Thursday, February 11, 2016

Akan berlaku pertandingan 3 penjuru jika PKR gagal kawal PAN - Pesuruhjaya PAS Pahang

 AIDCNEWS
Ustaz Rosli Abdul Jabar
AIDCNews –Walaupun PAS mempunyai kerjasama politik dengan PKR, namun akan tetap berlaku pertandingan tiga penjuru sekiranya parti Keadilan itu gagal mengawal kerusi yang dipertandingkan Parti Amanah Negara (PAN) pada Pilihan Raya ke-14 (PRU 14), kata Ustaz Rosli Abdul Jabar, Pesuruhjaya PAS Pahang.

Menurutnya, walaupun PKR berbincang dengan PAS agar tidak berlaku pertandingan tiga penjuru, namun PKR yang berada dalam Pakatan Harapan (PH) perlu juga mengawal PAN agar tidak bertanding di kawasan PAS.

Tambahnya, sekiranya PAN bertanding di kawasan PAS, maka kerjasama politik dengan PKR sudah tidak mempunyai apa-apa erti dan berkemungkinan besar PAS pula akan bertanding di kawasan PKR.

“PKR ni dia (termasuk dalam) Pakatan Harapan iaitu PAN, PKR dan DAP.

“Kita (PAS) Pakatan Rakyat sahaja iaitu kita dan PKR. PKR jadi orang tengah.

“Kalau sekiranya, PAN bertanding di (DUN) Inderapura dan (DUN) Tanjung Lumpur, kita akan bertanding di Parlimen Kuantan,”kata Ustaz Rosli yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur.

Parlimen Kuantan, Pahang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya, iaitu Tanjung Lumpur, Inderapura dan Teruntum

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13), PAS menghantar calon di DUN Tanjung Lumpur (Rosli Abdul Jabar/menang) dan DUN Inderapura (Syed Mohamad Anis Syed Hussein/kalah).

Manakala DUN Teruntum diwakili oleh calon PKR, Sim Chon Siang (menang) dan Parlimen Kuantan pula diwakili calon PKR, Fuziah Salleh (menang).

Ustaz Rosli turut menjelaskan rasional PAS meletakkan calon di Parlimen Kuantan yang sebelum ini ditandingi PKR.

“Sebab apa kita bertanding di Parlimen Kuantan ? Sebab awak PKR, sepatutnya awak jaga rakan gabungan awak (PAN), jangan sampai berlaku (pertandingan) tiga penjuru dalam kerusi PAS.

“Kalau tidak sedaplah (kepada PKR), kita tiga penjuru (PAS, PAN dan BN), dia (PKR) dua penjuru (PKR dan BN). Sedap sebelah dia (PKR). Jadi, kita tak akan beri peluang.

“Kalau dia (PAN) bertanding di (DUN) Inderapura atau Tanjung Lumpur, PAS akan bertanding di Parlimen Kuantan. Nak kacau, biar kacau semua.

“Itu keputusan yang kita buat. Kena bersedia. Bukan masalah nak berkelahi, (tetapi) kalau nak jaga biar sama-sama jaga. Kalau tak boleh nak jaga, biar tak jaga semua. Saya percaya, tuan-tuan pun suka..,”katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-