Monday, December 19, 2016

Ahli MT elak ulas isu pakatan PAS, Umno

Shakira Buang
Beberapa anggota Majlis Tertinggi Umno hari ini mengambil jalan selamat dan enggan mengulas mengenai kemungkinan parti itu mengadakan kerjasama dengan PAS.

Ditanya mengenai isu itu, mereka sebaliknya menyerahkan kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak untuk memberikan jawapan.

Mereka sependapat, hanya Najib yang juga perdana menteri boleh berbuat demikian.

"Biar perdana menteri tentukan, nanti kalau salah jawab 'mati' saya," kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di MARA Digital Kuala Lumpur hari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan, juga mengambil pendekatan sama.

"Yang itu, saya serah kepada pucuk pimpinan untuk ambil tindakan. Saya tidak ada apa-apa komen," kata bekas ketua penerangan Umno itu.

Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, beliau memilih jawapan 'berhelah' bersulam jenaka.

Ketika diajukan soalan berkenaan, Jamil Khir menjawab: "Beri saya masa, sekarang waktu makan tengahari," kata Jamil.

Ahmad dan Jamil Khir berkata demikian ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Alumni Kelab-kelab Umno Luar Negara kali ke 15 di Menara Dato' Onn di Kuala Lumpur hari ini.

AMANAH, BERSATU berpotensi

Pada 15 Disember lalu Malaysiakini melaporkan pandangan bekas naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, yang meramalkan parti berkenaan hanya ada dua pilihan untuk selamat menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Kata Mahfuz, PAS dan Umno perlu mengelak bertembung sesama sendiri sebagai strategi politik dan mengelak peralihan undi di kalangan penyokong mereka.

Kata anggota parlimen Pokok Sena itu PAS dan Umno merangka strategi yang betul untuk memanfaatkan keadaan semasa.

Kata Mahfuz pertembungan tiga penjuru yang melibatkan Umno, PAS dan pembangkang lain secara umumnya akan merugikan kedua-dua parti.

Untuk makluman, krisis dalam PAS dan Umno menerbitkan dua parti baru, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berpotensi memberi kesan pada jumlah undian masing-masing pada pilihan raya.

Justeru, katanya, PAS mesti memilih untuk berpihak kepada pembangkang lain, atau memilih 'berbaik-baik' Umno.

Jika PAS menolak kerjasama dengan pembangkang, parti itu mungkin kehilangan undi daripada bekas penyokong mereka yang kini beralih ke AMANAH.

Umno pula, katanya, berdepan risiko kehilangan undi penyokong parti itu dengan munculnya BERSATU.

Ketika BERSATU sudah menandatangani persefahaman dengan Pakatan Harapan, PAS masih menjarakkan diri dengan pembangkang lain kecuali PKR dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

PAS juga menyatakan beberapa syarat untuk parti itu bekerjasama dengan pembangkang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-