Thursday, March 5, 2015

Bagaimana untuk tidak beri alasan yang memburukkan lagi majlis yang gagal

oleh Edgar Ong.

KUCHING: Kejadian yang memalukan dan tidak diduga telah berlaku di acara yang hebat digembar-gemburkan dan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem di sini beberapa hari lalu. Ia adalah majlis untuk menyambut Tahun Baru Cina dan meraikan lawatan rasmi Najib, dan dihoskan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk James Chan.

Malang bagi penganjur, apabila segalanya yang berlaku telah dirakam dalam video berdurasi 1 minit 47 saat oleh seorang hadirin melalui telefon pintarnya.

Seorang pakar “spin” yang bagus akan dapat menjelaskan kejadian malang ini dengan mudah dan bersahaja kepada wartawan keesokan harinya.

Sebaliknya, Datuk Bandar memilih untuk membuat kenyataan dengan menyalahkan tetamu sepenuhnya. Langsung tidak disebut tentang kakitangan Rela yang dibayar untuk menjaga keselamatan.

Daripada apa yang saya lihat dalam video itu, serta berdasarkan cerita saksi mata, sejumlah hadirin yang besar, iaitu kira-kira 4,000-5,000 warga tempatan telah dengan penuh sabar menunggu program itu berakhir. Kesemuanya mula hadir lebih awal, kira-kira jam 6 mengharapkan makanan dan minuman percuma yang dijanjikan penganjur.

Acara bermula kira-kira jam 7 petang dan hanya berakhir pada jam 9 malam. Ketika itu, hadirin yang sudah tidak senang duduk dan lapar dilihat menolak pengawal-pengawal Rela yang membentuk benteng manusia bagi mengawal meja panjang yang penuh dengan makanan yang tersusun tinggi. Tentunya meja plywood lipat dengan kaki yang tidk kukuh sukar menampung makanan yang menimbun tinggi.

Seolah-olah menunggu pistol pemula ditembak, hadirin dilihat menyerbu ke arah meja dan seseorang (boleh jadi pengawal Rela atau tetamu) telah terlanggar bahagian meja yang tidak kukuh itu. Meja itu pun runtuh, menjatuhkan ratusan pek makanan di atasnya.

Ia kemudian menjadi “siapa cepat dia dapat”, dan semua berebut mengambil apa sahaja yang termampu untuk diri sendiri. Sebahagiannya dengan penuh gembira mengambil 5-6 pek, setakat mana yang mereka boleh bawa. Pengawal Rela yang lain dilihat membaling pek makanan itu secara rawak – satu keajaiban apabila ia tidak terkena kanak-kanak atau bayi yang turut ada dalam kerumunan itu.

Dan pada keesokannya, Chan sebagai pengerusi penganjur, terus mengecam individu yang memuatnaik video tersebut di media sosial, kemudian kerumunan di sekitar meja (tanpa menyedari mereka adalah tetamu!) dan akhir sekali mengalihkan kesalahan kepada “seseorang yang terjatuh dan menyebabkan meja runtuh.”

Sambungnya lagi, “klip visual itu telah menyebabkan warga Kuching dilihat sebagai orang yang tidak beradab. Saya tidak fikir mereka ingin berkelakuan sedemikian. Sebagai warga Kuching, anda tidak sepatutnya merosakkan imej bandar anda dengan tunjukkan perkara seperti itu.”

Mereka juga memberi asalan, tujuan makanan tidak diedarkan sehingga jam 9 malam, walaupun ramai yang hadir menjangka akan dapat makan pada jam 6, adalah untuk memastikan hadirin kekal di sana untuk mendengar ucapan tetamu-tetamu kehormat. Nampaknya ia bagi menunjukkan sokongan pengundi tempatan terhadap BN.

Insiden itu juga menunjukkan kegagalan dan kekurangan latihan pengawal Rela yang sepatutnya menjaga keselamatan dan mengedarkan pek-pek makanan secara teratur.

Pengawal-pengawal ini juga mendapat bayaran yang agak baik – pasti ada yang tertanya-tanya sama ada mereka ada menerima latihan atau tidak. Tindakan mengambil makanan yang jatuh ke tanah dan membalingkan secara rawak kepada tetamu juga adalah satu penghinaan yang besar!

Pada masa akan datang, penganjur bagi majlis seumpama ini di mana orang ramai dijemput hadir – terutama apabila ia turut dihadiri tokoh seperti Perdana Menteri dan Ketua Menteri – perlu memastikan bahawa keselamatan dijadikan keutamaan paling atas. Selain itu, atur cara majlis juga haruslah dirancang dengan memikirkan hadirin, bukannya membiarkan insiden malang seperti ini berlaku tahun demi tahun.

<iframe width="560" height="315" src="https://www.youtube.com/embed/Cs8C-MrXsRo" frameborder="0" allowfullscreen></iframe>

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Bagaimana-untuk-tidak-beri-alasan-yang-memburukkan-lagi-majlis-yang-gagal#sthash.JOge2YAP.dpuf

Ada usaha terancang serang 1MDB - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid berkata, serangan ke atas 1MDB didorong pihak tertentu yang mempunyai agenda kepentingan politik.

KOTA BHARU, 5 Mac:

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, serangan ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) itu didorong pihak tertentu yang mempunyai agenda kepentingan politik.

Beliau berkata, serangan, spekulasi dan khabar angin yang sedang berlaku itu bukan hanya memberi kesan negatif kepada 1MDB, malah sentimen pelabur asing.

“Sebarang serangan terhadap 1MDB merupakan satu bentuk serangan ke atas negara juga dan mereka seharusnya bertanggungjawab bagi setiap tuduhan palsu dan fitnah terhadap 1MDB,” katanya selepas Majlis Penghargaan Petugas Pengurusan Banjir Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Deloitte, sebuah syarikat perakaunan ternama telah memaklumkan Jemaah Menteri, semalam, mereka telah menjalankan pengauditan lebih terperinci bagi akaun 1MDB, disebabkan dakwaan tidak berasas itu.

“Ini termasuk, membawa masuk pakar-pakar forensik untuk memeriksa dokumen berkaitan.

“Deloitte juga menyatakan mereka berpuas hati dengan akaun 1MDB itu dan bersetuju memperakuinya,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Ketua Audit Negara menyiasat dan mengaudit akaun 1MDB.

Laporan Ketua Audit Negara itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), untuk pemeriksaan telus.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/05/ada-usaha-terancang-serang-1mdb-ahmad-zahid/#ixzz3TW3zvCR2

Gerhana bulan penuh pada 4 April 2015

Mereka yang tinggal di timur Sabah dapat menyaksikan keseluruhan fasa gerhana bulan penuh dari awal hingga akhir.

KUALA LUMPUR, 5 Mac:

Rakyat di negara ini berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh yang dijangka berlaku pada 4 April 2015.

Menurut laporan falakonline.net, sebahagian besar negara-negara di Asia dan benua Amerika dapat menyaksikan fenomena itu.

Bagaimanapun, rakyat di Semenanjung Malaysia akan terlepas fasa-fasa awal gerhana itu, namun penduduk di timur Sabah dapat menyaksikan keseluruhan fasa gerhana itu dari awal hingga akhir.

Tempoh gerhana bulan kali ini dijangka amat pendek, kerana ia berada dalam fasa gerhana penuh selama lima minit dan orang ramai berpeluang melihat bahagian sisi kiri bulan (sebelah utara) lebih cerah sedikit, berbanding bahagian kanan, ketika saat-saat fasa gerhana penuh berlaku.


Berikut merupakan kiraan waktu untuk gerhana bulan penuh merentasi tiga bandar utama di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, di mana waktunya telah disesuaikan dengan zon waktu Malaysia (waktu tempatan).

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/05/gerhana-bulan-penuh-pada-4-april-2015/#ixzz3TVtGMS6S

Penyakit MIC dah berjangkit pada PAS...?

Dr Dzulkefly ditumbuk selepas balik dari solat Subuh

HARAKAHDAILY | 05 Mac 2015.

KUALA LUMPUR: AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad ditumbuk, dipukul muka dan dahinya oleh orang yang tidak dikenali selepas balik daripada solat Subuh pagi ini.

Menurut Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat, selepas menumbuk, penjenayah itu berkata 'kenapa kurang ajar sangat'.

Justeru, ujarnya Pemuda PAS Malaysia sangat dukacita dengan kejadian itu.

"Saya tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan membuat provokasi terhadap pimpinan PAS.

"Matlamat jahat mereka adalah memecahbelahkan PAS. Moga Allah membalas kejahatan mereka," ujarnya yang menghubungi Dr Dzulkefly pagi ini.

Katanya, Dr Dzulkefly turut memaklumkan akan membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.

Sementara itu, Dr Dzulkefly tidak menjawab panggilan telefon ketika dihubungi sebentar tadi. - HARAKAHDAILY

Siapa selepas Najib?

Oleh Timmy Say

Pada hari ini, Pakatan Rakyat (PR) tidak boleh menumbangkan Datuk Seri Najib Razak kerana ombak dalaman yang berterusan.

Najib hanya boleh dijatuhkan oleh Umno sendiri, kalau itu kehendak akar umbinya. Seperti yang dimaklumi, Najib terselamat lagi kerana 4 orang di bawahnya tidak layak menggantikannya.

Serangan bertubi-tubi terhadap perdana menteri melalui pendedahan kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan drama Sirul Azhar Umar di Australia semakin menjadi dan nampaknya tidak akan berkesudahan selagi Najib terus berkhidmat sebagai presiden Umno.

Oleh itu, timbul persoalan bagaimana drama ini akan tamat?

Drama ini akan sampai penghujungnya apabila munculnya seorang tokoh PM-material daripada kalangan Umno yang dirasakan boleh menggantikan Najib untuk sementara waktu.

Di kalangan Umno, tidak ramai yang mempunyai potensi menjadi PM. Kalau disebut PM-material daripada kalangan Umno, rakyat hanya akan teringat Putera Kelantan, orang yang hampir-hampir mengalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad satu ketika dulu iaitu Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

Dr M, Daim dan Ku Li

Dr Mahathir, Tun Daim Zainuddin dan Ku Li, ketiga-tiga bekas menteri kewangan menyuarakan kebimbangan mereka terhadap pinjaman yang dibuat 1MDB.

Melihat krisis 1MDB menjadi semakin meruncing dengan pendedahan Sarawak Report, timbul persoalan di minda penulis, apakah ketiga-tiga tokoh ini akan meletakkan segala sengketa silam dan berganding bahu untuk menyelamatkan Umno dan negara?

Jika ini berlaku, apakah Dr Mahathir akan mengambil peluang ini memberikan Ku Li satu peluang untuk menjadi perdana menteri, satu jawatan yang menjadi cita-cita Ku Li untuk sekian lama?

Drama ini sudah pasti membuat ramai ahli Umno teruja.

Ramai yang akan berhujah agak mustahil Dr Mahathir dan Daim bekerjasama dengan Ku Li, lebih-lebih lagi Ku Li sekarang digelar sebagai ahli politik yang sudah ‘expired’.

Namun begitu, percayalah perkara ini tidak mustahil dalam politik Malaysia.

Ku Li, kalaulah dipilih Dr Mahathir dan Daim, bukanlah kerana beliau hebat, tapi hanyalah semata-mata Dr Mahathir dan Daim tiada pilihan lain kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal atau Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak dilihat mempunyai bakat untuk menjadi seorang perdana menteri yang boleh menggantikan Najib.

Cuma bolehkah Ku Li menggantikan Najib?

Daripada segi kebolehan, sudah tentu beliau teramat layak – cuma daripada segi politik, masih amat berliku jalannya. Apakah Dr Mahathir dan Daim akan membantu Ku Li meluruskan jalan itu kerana 1MDB? Mungkin, sangat mungkin. – TMI

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=253252:siapa-selepas-najib?&Itemid=2#ixzz3TT1tJTKC
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

Perkasa pertikai pengecualian GST ke atas sekolah Dong Zhong

Keputusan itu ternyata mengecewakan Perkasa yang turut mempersoalkan keistimewaan yang diterima sekolah terbabit.

KUALA LUMPUR, 4 Mac:

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hari ini mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong yang mengecualikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas yuran peperiksaan sekolah kendalian Dong Zhong.

Menurut Setiausaha Wira Perkasa Malaysia, Ruzainie Reezman, keputusan ternyata mengecewakan pihak mereka sambil mempersoalkan keistimewaan yang diterima sekolah terbabit.

Malah beliau turut menyifatkan kerajaan tidak berlaku adil kerana membuat keputusan sedemikian dan seharusnya lebih bijak dan amanah dalam menjalankan amanah rakyat bagi melaksanakan cukai berkenaan.

“Mengapa perlu diberi pengecualian kepada mereka sedangkan hasil kutipan yuran peperiksaan mereka pasti melebihi had kadar minima yang ditetapkan oleh pihak kerajaan untuk dikenakan cukai GST.

“Apa keistimewaan Dong Zhong hingga diberi pengecualian GST ini? Apakah mereka tidak cukup istimewa dengan peruntukan yang diberi oleh kerajaan?

“Mengapa perlu ada perbezaan sedangkan pribumi yang mempunyai hak keistimewaan juga tidak terlepas dari GST. Pelaksanaan GST ini harus diselaraskan di semua peringkat dengan telus. Amat tidak adil jika ada pihak yang dikecualikan GST namun mereka seharusnya dikenakan GST tersebut,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Ruzainie juga menjelaskan bahawa Perkasa membantah tindakan tersebut dan meminta kerajaan untuk lebih peka dengan mendahulukan kestabilan ekonomi negara dan juga kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, masih banyak lagi sekolah-sekolah yang tidak menerima peruntukan yang cukup dan itu lebih penting untuk diberikan perhatian berbanding mengecualikan GST dari sekolah kendalian Dong Zhong.

“Jelas ini memperlihatkan kelemahan kerajaan dalam penyelarasan dan perlaksanaan GST. Kerajaan seharusnya teliti dan peka dengan penyelarasan dan perlaksanaan cukai ini.

“Pengecualian cukai seperti ini tidak memberi apa-apa kesan positif terhadap perkembangan ekonomi dan sosial negara. Berapa banyak lagi keistimewaan harus diberi kepada Dong Zhong? Tidak cukup berjuta ringgit diperuntukkan kepada Dhong Zhong?

“Mengapa pihak kerajaan masih membantu mereka dengan memberi kemudahan kepada pentadbiran kewangan mereka? Dulu mereka pernah membantah perlaksanakan Pelan Pembanggunan Pendidikan Malaysia (PPPM), kini mereka diberi kelebihan dengan pelepasan cukai bagi yuran peperiksaan sekolah menengah persendirian Cina pula.

“Seharusnya apa yang mereka lakukan dulu perlu jadikan ia sebagai peringatan dan pengajaran, namun kerajaan hari ini lemah dalam menangani isu kecil seperti ini,” luahnya lagi.

Semalam, Chua Tee Yong mengumumkan yuran peperiksaan bersama sekolah-sekolah menengah persendirian Cina Malaysia (Unified Examination) dikecualikan daripada GST.

Pelepasan cukai itu menurut beliau, terpakai kepada sekolah persendirian Cina yang dikendalikan oleh Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong) sahaja.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/04/perkasa-pertikai-pengecualian-gst-ke-atas-sekolah-dong-zhong/#ixzz3TSzgtM8y

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-