Tuesday, August 9, 2016

Parti Pribumi Bersatu Malaysia mahu selamatkan negara - Muhyiddin

OLEH MANZAIDI MOHD AMIN
Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media sebaik keluar dari Pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia selepas menghantar permohonan untuk mendaftar parti baru di Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 08 OGOS 2016
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dicadangkan dilantik sebagai pengerusi bagi parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perkara itu dijelaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai jawatankuasa penaja penubuhan parti berkenaan.

Menurut beliau, matlamat perjuangan Bersatu ialah memperkukuhkan institusi demokrasi dan memperkasakan agenda untuk memerangi rasuah serta salahguna kuasa bagi mewujudkan amalan tadbir urus yang baik.

Katanya, parti baharu itu juga bermatlamat memperjuangkan keadilan sosial, mengagihkan kekayaan negara secara adil dan saksama, membela kebajikan rakyat serta membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan agama.

“Kita juga akan memperjuangkan hak untuk mendapatkan pendidikan berkualiti bagi semua rakyat, selain memupuk perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum serta agama.

“Kita akan berusaha untuk mewujudkan penyatuan seluruh rakyat Malaysia bagi satu tujuan, antaranya ialah menyelamatkan negara Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan dokumen permohonan pendaftaran parti baharu di Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di Putrajaya.

Menurut Muhyiddin, Bersatu akan menjalinkan hubungan kerjasama dengan mana-mana parti politik dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai prinsip serta matlamat perjuangan yang sama.

Jelas beliau, Bersatu adalah parti untuk seluruh rakyat Malaysia, bukan di peringat negeri sahaja.

Mengenai dakwaan parti baharu ini boleh memecah belahkan perpaduan orang Melayu, Muhyiddin berkata, itu dakwaan daripada mereka yang takut dan gusar dengan penubuhan Bersatu.

“Malaysia mengamalkan demokrasi, rakyat mempunyai pilihan untuk memberi sokongan atau tidak kepada mana-mana parti politik yang ada.

“Tidak semestinya (penubuhan parti baharu) menyebabkan perpecahan atau pun perbalahan. Kita tubuh pun untuk membentuk sebuah negara yang adil, maju dan saksama,” ujarnya.

Ditanya adakah beliau mendapatkan pandangan daripada parti pembangkang dalam Pakatan Harapan untuk menubuhkan Bersatu, Muhyiddin berkata, secara tidak rasmi, beliau dan rakan-rakan ada meminta pandangan dari pelbagai pihak.

“Parti ini tidak tercetus dari pandangan kami sahaja. Ia adalah berdasarkan kepada perbincangan, pandangan termasuk beberapa parti politik yang bagi saya agak positif dan menggalakkan.

“Kita harap selepas parti baharu ini didaftarkan secara sah, bolehlah kita adakan perbincangan lanjut untuk mewujudkan kerjasama politik yang agak mampan.

“Cara ini kita dapat sama-sama berjuang untuk mencapai matlamat kita menyelamatkan negara,” katanya.

Menjawab pertanyaan wartawan, bekas Timbalan Presiden UMNO itu menjelaskan, pihaknya tidak mengharapkan sokongan dalam UMNO kerana mereka adalah ahli parti itu.

“Saya faham dan tahu, sebagai bekas UMNO, boleh dikatakan ramai dalam kalangan mereka yang saya kenali itu, kedudukan dan perasaannya agak tidak menggalakkan dengan kepimpinan yang ada.

“Tetapi mereka tidak bersedia untuk menyatakan (mahu meninggalkan UMNO) secara terbuka. Bagaimanapun, kita sudah mengadakan satu ruang baharu, yang bukan sahaja untuk ahli UMNO, tetapi sesiapa sahaja yang mempunyai matlamat untuk bersama dengan kita,” tegasnya.

Ditanya, adakah Bersatu akan menjalin hubungan dengan pakatan harapan, kKatanya, pihaknya berharapkan begitu.

“Kita harap begitu, sebab bagi saya kemungkinannya kita tidak mampu untuk berjuang bersendirian hanya sebagai sebuah pertubuhan parti politik yang baharu. Kita perlu menjalin hubungan yang agak rapat dengan parti lain,” katanya.

Mengenai struktur Bersatu, Muhyiddin memberitahu, struktur yang dicadangkan mempunyai jawatan pengerusi dan orang paling layak ialah Tun Mahathir.

Katanya, itu yang dicadangkan dan Tun Mahathir sendiri mempunyai hasrat dan minat untuk membantu apa sahaja yang akan diperjuangkan parti baharu itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-