Showing posts with label Perdana Menteri Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Perdana Menteri Malaysia. Show all posts

Tuesday, October 22, 2024

Anwar-Prabowo perlu rentak sedegam demi manfaat rakyat serumpun

bharian.com.my
Oktober 22, 2024 @ 8:34am

MALAM sebelum Prabowo Subianto mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia kelapan, beliau dilihat memaut tangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan empat mata dan makan malam di kediaman peribadi Subianto.

Mantan Jeneral itu kemudian menunjukkan kepada Perdana Menteri sambil berkata: "Kakak saya ini..." bermaksud abang, manakala Anwar menyifatkan Indonesia di bawah kepemimpinan Prabowo sebagai sahabat sejati yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Begitulah keakraban pemimpin kedua-dua negara berjiran memiliki hubungan unik mungkin tidak ada pada negara lain. Malaysia dan Indonesia, dua negara serumpun berkongsi akar budaya, bahasa dan sejarah, tetapi melalui pelbagai era pembangunan sejak merdeka hingga kini.

Namun, dengan kepemimpinan Prabowo dan Anwar tegas dalam visi Malaysia MADANI, era baharu ini menuntut kedua-dua negara lebih sepakat dan berpadu tenaga.

Pada pertemuan lebih mirip kekeluargaan berbanding formaliti kenegaraan, Anwar dan Prabowo sempat berbincang pelbagai isu dan inisiatif memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor, mencerminkan komitmen tidak hanya mengekalkan hubungan baik, bahkan menghangatkan lagi kerjasama strategik.

Menariknya, Prabowo dengan azam menjadikan Indonesia mampu swasembada pangan bermaksud mencapai keperluan makanan sendiri hakikatnya serupa dengan tekad Anwar dalam konteks keterjaminan makanan seperti terserlah dalam Belanjawan 2025 lalu. Begitu juga sektor tenaga, kedua-dua pemimpin berkongsi idea sama apatah lagi Malaysia dan Indonesia dikurniakan sumber alam melimpah dalam sektor bahan api serta mineral termasuk unsur nadir bumi (REE). Semua ini menjadi antara ramuan penting dalam konteks ekonomi dan teknologi hijau.

Justeru, Malaysia dan Indonesia perlu rentak sedegam, langkah sepijak memanfaatkan kekayaan sumber secara lebih bijak, bukan sahaja meningkatkan usaha menghasilkan produk akhir daripada bahan mentah, bahkan memastikan kekayaan dinikmati rakyat mereka sendiri. Malah, dalam banyak hal seperti minyak sawit, suara kedua-dua negara lebih kuat berdepan percaturan gergasi ekonomi seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).

Malaysia sendiri bakal menggalas tanggungjawab Pengerusi ASEAN 2025, perlu memastikan hubungan erat dengan Indonesia terus diperkukuh, terutama dalam konteks kerjasama serantau. Sebagai dua negara utama ASEAN, kita perlukan sokongan teguh terutama Indonesia dalam melaksanakan tanggungjawab menangani cabaran serantau mahupun global seperti perubahan iklim, keselamatan makanan dan pengurusan tenaga mampan.

Apatah lagi berdepan percaturan geopolitik kuasa besar terutama antara AS dengan China yang kedua-dua rakan dagang, menuntut pendekatan diplomasi bijak sering dirujuk sebagai 'diplomasi kancil' bukan sahaja demi manfaat kepada kedua-dua negara, bahkan ASEAN keseluruhannya. Malah, suara Anwar membela Palestin berdepan serangan genosid Israel di Gaza juga senada dengan Prabowo yang turut menyatakan dukungan kemerdekaan negara itu dalam pidato perdananya.

Kita mahu melihat Malaysia dan Indonesia pada era baharu ini berpadu tenaga lebih erat, menjadikan kekuatan serumpun sebagai asas melangkah lebih jauh di pentas dunia. Pemimpin kita perlu memastikan hubungan unik ini membawa manfaat jangka panjang dengan semua pihak termasuk rakyat turut sama mendukungnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Prabowo Subianto atas pelantikannya sebagai Presiden baharu Indonesia, kelmarin. - Foto BERNAMA

Thursday, December 14, 2023

Peguam: Tiada sekatan undang-undang bukan Melayu jadi PM, tapi...

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 14, 2023 9:23 AM
Peguam Haniff Khatri Abdulla bersetuju bahawa tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menghalang orang bukan Melayu daripada menjadi perdana menteri Malaysia.

Dia berkata, bagaimanapun ada pihak tertentu menentang idea itu kerana bimbang kedudukan orang Melayu terjejas.

"Saya percaya daripada perbincangan dan pendapat yang diberikan, ramai terkhilaf bahawa apabila ada seorang perdana menteri yang bukan Islam, bukan Melayu, maka empat perkara utama yang dinyatakan dalam perlembagaan boleh dan mungkin terjejas.

"Iaitu yang pertamanya, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan. Kedua, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Yang ketiga keistimewaan orang Melayu yang dipelihara di bawah perlembagaan. Keempatnya, kedudukan dan keistimewaan serta kedaulatan raja-raja Melayu.

"Empat perkara ini sering timbul dalam kerisauan rakyat majoriti. Jika ada perdana menteri yang bukan Islam, bukan Melayu.

"Pada hakikatnya, kerisauan itu tidak berasas," katanya dalam video yang disiarkan ke akaun YouTube MalayaDailyCom.

Jelas Haniff, tidak ramai yang sedar bahawa Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan turut menetapkan faktor-faktor di atas bukanlah peruntukan yang boleh dipinda dengan mudah.

Perkara 159(5) menghendaki undang-undang, termasuk undang-undang persekutuan, tidak diluluskan melainkan undang-undang itu diluluskan terlebih dahulu oleh Majlis Raja-Raja.

"Jika Majlis Raja-Raja tidak bersetuju dengannya, maka pindaan tidak boleh dibuat," katanya.

Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa satu-satunya keperluan untuk seseorang menjadi perdana menteri ialah orang itu menjadi ahli parlimen, yang, dalam penghakiman Yang di-Pertuan Agong, mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Haniff turut berpendapat calon perdana menteri tanpa mengira kaum haruslah seorang individu yang patriotik dan mahir berbahasa Melayu.

“Bagaimana kita boleh mempunyai seorang perdana menteri yang berbahasa Melayu ‘pasar’, atau yang tidak memahami unsur-unsur utama kedudukan raja-raja?” soalnya.

Baru-baru ini, penasihat DAP Lim Kit Siang mendapat kecaman selepas membangkitkan kemungkinan seorang bukan Melayu dilantik sebagai perdana menteri.

Lim juga telah dipanggil oleh polis berhubung perkara ini.

Friday, February 24, 2023

Belanjawan MADANI tangani kos sara hidup, pacu ekonomi

bharian.com.my
Oleh Kamarulzaidi Kamis 
kamarulzaidi@nstp.com.my
- Februari 24, 2023 @ 8:00am
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat Membangun Malaysia Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi pada Majlis Pelancaran Wacana Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 19 Januari lalu. - foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri dan Menteri Kewangan akan membentangkan Belanjawan 2023 sekali lagi hari ini yang mana berkemungkinan besar sarat dengan langkah penambahbaikan untuk menangani kos sara hidup dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial untuk golongan miskin tegar serta kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

Belanjawan kali ini juga tentunya berlandaskan konsep MADANI yang diamalkan kerajaan iaitu untuk membangun tanah air yang lebih mampan dan makmur berteraskan ruh daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan, di mana keterangkuman dan kesaksamaan menjadi teras utamanya - yakni sebuah masyarakat Malaysia yang adil.

Seperti yang dicerminkan menerusi buku 'Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi' dikarang Perdana Menteri, kunci di sebalik konsep MADANI ialah pembangunan 'ekonomi manusiawi.

Ia berdasarkan falsafah "pembangunan yang holistik dan dipandu oleh empati, etika, dan berpaksikan prinsip keadilan dan kebajikan", yang mana adalah bertentangan dengan 'kapitalisme yang tidak terkawal'.

Kerangka belanjawan terarah kecenderungan sosio-demokrasi

Oleh yang demikian, kerangka belanjawan kali ini dijangka lebih terarah ke arah kecenderungan sosio-demokrasi.

Susulan itu tiga bidang utama dijangka mendapat perhatian iaitu memperkukuh lagi aktiviti pelaburan; perniagaan; perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta menjana pekerjaan di tengah-tengah jangkaan kemelesetan global yang semakin meningkat.

Bidang pertama adalah mewujudkan masyarakat yang saksama dengan menangani jurang kekayaan menerusi beberapa cadangan tindakan dasar seperti memperkenalkan undang-undang untuk menetapkan gaji kehidupan yang menyediakan cara kelangsungan ekonomi asas untuk semua; baik pulih cukai yang sistematik.
Antara yang dijangka diberi perhatian dalam Belanjawan 2023 ialah menyusun semula ekonomi dengan memberi tumpuan kepada PKS. - Foto hiasan NSTP
Bidang kedua adalah menyusun semula ekonomi untuk memberi tumpuan kepada pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan menjauhi projek besar yang memberi manfaat kepada syarikat besar, yang mana menerusi cadangan seperti menubuhkan pusat luar bandar serta pusat universiti, di institusi yang sesuai, untuk kajian dan penerokaan Pertanian 4.0 dan inovasi pertanian lain (iaitu pertanian pintar); rancangan untuk projek ladang solar dan angin yang besar serta tempatan dan rancangan pembangunan bermula dengan negeri termiskin.

Bidang tumpuan ketiga pula adalah menangani kebimbangan minoriti termasuk peminggiran kaum lain, penduduk luar bandar, miskin tegar, serta rakyat di Sabah dan Sarawak.

Cadangan MADANI dalam bidang ini termasuk memulakan Audit Hak Asasi Manusia; memperkenalkan perundangan dan infrastruktur untuk mentakrifkan dan mengiktiraf masyarakat, komuniti, dan hak mereka yang sebelum ini tidak ditentukan (pekerja asing, pelarian dan lain-lain); menubuhkan Pusat Pembangunan Inovasi Luar Bandar di kawasan yang sesuai; pelan pembangunan dan peruntukan dana khas untuk perumahan mampu milik..

Belanjawan sulung PM Anwar

Belanjawan ini adalah belanjawan sulung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan pada November lalu, walaupun beliau sudah membentangkan 'Bajet Mini' pada Disember lalu.

Pada 7 Oktober 2022, Belanjawan 2023 telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membabitkan peruntukan terbesar dalam sejarah berjumlah RM372.3 bilion atau 20.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ia adalah peningkatan yang ketara berbanding peruntukan Belanjawan 2022 sebanyak RM332 bilion dan Belanjawan 2021 berjumlah RM322 bilion.

Namun, Belanjawan 2023 tidak sempat dibawa ke Parlimen untuk diluluskan kerana Parlimen telah dibubarkan 10 Oktober 2022 selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Susulan pembubaran Parlimen, Belanjawan 2023 perlu dibentangkan semula di Dewan Rakyat, bagi memastikan belanjawan mengurus kerajaan diluluskan.

Pada 20 Disember lalu, Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar telah membentangkan bajet mini, bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan, membabitkan wang bernilai RM107,718,676,650 (RM107.7 bilion).

Beliau membentangkan peruntukan itu di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2023. Bajet Mini akan berkuat kuasa hingga Belanjawan 2023 dibentang dan lulus di Parlimen.

Sementara itu, Perdana Menteri dalam kenyataannya sebelum ini membayangkan kerajaan memberi jaminan bahawa Belanjawan 2023 yang akan dibentang semula akan memenuhi keperluan setiap lapisan rakyat dan kumpulan masyarakat, serta tidak akan meminggirkan mana-mana pihak.

Beliau berkata, Belanjawan 2023 yang bakal dibentangkan semula itu tidak akan terikat dengan perkara yang dibentang oleh kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun, cadangan yang dibuat dalam belanjawan terdahulu tetap diambil kira dalam perangkaan Belanjawan 2023 yang baharu.

Penganalisis ekonomi secara umum menjangka tumpuan utama kerajaan adalah menangani peningkatan tinggi kos sara hidup; pelaksanaan bantuan serta subsidi secara lebih bersasar; merapat jurang kekayaan serta penjimatan dalam operasi pengurusan.

CGS-CIMB dalam nota penyelidikannya berkata, langkah memberi tumpuan kepada krisis kos sara hidup; tekanan inflasi yang tinggi dan penurunan kuasa perbelanjaan pengguna berkemungkinan menyaksikan kerajaan melaksanakan langkah sokongan yang lebih besar.

Perubahan dasar mungkin termasuk meningkatkan jumlah dan perlindungan bantuan tunai, memperkenalkan bantuan pendapatan asas, atau menangani monopoli dan pakatan atau kartel dalam penetapan harga barangan.

"Selain itu, buku terbaru Perdana Menteri iaitu MADANI, yang juga slogan kebangsaan, banyak memberi gambaran mengenai garis panduan untuk belanjawan.

"Kami juga percaya kerajaan boleh mengemudi dasar untuk menangani jurang kekayaan; membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta menangani kebimbangan minoriti, termasuk peminggiran kaum lain, penduduk luar bandar, miskin tegar, serta rakyat di Sabah dan Sarawak," kata CGS CIMB.

Peruntukan Belanjawan Madani mungkin lebih besar

Sementara itu, terdapat jangkaan bahawa peruntukan belanjawan yang dibentangkan semula ini adalah lebih besar berbanding RM372.3 bilion yang dibentangkan kerajaan terdahulu pada Oktober lalu.

Ini menurut mereka kerana kerajaan memiliki ruang untuk menambahkan peruntukan susulan pertumbuhan ekonomi luar jangkaan pada tahun lalu iaitu 8.7 peratus; kutipan hasil yang lebih tinggi dengan peningkatan 25 peratus serta langkah penjimatan operasi pengurusannya.

Susulan itu perbelanjaan yang lebih besar akan digunakan untuk meletakkan asas bagi satu lagi pengembangan ekonomi yang kukuh pada tahun ini.

Susulan itu juga kerajaan memiliki keupayaan untuk menyalurkan peruntukan untuk melindungi kehidupan rakyat, meningkatkan pendapatan boleh guna dan meningkatkan keselamatan makanan.

Perdana Menteri juga dijangka meneruskan agenda pembangunan negara, sambil meneruskan pembaharuan untuk mengukuhkan tadbir urus kewangan awam.

Belanjawan berhemah kurangkan hutang negara

Dalam pada itu, terdapat juga jangkaan bahawa kerajaan di bawah pentadbiran Anwar akan merangka belanjawan yang berhemah sekali gus mengurangkan lagi hutang kerajaan, meskipun di tengah-tengah jangkaan Malaysia tidak terkecuali menerima kesan kekalutan kemelesetan ekonomi utama global pada tahun ini.

Ini berdasarkan rekod Anwar sepanjang tempoh beliau menjadi Menteri Kewangan, hutang negara semakin berkurangan dan Malaysia mengalami lebihan belanjawan yang berterusan dari 1993 hingga 1997.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata dengan kelebihan rangkaian dimiliki Perdana Menteri terutama di luar negara yang perlu diguna pakai untuk memperbetulkan kewangan negara seperti menurunkan hutang negara yang kini melebihi RM1 trilion dan menarik pelabur asing supaya datang ke Malaysia.

"Kerajaan melalui dasar fiskal tidak boleh terus berbelanja dengan meningkatkan hutang untuk membangunkan ekonomi negara, ia perlu diimbangi dengan wang pelaburan terutama dari luar negara yang lebih banyak dari dahulu," katanya.

CGS CIMB berkata, pihaknya menjangka unjuran defisit fiskal disemak semula kepada kedudukan lebih rendah iaitu 5.0 peratus daripada KDNK pada tahun ini, berbanding unjuran 5.5 peratus sebelum ini.

"Terdapat beberapa sebab untuk ini iaitu kami melihat kutipan hasil yang lebih tinggi pada 2023 berbanding dengan apa yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 sebelum ini.

" Ini adalah berikutan keadaan ekonomi yang lebih baik dan pertumbuhan ekonomi nominal yang lebih tinggi.

"Perkara ini membawa kepada anggaran untuk kutipan cukai korporat dan pendapatan yang lebih baik," katanya.

Belanjawan cerminan reformasi pentadbiran negara

AmResearch dalam laporan penyelidikan baru-baru ini berkata, belanjawan hari ini akan mencerminkan aspirasi Kerajaan Perpaduan baharu dalam mereformasi pentadbiran negara.

Ketegasan Perdana Menteri dalam melaksanakan reformasi ini katanya jelas berdasarkan pemerhatian yang mana sebaik sahaja menerajui negara, beliau mengumumkan beberapa langkah penjimatan antaranya, pemotongan gaji 20 peratus untuk semua menteri; penyaluran RM100 juta untuk tebatan banjir di Kelantan dan Terengganu; rebat tarif elektrik isi rumah dikekalkan pada dua sen bagi setiap kWH4); cukai hartatanah bawah RM300 ribu di Putrajaya; pemotongan kos ECRL RM11 bilion kepada RM75 bilion (Kos asal pada 2016 ialah RM86 bilion) dan pengurangan peruntukan pembangunan untuk Ahli Parlimen, daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Ini sepatutnya melihat beliau, antara lain, mengutamakan mengukuhkan ketelusan, integriti dan kecekapan terutamanya dalam perolehan kerajaan dan peranan pembangunan syarikat berkaitan kerajaan.

Turut difahamkan Perdana menteri juga mungkin berusaha untuk mempercepatkan projek keutamaan termasuk dalam penjagaan kesihatan, pendidikan, sambil menghapuskan ketirisan dan mengurangkan pembaziran di tengah-tengah peningkatan hutang negara dan liabiliti lain, yang kini melebihi RM1 trilion.

"Belanjawan ini berkemungkinan tertumpu kepada rangka kerja Malaysia Madani yang memberi tumpuan kepada membentuk masa depan negara dan merealisasikan potensi penuhnya," kata sumber.

"Ini berkemungkinan belanjawan dengan keutamaan, pendekatan dan strategi baharu, walaupun kerajaan mungkin mengekalkan beberapa cadangan daripada cadangan asal.

Pada masa yang sama, belanjawan mungkin akan terus merangsang dan memangkin pertumbuhan ekonomi," tambah sumber itu.

Beberapa cukai baharu mungkin diperkenal

Secara keseluruhannya, belanjawan yang disemak mungkin masih berat untuk habuan atau buah tangan yang dirasai secara saksama dengan kemungkinan pengenalan beberapa cukai baharu.

Pengurangan cukai pendapatan peribadi sebanyak dua mata peratusan untuk kumpulan pendapatan tertentu, yang dicadangkan dalam Belanjawan 2023 asal untuk memanfaatkan lebih satu juta rakyat Malaysia berpendapatan sederhana atau M40, mungkin dikekalkan.

Dalam belanjawan kali ini, mereka dalam kumpulan T20 dijangka terpaksa membuat "sedikit pengorbanan", walaupun sumber berkata sebarang langkah yang membabitkan "kelas atasan" ini mungkin tidak drastik atau radikal.

Golongan M40 dijangka menerima beberapa habuan

Golongan M40 dijangka menerima beberapa habuan. Ini termasuk pengurangan cukai pendapatan bagi kumpulan pendapatan bercukai antara RM50,001 hingga RM100,000 sebanyak dua mata peratusan bagi tahun taksiran 2023, daripada 13 peratus kepada 11 peratus bagi kumpulan RM50,001-RM70,000 , dan daripada 21 peratus kepada 19 peratus untuk kumpulan RM70,001-RM100,000.

Penganalisis juga menjangka Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan subsidi bersasar bahan api tidak diperkenalkan dalam belanjawan hari ini, meskipun langkah berkenaan dapat meningkatkan hasil kerajaan.

Wednesday, February 1, 2023

Anak beranak jaga perbendaharaan, Malaysia bukan milik Anwar sahaja

agendaily.com
01/02/2023
Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anak sendiri, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

Ameerah Malaysia – entiti kepimpinan wanita muda dalam PAS – mempertikai pelantikan Naib Presiden PKR Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri yang juga bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Ketua Pengarah 2 Ameerah Malaysia, Ummi Kalsum Ismail berkata tidak timbul soal mengambil gaji atau tidak, kerana isunya ialah kelayakan Nurul Izzah itu sendiri, sedangkan ramai lagi mereka yang lebih layak memegang jawatan itu.

Menurutnya, ramai yang kurang faham istilah nepotisme tetapi rakyat tahu bahawa budaya memberi jawatan atau projek kepada anak beranak adalah budaya jijik.

Beliau menggariskan tiga persoalan utama yang perlu dijawab dalam isu pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kepada bapanya sendiri yang juga PM, walaupun dilakukan tanpa gaji.

Persoalan itu ialah:

1. Apakah proses pemilihan yang digunakan dalam menentukan pelantikan Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri Malaysia?

2. Adakah proses pemilihan ini dilakukan dengan adil dan saksama bagi semua calon yang lebih berkelayakan? dan

3. Macam mana pemegang Ijazah Kejuruteraan serta Dasar Awam dan Sosial boleh dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan? Layakkah Nurul Izzah?

“Come on, rakyat Malaysia ada 32.7 juta orang. 69.5 peratus berada dalam kumpulan umur bekerja. Berapa ramai yang ada kelayakan dalam bidang ekonomi ini dinafikan hak hanya kerana mereka bukan berbin atau binti Anwar.

“Tapi jawapan Anwar mudah, “Nurul Izzah tak terima gaji”.

“Tidak timbul soal ambil gaji atau tidak, posisi penting Penasihat Kanan Kewangan dan Ekonomi itu perlu dilihat secara profesional dengan fungsinya yang boleh mempengaruhi Perdana Menteri yang juga Menteri Ekonomi.

“Peranannya besar dan berpengaruh dalam mengurus kekayaan negara. Tindakan melantik anak sendiri ini membuka ruang kepada pelanggaran integriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (1 Februari 2023).

Menurut Ummi Kalsum tindakan tidak bertanggungjawab kerajaan ini perlu dihentikan.

“Bermula dengan melantik kluster mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri, individu yang kalah sebagai Menteri, Perdana Menteri memegang dua jawatan penting dan sekarang melantik anak sendiri adalah permulaan yang akan membawa kepada kerosakan yang lebih besar.

“Pentaksub Perdana Menteri ke-10 dan Pakatan Harapan akan mengeluarkan seribu satu hujah bagi membenarkan segala perbuatan ini namun ia tetap tidak dapat menafikan keburukan nepotisme kepada negara,” katanya.

Beliau mempersoalkan apakah nasib Malaysia jika budaya ini diteruskan, sedang negara ini adalah milik semua, bukan Anwar semata-mata.

“Rakyat perlu bersuara agar perkara ini tidak menjadi suatu kebiasaan yang merosakkan,” katanya.

Monday, December 5, 2022

Menteri setuju potong gaji 20%, kata Anwar

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar dan Chia Wan Rou
-December 5, 2022 3:46 PM
Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri pertamanya hari ini. Turut hadir dua timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Fadillah Yusof (kanan). (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Jemaah Menteri bersetuju memotong gaji bulanan mereka sebanyak 20%, kata Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri pertamanya, perdana menteri berkata, langkah itu akan disemak semula selepas ekonomi negara kembali pulih.

Katanya, ia menunjukkan kerajaan perpaduan pimpinannya cakna dengan permasalahan rakyat.

Sunday, December 4, 2022

ULASAN | Liku-liku Anwar Ibrahim

malaysiakini.com
Dr Al-Azharri Siddiq Kamunri
Diterbitkan: Dec 4, 2022 11:12 AM
ULASAN | Pada tahun 2020, saya telah menulis beberapa pandangan mengenai masa hadapan Anwar Ibrahim dan bagaimana Anwar boleh menjadi Perdana Menteri, salah satunya di pautan ini.

Ia bukan suatu perkara yang mudah, sebagai orang kerajaan ketika itu, bukan sesuatu yang mudah untuk menulis berkaitan Anwar.

Nampaknya ramalan saya tidak jauh tersasar, bahawa Anwar boleh menjadi perdana menteri dengan bantuan Umno jua walaupun ramai tidak bersetuju dengan pandangan tersebut.

Namun begitu, rakyat Malaysia khususnya generasi muda tidak ramai tahu liku-liku kehidupan Anwar khususnya dalam politik.

Contohnya, generasi baru tidak ramai tahu kehidupan Anwar di Universiti Malaya (1970an) memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu di jalanan Kuala Lumpur ketika itu.

Begitu juga kejayaan Anwar membuka mata kerajaan terhadap kemiskinan di Baling pada awal tahun 1970an dengan menganjurkan demonstrasi besar-besaran.

Ketika menjadi presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Anwar dipilih sebagai satu-satunya pemimpin belia yang mendapat kepercayaan oleh kerabat Raja Saudi dalam mengembangkan syiar Islam di Malaysia melalui pertubuhan antarabangsa seperti The International Institute of Islamic Thought (IIIT) dan pelbagai pertubuhan Islam berpusat di Arab Saudi di mana Anwar turut dilantik sebagai pengemudi.

Rangkaian kepimpinan Islam inilah yang menguatkan hubungan Anwar dengan dunia Arab khususnya di Turki, Arab Saudi dan negara-negara Islam Afrika.

Sebab itulah kemasukan Anwar ke dalam Umno pada tahun 1981 telah mengubah perkembangan Islam di Malaysia daripada pendidikan sekular kepada pendidikan Islamik melalui ABIM, Tadika ABIM, malah Yayasan ANDA turut mempunyai cawangan di Kota Kinabalu, Sabah pada tahun 1980an.

Bawa panji islah

Pemakaian Islamik menutup aurat di kalangan wanita Islam di Malaysia mula berkembang apabila Anwar membawa imej Islamik itu dalam perjuangannya dan kerajaan.

Islam tidak pernah mati dalam jiwa Anwar, misalnya pada tahun 2010 di Komunitas Salihara, Anwar berkata ”Saya bangga sebagai seorang Muslim dan saya komited dengan prinsip Islam. Tetapi saya berbeza pendapat besar, bahkan saya berbeza dengan kalangan yang menjadikan Islam itu sebagai faktor penghalang”.

Dari segi politik, Anwar memilih Umno pada tahun 1981 kerana beliau percaya boleh mengislahkan Umno sebuah parti besar ketika itu kepada perjuangan yang lebih baik. Dengan perubahan semasa dan gandingan Anwar-Zahid, adakah suatu masa kelak Anwar akan kembali memimpin Umno?

Koleksi ucapan Anwar bertajuk ‘Menangani Perubahan’ (1989) tidak pernah berubah. Selama lebih 30 tahun Anwar membawa panji-panji perubahan atau Islah atau lebih popular ‘reformasi’.

Ia juga selari dengan perjuangan rakan-rakan ilmuan Anwar dalam Institut Kajian Dasar (IKD), UNISEL dengan membawa ketibaan makna yang lebih besar dalam kehidupan bernegara secara sistematik.

Contohnya, istilah ‘patriotik’ diangkat martabat kepada istilah ‘nasion’. Orang biasa bercakap mengenai kebudayaan tetapi Anwar bercakap perihal ketamadunan. Orang bercakap istilah ‘pelajaran’ tetapi Anwar memperkenalkan istilah ‘pendidikan’.

Ramai orang bergaduh pasal bahasa Melayu tetapi Anwar berani menggunakan bahasa Malaysia.

Anwar seorang manusia yang kuat membaca, usah dirisaukan hal perbandingan agama kerana Anwar sudah membaca Bhagavad Gita, Mahabharata, karya-karya Shakespeare malah beberapa terjemahan bible.
Akrab dengan pemimpin dunia
Di peringkat antarabangsa pula, Anwar dan Indonesia tidak boleh dipisahkan. Ianya bukan baharu, kerana Anwar sudah bersama-sama dengan pemimpin belia Indonesia sejak tahun 1970an lagi.

Malah dalam lawatan keluarga minggu lalu di Jakarta, Jusuf Kalla kelihatan sangat gembira Anwar akhirnya menjadi perdana menteri setelah diusahakannya semasa era rekonsiliasi hampir 10 tahun dahulu.

Mari kita sebut beberapa nama besar yang sangat akrab dengan Anwar dalam bidang masing-masing antaranya Sheikh Taha Jabair Al-Alwani dan Dr. Jamal Barzanji (IIIT), Gareth Evans (ICG), Dr. Otto Graf Lambsdoff (FNF), Carl Gershman (NED), Lorne Craner (IRI), Andrew Natsios (USAID) tidak termasuk tokok-tokoh negara jiran seperti Jusuf Kalla, almarhum B.J. Habibie dan Gusdur.

Anwar dan ilmu pengetahuan tidak pernah berpisah. Selepas rawatan di Munich (2005), Anwar berhijrah ke London menjadi pensyarah di Saints Anthony’s College, Oxford.

Di London, Anwar berkesempatan bertukar-tukar pandangan dengan tokoh-tokoh besar politik dan kerajaan seperti Al-Gore, Desmond Tutu dan Mary Robinson.

Ketika itu juga, International Crisis Group (ICG) melantik Anwar sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah (2006). Malah dalam satu kumpulan elit pelabur dunia Anwar turut dilantik sebagai Presiden Accountability suatu rangkaian pelaburan antarabangsa dalam Generation Investment Management Group (GIMG).

Maka saya optimis, isu-isu pelaburan dan perdagangan antarabangsa Malaysia dengan bisnes antarabangsa akan lebih menguntungkan rakyat dan negara Malaysia.

Kita perlu beri masa kepada Anwar dan pasukan kabinetnya, usah terlalu prejudis.

Beri masa

Saya fikir sudah sampai masa kita menumpukan tenaga dan fikiran merealisasikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat, berbanding politiking tanpa henti yang menyesakkan nafas.

Berikan masa kepada Anwar melaksanakan Islah dalam kerajaan dan negara.

Tidak ada yang perlu dirisaukan kerana dunia sudah berubah, rakyat semakin matang, maklumat di hujung jari. Tidak ada lagi yang boleh mengangkat dagu melepasi ketinggian kerana Dr Mahathir Mohamad yang begitu berjasa dalam pembangunan negara, menjadi perdana menteri dua kali pun, akhirnya tumbang di tangan rakyat jua.

Tahniah Anwar.

DR AL-AZHARRI SIDDIQ KAMUNRI mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang politik dan kerajaan, dan mempunyai minat yang mendalam kepada proses pembinaan nasion bangsa Malaysia, patriotism, keselamatan negara dan pemerkasaan komuniti.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Thursday, November 24, 2022

Selepas jadi PM, Anwar kata sedia terima PN dalam kerajaan dibentuk

agendaily.com
24/11/2022
Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Istana Negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap dapat menerima penyertaan Perikatan Nasional (PN) dalam kerajaannya selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri (PM) ke-10 petang tadi.

Semasa sidang media pertamanya tadi, PM ke-10 itu sekali lagi sangat berharap dan bersedia untuk menerima PN ke dalam kerajaan yang bakal dibentuk selepas ini, serta bersama-sama mentadbir kerajaan.

“Ini tidak menolak kemungkinan penyertaan parti-parti yang lain, jadi saya ingin tegaskan dalam acara pertemuan dengan rakyat yang pertama selaku Perdana Menteri seluruh rakyat Malaysia mewakili semua kaum dan menjamin keharmonian semua rakyat negara ini saya tetap bersedia menerima penyertaan semua yang lain untuk menjadikan negara ini stabil.

“Saya juga ingin menyatakan kesediaan rakan-rakan termasuk dariapada Perikatan Nasional walaupun kenyataan pengerusinya di peringkat awal tidak begitu memberangsangkan,” katanya.


Untuk rekod, Anwar mengangkat sumpah petang tadi sebagai PM ke-10 selepas rakyat ternanti-nanti beberapa hari ekoran tiada satu parti mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan.

Keputusan rasmi berhubung pemilihan PM ke-10 hanya diperoleh hari ini selepas selesai persidangan Majlis Raja-Raja yang diadakan di Istana Negara pagi tadi.

Dalam pada itu, Anwar juga mengesahkan akan membuat undi percaya di Parlimen pada 19 Disember depan bagi membuktikan keabsahan dan sokongan majoriti yang dimilikinya.

“Saya ingin menjelaskan di sini bahawa kita dah tetapkan sidang Parlimen pada 19 hari bulan (Disember) dan usul pertama selain daripada mengangkat sumpah ialah ialah usul daripada kerajaan adalah undi percaya di Parlimen,” katanya lagi.

Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan sokongan majoriti yang diperoleh Anwar selepas menunjukkan bukti akuan berkanun (SD) dimilikinya.

Anwar juga menegaskan tidak akan sama sekali bertolak ansur dengan rasuah dan penyelewengan walaupun umum mengetahui Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyokongnya sedang berdepan puluhan pertuduhan kes di mahkamah ketika ini.

“Berikutnya, yang utama saya tegaskan ialah tatakelola yang baik, dibawah pentadbiran saya, selaku Perdana Menteri.

“Saya tidak akan sama sekali bertolak ansur dengan rasuah dan penyelewengan,” tegasnya lagi.

Untuk rekod, Anwar terpaksa menerima sokongan daripada UMNO walaupun menyedari pemimpin utamanya memiliki pertuduhan di mahkamah.

Friday, November 18, 2022

Mampukah Anwar kekal mendahului?

malaysiakini.com
Reuters
Diterbitkan: Nov 18, 2022 1:42 PM
Anwar Ibrahim memperhebatkan kempennya minggu ini untuk menjadi perdana menteri Malaysia, didorong dengan tinjauan pendapat umum yang meletakkan ketua pembangkang veteran itu di hadapan dalam pertandingan yang sengit.

Pilihan raya umum esok adalah yang paling sengit sejak negara di Asia Tenggara itu merdeka pada 1957, dengan tinjauan pendapat menjangkakan Parlimen akan tergantung dengan tiada parti atau gabungan mendapat majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Gabungan yang diketuai oleh Anwar - yang dalam tempoh 25 tahun bertukar daripada pemimpin negara paling lama berkhidmat menjadi seorang banduan yang disabitkan kesalahan liwat kepada tokoh pembangkang utama negara - dijangka memenangi kerusi terbanyak tetapi gagal mencapai majoriti, menurut tinjauan dan penganalisis.
Pakatan saingannya, termasuk yang diterajui oleh Ismail Sabri Yaakob dan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, boleh bergabung untuk meraih jumlah kerusi yang diperlukan dan menafikan Anwar daripada jawatan tertinggi itu.

Bagi pengundi, isu utama ialah prospek ekonomi, dengan pertumbuhan dijangka perlahan dan inflasi yang meningkat.

Ramai rakyat Malaysia juga kecewa dengan ketidakstabilan politik baru-baru ini yang menurut mereka telah mengalihkan tumpuan ahli politik daripada membangunkan ekonomi.

Gabungan Pakatan Harapan yang diterajui Anwar diramal memperoleh undi terbesar pada 35 peratus, menurut tinjauan oleh firma penyelidikan British YouGov pada Rabu lalu.
Selain itu, gabungan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Muhyiddin pula berada di landasan untuk mendapatkan 20 peratus dan BN pula pada 17 peratus.

Ismail Sabri dan Muhyiddin adalah sebahagian daripada gabungan pemerintah sebelum parlimen dibubarkan tetapi bertanding pada pilihan raya ini secara berasingan.

Anwar, bekas menteri kewangan dan timbalan perdana menteri, hadir di kempen dan perhimpunan besar dengan berikrar untuk mewujudkan kestabilan politik, memulihkan perpecahan antara Melayu majoriti Islam dan kumpulan etnik lain, serta memulihkan ekonomi dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan pelaburan.

"Pilihan raya ini bukan tentang menukar perdana menteri," kata Anwar dalam ucapannya pada Khamis.
"Pilihan raya ini adalah peluang terbaik untuk menyelamatkan negara dan melakukan perubahan besar demi memulihkan negara tercinta ini."

Anwar mengetuai gabungan pelbagai etnik, manakala BN dan PN diketuai oleh parti yang mengutamakan kepentingan orang Melayu.

Kaum dan agama merupakan isu yang memecahbelahkan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, dengan etnik Cina dan India membentuk kira-kira 30 peratus daripada pengundi.

Gabungan Anwar boleh dikalahkan jika blok lain berganding bahu menentangnya, kata penganalisis, dengan pakatan parti-parti politik lebih kecil di Sabah dan Sarawak di pulau Borneo berpotensi memainkan peranan sebagai penentu.

Dalam temu bual dengan Reuters bulan ini, Anwar menolak bekerjasama dengan gabungan Ismail Sabri dan Muhyiddin, memetik "perbezaan dasar" berhubung kaum dan agama.
Sekiranya Parlimen tergantung, Harapan mempunyai kelebihan dalam menarik sekutu, kerana perpecahan dan perbalahan menjadikan dua gabungan utama yang lain "secara semula jadi tidak stabil", kata Bridget Welsh dari Universiti Nottingham Malaysia.

Tetapi dia berkata banyak kerusi lagi masih terlalu awal untuk diramalkan, kerana 15 peratus hingga 30 peratus daripada pengundi masih belum membuat keputusan, kata Welsh dan tinjauan oleh firma pendapat bebas, Merdeka Center.

Lebih dua dekad lalu Anwar sebagai tokoh pembangkang telah dipenjarakan sembilan tahun penjara kerana meliwat dan rasuah, tuduhan yang menurutnya bermotifkan politik.

Dia dibebaskan dari penjara pada 2018 selepas berganding bahu dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang juga adalah mentor dan seteru lamanya, untuk mengalahkan BN buat kali pertama dalam sejarah Malaysia ketika kemarahan orang ramai memuncak terhadap kerajaan berhubung skandal 1MDB yang menyaksikan berbilion duit negara lesap.
Mahathir menjadi perdana menteri buat kali kedua pada 2018 pada usia 92 tahun, berjanji untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar dalam tempoh dua tahun, tetapi gabungan itu tumbang dalam tempoh 22 bulan kerana perbalahan mengenai peralihan.

Muhyiddin menjadi perdana menteri seketika tetapi pentadbirannya runtuh tahun lalu, membuka jalan untuk BN kembali berkuasa dengan Ismail Sabri pula memegang tampuk pemerintahan negara.

Reuters

Friday, February 14, 2020

Undi Percaya : Bukti PAS Utamakan Agenda Negara


Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)


Undi Percaya : Bukti PAS Utamakan Agenda Negara

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) secara terbuka menyatakan pendirian untuk menyokong YAB Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai Perdana Menteri Malaysia sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15. Pendirian ini disuarakan menerusi satu syor PAS untuk mengemukakan usul percaya di parlimen.

Pendirian PAS berhubung sokongan kepada Tun Mahathir mempunyai asas tertentu, termasuk keutamaan untuk menjaga kemaslahatan negara dan rakyat. Oleh yang demikian, atas dasar tanggungjawab, PAS tampil menyokong beliau kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia sehingga Pilihan Raya Umum ke 15.

Rakyat melihat berlaku krisis kesepakatan dalam kalangan parti-parti Pakatan Harapan yang mencerminkan ketidakstabilan dalam pemerintahan. Parti-parti tersebut tidak menunjukkan komitmen dalam membantu menguruskan negara sebagai sebuah kerajaan, sebaliknya bersaing antara satu sama lain. Lebih membimbangkan, apabila wujudnya pihak tertentu dalam kerajaan yang memberi tekanan untuk menyegerakan peralihan kuasa tersebut.

Justeru, PAS mengambil langkah terkehadapan dalam menyatakan sokongan kepada Tun Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga PRU akan datang.

PAS berpendirian, sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, peletakan dan pemilihan Perdana Menteri haruslah mendapat sokongan semua Ahli Parlimen terutamanya dari pihak kerajaan.

‘Islam Memimpin Perpaduan’
‘Muafakat Nasional Membina Malaysia Sejahtera’


KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
14 Februari 2020 | 20 Jamadilakhir 1441

Wednesday, February 12, 2020

Salahkah menyokong Tun sebagai PM?


ISU UNDI Percaya terhadap Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir yang PAS putuskan akan dibawa oleh wakilnya ke Parlimen awal Mac nanti terus menjadi isu paling hangat kebelakangan ini.

Akhbar The Star meletakkan isu ini di muka depannya dua hari berturut-turut termasuk hari ini.

Ternyata cadangan PAS ini memberi impak kepada semua yang berkepentingan dan rakyat Malaysia melihat dengan penuh minat perkembangannya. PAS menjadi perhatian semua.

Usul Percaya terhadap PM ini bukan perkara baru di Parlimen tetapi ia yang pertama dibawa oleh pembangkang. Pada tahun 1976 sejurus naik sebagai Perdana Menteri Malaysia ketiga menggantikan Allahyarham Tun Abd Razak satu Usul Percaya dibawa terhadap Tun Hussein Onn yang telah dibahas dan diluluskan Ahli-ahli Dewan ketika itu.

Tujuan membawa usul seumpama ini adalah bagi menyatakan keyakinan terhadap Perdana Menteri untuk menjalankan tugasnya dengan sokongan penuh wakil-wakil rakyat di Dewan.

Ia boleh mengembalikan keyakinan rakyat dan para pelabur dan dengan keyakinan itu diharapkan negara boleh kembali pulih dan sejahtera.

Siapa pun boleh membawa usul ini dan hak membawanya tidak boleh dipertikaikan dalam sebuah negara yang menjunjung amalan demokrasi berparlimen.

Semalam Presiden PKR Anwar Ibrahim mempertikaikan hasrat PAS itu. Beliau mendakwa usul PAS ini hanya bertujuan untuk memecah belahkan Pakatan Harapan.

Ini bukan usul undi tidak percaya tetapi Usul Percaya. Mengapa pula ia boleh memecah belahkan PH sedangkan ia mahu menyokong PM yang sepatutnya mewakili PH?

Hanya individu yang paranoid sahaja yang menolak usul ini kata Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sepatutnya sebagai Presiden parti terbesar dalam PH Anwar mengalu-alukan usaha PAS ini dan menyeru ahli-ahli Parlimen PKR dan PH menyokong.

Melainkan Anwar memang paranoid, terlalu curiga dan terganggu berlebih-lebihan emosinya dengan maksud usul PAS ini.

Sikap Anwar mencerminkan sesungguhnya beliau tidak senang dengan Tun dan tidak mahu Tun kekal sebagai PM. Itu yang sebenarnya.

Lantas Anwar dan mereka yang sealiran dan sejiwa dengannya bolehlah menolak usul ini sekali gus mempamerkan secara terbuka yang mereka tidak yakin pada Tun sebagai PM.

Melalui usul ini PAS mahu tunjuk pada rakyat Malaysia yang di saat krisis, dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu, kita boleh bangkit berdiri bersama melewati kepentingan politik dengan menyokong dan memberi keyakinan pada PM kita untuk terus menggalas tanggungjawab mentadbir negara.

Secara rasionalnya ia suatu usul yang sangat relevan dan tiada mana pihak yang wajar menolaknya. Kecuali mereka yang memang paranoid, punya agenda dan kepentingan peribadi, gila kuasa sehingga sanggup menggadaikan nasib dan masa depan rakyat dan negara semata-mata kerana jawatan dan kepentingan diri.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
 – HARAKAHDAILY 
    12/2/2020

Tuesday, October 2, 2018

Dr M: Saya masih seperti dulu...

Bernama 
Diterbitkan 1 Okt 2018, 11:40 malam


Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau masih seperti dahulu dan caranya bekerja adalah mengikut gaya beliau seperti sebelum ini.

Ketika ditanya oleh hadirin dalam syarahannya mengenai “Masa Depan Demokrasi di Asia” di Chatham House di London berhubung kenyataan Peguam Negara Tommy Thomas mengenai dirinya dalam satu wawancara bahawa beliau telah berubah, Dr Mahathir berkata kenyataan Thomas ada benar dan ada ada silapnya.

“Saya masih seperti dahulu. Saya masih menjalankan urusan seperti biasa tetapi saya perlu menghormati kehendak orang lain, dan terutama berhubung dengan apa yang mereka sebut sebagai kronisme," kata beliau.

Dr Mahathir menjelaskan beliau sebenarnya membantu mereka yang berupaya memperoleh keuntungan daripada apa sahaja perniagaan yang mereka usahakan.

"Jika anda meminta seseorang yang tidak berpengetahuan dalam perniagaan dan memintanya menjalankan perniagaan yang dia tidak ada pengetahuan, maka anda mengundang kegagalan.

"Jadi, apabila anda memberikan kontrak – hari ini, kita harus melakukannya melalui tender. Sebelum itu, tender adalah terbatas. Sekarang melalui tender penuh, semua orang boleh membuat bidaan," kata beliau.

Mengenai hubungan beliau dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir berkata beliau akan menyerahkan kepimpinan perdana menteri kepada Anwar apabila beliau akan bersara dalam masa dua hingga tiga tahun.

"Saya tidak mempunyai masalah dengan beliau,” kata Dr Mahathir.

Menjawab soalan mengenai 1MDB, perdana menteri berkata keutamaan sekarang ialah bagi kes-kes yang bukti-buktinya telahpun diperoleh.

Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, wang yang dilesapkan daripada 1MDB digunakan untuk membeli hartanah dan menghasilkan filem, kata beliau.

"Wang yang diselewengkan adalah wang kami. Kami mempunyai hak untuk mendapatkannya balik. Kami akan berunding dengan Amerika Syarikat," kata beliau.

Dr Mahathir berkata isu 1MDB akan ditangani “satu demi satu" dan pada masa ini, ia melibatkan penyalahgunaan kuasa oleh bekas perdana menteri.

Mengenai persoalan berhubung negara-negara yang terlibat dalam 1MDB, beliau berkata, “Ada orang yang melanggar undang-undang di negara kami. Kadang-kadang, mereka melarikan diri ke negara lain, Kami melakukan yang terbaik untuk berunding. Kami tidak boleh berperang."

- Bernama

Thursday, September 27, 2018

Anwar akan jadi PM, itu janji saya - Dr M

MyMetro
Daripada Yushaimi Yahaya

(Gambar fail) Proses peralihan dikatakan sedang berlaku apabila Anwar akan bertnading pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson sebelum dilantik sebagai perdana menteri. FOTO Eizairi Shamsudin

“DATUK Seri Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri Malaysia. Itu adalah janji saya," kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri menegaskan demikian ketika menjawab satu soalan pada Forum Tahunan Kedua Perniagaan Global Bloomerg yang dikendalikan wartawan, Fareed Zakaria di New York.

Dr Mahathir berkata, beliau setuju menjadi perdana menteri kerana Anwar berada dalam penjara apabila kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran.

“Saya berjanji bahawa saya tidak akan kekal lama sebagai perdana menteri. Mungkin dua tahun, mungkin lebih, mungkin kurang.

“Apa yang penting ialah kita mempunyai kerja sama empat parti. Beberapa sejarah lalu kami tidak menyumbang kepada kerja sama itu.

“Justeru, kami perlu melupakan perkara lalu dan menumpukan kepada isu penting yang pada masa itu ialah untuk menumbangkan perdana menteri sebelum ini. Untuk itu kami sedia melupakan perbalahan lalu," katanya.

Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia mahu perdana menteri baharu tetapi Anwar masih dalam penjara ketika itu.

“Rakyat mahu perdana menteri baharu, bukan perdana menteri lama ini, tetapi pada masa itu mereka tiada pilihan kerana pemimpin lain berada dalam penjara dan beliau pun tak boleh menerajui parti.

“Justeru, saya bersetuju bahawa saya akan berada di sana mungkin untuk dua tahun dan pemimpin baru akan mengambil alih kepimpinan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 9:16 AM

Monday, July 17, 2017

Negara binasa jika rakyat pilih Harapan

OLeh: LYN NASIR

17 JULAI: Rakyat diminta berfikiran lebih matang bagi menilai situasi politik semasa Pakatan Harapan kerana permasalahan dalam gabungan itu akan menghancurkan negara.

Menurut Pengerusi Gerakan Akar Umbi Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata mereka masih gagal menamakan calon sesuai untuk jawatan Perdana Menteri Malaysia jika menjadi Kerajaan Persekutuan.
Meskipun Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini pernah menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, namun ia perkara yang mustahil kerana Anwar masih lagi berada di dalam penjara dan tidak membenarkan beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Namun begitu, calon lain turut dinamakan oleh DAP dan PAN sekaligus menimbulkan ketamakan kuasa dari parti lain.

“Rakyat diminta berfikiran matang menilai keadaan politik semasa melibatkan gabungan parti-parti politik pembangkang PKR, DAP, PPBM dan PAN yang dinamakan Pakatan Harapan.

“Apabila Tun Mahathir atau Tan Sri Muhyiddin pula dipilih sebagai Perdana Menteri sehingga menunggu pemgampunan Di Raja untuk membolehkan Anwar bertanding pada pilihan raya kecil sebagai syarat untuk menjadi Perdana Menteri, timbul pula persoalan adakah dengan mudah Dr Mahathir atau Tan Sri Muhyiddin akan meyerahkan jawatan Perdana Menteri tersebut kepada Anwar Ibrahim, sebelum ini secara jelas Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin tidak bersetuju Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Mungkin juga Dr Wan Azizah adalah calon sesuai sementara bagi jawatan Perdana Menteri Malaysia namun adakah dengan begitu mudah Azmin Ali termasuk Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin bersetuju dengan pemilihan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Oleh hal demikian jelas Zulkarnain (foto), ianya bukan satu perkara yang ringan untuk diambil kira kerana ia mampu menjadi satu malapetaka yang besar buat rakyat Malaysia.

“Sebelum ini seluruh rakyat Malaysia telah menjadi saksi bagaimana huru haranya keadaan politik di negeri Selangor apabila berlakunya perebutan kuasa melibatkan jawatan menteri besar diantara Tan Sri Khalid Ibrahim, Datin Seri Wan Azizah dan Dato’ Seri Azmin Ali.

“Adakah keadaan yang sama akan dilalui oleh rakyat Malaysia apabila Pakatan Harapan diberikan peluang untuk memerintah Malaysia pada masa yang akan datang? Soalnya.

Thursday, June 1, 2017

Populariti Najib lebih teruk kerana 1MDB,,,?

Saifuddin Nasution Ismail

ULASAN: Saya mengambil maklum laporan yang dikeluarkan oleh majalah berita Time yang berpangkalan di New York, menyatakan bahawa terdapat banyak pemimpin dunia yang rating mereka lebih teruk berbanding Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Media itu melaporkan bahawa Trump bukanlah pemimpin yang popular dalam kalangan rakyat AS. Kadar penerimaan rakyat terhadap beliau dilaporkan cuma 40 peratus berbanding pemimpin-pemimpin lain dunia.

Namun yang paling mengejutkan, Time turut menamakan salah seorang pemimpin dunia yang buruk ratingnya adalah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam laporan Time, Najib dikaitkan dengan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sarat hutang berbilion ringgit serta kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya yang dikatakan daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Majalah itu juga melaporkan, Najib didukung oleh peguam negara Malaysia yang mengesahkan wang itu adalah derma dan sebahagian besarnya telah dipulangkan kembali. Justeru tidak mengejutkan jika rating Najib sebegitu rendah.

Bagi saya, perkara ini sangat memalukan rakyat. PM Malaysia lebih dikenali di peringkat antarabangsa melalui skandal-skandal kewangan yang teruk. Seperti tindakan saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan penyelewengan dana 1MDB yang menamakan pemimpin negara sebagai Malaysia Official 1 (MO1) dan dirujuk sebanyak 36 kali.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan ketika ditemubual BBCmengesahkan Malaysia Official 1 adalah Datuk Seri Najib.

Dalam skandal mega ini, saya merasakan dunia luar lebih mengetahui cerita sebenar berbanding rakyat Malaysia sendiri. Sebelum ini, Bank Standard Chartered dan Coutts dikenakan penalti S$5.2 juta dan S$2.4 juta oleh Bank Pusat Singapura kerana melanggar syarat pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB.

Sebelumnya, transaksi itu telah diperincikan dalam pemfailan saman sivil DOJ yang menyebut AS$700 juta telah dipindahkan daripada Good Star Limited, milik hartawan Pulau Pinang Jho Low, melalui institusi kewangan Coutts.

Dalam isu ini, timbul beberapa kemusykilan mengenai dakwaan skandal itu. Adakah cerita MO1 sekadar sensasi politik? Sehingga berjuta-juta dollar aset Jho Low dan 11 aset hartanah milik anak tiri Najib, Riza Aziz disita di AS angkara penyelewengan kewangan1MDB.

Manakala pendakwaan mahkamah berhubung kes itu dan dua buah bank yang diarahkan tutup di Singapura adakah sekadar cerita rekaan?

Saya percaya rakyat Malaysia matang menilai maklumat. Dengan terdedahnya skandal tersebut, pasti akan wujud gelombang menolak Najib dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang. Rakyat Malaysia tentunya sudah bersedia untuk melakukan perubahan demi kesejahteraan mereka dan negara.

Sejak Najib dilantik sebagai PM pada 2009, beliau dilihat gagal menjalankan tanggungjawabnya terhadap rakyat. Suara rakyat tidak didengari. Najib hanya pandai menabur janji sehingga rakyat terbeban dengan GST, kos sara hidup yang tinggi serta kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit yang parah.

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
 Setiausaha Agung PKR

Thursday, November 10, 2016

Rakan golf Najib Razak kini Presiden Amerika Syarikat, Soros boleh lupakan Malaysia

Donald Trump (Republikan) bakal mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke 45 menggantikan Presiden Barrack Obama setelah menewaskan lawannya dari Demokrat, Hillary Clinton sebentar tadi.

Trump merupakan calon bukan pilihan memandangkan pelbagai kenyataan beliau yang dilihat kontroversi dan mengelirukan. Kesemua pemerhati politik menganggap Clinton akan menang dalam pemilihan kali ini.

M'sian PM Najib is a golfing buddy of Trump and has a signed photo of them both on his desk from the Donald inscribed 'To my favourite PM'

Apa yang menarik, wartawan BBC Asia Tenggara, Jonathan Head mendedahkan Trump merupakan rakan permainan golf Perdana Menteri Malaysia, Mohd najib Razak. Malah terdapat tandatangan Trump ke atas gambar mereka berdua dengan tulisan “To my favourite PM”.

Kekalahan Clinton juga boleh menjejaskan harapan pembangkang di Malaysia untuk mendapat sokongan Amerika Syarikat. Beberapa NGO pembangkang dan portal Malaysiakini diketahui menerima dana dari George Soros. Soros merupakan penyokong kuat Clinton.

Sekiranya Clinton menang tidak mustahil Soros akan menggunakan Presidem US bagi memenuhi agenda beliau di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Tuesday, September 20, 2016

Malaysia wajar gantung semua kerjasama dengan UNESCO

Kerajaan Malaysia harus menggantung semua kerjasama dengan The United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) sehingga Ketua Pengarahnya, Irina Bokova memohon maaf secara terbuka dan memberi penjelasan yang masuk akal dalam kontroversi membabitkan isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menteri Pelajaran Malaysia juga perlu menggantung sementara pejabat Unesco Malaysia yang berada di bawah pembiayaan Kementerian Pelajaran Malaysia. Beranikah Datuk Seri Mahadzhir Khalid melakukan?
Tindakan Irina Bokova menjemput Datin Seri Rosmah mengambil anugerah penghormatan khas pada satu majlis yang dianjurkan bersama oleh UNESCO pada 22 September 2016 tetapi kemudiannya membatalkan, hanya kerana pertanyaan Wall Street Journal dan The New York Times mengenai pembiayaan PERMATA, adalah sesuatu yang kurang ajar.

Unesco sebagai sebuah pertubuhan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertanggungjawab ke atas keilmuan dan ketamadunan tidak menunjukkan sikap organisasi yang bertamadun apabila menarik balik jemputan yang telah tersebar hanya kerana pertanyaan media tertentu.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, pada 18 September 2016, Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menerima satu e-mel daripada Profesor Tudor Parfitt, Pengerusi Lembaga Penasihat Akademik Jawatankuasa Penganjur Penghormatan Kepada Wira-wira Dalam Kempen Global Menentang Keganasan. Profesor Parfitt menyatakan bahawa anugerah itu akan ditangguhkan ke 2017 kerana apa yang beliau kenali sebagai “campur tangan” dari Wall Street Journal dan The New York Times mengenai pembiayaan PERMATA.

Unesco perlu memberi penjelasan yang lebih wajar apakah anugerah tersebut diberi secara semberono atau melalui penilaian wibawa. Jika melalui penilaian wibawa mengapa hanya kerana ditimbulkan isu oleh media mereka tidak berani mempertahankan keputusan awal mereka.

Jika anugerah semacam ini pun gagal dikawal selia dengan baik oleh Unesco dan boleh ditarik balik saat akhir, apakah Unesco masih ada kredebiliti menjaga dan melindungi warisan dunia?

Apakah layak Unesco menjadi agensi yang mengawasi dan melindungi warisan kebudayaan dunia apabila mereka sendiri “MENGHINA” isteri seorang ketua kerajaan negara berdaulat? Apakah hal yang sama akan Unesco lakukan jika ia membabitkan isteri Presiden US?

Ini bukan soal besar atau kecil anugerah tersebut. Ia bukan soal relevan atau tidak anugerah tersebut kepada kehidupan rakyat Malaysia.

Ia bukan soal batang tubuh Rosmah Mansor.

Ini soal penghinaan kepada negara yang tidak sewajarnya dilakukan oleh sebuah badan yang menjaga ketamadunan dunia.

MYKMU.NET

Tuesday, March 17, 2015

Putrajaya beli 'PRIVATE JET' baru untuk Najib: Oleh Rafizi Ramli

Dalam suasana rakyat tertekan akibat kenaikan harga barang dan Barisan Nasional terus memotong subsidi dan perbelanjaan pro-rakyat yang lain, saya terkejut dengan sikap tiada kepedulian pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak yang dengan sewenang-wenangnya membeli sebuah jet peribadi (“private jet”) baru.

Menurut jawapan Parlimen yang diberikan Jabatan Perdana Menteri pada sidang November 2013, Kerajaan Malaysia sudah mempunyai sekurang-kurangnya 6 jet peribadi termasuklah sebuah Boeing Business Jet.

Saya sertakan bersama satu surat perjanjian yang mengesahkan pembelian jet baru ini yang bertarikh 1 Disember 2014. Perolehan jet peribadi baru untuk Perdana Menteri ini dianugerahkan secara rundingan terus kepada Jet Premier One (Malaysia) Sdn Bhd yang turut mengendalikan jet peribadi sedia ada iaitu ACJ319.

Penggunaan jet peribadi sedia ada iaitu ACJ319 melibatkan kos sebanyak RM28.8 juta setahun dalam bentuk sewaan dan RM5.5 juta setahun dalam bentuk kos penyenggaraan.

Pembelian sebuah lagi jet peribadi baru yang kini di bawah pendaftaran 9H-AWK dan telah siap dicat dengan logo 1Malaysia (seperti di dalam gambar yang disertakan membuktikan bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak terus menerus bergelumang di dalam keborosan dan pembaziran, pada kala negara masih dikejutkan dengan skandal kewangan 1MDB.
Tindakan membeli sebuah lagi jet peribadi baru ini sudah tentu menimbulkan kemarahan rakyat pada kala rakyat terpaksa berdepan dengan pelaksanaan GST dalam tempoh 2 minggu dari sekarang. Rakyat terpaksa menanggung cukai baru yang sebahagiannya akan digunakan untuk membayar jet peribadi baru Perdana Menteri ini.

Saya mendesak supaya pembelian jet ini dibatalkan serta merta dan Dato’ Seri Najib Tun Razak meminta maaf dengan rakyat kerana tindakan membeli jet peribadi baru ini membelakangkan kepentingan rakyat.

RAFIZI RAMLI

NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG

AHLI PARLIMEN PANDAN

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=256942:putrajaya-beli-private-jet-baru-untuk-najib&Itemid=2#ixzz3UZ2moHMj
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

Thursday, March 5, 2015

Bagaimana untuk tidak beri alasan yang memburukkan lagi majlis yang gagal

oleh Edgar Ong.

KUCHING: Kejadian yang memalukan dan tidak diduga telah berlaku di acara yang hebat digembar-gemburkan dan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem di sini beberapa hari lalu. Ia adalah majlis untuk menyambut Tahun Baru Cina dan meraikan lawatan rasmi Najib, dan dihoskan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk James Chan.

Malang bagi penganjur, apabila segalanya yang berlaku telah dirakam dalam video berdurasi 1 minit 47 saat oleh seorang hadirin melalui telefon pintarnya.

Seorang pakar “spin” yang bagus akan dapat menjelaskan kejadian malang ini dengan mudah dan bersahaja kepada wartawan keesokan harinya.

Sebaliknya, Datuk Bandar memilih untuk membuat kenyataan dengan menyalahkan tetamu sepenuhnya. Langsung tidak disebut tentang kakitangan Rela yang dibayar untuk menjaga keselamatan.

Daripada apa yang saya lihat dalam video itu, serta berdasarkan cerita saksi mata, sejumlah hadirin yang besar, iaitu kira-kira 4,000-5,000 warga tempatan telah dengan penuh sabar menunggu program itu berakhir. Kesemuanya mula hadir lebih awal, kira-kira jam 6 mengharapkan makanan dan minuman percuma yang dijanjikan penganjur.

Acara bermula kira-kira jam 7 petang dan hanya berakhir pada jam 9 malam. Ketika itu, hadirin yang sudah tidak senang duduk dan lapar dilihat menolak pengawal-pengawal Rela yang membentuk benteng manusia bagi mengawal meja panjang yang penuh dengan makanan yang tersusun tinggi. Tentunya meja plywood lipat dengan kaki yang tidk kukuh sukar menampung makanan yang menimbun tinggi.

Seolah-olah menunggu pistol pemula ditembak, hadirin dilihat menyerbu ke arah meja dan seseorang (boleh jadi pengawal Rela atau tetamu) telah terlanggar bahagian meja yang tidak kukuh itu. Meja itu pun runtuh, menjatuhkan ratusan pek makanan di atasnya.

Ia kemudian menjadi “siapa cepat dia dapat”, dan semua berebut mengambil apa sahaja yang termampu untuk diri sendiri. Sebahagiannya dengan penuh gembira mengambil 5-6 pek, setakat mana yang mereka boleh bawa. Pengawal Rela yang lain dilihat membaling pek makanan itu secara rawak – satu keajaiban apabila ia tidak terkena kanak-kanak atau bayi yang turut ada dalam kerumunan itu.

Dan pada keesokannya, Chan sebagai pengerusi penganjur, terus mengecam individu yang memuatnaik video tersebut di media sosial, kemudian kerumunan di sekitar meja (tanpa menyedari mereka adalah tetamu!) dan akhir sekali mengalihkan kesalahan kepada “seseorang yang terjatuh dan menyebabkan meja runtuh.”

Sambungnya lagi, “klip visual itu telah menyebabkan warga Kuching dilihat sebagai orang yang tidak beradab. Saya tidak fikir mereka ingin berkelakuan sedemikian. Sebagai warga Kuching, anda tidak sepatutnya merosakkan imej bandar anda dengan tunjukkan perkara seperti itu.”

Mereka juga memberi asalan, tujuan makanan tidak diedarkan sehingga jam 9 malam, walaupun ramai yang hadir menjangka akan dapat makan pada jam 6, adalah untuk memastikan hadirin kekal di sana untuk mendengar ucapan tetamu-tetamu kehormat. Nampaknya ia bagi menunjukkan sokongan pengundi tempatan terhadap BN.

Insiden itu juga menunjukkan kegagalan dan kekurangan latihan pengawal Rela yang sepatutnya menjaga keselamatan dan mengedarkan pek-pek makanan secara teratur.

Pengawal-pengawal ini juga mendapat bayaran yang agak baik – pasti ada yang tertanya-tanya sama ada mereka ada menerima latihan atau tidak. Tindakan mengambil makanan yang jatuh ke tanah dan membalingkan secara rawak kepada tetamu juga adalah satu penghinaan yang besar!

Pada masa akan datang, penganjur bagi majlis seumpama ini di mana orang ramai dijemput hadir – terutama apabila ia turut dihadiri tokoh seperti Perdana Menteri dan Ketua Menteri – perlu memastikan bahawa keselamatan dijadikan keutamaan paling atas. Selain itu, atur cara majlis juga haruslah dirancang dengan memikirkan hadirin, bukannya membiarkan insiden malang seperti ini berlaku tahun demi tahun.

<iframe width="560" height="315" src="https://www.youtube.com/embed/Cs8C-MrXsRo" frameborder="0" allowfullscreen></iframe>

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Bagaimana-untuk-tidak-beri-alasan-yang-memburukkan-lagi-majlis-yang-gagal#sthash.JOge2YAP.dpuf

Saturday, February 28, 2015

Saya nasihat Najib saman saya dahulu - Rafizi

HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli menggalakkan lebih ramai pihak mengkritik Datuk Seri Najib Razak dan jangan takut dengan ugutan saman.

Ini, katanya kerana sehingga sekarang Perdana Menteri itu masih belum menyaman sesiapa pun, lebih-lebih lagi pengkritik nombor 1 beliau iaitu Tun Mahathir Mohamad.

"Saya menasihati Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menyaman saya dahulu sebelum mengugut untuk menyaman pihak lain," katanya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Saya terkejut membaca laporan media bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengugut untuk mengambil tindakan saman, kali ini terhadap lidah rasmi PAS iaitu Harakah.

Bukan sahaja saya terkejut kerana kelakuan sebegitu tidak pernah ditunjukkan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini; saya lebih terkejut kerana Datuk Seri Najib Tun Razak belum lagi menyaman saya walaupun pernah mengugut untuk berbuat begitu baru-baru ini.

Pada 4 Disember 2014, saya menerima surat undang-undang dari peguam Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor menuntut saya memberi penjelasan mengenai satu ceramah di Bandar Tun Razak.

Ceramah saya itu mengkritik keputusan menghapuskan subsidi minyak dalam keadaan perbelanjaan kerajaan terus boros dan skandal 1MDB yang menelan dana rakyat.

Saya menjawab surat undang-undang itu pada 9 Disember 2014 dengan menegaskan bahawa isu subsidi dan keborosan perbelanjaan negara adalah isu berkepentingan awam.

Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk terus mengkritik kerajaan atas perbelanjaan yang boros sehingga memotong subsidi minyak untuk rakyat.

Sehingga sekarang saya masih belum mendapat maklumbalas dari Datuk Seri Najib Tun Razak. Saya agak kecewa kerana sebelum itu teruja agar peguam-peguam saya boleh menyoal balas Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah di kandang saksi.

Oleh kerana tiada maklum balas dari Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor setakat ini, rakyat bolehlah beranggapan bahawa kenyataan saya yang mengkritik keborosan kerajaan sehingga pentadbiran beliau terpaksa memotong subsidi itu adalah betul.

Oleh yang demikian, saya menasihati Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menyaman saya dahulu sebelum mengugut untuk menyaman pihak lain.

Saya juga menggalakkan lebih ramai pihak mengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak dan jangan takut dengan ugutan saman kerana sehingga sekarang beliau masih belum menyaman sesiapa pun, lebih-lebih lagi pengkritik nombor 1 beliau iaitu Tun Mahathir Mohamad! - HARAKAHDAILY

Friday, January 23, 2015

Najib mangsa keenam Mahathir, atau seseorang bakal ke penjara kerana rasuah?

23 Januari 2015 oleh LIM KIT SIANG
Adakah Najib bakal menjadi mangsa keenam Mahathir, atau adakah Malaysia bakal mengheret ‘harimau’ atau ‘buaya’ pertamanya ke mahkamah dan ke penjara dalam kempen anti rasuah negara?

Politik Malaysia negara menggelegak dengan berita tergempar baru-baru ini, lantas membangkitkan persoalan sama ada Perdana Menteri Malaysia keenam bakal menjadi mangsa keenam Mahathir, atau adakah Malaysia bakal mengheret ‘harimau’ atau ‘buaya’ pertamanya ke mahkamah dan ke penjara dalam kempen anti rasuah negara?

Sepanjang 45 tahun yang lalu, Perdana Menteri keempat Malaysa Tun Dr Mahathir Mohamad telah memangsakan lima pemimpin politik utama negara, bermula dengan Bapa Malaysia yang juga Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman, dua Timbalan Perdana Menteri yang hampir sahaja menjadi Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan juga Tengku Razaleigh Hamzah, calon perdana menteri sepanjang zaman.

Persoalannya sekarang ialah sama ada Mahathir akan menambah Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak, ke koleksi mangsa-mangsa politiknya di Malaysia.

Namun Najib nampaknya tidak akan berdiam diri, dan timbul persoalan sama ada ‘harimau’ atau ‘buaya’ pertama akan diheret ke mahkamah dan kemudian ke penjara dalam sejarah hambar pembanterasan rasuah di Malaysia.

Baru-baru ini, pentadbiran Najib dan jentera publisitinya telah menguar-uarkan pencapaian anti-rasuah negara, malah mendakwa bahawa kedudukan Malaysia dalam tangga Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International bagi tahun 2014 adalah kedudukan terbaik negara dalam tempoh sepuluh tahun.

Ini tentunya tidak benar.

CPI 2014 adalah yang terbaik dalam tempoh enam tahun Najib menjadi PM, tetapi yang paling buruk jika dibandingkan dengan zaman Tun Abdullah di mana CPI antara tahun 2004 ke 2008 berada antara tangga ke 39 hingga 47; dan lebih buruk dibandingkan dengan sembilan tahun di zaman Mahathir antara 1995 hingga 2003, ketika negara berada di tangga ke 23 pada tahun 1995, dan tempat ke 37 pada tahun 2003.

Jika kita mengkaji tangga dan skor CPI 2014 bagi kesemua 175 negara dan tempoh 20 tahun siri CPI TI sejak 1995 ke 2014, tidak ada sebab untuk sesiapa mempercayai bahawa sasaran Malaysia untuk menduduki tangga 30 teratas dalam CPI 2020 sebagai realistik atau boleh dicapai.

Malah, menjelang 2020, Malaysia berhadapan kemungkinan dipintas China, mahupun Indonesia di kedua-dua skor dan kedudukan CPI, apabila dalam CPI TI pertama pada tahun 1995, Malaysia menduduki tangga ke-23 daripada 41 negara dengan skor 5.28 daripada 10, manakala China dan Indonesia menduduki dua anak tangga paling rendah dengan skor CPI 2.16 dan 1.94 daripada 10, masing-masing. (i.e. berada di kedudukan 90 peratus terendah daripada skor CPI).

Namun dalam masa 20 tahun yang lalu, Malaysia telah mencapai kedudukan sebagai salah satu negara yang telah direndahtarafkan di kedua-dua kedudukan dan skor CPI, dan tewas kepada negara-negara yang dahulunya mempunyai kedudukan dan skor CPI lebih rendah pada tahun 1995, dan kini berpotensi dipintas oleh negara-negara termasuk China dan Indonesia yang dahulunya berada di kedudukan paling bawah CPI TI tahun 1995.

Di Indonesia, Presiden barunya Joko Widodo sedang mengetuai sendiri kempen membanteras korupsi manakala di Cina, meski ia jatuh empat mata dalam skor CPI tahun lalu, kempen membanteras rasuah ‘harimau dan lalat’nya telah menyaksikan penambahbaikan yang cemerlang dalam skor CPI China dalam tempoh dua dekad yang lalu.

Tangkapan dan pendakwaan atas kesalahan rasuah terhadap para ‘harimau’ dan ‘buaya’, tidak kiralah yang berpangkat menteri atau yang setara dengannya, kini menjadi perkara biasa dalam kempen anti-korupsi di Indonesia dan China, tetapi belum pernah ada satu pun ‘harimau’ dan ‘buaya’ yang diheret ke mahkamah dan didakwa dengan jayanya atas kesalahan rasuah di Malaysia dalam tempoh lebih tiga dekad.

Kesemua rakyat Malaysia seharusnya bimbang bahawa melalui trend ini, Malaysia berisiko dipintas Indonesia dan China sebelum CPI tahunan pada tahun 2020, dari segi kedudukan dan skor; kecuali jika Malaysia benar-benar berusaha keras dan memperlihatkan kesungguhannya membanteras rasuah.

Secara tiba-tiba, terlihat kemungkinan bahawa kempen anti rasuah di Malaysia bakal memasuki sebuah era baru.

Adakah kempen pembanterasan rasuah negara di ambang senario baru, dengan para ‘harimau’ dan ‘buaya’ turut diheret ke mahkamah dan penjara, sepertimana China dan Indonesia? – Roketkini.com

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-