Friday, February 5, 2016

YA1M anjur konsert penghormatan SM Salim

'Tribute To Living Legend - Tan Sri SM Salim' itu mendapat pengesahan penyertaan 18 penyanyi antaranya Datuk M.Nasir, Datuk Jamal Abdillah dan Noraniza Idris. Foto Youtube
SERDANG, 4 Februari:

Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) akan menganjurkan konsert penghormatan kepada penyanyi legenda Tan Sri SM Salim pada Mac ini.

Pengerusinya Datuk Irwan Shah Abdullah yang juga dikenali sebagai DJ Dave berkata, konsert yang diberi nama ‘Tribute To Living Legend – Tan Sri SM Salim’ itu mendapat pengesahan penyertaan 18 penyanyi antaranya Datuk M.Nasir, Datuk Jamal Abdillah dan Noraniza Idris.

“Hasrat untuk menganjurkan konsert tersebut telah lama dirancang YA1M namun terpaksa ditangguhkan beberapa kali kerana sukar mendapat pengesahan penyertaan penyanyi lain,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian sumbangan YA1M sempena Tahun Baru Cina 2016, di sini hari ini.

Menurut DJ Dave, konsert itu merupakan kolaborasi bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan pelancarannya dijangka diumumkan pertengahan bulan ini.

“Tan Sri SM Salim tidak akan menyanyi pada konsert itu sebaliknya kami mahu beliau duduk menyaksikan dan menikmati lagu-lagu popular yang pernah dinyanyikannya dahulu,” kata penyanyi malar hijau itu.

SM Salim atau nama sebenarnya Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros, 86, merupakan penyanyi yang banyak memartabatkan lagu-lagu Melayu klasik dan tradisional bagi memastikan genre muzik itu tidak pupus dalam ingatan penggiat
muzik, khususnya generasi muda.

Antara lagu-lagu emasnya seperti Kenang Daku Dalam Doamu, Pasir Roboh, Selamat Tinggal Bungaku, Cincin Berlian Tanda Pertunangan, Seri Siantan dan Pandang-Pandang Jeling-Jeling.

Pada majlis itu YA1M menyerahkan sumbangan bernilai RM40,000 kepada 20 artis veteran tempatan berusia 60 tahun ke atas sempena Tahun Baru Cina bertujuan menghargai dan meringankan beban mereka yang sudah tidak mampu bekerja.

“YA1M setakat ini telah membantu lebih 700 artis sepanjang tiga tahun penubuhan dan akan terus memperjuangkan kebajikan para penggiat seni negara,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/buzz/2016/02/04/ya1m-anjur-konsert-penghormatan-sm-salim/#ixzz3zDPi8VKt

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-