Sunday, December 6, 2015

Dihalang berucap, Muhyiddin temui penyokong di Kelab Sultan Sulaiman esok

OLEH KC NAZARI

Poster program ceramah Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Baru esok yang disebar meluas di Internet. 6 Disember, 2015.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bercakap kepada penyokongnya di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada jam 8.30 malam esok, selepas dihalang berucap di Perhimpunan Agung Umno minggu depan.

Seorang pembantu bekas timbalan perdana menteri itu mengesahkan perkara itu selepas tersebar meluas poster acara itu di media sosial, dan kini menjadi perbualan orang ramai yang mengikuti perkembangan politik tanah air.

Majlis itu mula diperkatakan selepas blog pengamat politik Umno, Shahbudindotcom, mempersoalkan jumlah kehadiran yang akan berjaya digamit acara itu.

Poster dengan kata-kata Muhyiddin berkenaan majlis itu juga turut dikongsi orang ramai.

Bagaimanapun, petikan pada poster itu, yang ditampilkan seolah-olah diucapkan Muhyiddin, tidak pula ditemui di laman Facebook beliau.

Menurut pembantu tersebut, kata-kata tersebut tidak diucapkan Muhyiddin tetapi majlis yang disebut di dalam poster itu memang akan berlangsung.

Majlis Tertinggi Umno sebelum ini memutuskan Muhyiddin tidak akan berucap merasmikan pembukaan mesyuarat perwakilan sayap Wanita, Puteri dan Pemuda pada perhimpunan yang bermula 8 Disember ini.
Poster acara Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tersebar di media sosial.6 Disember, 2015.

Beliau juga dilaporkan tidak akan dijemput menggulung ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Larangan itu dibuat selepas Muhyiddin terus mengkritik cara Najib mengendalikan siri dakwaan terhadap wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya, yang sehingga kini tidak diketahui identiti sumbernya.

Muhyiddin, yang kerap mengkritik operasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berkata beliau berasa seperti tunggul apabila tidak dibenarkan berucap dan sekadar duduk di sebelah Najib di atas pentas. – 6 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dihalang-berucap-muhyiddin-temui-penyokong-di-kelab-sultan-sulaiman-esok#sthash.bxPf9nCd.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-