal, kata aktivis muda DAP

SUBANG JAYA, 11 SEPT: Dakwaan kononnya orang Melayu menyertai DAP sebagai oportunis menjual bangsa dan agama adalah tuduhan serta fitnah tidak berasas dan paling mengarut pernah didengar.

Aktivis muda DAP, Nor Miswary Ramli, berkata golongan yang menuduh pihak lain menjual bangsa dan agama adalah hipokrit kerana merekalah yang sebenarnya melakukan lelongan tersebut secara besar-besaran dengan mempergunakan kaum dan agama untuk kekal berkuasa.

“Malah tabiat mempergunakan bangsa dan agama dilengkapkan dengan idea paling berbahaya yang dicetuskan oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos, untuk melakukan demonstrasi-merah pada 16 September ini atas alasan kehadiran begitu ramai dari kaum Cina semasa Bersih 4 tempoh hari.

“Tanpa mereka sedar kehadiran begitu ramai kaum Cina yang didakwa beliau sebagai ahli DAP semasa demonstrasi Bersih 4 itu sebenarnya telah melengkapkan muafakat seluruh rakyat Malaysia untuk menolak UMNO-BN menjelang PRU 14 nanti semenjak tercetusnya gelombang politik tahun 1998,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, selain logik yang merepek itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee, pula membuat dakwaan yang tidak masuk akal, iaitu perpecahan yang kononnya berlaku di kalangan Melayu Muslim adalah kejayaan propaganda DAP.

Segala alat kerajaan pelbagai agensi termasuk media massa seperti televisyen, radio dan akhbar adalah di bawah kawalan UMNO-BN sejak lebih separuh abad. Kuasa propaganda terletak di tangan pucuk pimpinan UMNO.

Nor Miswary berkata, DAP memandang serius tuduhan secara semberono dan sangat tidak berasas itu kerana mencerminkan ketidakmatangan pemimpin UMNO membuat pertimbangan dan bacaan politik Malaysia yang penuh dengan kepelbagaian kaum dan agama.

“Beliau telah gagal sebagaimana gagalnya kepimpinan partinya sendiri. (Beliau patut sedar bahawa) Syiar Islam telah menjadi lebih baik melalui pentadbiran yang adil oleh kerajaan Pulau Pinang (yang dipimpin oleh Lim Guan Eng).

“Kita boleh lihat misalnya, kerajaan Pulau Pinang telah memperuntukan bajet untuk hal ehwal Islam sekitar RM33 juta pada awal pentadbiran mereka pada tahun 2009 dan kini meningkat sehingga lebih RM64 juta pada tahun 2012.

“Malah peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang dimulakan oleh pentadbiran DAP di Pulau Pinang sejak tahun 2009 juga adalah usaha yang tidak pernah dilakukan oleh pentadbiran terdahulu,” ujarnya.

Nor Miswary yang juga Penolong Setiausaha DAP USJ Subang Jaya berkata, perangkaan tersebut adalah bukti betapa sesetengah pemimpin UMNO masih ketinggalan di belakang dalam perjuangan membela Melayu Muslim.

Katanya, sejak penubuhannya DAP memperjuangkan hak semua melangkaui batas bangsa, agama dan budaya secara terangkum (inklusif).

Malah, statistik penyertaan ramainya Melayu Muslim ke dalam DAP dewasa ini telah menjadi penanda aras betapa DAP sebenarnya lebih diyakini menjadi pembela untuk mereka juga rakan-rakan kaum lain di sekeliling mereka, tambah beliau.

“Bukan sesuatu yang menjadi tradisi DAP mengumpan dan menggula-gulakan mereka yang berminat dengan DAP sebagai langkah memecah belah kumpulan yang lain.

“Ia adalah kewajipan yang tertanggung di bahu pemimpin dan ahli-ahlinya. Ia adalah seni politik hebat yang tidak terjangkau oleh kotak akal Ketua Umno Bahagian Cheras ini,” katanya. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-