Tuesday, June 27, 2017

Saman DoJ bersifat politik, kata peguam negara

Bernama | June 27, 2017

Apandi Ali berkata, DoJ tidak pernah membuat sebarang permohonan rasmi kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan keterangan atau maklumat lanjut terhadap tuntutan dikemukakan mereka.
KOTA BHARU: Tindakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat mengemukakan saman sivil terbaharu untuk merampas tambahan aset AS$540 juta yang didakwa diperoleh dengan dana diseleweng dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersifat politik.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, ia berikutan DoJ tidak pernah membuat sebarang permohonan rasmi kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan sebarang keterangan atau maklumat lanjut terhadap tuntutan yang dikemukakan mereka.

“Jika mereka minta (sebarang maklumat berkaitan 1MDB) adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi bantuan. Jadi, saya buat rumusan tindakan itu berbaur politik.

“Tindakan DoJ juga dipercayai berdasarkan maklumat yang diberi segelintir pihak dari Malaysia sendiri,” katanya pada Majlis Hari Keluarga Tok Awang Gagah di Salor, hari ini.

Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 800 ahli keluarga keturunan Tok Awang Gagah atau nama sebenarnya Awang Kamarudin yang merupakan salah seorang pendekar digeruni di Kelantan sekitar 1920-an. Apandi merupakan cicit kepada Awang.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam surat terbukanya baru-baru ini dipetik sebagai berkata sejarah mengajar campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman negara hanya akan membawa kerugian.

Beliau turut dipetik sebagai berkata, mereka yang mahu orang asing campur tangan dalam hal ehwal Malaysia untuk mendapat keuntungan politik adalah “tidak beriman dan budiman”.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-