Friday, September 15, 2017

Bayaran pengangkutan lori bakal naik

ONG BOON TECK
15 SEPTEMBER 2017
AKIBAT kenaikan harga diesel, pengusaha lori kini tiada pilihan lain kecuali kemungkinan menaikkan bayaran pengangkutan lori demi mengelak daripada terus mengalami kerugian.

Presiden Persatuan Pengusaha Lori Malaysia, Anthony Tan Boon Siong berkata, buat masa ini, pihak pengusaha lori masih mengambil sikap tunggu dan lihat, namun sekiranya harga diesel terus melonjak naik, mereka terpaksa mengenakan bayaran lebih tinggi ke atas pengguna.

"Ahli-ahli saya (pengusaha lori) tidak pernah mengadu kepada saya, tetapi saya percaya mereka dalam keadaan tertekan.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, masalah kemelesetan ekonomi dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) memberi impak teruk kepada pengusaha lori," katanya kepada China Press.

Menurut Boon Siong, sejak beberapa minggu lalu, harga diesel menunjukkan kenaikan dan kelmarin, kadar kenaikannya mencecah sehingga sembilan sen seliter iaitu pada harga RM2.14 sen seliter.

"Persatuan kami akan mengadakan mesyuarat minggu depan untuk berbincang mengenai masalah kenaikan harga diesel dan mengemas kini kos operasi kami.

"Kami juga berharap, kerajaan mengumumkan mekanisme pengiraan harga petrol dan diesel yang dijalankan secara mingguan ini agar rakyat dapat mengetahui dengan jelas," katanya.
Tidak ingin runding dengan Pas lagi

Pakatan Harapan telah mengambil keputusan tidak lagi mengadakan rundingan dengan Pas bagi menghadapi PRU14.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, masa yang diberikan kepada Pas sudah cukup dan Harapan tidak mempunyai ruang untuk terus menunggu jawapan daripada parti itu.

"PRU14 boleh diadakan bila-bila masa dari sekarang, yang penting perlu dilakukan Harapan ialah memperkasakan seluruh jentera, dah tiada masa lagi untuk memikirkan sama ada Pas mahu sertai kami atau tidak.

"Kami sudah memberikan masa yang panjang kepada Pas. Saya pun rasa letih. PKR adalah parti yang sabar, tetapi kami kini sudah tidak ada masa lagi," katanya kepada Sin Chew Daily.

Menurut Nurul Izzah, Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail membuat ketetapan tersebut tanpa menerima nasihat daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 29 Ogos lalu, Harapan melalui mesyuarat yang diadakan turut mencapai kata sepakat iaitu tidak akan bekerjasama dengan Pas pada PRU14, dan bersiap sedia mengatur strategi untuk menghadapi pertandingan tiga penjuru.

Kata Nurul Izzah, walaupun Pas telah meninggalkan pakatan pembangkang, namun Harapan masih mampu menerima sokongan undi daripada ahli dan penyokong Pas.

"Pada PRU lalu, Pakatan Rakyat menerima sokongan padu daripada ahli Pas. Saya ingat pesanan Anwar iaitu beliau mahu Harapan terus mengekalkan hubungan dengan akar umbi Pas," katanya.
Dasar kerajaan jejas perniagaan

Penguatkuasaan dasar kerajaan didakwa menjadi punca utama kemerosotan prestasi perniagaan sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Demikian rumusan diperoleh dalam kaji selidik oleh Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia (ACCCIM) mengenai keadaan ekonomi negara pada tempoh tersebut.

Sebanyak 39 peratus jawapan diterima mendakwa, kenaikan kos dihadapi peniaga mempunyai kaitan rapat dengan beberapa dasar kerajaan yang dikuatkuasakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Dasar-dasar kerajaan dimaksudkan ialah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan, Akta Persaingan 2010, penetapan gaji minimum, levi pekerja asing dan GST.

"Semua dasar kerajaan ini menyebabkan peniaga makin terbeban apabila terpaksa menaikkan kos dan prestasi perniagaan turut tertekan dengan kejatuhan ringgit," jelas laporan kaji selidik itu yang disiarkan dalam China Press.

Selain pelaksanaan dasar kerajaan, faktor lain yang menjejaskan keuntungan syarikat-syarikat perniagaan tempatan ialah kenaikan kos pengurusan dan harga bahan, persaingan antara syarikat tempatan serta masalah kekurangan tenaga kerja.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-