Showing posts with label Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Show all posts
Showing posts with label Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Show all posts

Tuesday, January 29, 2019

Calon BERSATU tanding PRK Semenyih - Amirudin

BERITA»Politik
Selasa, 29 Januari 2019 | 6:34pm
Oleh Dawn Chan
cnews@nstp.com.my
PENGERUSI PH Selangor, Amirudin Shari hadir pada perhimpunan bulanan kerajaan negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, hari ini. 
- Foto Faiz Anuar

SHAH ALAM:  Pakatan Harapan (PH) Selangor tetap dengan pendiriannya bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih pada 2 Mac ini, walaupun ada gesaan supaya PKR meletakkan calon parti itu.

Pengerusi PH Selangor, Amirudin Shari, berkata mereka tetap dengan keputusan yang dibuat pada peringkat negeri minggu lalu bahawa BERSATU patut meletakkan calon, kerana ia sebagai penyandang kerusi.

“Keputusan kami ‘status quo’ walaupun ada gesaan daripada akar umbi supaya PKR bertanding di kerusi itu. Cadangan seperti ini memang biasa tetapi ketika ini bukan masanya untuk bercakap mengenai parti mana yang patut bertanding tetapi kita perlu mula bekerja untuk memastikan kejayaan PH di Semenyih.

“Saya serahkan kepada kepemimpinan tertinggi untuk membuat keputusan kerana ini membabitkan Majlis Presiden PH. Kami bersedia jika berlaku sebarang perubahan pada dasar di peringkat nasional membabitkan parti mana yang patut bertanding dan perkara lain.

“Dalam mesyuarat itu, kami memberi sokongan penuh kepada BERSATU untuk memastikan PH mengekalkan pencapaian cemerlangnya dalam PRK di Semenyih,” katanya hari ini.

Amirudin, yang juga Menteri Besar Selangor berkata demikian selepas perhimpunan bulanan kerajaan negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan PKR pusat, berkata satu taklimat akan diadakan dengan parti komponen PH untuk menyediakan jentera kempen PRK.

Pada Jumaat lalu, Pengerusi BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari, dilaporkan mengesahkan bahawa parti itu akan bertanding di PRK Semenyih dan ia sudah mengenal pasti lima calon berpotensi.

Beliau berkata, nama berkenaan sudah diusulkan kepada ibu pejabat BERSATU dan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan mesyuarat untuk membuat keputusan mengenai calon.

Kerusi DUN Semenyih kosong selepas kematian wakil rakyatnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu di Hospital Kajang.

Bakhtiar mengalahkan wakil rakyat dua penggal di kawasan itu, Datuk Johan Abd Aziz daripada Barisan Nasional dengan 23,428 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14, 9 Mei lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun sebelum ini mengumumkan PRK Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari ini, manakala tarikh pengundian awal pada 26 Februari.

Sunday, December 30, 2018

Mahathir: 'Saya tidak akan jadi PM hingga PRU15'

Diterbitkan pada 30 December 2018

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kemenangan pada PRU14 hanya boleh dicapai dengan gabungan parti-parti lain
Foto oleh Ahmad Zamzahuri

PUTRAJAYA, 30 Dis — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau perlu memegang kepada janji untuk menjadi perdana menteri sementara di sebalik desakan agar beliau terus memegang jawatan itu sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Dalam ucapan penangguhannya pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini hari ini, Pengerusi Bersatu itu menjelaskan bahawa matlamat pembangkang sebelum PRU14 lalu ialah menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak, dan ini tidak boleh dilakukan semata-mata dengan sokongan pengundi Melayu.

“Satu ketika dahulu kita adalah pembangkang, kita menubuhkan sebuah parti dan kita harap parti itu akan dapat sokongan orang Melayu.Tetapi kalau kita dapat sokongan orang Melayu sahaja tanpa parti lain, saya tak yakin kita boleh dapat kemenangan,” katanya.

Menurutnya, kemenangan pada PRU itu hanya boleh dicapai dengan gabungan parti-parti lain.

“Kita telah berunding dengan rakan-rakan kita dan satu daripada syarat yang dikenakan ialah perdana menteri dan bekas musuh ketat mereka ini jadi perdana menteri buat sementara sahaja.

“Tetapi yang lebih utama ketika itu ialah menjatuhkan Najib. Untuk ini kita perlu korban, saya perlu korban dan terima syarat itu kerana yang utama bukan jadi perdana menteri tetapi menjatuhkan Najib,” katanya.

Tentang ini, Dr Mahathir berkata orang berhak menyatakan pandangan mereka.

Perdana menteri berkata perkara itu tidak dibincangkan dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bila mereka bertemu pada jamuan malam. Beliau tidak menyatakan bila berlangsungnya jamuan dengan Anwar, yang beliau sifatkan sebagai bakal perdana menteri itu.

“Saya kira beliau rasa selesa bila beliau akan menggantikan saya mungkin dalam dua tahun, saya tak pasti saya tidak akan menjadi perdana menteri sehingga pilihan raya akan datang,” kata Dr Mahathir.

Ditanya tentang penilaian beliau terhadap kerajaan PH yang beliau pimpin sekarang, Dr Mahathir berkata ia cukup stabil.

“Setakat yang saya lihat, kami cukup stabil. Para pelabur amat puas hati dengan prestasi kami, begitu juga jaminan kami untuk domestik dan luar (pelabur),” kata beliau.

“Memang kami tidak stabil dari pandangan wartawan sebab kalau kami stabil, maka tidak ada apa yang dapat dilaporkan,” katanya berseloroh. 

Bernama

'Kita sertai Bersatu bukan kerana jawatan'

M Fakhrull Halim & Lu Wei Hoong
Diterbitkan Hari ini 8:23 pagi


Anggota Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin meminta ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar tidak risau dengan kemasukannya ke dalam parti itu.

Kata bekas ketua Puteri Umno itu, penghijrahan beramai-ramai wakil rakyat Umno ke Bersatu bukan disebabkan oleh jawatan dan pangkat semata-mata.

“Saya harap mereka tak ada tanggapan salah kemasukan ahli-ahli baru (dari Umno) ini kerana ramai juga seperti saya, kita bukan hendakkan jawatan atau pangkat.

“Jauh lebih penting, agar suara Melayu dapat didengari.

“Dan saya sendiri secara peribadi, dapat berkhidmat dengan lebih baik untuk kawasan saya dalam parlimen,” katanya selepas sesi ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad bahawa bekas ahli Umno yang menyertai Bersatu selepas pilihan raya umum (PRU) lalu tidak dibenarkan memegang jawatan sehingga PRU ke-15.

Mas diterima untuk menyertai Bersatu secara rasmi pada 21 Dis lalu setelah mengumumkan permohonan menyertai Bersatu pada 13 Dis.

Sementara itu, Anggota Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali turut berkongsi pandangan sama apabila menyifatkan larangan tersebut sebagai ujian keikhlasan buat bekas ahli Umno sepertinya.

Seperti Mas, Noor Azmi berkata beliau tidak menyertai Bersatu demi mendapatkan kedudukan.

Bagaimanapun, katanya, pengecualian mungkin boleh dipertimbangkan apabila melibatkan bekas pemimpin Umno yang berbakat dan terbukti bersih.

“Tetapi bergantung juga, contohnya jika ada bekas ahli Umno yang disiasat dan mereka didapati bersih, dan mereka ini berpengalaman dan senior.

“Jika mereka di dalam Bersatu, ia boleh memberi kebaikan kepada orang Melayu. Kenapa tidak? Jika ia dipersetujui oleh kepimpinan parti,” katanya.

Noor Azmi dan Mas merupakan dua daripada tiga bekas ahli Umno yang diterima memasuki Bersatu selain Anggota Parlimen Jeli Mustapha Mohamed.

Ketiga-tiganya dilihat hadir perhimpunan semalam.

Acara perbarisan dahului hari terakhir PAT Bersatu 2018

Bernama
30 Dec 2018, 9:18 am 
(Dikemaskini 30 Dec 2018, 10:40 am)

Acara perbarisan dahului hari terakhir PAT Bersatu 2018

Hari terakhir Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kali kedua, dimulakan dengan acara perbarisan oleh anggota parti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Pengerusi Bersatu, tiba pada pukul 8.25 pagi dan disambut oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama Timbalannya Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Dr Mahathir kemudiannya memeriksa perbarisan yang diketuai oleh Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin beserta 100 anggota Bersatu serta sayap Armada dan Srikandi.

Majlis diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku diikuti dengan lagu Bersatu “Perjuangan Kita”.

Selesai acara berkenaan, Dr Mahathir menuju ke Dewan Plenari PICC bagi menyaksikan sesi perbahasan PAT Bersatu.

- Bernama

Ucapan Tun M mesej untuk UMNO

BERITA»PolitikAhad, 30 Disember 2018 | 12:15am
Oleh Wartawan NSTP
cnews@nstp.com.my

TIMBALAN Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (dua dari kanan) mengiringi Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Kali Kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di PICC. 
- Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR

PUTRAJAYA:  Ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Kali Kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) oleh Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah mesej penting bagi menjelaskan apa yang perlu difahami orang UMNO.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata Perdana Menteri menyatakan dengan jelas bahawa BERSATU kini mengambil alih peranan yang dimainkan UMNO.

"Kami dulu pun dari kilang UMNO juga dan apabila kita berpegang kepada alif, ba, ta iaitu agama, bangsa dan tanah air, kemudian dikhianati oleh UMNO itu sendiri.

"Apabila BERSATU melalui ucapan dasar Pengerusi mengambil alih peranan itu, kita rasa secara automatik ahli UMNO sepatutnya melihat BERSATU sebagai wadah perjuangan baharu yang mengambil alih peranan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mendengar ucapan dasar Pengerusi BERSATU pada PAT Kali Kedua BERSATU di sini, malam ini.

Dr Mahathir dalam ucapannya menjelaskan jika bekas ahli UMNO diterima masuk dalam BERSATU, mereka tidak dibenarkan memegang jawatan dalam parti sehingga PRU-15.

Sementara itu, Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun, berkata gesaan dibuat Dr Mahathir berhubung kepentingan keusahawanan dalam kalangan wanita adalah selari dengan perjuangan dan fokus Srikandi selama ini khususnya dalam meningkatkan penguasaan wanita dalam perniagaan.

"Kami sangat nanti-nantikan ucapan Tun ini," katanya.

Dr Mahathir dalam ucapan dasarnya turut berkata, kerajaan akan menambah modal, peluang, lesen dan kontrak kepada kaum wanita di kampung termasuk memperbesarkan peranan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Abdul Rahman, berkata ucapan Dr Mahathir bukan saja memberi harapan baharu kepada orang Melayu tetapi turut mengulas beberapa isu dasar.

“Antaranya mengenai pemerkasaan AIM sebagai jalan memperkasakan wanita serta rancangan untuk memastikan lebih banyak anak muda mendapat peluang pekerjaan yang bagus seperti latihan yang secukupnya dan akhirnya kekosongan peluang pekerjaan dapat diisi dengan baik," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata, mesej disampaikan Dr Mahathir Mohamad tidak berbaur perkauman.

Akramsyah berkata, mesej mengenai perjuangan parti itu untuk memastikan orang Melayu dan Bumiputera berjaya, adalah bersandarkan pada realiti ketidakseimbangan agihan ekonomi di negara ini.

"Kita perlu tumpu realiti dan ketengahkan isu sebenar, iaitu orang Melayu masih miskin dan terkebelakang daripada segi ekonomi.

"Kalau dikatakan populasi orang Melayu di Malaysia ketika ini adalah 60 hingga 70 peratus, nilai ekonomi negara seharusnya 60 hingga 70 peratus berada pada orang Melayu dan Bumiputera, tapi ia tidak berlaku.

"Realitinya kita tahu ketidakseimbangan daripada agihan ekonomi ini membawa perasaan tidak selamat kepada orang Melayu," katanya.

Pengerusi BERSATU Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata ucapan Dr Mahathir ikhlas dan berterus terang untuk mengajak kaum Melayu menjadi kaum yang berjaya dan dihormati.

"Melayu perlu berhenti daripada menuding jari kepada mana-mana pihak selain daripada melihat kelemahan sendiri dan berusaha memperbaiki segala kelemahan," katanya.

Bekas ahli UMNO yang juga ahli baru BERSATU, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Dr Mahathir berpesan kepada ahli BERSATU supaya tidak risau mengenai kemasukan bekas ahli UMNO dalam parti berkenaan.

"Saya harap mereka (ahli BERSATU) tiada tanggapan salah mengenai kemasukan itu kerana kami tidak inginkan jawatan dan pangkat.

"Saya juga bersedia memberi nasihat dan berkongsi pengalaman dengan ahli BERSATU dan bukannya sebagai saingan kepada mereka. Saya jelaskan saya adalah ahli biasa dalam parti ini," katanya.

Saturday, December 29, 2018

Bersatu akan lindungi kepentingan Melayu - Dr Mahathir

Diterbitkan Hari ini 7:24 pagi


Kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai parti Melayu adalah kerana orang Melayu di negara ini masih percaya mereka memerlukan parti Melayu untuk melindungi mereka dan kepentingan masyarakat itu, kata Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Mereka (orang Melayu) mahu seseorang untuk melindungi mereka..dan mereka percaya bahawa hanya orang Melayu boleh melindungi mereka, jadi mereka mahukan parti ini. Sekiranya kita (Bersatu) tidak memenuhi hasrat mereka, kita (Pakatan Harapan) tidak akan mendapat sokongan mereka dan kita akan sentiasa kalah,” kata Dr Mahathir dalam temu bual dengan organisasi-organisasi media terpilih di pejabatnya di Putrajaya.

Perdana menteri berkata jika beliau dan beberapa bekas pemimpin Umno tidak menubuhkan Bersatu dan tidak menekankan bahawa Bersatu juga merupakan parti Melayu, beliau pasti bahawa dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Barisan Nasional (BN) dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib azak tentu telah memenangi pilihan raya.

“ Ya, seperti Pilihan Raya Umum ke-13, undi majoriti atau popular (dalam PRU14) memihak kepada pembangkang tetapi disebabkan struktur kawasan pilihan raya, BN masih memenangi pilihan raya dan seterusnya membentuk kerajaan..tetapi mereka membentuk kerajaan pencuri yang tidak cekap, kleptokrasi,” kata Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan.

Ketika ditanya sama ada Bersatu boleh mengumpulkan kekuatan seperti Umno untuk meraih undi Melayu, Dr Mahathir berkata orang Melayu sentiasa mahukan parti yang kuat kerana Umno sekarang lemah selepas mengalami kekalahan dalam PRU lepas dan ramai anggota parlimen dan pemimpinnya telah meninggalkan parti dan merancang untuk keluar Umno.

“Bersatu adalah parti Melayu. Yang lain (parti komponen lain dalam PH) semuanya adalah parti berbilang kaum. Mereka (orang Melayu) mahu menyertai Bersatu. Jika mereka tidak menyertai Bersatu, maka ke mana mereka akan pergi. Mereka tidak boleh bersama Umnp..Umno telah berakhir.

“Orang Melayu takut, mereka berasa terancam. Mereka berpendapat jika jumlah mereka kecil, mereka tidak boleh mendapat apa-apa berdasarkan kesamaan dan layanan sama rata di negara ini. Mereka mencari parti. Mereka (orang Melayu yang memilih parti Melayu) tidak boleh menyertai Keadilan (PKR) kerana mereka tidak menerima parti berbilang kaum, mereka tidak boleh menerima Amanah, juga parti berbilang kaum, dan sudah pasti mereka tidak boleh menyertai DAP. Jadi apakah pilihan mereka,” kata beliau.

Ketika ditanya mengenai semakin ramai terutama pemimpin dan bekas pemimpin Umno mahu menyertai Bersatu, Dr Mahathir berkata Bersatu adalah parti Melayu dan Bumiputera dan sesiapa sahaja Melayu Bumiputera boleh menjadi anggota Bersatu.

“Tetapi ada syaratnya..dia kena orang yang “subscribe” kepada ideologi kita iaitu nak parti yang bersih dan tidak terlibat rasuah, serta akan dedikasikan kerjanya kepada rakyat dan negara. Itu tujuan kita, sesiapa yang pegang prinsip-prinsip itu kita boleh terima. Kalau nak parti Melayu, Bersatu je ada. Kalau bersatu tak baik bagi baiklah..masuk jadi baik,” katanya.

Beliau berkata pada PRU yang lepas, Bersatu tidak memunjukkan prestasi yang baik dan hanya menang 13 kerusi parlimen kerana parti itu telah dibatalkan pendaftaran oleh kerajaan terdahulu.

"Kita bertanding menggunakan simbol, bendera parti Keadilan. Jadi kita kalah banyak kerusi. Di Kedah, misalnya kita sepatutnya memenangi banyak kerusi tetapi tidak. Selain kawasan yang saya bertanding iaitu di Langkawi dan anak saya Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz) bertanding. Kawasan yang lain tidak pasti siapa yang bertanding.

"Tetapi kita sekarang adalah parti yang berdaftar. Kita boleh menunjukkan bendera kita, kita bleh menunjukkan simbol kita tetapi apabila bertanding kita akan bertanding di bawah PH dan PH sekarang mempunyai simbolnya sendiri. Tidak lagi seperti PH dalam PRU14 apabila kita terpaksa menggunakan simbol dan bendera Keadilan kerana PH tidak dapat didaftarkan, " katanya.

Mengenai prestasi oleh anggota kabinet dari Bersatu, Dr Mahathir berkata walaupun parti itu memenangi hanya 13 kerusi tetapi dalam kabinet, mereka mempunyai bilangan anggota yang sama dengan parti-parti yang lain.

"Kita mempunyai enam anggota dalam kabinet seperti parti-parti lain. Mereka masih baharu, ramai daripada mereka datang berjumpa dengan saya untuk meminta nasihat. Kadang-kadang mereka sangat teruja, mereka membuat kenyataan yang tidak baik untuk mereka atau parti. Tetapi anda tidak boleh mengharap bahawa orang yang masih baharu menjadi pakar pada hari pertama mereka mengambil alih jawatan. Sesetengah daripada mereka membuat kesilapan tetapi kita boleh membetulkan kesilapan, " kata beliau.

Mengenai golongan muda dalam parti itu, Dr Mahathir berkata parti itu memberi tempat kepada orang muda kerana percaya golongan muda juga berkaliber untuk bersama-sama memimpin negara.

“ Tak pernah dalam sejarah Malaysia orang umur 25 tahun jadi menteri. Itu penghargaan kita. Wanita pun macam itu, ada empat menteri wanita (dalam kerajaan sekarang). Tak pernah jadi dalam sejarah Malaysia. Orang muda ada tempat dalam parti kita lebih daripada (parti) dahulu. Kita percaya parti ini akan dipengaruhi oleh minda muda dan mereka ambil alih daripada pimpinan sekarang,” katanya.

Mengenai perhimpunan agung tahunan (PAT) kedua parti itu yang bermula semalam hingga Ahad, Dr Mahathir berkata pentadbiran parti itu masih belum tersusun sepenuhnya kerana pemimpin-pemimpin parti Bersatu sekarang dan yang akan hadir sewaktu PAT adalah yang dilantik sewaktu penubuhan parti (penaja).

“ Kita akan tukar perlembagaan supaya kita boleh tubuh cawangan dan bahagian supaya pemimpin cawangan dan bahagian dipilih ahli. Ada juga cadangan setiap ahli pilih pemimpin secara terbuka (one member one vote), tetapi kita dapati sistem itu terbuka kepada macam-macam masalah. Kerana itu kita terbuka kepada perlembagaan yang lebih sesuai dengan parti. Saya berpendapat bahawa ‘one member one vote’ susah sikit,” katanya.

Perhimpunan agung tahunan itu bermula malam tadi dengan majlis perasmian persidangan sayap Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan hari ini kedua-dua sayap bersidang. Malam ini, perasmian Perhimpunan Agung Bersatu akan disempurnakan oleh Dr Mahathir dengan persidangannya esok.

Kira-kira 3,000 perwakilan dijangka menghadiri perhimpunan agung tiga hari itu melibatkan 135 bahagian di seluruh negara, termasuk wakil daripada 98 sayap Srikandi dan 115 Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

- Bernama

Monday, December 24, 2018

Sokongan kepada Tun M dan BERSATU makin kukuh

Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@nstp.com.my

ABU Bakar Yahya (enam dari kiri) menyerahkan borang keahlian BERSATU kepada Pengerusi Pertubuhan Kinabalu Bersatu, Adzmi KK Juatan (lima dari kanan) di Dewan Kamunting Taman Sri Muda, Shah Alam. - Foto INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA

SHAH ALAM:  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yakin sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti itu semakin kukuh dan meningkat di seluruh negara.

Ia berikutan penambahan ribuan ahli baharu terutama membabitkan kaum Melayu dan Bumiputera, termasuk anak Sabah yang menetap di Semenanjung.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Abu Bakar Yahya, berkata pihaknya mengalu-alukan penyertaan ahli baharu dan yakin jumlah itu akan meningkat tahun depan.

“Kita (BERSATU) parti baharu dan mungkin ada orang mahu masuk (menjadi ahli), namun tidak begitu tahu cara untuk mendaftar atau mempunyai sekatan tertentu.

“Mereka menyertai kita kerana mahu terus membantu Tun M memulihkan negara terutama ekonomi dan masa depan rakyat.

“Justeru, saya menyeru mereka yang mahu menyertai kita supaya menghubungi mana-mana pejabat BERSATU untuk pendaftaran lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jalinan Silaturahim Anak-Anak Sabah Kembali Ke Sekolah dan Penyerahan Borang Keahlian BERSATU di Dewan Kamunting, Seksyen 25, di sini, petang tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Kinabalu Bersatu (PKB), Adzmi KK Juatan.

Pada majlis anjuran PKB itu, seramai 2,000 ahli yang juga anak Sabah menyerahkan borang keahlian menyertai BERSATU.

Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata, pengesahan keahlian bagaimanapun perlu dibawa ke mesyuarat terlebih dulu untuk dipertimbangkan sebelum pendaftaran itu diluluskan.

Sementara itu, Adzmi berkata, pihaknya akan menjalankan jelajah di negeri lain untuk menarik lebih banyak keahlian membabitkan anak Sabah yang menetap di Semenanjung.

“Kita setakat ini turut menerima 2,000 lagi permohonan ahli baharu yang ingin menyertai BERSATU, namun ia masih sedang diproses,” katanya.

PKB yang diwujudkan sejak tiga bulan lalu bertujuan membantu kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak di sekitar Lembah Klang dalam pelbagai aspek, termasuk pendidikan dan pekerjaan, selain membabitkan mereka secara aktif dalam pelbagai aktiviti berpersatuan.

Wednesday, December 19, 2018

Ahli Parlimen UMNO dianggap sampah, bernilai bagi BERSATU

Oleh Fahmy Azril Rosli
cnews@nstp.com.my

DR Asyraf Wajdi Dusuki. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen UMNO yang dianggap sampah oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebenarnya menjadi aset paling berharga buat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sebenarnya BERSATU begitu terdesak merekrut Ahli Parlimen UMNO untuk menyertai parti itu sehingga sanggup menerima individu yang pernah dilabel sampah oleh pemimpin PH.

Beliau berkata, kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Ahli Parlimen UMNO akan menguatkan BERSATU membuktikan bahawa BERSATU terutama pemimpinnya gagal mengukuhkan cengkaman parti itu meskipun sudah bergelar kerajaan.

“Malah, yang sebaliknya berlaku untuk BERSATU termasuk usaha membuka cawangan di negeri termasuk di luar bandar. Kegagalan ini begitu nyata sekali di Sarawak apabila parti itu semakin tidak diterima hinggakan majlis perasmian di negeri itu hanya 30 peratus yang memenuhi dewan perasmian.

“Saya rasa Dr Mahathir selepas pilihan raya, beliau ingat dengan perubahan kerajaan... BERSATU boleh bertapak dengan lebih kukuh. Hakikatnya, beliau amat memerlukan Ahli Parlimen UMNO dengan menggunakan jalan pintas.

“Ia termasuklah menggunakan cara yang beliau cuba buat dengan menekan dan memujuk Ahli Parlimen UMNO walaupun beliau sendiri menyatakan tidak akan terima Ahli Parlimen UMNO yang pernah dianggap sebagai sampah dan tidak ada apa-apa nilai,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU sebelum ini, mendakwa kemasukan bekas Ahli Parlimen UMNO dalam parti itu akan mengukuhkan lagi kedudukannya di kawasan luar bandar.

Dr Mahathir juga percaya Ahli Parlimen berkenaan mempunyai sokongan yang kuat dalam kalangan akar umbi di kawasan luar bandar yang sudah tentu memberi kelebihan dalam meraih sokongan undi Melayu.

Menurut Dr Mahathir, apabila BERSATU mendapat tempat di hati orang Melayu, maka parti akan menjadi lebih kuat dan ia akan mengukuhkan kedudukan Pakatan Harapan (PH) di kawasan berkenaan.

UMNO Langkawi terkubur esok?

Oleh Petah Wazzan Iskandar
Wazzan@nstp.com.my

ALOR SETAR: Lebih 100 ahli termasuk kepemimpinan kanan UMNO Langkawi dijangka umum keluar parti, esok, sekali gus menyaksikan Bahagian terbabit mungkin menjadi yang pertama dibubarkan di negara ini.

Sumber berkata, tindakan keluar parti beberapa pemimpin kanan Bahagian termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri menyebabkan keadaan kecoh pada peringkat UMNO Kedah dan Pusat apabila Langkawi disifatkan lubuk kekuatan UMNO.

Beliau berkata, pihaknya juga terkejut kumpulan terbabit akan diketuai bekas EXCO negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, yang disifatkan pemimpin dihormati di kawasan terbabit.

“Tindakan keluar parti ini turut mendapat tentangan bekas Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, dikatakan musuh politik Tun Dr Mahathir Mohamad, yang terus mempertahankan kepemimpinan UMNO.

“Keputusan terbabit gagal dibendung kerana Mohd Rawi dan kepemimpinan sedia ada melihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) lebih dilihat melindungi orang Melayu dan Islam berbanding UMNO yang kini sudah tersasar perjuangan, dibelenggu masalah integriti dalam kalangan pemimpin dalam UMNO.

“Alasan terbabit menjadi asas kukuh kepada lebih 100 ahli UMNO Langkawi keluar parti, yang mana pemimpin UMNO Kedah tidak mampu memujuk mereka supaya terus kekal dalam UMNO,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kumpulan diketuai Mohd Rawi mahu mengadakan sidang media berhubung mahu keluar parti di sini esok, yang diedarkan kepada pengamal media di Kedah.

Minggu lalu, enam Ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta termasuk Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor); Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Sebelum itu, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor, bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.

Saturday, December 15, 2018

Mat Hasan: Saya tak cakap nak keluar Umno

Dikemaskini 15 Dis 2018, 12:59 tengah malam


Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mengesahkan pertemuannya dan beberapa pemimpin kanan Umno yang lain dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut membincangkan hasrat meninggalkan parti mereka seperti didakwa pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu hari ini.

“Saya tak nafikan perbincangan itu, tetapi berbagai topik (lain), khususnya tentang kelangsungan Melayu dan Islam,” katanya seperti dilapor FMT.

Bagaimanapun, Mohamad menegaskan bahawa beliau tidak akan keluar Umno.

“Saya tidak pernah cakap (keluar Umno). Saya tidak akan keluar Umno, saya tetap dengan Umno," katanya dipetik sebagai berkata.

Tambah Mohamad lagi, pertemuannya dengan Mahathir turut menyentuh penyatuan Umno dan Bersatu.

“Macam-macam kita bincangkan. Boleh jadi kita bincangkan penyatuan, tentang penyatuan antara Bersatu dan Umno,” katanya.

Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan semalam dipetik BH Online sebagai berkata pertemuan tersebut diadakan untuk membincangkan saranan Mahathir yang mahukan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membubarkan Umno.

Bagaimanapun, Mahathir hari ini mendakwa pertemuannya dengan beberapa pemimpin kanan Umno yang tular melalui sekeping gambar itu bukan berkaitan pembubaran parti.

Sebaliknya, Mahathir berkata 'rombongan' tersebut datang untuk memaklumkan rancangan mereka meninggalkan Umno.

"Mereka datang berjumpa saya dan beritahu yang mereka akan meninggalkan Umno.

"Mereka mahukan nasihat saya. Cuma itu, tak ada yang lain," kata Mahathir.

Selain Mohamad, tokoh yang menyertai makan malam itu ialah bekas setiausaha agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor, Hamzah Zainuddin, Shahidan Kassim dan Noh Omar.

Untuk rekod, Hamzah yang juga merupakan anggota parlimen Larut sudah mengesahkan keluar dari Umno hari ini.

Wednesday, September 19, 2018

'BN bincang kerjasama dengan BERSATU sejak 2 bulan lalu'

Anne Muhammad | Diterbitkan 19 Sep 2018, 4:54 petang


Wujud perbincangan antara wakil rakyat BN dan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) untuk bergabung dalam usaha menyelamatkan orang Melayu, kata Anggota Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin.

"Ada perbincangan di antara anggota parlimen BN tentang macam mana kita nak berpakat dengan BERSATU supaya kita dapat bergabung.

"Umno ini parti yang memerdekakan negara dan BERSATU ditubuhkan untuk jatuhkan (Datuk Seri) Najib Razak dan dah berjaya.

"PKR ditubuhkan nak jatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad tapi angkat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim jadi perdana menteri. Jadi kedua-dua parti ini kalau nak berpakat tak sesuai sebab PKR pun parti berbilang kaum, jadi pilihan kita BERSATU dan kita cuba berbincang dengan BERSATU untuk selamatkan Melayu.

"Kalau boleh pakat dengan BERSATU dapat balik bersama-sama kerajaan, kita pilih yang terbaik," katanya ketika ditemui pemberita di PWTC hari ini.

Zahidi turut berkata, perbincangan diantara wakil BN dan BERSATU itu difahamkan sudah berjalan kira-kira dua bulan lalu.

Zahidi bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut perbicangan yang dimaksudkannya itu.

“Kita ada bincang (perkara) itu sebelum ini dua tiga bulan yang lepas. Hendak bergabung dengan BERSATU itu kita ada berbincang. Tetapi hendak keluar Umno, tidak, kita tidak mahu,” katanya.

Zahidi turut tidak menafikan ada pandangan berbeza di antara anggota parlimen BN berhubung perkara itu.

“Kalau kita bincang dengan PKR kurang memuaskan dan tidak mencapai matlamat perjuangan kita, kita boleh bincang dengan BERSATU.

“Ada sesetengah anggota parlimen setuju bincang dengan BERSATU, ada setuju bincang dengan PKR tapi kita lihat mana yang terbaik,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa anggota parlimen parti itu menandatangani akuan bersumpah (SD) memberi kuasa kepada presiden Umno mengadakan pakatan baru dengan parti lain.

Zahid berkata, semua 51 MP Umno ketika itu menandatangani SD tersebut dan tidak menolak kemungkinan parti itu akan bekerjasama dengan parti komponan Pakatan Harapan (HARAPAN) walaupun ketika ini Umno dilihat rapat dengan PAS.

Sebelum ini, Datuk Seri Nazri Aziz mendedahkan kewujudan SD itu ketika mewajarkan pendirian beliau berkempen memenangkan Anwar yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

Bagaimanapun, Anwar berkata tiada kerja sama di antara HARAPAN dan Umno buat masa ini.

Saturday, September 8, 2018

'Saya kenal Anwar, tak ada perebutan kuasa...' - Muhyiddin

Al-Abror Mohd Yusuf

WAWANCARA | Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan terburu-buru mahu menjadi perdana menteri sehingga tergamak mendesak penyandang sekarang berundur.

Kata presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu beliau yakin Anwar akan tetap menghormati kemampuan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Menurut Muhyiddin ketika ini ada terlalu banyak masalah negara yang perlu diselesaikan oleh Dr Mahathir. Malah katanya jika mahu disenaraikan tugas yang perlu diselesaikan itu boleh mencecah ratusan jumlahnya.

"Tapi bagi saya, selagi hubungan antara pimpinan baik, saya tak nampak akan ada perebutan kuasa," katanya.

Muhyiddin ditemui Malaysiakini pada sesi wawancara khas di kediamannya di Kuala Lumpur semalam. Turut serta dalam pertemuan tersebut ialah wakil Sinar Harian.

Anwar asalnya dipersetujui pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk diangkat menjadi perdana menteri Malaysia jika pakatan pembangkang - ketika itu - berjaya mengalahkan BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Bagaimanapun dengan penubuhan BERSATU dan kemasukan parti itu menyertai HARAPAN - ditambah pula faktor Anwar masih dipenjara - gabungan terbabit sepakat menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri.

Keadaan mesti kukuh

Anwar pula akan dinaikkan sebagai perdana menteri kelapan bagi menggantikan Dr Mahathir. Namun setakat ini tiada tarikh jelas atau muktamad bila peralihan kuasa itu akan berlangsung.

Untuk membolehkan ia berlaku Anwar terlebih dahulu perlu dibawa ke Dewan Rakyat sebagai anggota parlimen. Ia dijangka akan berlaku selewat-lewatnya Oktober ini melalui pilihan raya kecil.

Pada masa sama sesetengah pihak berasa curiga peralihan kuasa itu akan berlaku, terutama apabila mengambil kira sejarah hubungan Anwar dan Dr Mahathir kira-kira 20 tahun lalu.

Kata Muhyiddin kata sepakat yang dicapai pemimpin tertinggi HARAPAN sebelum PRU ke-14 lalu masih kekal dan tidak ada sebarang pertikaian mengenainya.

Beliau juga mengakui Anwar mempunyai ciri-ciri yang layak untuk menjadi perdana menteri.

"Saya rapat dengan beliau sebagai rakan lama," katanya.

Menurut Muhyiddin lagi, semua orang juga tahu Anwar memiliki banyak pengalaman dan akan dijadikan perdana menteri apabila tiba masanya nanti.

"Saya harap proses peralihan berjalan dengan cukup teratur sebab apabila transisi itu berlaku pada masa yang sesuai, keadaannya mesti lebih kukuh.

"Selagi Dr Mahathir masih sihat, boleh jalankan tugas, saya tak fikir Anwar akan berkata: turun sekarang, saya nak ambil alih," katanya.
Wawancara ini turut dijayakan oleh Norman Goh, Hariz Mohd, Grace Aisyah dan wakil Sinar Harian

Sunday, September 10, 2017

Benteng Umno-BN Johor tidak sekukuh dulu

10 September 2017 | DALIA ISMAIL
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meyakini benteng Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak lagi kukuh di negeri Johor dengan lahirnya parti itu sejak setahun lalu dan kini bersama dalam Pakatan Harapan.

Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negeri Johor amat simbolik dan bersejarah antara sebab sambutan ulang tahun pertama parti itu diadakan di negeri Johor.

"Ini kerana negeri Johor dikatakan negeri benteng Umno dan BN.Saya percaya benteng Umno dan BN di Johor ini tidak sekukuh dahulu.

"InsyaAllah, dengan berkat doa dan perjuangan kita semua serta dokongan rakyat seluruhnya, PPBM dan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan akan berjaya merobohkan benteng Umno dan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti," ujarnya ketika berucap dalam majlis kemuncak sambutan bersama rakyat meraikan ulang tahun pertama penubuhan parti itu.

Kata beliau walaupun Bersatu baru 'setahun jagung' penubuhannya telah mendapat dokongan rakyat dan berjaya melebarkan sayapnya seluruh negeri.

"Dalam tempoh setahun ini kita telah menggembeleng seluruh tenaga dan kudrat kita untuk mendirikan PPBM yang lahir atas semangat dan kesedaran kita semua untuk membela rakyat, menyelamatkan negara dan mengembalikan maruah bangsa. Walaupun PPBM sebuah parti baharu, dokongan rakyat menjadikan kita kuat dan terus bersemangat untuk berjuang," ujarnya ketika berucap di hadapan 3,000 hadirin yang berada dalam Dewan Y Square Connection di Bakri Muar malam ini.

BN cuak, gerun dengan Pakatan Harapan

BN juga kini dilihat semakin cuak dan gerun dengan struktur kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan, gerak kerja yang berkesan dan penerimaan rakyat yang luar biasa terhadap Bersatu dan Pakatan Harapan.

Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam ucapannya berkata, ia terbukti apabila program diadakan parti itu telah menjadi mangsa sabotaj pihak yang tidak menyenangi kekuatan Bersatu dan Pakatan Harapan di negeri Johor.

"Sejak pengumuman struktur kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan, gerak kerja kita begitu berkesan, penerimaan rakyat juga luarbiasa.

"Begitu jitu gandingan dan kesepakatan kita hingga pihak lawan mulai cuak. Tentulah mereka tidak akui tetapi dari tindakan-tindakan mereka, jelas mereka menggeruni kita.

"Buktinya, majlis kita disabotaj, pemimpin-pemimpin kita dicaci, orang kita dimaki dan dicemuh, malah kain rentang kita di luar sana pun dikoyak.

"Ada orang kita yang diumpan dedak. Ya, memang ada segelintir antara kita yang tewas dengan dedak. Tak ramai, sebilangan kecil sahaja. Tetapi, majoriti orang kita, termasuk yang berada dalam dewan ini, memang tak makan saman. Dedak bukan makanan kita," ujarnya.

Mukhriz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sambutan berkata, sekiranya BN yang dianggap sebagai pihak yang rasa dirinya berkuasa ketika ini, partinya ujarnya lagi, perjuangan parti tidak akan dapat dihentikan.

"Kepada pihak yang rasa dirinya berkuasa ketika ini, ugutlah untuk pindah sesiapa yang sokong kami ke negeri lain. Ancamlah untuk batalkan kontrak. Hantarlah pegawai-pegawai penguatkuasa serbu rumah dan pejabat kami.

"Sogoklah dengan dedak berjuta Ringgit. Buatlah apapun. Ada kami kesah? Kami tak gentar, kami tak akan berganjak walaupun selangkah dari perjuangan untuk selamatkan negara yang kami cintai ini.

"Kami sudah memalu genderang. Kami sudah mara. Kami berikrar, selagi Umno tidak tumbang dibumi kelahirannya, Johor, selagi Barisan Nasional tak diusir dari Putrajaya, selagi Najib tak dihumban ke dalam penjara, kami akan terus berjuang untuk menebus martabat bangsa dan negara tercinta," jelasnya yang mendapat sorakan gemuruh dikalangan ahli.

Justeru katanya, beliau percaya rakyat bijak membuat pilihan.

"Bersandarkan antara pemimpin kita yang ada puluhan tahun pengalaman mentadbir dengan penuh wibawa dan cemerlang, berbanding kleptokrat yang salah guna kuasa untuk kayakan diri, isteri, famili dan kroni," ujarnya.

Majlis yang diadakan sehari itu dihadiri lebih kurang 6,000 hadirin dengan pelbagai aktiviti diadakan di sebelah siang dan malam pada acara kemuncak ucapan barisan pimpinan tertinggi Bersatu dan majlis potongan pulut kuning menandakan setahun parti itu ditubuhkan.

Monday, September 4, 2017

AMANAH: Rundingan dengan PAS tak akan berjaya

Anne Muhammad

Anggota Parlimen Parti Amanah Negara (AMANAH) Hanipa Maidin yakin bahawa rundingan antara PKR dan PAS bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) tidak akan datang berjaya.

“(Secara) peribadi, saya tak ada masalah (dengan rundingan) walaupun saya tak optimis (rundingan) akan berjaya.

“Mengenali PAS-lah,” katanya bekas peguam PAS itu kepada Malaysiakini.

Hanipa antara ramai lagi pemimpin kanan parti itu yang menubuhkan AMANAH sebagai parti Islam baru selepas tewas dalam pemilihan ketika muktamar PAS 2015.

Beliau hari ini diminta menghuraikan pendiriannya di Facebook yang menyatakan rasa tidak percaya terhadap PAS dan Umno.

Katanya, beliau mengenali PAS seperti Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) mengenali Umno kerana pernah bersama dalam parti itu.

“...kalau saya, maaf, senang saja, jangan percaya pada dua-dua makhluk ini, itu saja. Itu sayalah yang tak arif sangat sepak terajang politik.

“Jika orang lain nak percaya, terpulang pada mereka. Mari kita merayakan perbezaan, mengikut asas demokrasi, apa macam,” katanya.

Sunday, July 23, 2017

DAP tak boleh guna logo BERSATU, kata Tun M

Pengurusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan parti itu tidak boleh membenarkan logo mereka digunapakai DAP supaya BERSATU kekal sebagai parti Melayu.

Mengulas kemungkinan pendaftaran parti DAP terbatal, bekas perdana menteri itu berkata, masih ada dua parti lain dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) dapat memberi tempat kepada DAP.

"Terdapat dua parti lain (dalam HARAPAN), yang berbilang kaum. Mereka (DAP) boleh bertanding di bawah kedua-dua parti itu.

"Saya yakin, PKR dan Parti Amanah Negara akan memberi tempat kepada mereka, tapi kita tak boleh, kerana kita adalah parti Melayu," katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today, hari ini.

Dr Mahathir menjelaskan, partinya perlu kekal sebagai parti Melayu untuk raih sokongan pengundi Melayu dan HARAPAN akan tempang pada pilihan raya umum akan datang tanpa sokongan pengundi Melayu.

Menurutnya, keadaan itu juga telah menyebabkan Pakatan Rakyat gagal menang pilihan raya umum 2013 lalu.

"Suka atau tidak, orang Melayu masih sangat komunal, sebab itu mereka sokong Umno.

"Mereka tidak akan sokong parti berbilang kaum. Mereka (Pakatan Rakyat) raih banyak sokongan orang Cina, tapi tidak banyak sokongan orang Melayu dan tanpa mereka kamu tidak boleh menang," katanya dipetik sebagai berkata.

[Baca berita penuh]

Sunday, June 11, 2017

Liew tak patut dihalang edar kurma, kata BERSATU

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun bukan beragama Islam, Liew Chin Tong dari DAP sepatutnya tidak dihalang daripada mengedarkan buah kurma kepada umat Islam yang mengunjungi bazar Ramadhan di Kluang, Johor semalam.

"Beliau sepatutnya tidak dihalang daripada berbuat demikian apatah lagi dimarahi dengan kata-kata kesat.

"Lebih-lebih lagi beliau adalah seorang ahli Parlimen yang mana menjadi tanggungjawab beliau untuk mendekati masyarakat di kawasannya tanpa mengira kaum dan agama

"Islam tidak mengajar umatnya untuk bertindak kasar kepada sesiapapun. Malah, Islam menuntut umatnya supaya bersikap rahmah atau mengasihi sesiapa sahaja," kata beliau dalam kenyataan.

Semalam, Liew yang merupakan ahli Parlimen Kluang dan rombongannya dihalau dari bazar Ramadan di Kluang semalam ketika mengagih-agihkan sumbangan buah kurma kepada orang ramai.

Kejadian yang berlaku pada jam kira-kira 5.45 petang merupakan insiden kali kedua kepada Liew dalam tempoh tiga tahun.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau berasa amat kecewa dan sedih dengan insiden tersebut kerana setiap orang yang beragama Islam sepatutnya menampilkan akhlak Islam yang sebenar.

"Dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, penting untuk kita memupuk semangat perpaduan dan saling hormat menghormati antara sesama insan walaupun berbeza kaum, agama dan fahaman politik.

"Menghormati sesama manusia adalah tuntutan Islam yang utama dan sebagai umat Islam sewajarnyalah kita mengamalkan ajaran Islam yang sebenar," tambah beliau.

Beliau berdoa mudah-mudahan semua beroleh rahmah dan maghfirah Allah di bulan Ramadan yang mulia ini, katanya lagi.

Sunday, June 4, 2017

Muhyiddin terkejut pertama kali dihalang beri sumbangan masjid

Posted By: Pentadbir
on: June 04, 2017

“Saya teringat baru-baru ini saya pergi ke umrah, orang banyak di Mekah. Tak ada pun orang jaga depan pintu Kaabah atau pun Masjid al-Haram yang tanya: awak Umno atau PAS? Di situ dari seluruh dunia apa-apa parti pun datang untuk menunaikan ibadah” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkongsi pengalamannya sambil menyatakan rasa kecewa apabila beliau dilarang menggunakan pekarangan Masjid An-Nur di Pekan Kundang Ulu, Pagoh untuk majlis berbuka puasa serta menyampaikan sumbangan beras oleh anggota jawatankuasa masjid baru-baru ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu terpaksa meneruskan program tersebut di pekarangan rumah persendirian yang jaraknya lebih kurang 200 meter dari Masjid An-Nur.

Dalam ucapannya kepada kira-kira 200 hadirin semalam, Muhyiddin meluahkan kekecewaan terhadapan sekatan itu yang mencatatkan sejarah buat pertama kali sejak beliau menjadi wakil rakyat.

“Saya agak rasa kecewa kerana dulu selalunya buat di halaman depan masjid dan tuan rumah tiada sekatan dan halangan dalam kawasan-kawasan masjid…

“Pertama kali agak rasa terkejut kerana sekatan yang dikenakan walaupun saya masih lagi ahli parlimen Pagoh,” katanya.

Beliau berkata, tiada satu masjid yang tidak mendapat bantuannya sepanjang beliau berkhidmat kepada kawasan Pagoh.

Berbeza dengan pengalamannya di kawasan itu, Muhyiddin sebaliknya memuji kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP yang membuka masjid tanpa mengira mana-mana fahaman politik.

Beliau menceritakan pengalamannya di suatu majlis berbuka puasa di Masjid Pulau Betong, Balik Pulau.

“Dalam majlis itu timbalan yang dipertua Majis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dari DAP turut hadir.

“Timbalan yang dipertua Maipp dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri tiada mengenakan sekat. Umno boleh pakai walaupun mereka itu parti pembangkang di Pulau Pinang, namun untuk perpaduan ummah, masjid dibenarkan.

“Jadi saya rasa malu juga, orang kata DAP menentang Islam, tapi di Pulau Pinang DAP memberi ruang yang luas seperti rumah ibadat dapat digunakan untuk memupuk perpaduan ummah tak kiranya orang Islam dan juga ada hadirinnya orang bukan Islam,” katanya.

Sebanyak 45 masjid di kawasan parlimen Pagoh menghantar wakil untuk menerima sumbangan daripada Muhyiddin.

Pada 1 Jun lalu Malaysiakini melaporkan, Muhyiddin tidak mendapat keizinan untuk mengadakan majlis berbuka puasa serta menyampaikan sumbangan beras yang sepatutnya diadakan di Masjid An-Nur.

Larangan itu kata Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Pagoh, Datuk Tahir Mohd Taat, disampaikan melalui surat yang difaks ke pejabat pusat komuniti parlimen Pagoh oleh Pejabat Kadi Daerah Tangkak.

Menurut Muhyiddin kejadian seperti dialaminya dipercayai tidak berlaku di tempat-tempat lain.

Justeru, katanya, orang ramai perlu menilai tahap kepimpinan yang ada ketika ini.

 – Mkini

Friday, June 2, 2017

Mukhriz tak pasti sama ada Dr M serius jadi PM lagi

Kow Gah Chie
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata beliau tidak pasti setakat mana seriusnya bapanya tentang memegang jawatan perdana menteri.

Apabila ditanya sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad hanya bergurau atau serius mengenai jawatan perdana menteri, Mukhriz berkata beliau tidak tahu.

"Saya tidak tahu,.. Anda beritahu saya. Melihat pada laporan media pada tajuk yang bercanggah, saya tidak tahu yang mana satu nak percaya.

"Sesetengah daripada anda berkata beliau telah kata tidak, sesetengah kata beliau kata mungkin, dan ada yang berkata (beliau kata) ya.

"Saya keliru dengan pemberita," katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Mukhriz berkata beliau belum bertanya bapanya mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, katanya, BERSATU masih belum membuat keputusan mengenai calonnya untuk jawatan perdana menteri.

Dalam sesi langsung Facebook semalam, Dr Mahathir mengakui beliau mungkin terpaksa mempertimbangkan cadangan menjadi perdana menteri sekali lagi - jika Pakatan Harapan (HARAPAN) merancang sedemikian.

"Saya tidak boleh membelakangkan kawan-kawan saya dalam HARAPAN. Kalau mereka mempunyai cadangan seperti itu dan dipersetujui, mungkin saya terpaksa menimbangkannya," Dr Mahathir dilaporkan berkata.

Thursday, June 1, 2017

Muhyiddin dilarang anjur majlis berbuka puasa

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dibenarkan mengadakan majlis berbuka puasa serta menyampaikan sumbangan beras yang sepatutnya diadakan di Masjid An-Nur, Pekan Kundang Ulu, Tangkak.

Menurut Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pagoh, Datuk Tahir Mohd Taat berkata, larangan itu disampaikan melalui surat yang difaks ke pejabat pusat komuniti Parlimen Pagoh pada pagi tadi oleh Pejabat Kadi Daerah Tangkak.
"Betul surat tu. Pagi tadi difaks. Kita sebenarnya buat majlis itu atas nama Tan Sri Muhyiddin (Yassin) sebagai anggota parlimen bukan parti.

"Ini bukan ceramah politik, kita cuma nak sampaikan sumbangan dan ia dibuat di perkarangan masjid bukan di dalam," katanya kepada Malaysiakini.

Muhyiddin dijadualkan menyampaikan sumbangan beras kepada masjid serta madrasah di Parlimen Pagoh di perkarangan Masjid An-Nur pada Sabtu ini.

Dalam surat bertarikh 31 Mei yang ditanda tangani oleh Kadi Daerah Tangkak, Mohd Nasri Rahman memberitahu, keputusan tidak membenarkan majlis itu dibuat berikutan anggota jawatan kuasa Masjid An-Nur tidak bersetuju untuk memberi kebenaran kepada Muhyiddin.
Menurut surat berkenaan, perkara berkenaan dibuat bagi menghormati kepentingan semua pihak.

"Setelah mengambil kira pandangan kepimpinan daerah dan juga keputusan AJK Masjid An-Nur Pekan Kundang Ulu, Tangkak, pihak kami bersependapat tidak dapat memberi persetujuan dalam memberi kebenaran menganjurkan majlis tersebut di atas menghormati kepentingan semua pihak," petik surat tersebut.

Selain itu, Tahir juga memberitahu, beliau yang merupakan individu bertanggungjawab membuat permohonan untuk mengadakan majlis berkenaan melahirkan rasa kecewa dan terperanjat dengan keputusan tersebut.

"Sudah tentu saya terperanjat dan kecewa dengfan kejadian ini. Nampak macam ada permainan tertentu.

"Jadi kita sekarang dah tukar lokasi dan lokasi tersebut kita tumpang di rumah orang. Rumah tersebut tidak jauh daripada masjid itu," katanya lagi.

Friday, May 12, 2017

Pas kalah teruk jika bersendirian - Tun Mahathir

Posted By: Pentadbir

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kepada PAS bahawa ia akan mengalami prestasi buruk jika memutuskan untuk bertanding bersendirian pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Mengulas keputusan Majlis Syura PAS memutuskan hubungan politik dengan PKR semalam, bekas perdana menteri itu menyifatkan parti Islam itu sebagai “keliru”.

“Saya tidak tahu, saya fikir adalah sangat mengelirukan bagi PAS, kerana di satu pihak mereka tidak mahu bekerja dengan sesiapa, dan di sisi lain mereka mahu bekerja dengan seseorang. Saya tidak tahu dasar mereka.

“Pada mereka sendiri, PAS tidak pernah menunjukkan prestasi yang baik. Jika mereka bertanding pilihan raya sendiri, tanpa perlu bekerja dengan orang lain, sebagai contoh dengan DAP khususnya, prestasi mereka akan menjadi sangat buruk,” katanya ketika ditemui di mahkamah Jalan Duta kompleks di Kuala Lumpur hari ini.

Mahathir mengingatkan bahawa PAS hanya menang satu kerusi apabila bertanding sendirian. Bagaimanapun, semasa bersama DAP, katanya, mereka pernah memiliki 27 kerusi parlimen.

“Itu adalah skor tertinggi dan jelas (jika mereka bertanding sendiri) mereka tidak boleh membentuk kerajaan.”
Mahathir merujuk kepada pilihan raya umum pada tahun 1986 apabila PAS hanya menang satu kerusi parlimen. Semalam, Majlis Syura PAS secara rasmi mengumumkan telah memutuskan hubungan dengan PKR.

PAS, PKR dan DAP sebelum ini membentuk gabungan politik yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Berikutan kejatuhan Pakatan Rakyat, DAP dan PKR membentuk Pakatan Harapan bersama-sama dengan AMANAH. 

Mkini

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-