Showing posts with label PRU14. Show all posts
Showing posts with label PRU14. Show all posts

Wednesday, September 21, 2022

10 perkara kenapa UMNO-BN kalah PRU14

suaramerdeka.com.my
21/09/2022

Dato Saiful Bahar

KITA “recap” atau imbas kembali macam mana UMNO-Barisan Nasional boleh tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas lebih 60 tahun memegang tampuk Kerajaan di Malaysia.

Terdapat 10 perkara kenapa UMNO-BN kalah pada PR14 yang diadakan pada Mei 2018.

GAGAL TANGANI ISU-ISU NASIONAL DENGAN BERKESAN.

UMNO-BN gagal tangani isu-isu Nasional yang panas dan kontroversi dengan berkesan iaitu ;


(i). KES 1MDB.

(ii). CUKAI GST.

(iii). KOS SARA HIDUP NAIK.

(iv). KOS PENDIDIKAN TINGGI (HUTANG PTPTN).

(v). KOS MINYAK PETROL NAIK.

(vi). KOS PENGANGKUTAN (Kadar Toll).


(vii). ISU CINCIN BERLIAN ROSMAH MANSOR.


PEMILIHAN CALON-CALON BARISAN NASIONAL-UMNO YANG SALAH.

Pemilihan calon-calon yang salah, calon bukan winnable. Pilih dan letak calon yang tak boleh menang untuk bertanding. Calon lama, re-cycle yang sudah ditolak oleh rakyat setempat.MANIFESTO YANG TIDAK BERKESAN.

Manifesto UMNO-BN tidak berkesan memikat pengundi-pengundi. Manifesto BN terlalu panjang lebar dan tidak dibaca oleh rakyat.

Manakala Manifesto PH mengandungi janji-janji pilihan raya yang akan menguntungkan rakyat sekiranya rakyat memilih PH.TIMING TARIKH PILIHAN RAYA YANG SALAH.

Pemilihan tarikh yang salah, BN-UMNO bubarkan Parlimen di hujung penggal Dewan Rakyat iaitu hampir di penghujung 5 tahun pemerintahan BN sehinggakan tiada lagi ruang untuk bergerak.

STRATEGI YANG SALAH DAN TIDAK TEPAT.

Strategi politik yang salah apabila UMNO kelihatan menaja parti PAS bertanding lebih daripada 130 kerusi Parlimen bertujuan memecahkan undi parti pembangkang.

Apa sebenarnya yang terjadi, undi orang-orang Melayu berpecah dua mengakibatkan parti BERSATU dan AMANAH menang kerusi-kerusi Parlimen di kawasan majoriti Melayu (kawasan tradisi UMNO).RISIKAN (COUNTER INTELLIGENCE) UMNO-BN YANG KURANG BERKESAN.

Risikan UMNO-BN amat lemah sehinggakan UMNO tidak mengetahui strategi dan perkara-perkara yang akan dilakukan oleh parti politik Lawan
.
GAMBAR HIASAN 

PENGANALISA DAN PENASIHAT POLITIK YANG TIDAK BERKESAN.

PM dan Presiden UMNO, Najib Razak dikelilingi dengan Penganalisa Politik dan Penasihat Politik yang tidak berkesan.

Mereka hanya memberikan berita serta nasihat yang PM mahu dengar sahaja.

Tiada penasihat yang berani memberi Bad News (berita buruk) kepada PM Najib Razak sehinggakan sehari sebelum Hari Penamaan Calon, Penasihat PM masih lagi confident BN-UMNO akan menang 157 kerusi Parlimen. Senario paling buruk BN dijangka akan menang 120 kerusi.

Tiada Penasihat Politik menjangkakan BN akan kalah dan akan menang hanya 79 kerusi Parlimen.

BN SYOK SENDIRI.

UMNO dan BN syok sendiri sebelum mengadakan PRU14 dengan mengadakan Pelancaran Besar-Besaran Jentera BN di Stadium-Stadium.

Kehadiran puluhan ribu penyokong memperlihatkan BN kuat di mata rakyat tetapi sebenarnya, yang datang ke stadium hanyalah penyokong dan ahli-ahli UMNO dan BN sahaja, bukannya pengundi atas pagar.

UMNO & BN TIDAK MENGUASAI MEDIA SOSIAL.

Walaupun UMNO-BN berjaya mengumpul 100,000 orang di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk melancarkan Jentera Pilihanraya BN namun UMNO-BN gagal menguasai Media Sosial.

Video-video klip ceramah oleh pemimpin tertinggi Pakatan Harapan seperti Tun Dr. Mahathir mendapat liputan yang meluas di Media Sosial.

Berjuta Netizen mengikuti ceramah-ceramah Dr. Mahathir, Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mat Sabu di Media Sosial, WhatsApp dan Facebook Live.HARI MENGUNDI PADA HARI RABU MENAMBAHKAN KEMARAHAN RAKYAT.

Apabila Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengumumkan bahawa Hari Mengundi diadakan pada 9hb. Mei 2018 iaitu Hari Rabu, ini telah menimbulkan kemarahan rakyat jelata kerana mereka merasakan Kerajaan sengaja memilih Hari Rabu kerana tidak mahu rakyat yang tinggal di luar kawasan atau di luar negara seperti di Singapura, Thailand dan Hong Kong pulang untuk mengundi.

Kemarahan ini dijadikan alasan ke-10 untuk menolak Kerajaan Barisan Nasional pada 9 Mei 2018.

 – SM

Sunday, April 4, 2021

Ahli UMNO Yang Ramai, Tetapi Tidak Mampu Menjanjikan Kemenangan

byAssistant Editor
-April 04, 20210


Walaupun saya sudah cuba untuk mengelak dari memberi komentar ke atas UMNO tetapi malam tadi saya terpaksa juga bercakap mengenainya disebabkan komitmen awal ke atas jemputan untuk berforum mengenai hala tuju UMNO pasca PAU anjuran O2, sebuah badan pemikir kelolaan Datuk Dira Abu Zahar, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, bersama-sama Naib Ketua Pemuda PAS, Ustaz Afnan Hamimi, dan EXCO Pemuda UMNO, Muhammad Azri aka Papagomo.

Antara lainnya saya mengajak UMNO supaya memikirkan semula hasrat untuk bertanding sendirian atas nama BN kerana sifat nostalgic dan sentimental dengan rekod dan dominasi lama tidak memberikan banyak kelebihan dalam suasana politik yang begitu cepat berubah, apatah lagi bila BN sekarang hanya mempunyai 4 parti komponen yang sudah tidak lagi bersedia mendukung sepenuhnya keputusan UMNO berbanding 14 parti komponen sebelum ini.

Saya juga menyebut mengenai betapa didengungkan dalam PAU lalu bahawa UMNO masih kekal sebagai parti politik terbesar dengan bilangan ahli terramai di Malaysia dengan Sabah mencatatkan bilangan ahli UMNO tertinggi, iaitu 583,979 ahli, diikuti oleh Johor (451,778 ahli), Selangor (421,899 ahli) dan Kedah (300,589 ahli) tetapi, tanya saya malam tadi:

(1) Apalah yang mahu dibanggakan sangat dengan bilangan 583,979 ahli di Sabah bila dalam PRU 14 kerusi yang dimenangi hanya 29 daripada 60 dan bila dalam PRN kerusi yang dimenangi hanya 14 daripada 73?

(2) Apalah yang mahu dibanggakan sangat dengan bilangan 451,778 ahli di Johor bila dalam PRU 14 kerusi yang dimenangi hanya 19 daripada 56?

(3) Apalah yang mahu dibanggakan sangat dengan 421,899 ahli di Selangor bila dalam PRU 14 kerusi yang dimenangi hanya 4 daripada 56?

(4) Apalah yang mahu dibanggakan sangat dengan bilangan 300,589 ahli di Kedah bila dalam PRU 14 kerusi yang dimenangi hanya 3 daripada 36?


Jelaslah bahawa bilangan ahli yang ramai tidak menjanjikan apa-apa kemenangan untuk mana-mana parti politik kerana penentu kemenangan sebenar adalah para pengundi yang tidak menjadi ahli parti dan sebuah parti yang mempunyai beberapa masalah imej yang serius pastilah akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan sokongan para pengundi yang tidak menjadi ahli parti.

Rakaman forum yang sehingga kini telah mendapat lebih 35,000 tontonan boleh dilihat di sini:

https://www.facebook.com/O2Malaysia/videos/973920146685589/

FB Dr Kamarul Yusof

Thursday, May 31, 2018

Tajuddin tanding jawatan naib presiden?

NORMAWATI ADNAN, 
NOOR ‘AINON MOHAMED YUSOF
31 MEI 2018

Tajuddin

SUNGAI MANIK - Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi dalam pemilihan parti itu, akan datang.

Tidak mendedahkan posisi jawatan ditandingi, namun Ahli Majlis Tertinggi Umno itu disebut berkemungkinan akan bertanding bagi jawatan naib presiden.

Beliau berkata, kesediaan itu tidak lain untuk memainkan peranan baharu membantu mengukuhkan parti dan mengembalikan semula kegemilangan Umno sebagai parti keramat membela kepentingan Melayu.

“Kepimpinan Umno yang terpilih biarlah terdiri daripada orang yang betul-betul memahami cabaran dihadapi sekarang.

“Kesungguhan kita bukan saja untuk tebus kekalahan, tapi untuk menjaga hak rakyat terutama Melayu yang masih perlukan pembelaan.

“Kerana itu, jika mendapat sokongan akar umbi, saya berhajat untuk bertanding jawatan peringkat tertinggi, apa jawatan itu, saya akan umum secara rasmi dalam sidang media pada Ahad nanti di PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Umno Bahagian Pasir Salak, malam tadi.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Perlu penuhi syarat tanding 3 jawatan tertinggi ]

Tajuddin yang juga bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, dengan pengalaman selama 42 tahun dalam Umno dan ketua bahagian sejak 2008, beliau yakin dapat membantu kebangkitan semula parti.

Katanya, keputusan PRU14 lalu membuktikan bahawa sokongan Melayu masih kuat kepada Umno apabila menjadi parti paling tinggi memenangi kerusi di Parlimen iaitu 54.

“Sekarang ni pun ahli di peringkat cawangan masih keluar hadiri persidangan, menunjukkan komitmen mereka kepada perjuangan, kalah tidak bermakna kita tidak berupaya.

“Bagi saya kepimpinan (tertinggi) Umno sangat penting kerana merekalah yang akan memandu parti ini, peneraju kepada lebih 3.7 juta ahli seluruh negara,” katanya.

Mengulas mengenai kesediaan parti itu mempertandingkan jawatan tertinggi pada pemilihan kali ini, beliau berkata, jika ada pilihan tentunya ahli akan buat yang terbaik, naib presiden contohnya, akan ada empat ke lima calon bertanding, jadi ahli punya pilihan mereka.

Tuesday, May 29, 2018

IGP: Siasatan berita palsu pada Dr M mungkin digugurkan

Diterbitkan 29 Mei 2018, 11:12 malam


Siasatan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad kerana didakwa menyebarkan berita palsu mungkin digugurkan kerana perdana menteri telah memberikan keterangan sebelum ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Ditanya sama ada siasatan itu akan diteruskan, beliau berkata: "Mungkin tidak kerana sepertimana sedia maklum Tun ada bagi statement tentang perkara ini.

"Jadi kita akur dengan statement yang dibuat sebelum ini," kata Fuzi kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama Mahathir, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota polis di Bukit Aman.

Polis awal bulan ini mengesahkan sedang menyiasat Mahathir di bawah Akta Antiberita Tidak Benar.

Siasatan itu berikutan dakwaan Mahathir bahawa jet yang disewa beliau semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebelum berlepas ke Langkawi telah disabotaj.

Mahathir yang sepatutnya berlepas dari lapangan terbang Subang tidak dapat berbuat demikian selepas pesawat tersebut menghadapi masalah pada bahagian tayar.

Beliau kemudian menaiki pesawat lain selepas mendapatkan bantuan seorang rakan.

Ketika tiba di Langkawi, Mahathir mendakwa pesawat itu telah disabotaj sebagai sebahagian usaha untuk menggagalkan pencalonan beliau bagi bertanding di Parlimen Langkawi pada PRU14.

Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru, Gobind Singh Deo telah mengumumkan bahawa Akta Antiberita Tidak benar akan dimansuhkan tidak lama lagi.

Monday, May 28, 2018

Dr M: Kini ahli Umno boleh sertai PH

Adam Abu Bakar
May 28, 2018

Perdana menteri berkata, PPBM menerima 1,000 permohonan keahlian sehari selepas PRU14 lalu.

VIDEO INSIDE

Gambar Facebook.

PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ahli Umno boleh menyertai gabungan itu selepas mereka menjadi “bebas”.

Perdana menteri berkata, PPBM menerima 1,000 permohonan keahlian sehari selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Kita dapati orang ramai sekarang ini berminat menyertai PPBM, kebanyakan mereka ahli-ahli Umno.

“Kita tentukan mereka boleh menyertai parti kita setelah mereka isytihar keluar dari Umno, jadi bebas dan menyatakan pendirian mereka terhadap PH, barulah kita boleh pertimbang kemasukan mereka.

“Selepas kita menang, orang mula minat menyertai parti PPBM, sekarang ini kita terima 1,000 permohonan minta jadi ahli dan kita alu-alukan hasrat mereka,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PPBM hari ini.

Kenyataan pengerusi PPBM itu bercanggah dengan kenyataan 16 Mei lalu yang PH tidak akan menerima ahli daripada parti yang kalah dalam PRU14 kerana rakyat tidak mahu ahli politik kerajaan lama mempengaruhi kerajaan baru.

“Mereka boleh mengisytihar keluar parti umpama Umno dan menyatakan sokongan kepada kerajaan tetapi (mereka) tidak boleh menjadi ahli dalam parti kerajaan (PH),” katanya pada 16 Mei lalu.

Friday, May 25, 2018

Calon PKR buat laporan polis terhadap ahli Parlimen Pasir Salak

Bernama
May 25, 2018

Dakwanya, penyelewengan itu menyebabkan pihak Felcra gagal tingkatkan bayaran dividen kepada peserta selain 3 kilang sawit Felcra juga dijual di bawah harga pasaran.
Maharani Tasi juga mendakwa bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu gunakan wang Felcra semasa berkempen pada PRU13.

IPOH: Calon PKR bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Mohamad Maharani Md Tasi hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman atas dakwaan melakukan penyelewengan semasa menjadi pengerusi Felcra dari 2008 sehingga 2014.

Pesara kerajaan itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, beliau juga mendakwa bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu juga menggunakan wang Felcra semasa berkempen pada PRU13.

Dakwanya, penyelewengan itu menyebabkan pihak Felcra gagal meningkatkan pembayaran dividen kepada peserta selain 3 kilang sawit Felcra juga dijual di bawah harga pasaran.

Sehubungan itu, Mohamad Maharani memohon pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap Tajuddin.

Dalam PRU14 pada 9 Mei lepas, Mohamad Maharani kalah di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Manik kepada Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang ketika itu bertanding atas tiket Barisan Nasional. Zainol Fadzi kemudiannya keluar Umno dan menyertai PPBM.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Ali Tamby ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut, namun ia dirujuk ke IPD Perak Tengah untuk tindakan lanjut.

Sunday, May 20, 2018

Najib Salahkan Pemfitnah Punca Kekalahan BN

Foto: Berita Harian

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14 berpunca daripada 'fitnah' parti pembangkang.

"Kempen yang bersifat terlalu menyerang peribadi dan menabur fitnah dan kebencian serta janji-janji manis yang sebahagian besar jelas takkan dapat dilaksanakan malangnya telah menyebabkan kekalahan kepada Umno BN dalam PRU ini," katanya di hadapan para penyokongnya di Pekan hari ini.

Najib, yang juga anggota parlimen Pekan, berkata menang dan kalah merupakan adat dalam sesuatu pertandingan dan beliau tidak akan berasa ralat jika pihak lawan mempunyai agenda yang lebih baik, lapor Malaysiakini.

"Tapi sebaliknya terasa dalam hati, bukan soal dasar, agenda, tapi kempen memburukkan pemimpin dan janji-janji manis yang tak mungkin dapat dilaksanakan.

"Ni saya rasa terkilan. Bukan kekalahan itu tapi kekalahan atas penyelewengan fakta.

"Ini tak adil dalam demokrasi. Ni bukan contestation of ideas tapi berdasarkan berita palsu yang kita termakan," katanya kepada kira-kira 500 orang.

Najib berkata BN tidak membuat janji palsu tetapi hanya menawarkan janji yang mampu dilaksanakannya,

"Mungkin saya silap, patut ambil sikap matlamat menghalalkan apa sekalipun, (yang dinamakan) machiavelan politics," katanya kesal.

Najib juga mempersoalkan sama ada siasatan 1MDB terhadap beliau dilakukan dengan telus.

Beliau juga menyatakan rasa kesal terhadap serbuan polis yang telah mengambil barang milik anak-anaknya.

"Apa kena mengena 1MDB dengan kasut anak saya. Kalau nak ambil barang mesti ada bukti, orang putih kata prima facie evidence. Takkan tengok satu barang, nampak, cekup, bawa ke Bukit Aman.

"Apa kaitan hadiah perkahwinan dengan 1MDB. Tak layak ke anak saya dapat hadiah perkahwinan. Dia kahwin dengan keluarga yang ada kemampuan di Khazakstan," katanya.

Sementara itu, Ketua MCA Bandar Tun Razak, Chew Yin Kee menyalahkan Najib dan skandal 1MDB menyebabkan kekalahan BN ada PRU14 lalu

"Sebab utama kekalahan dan kehilangan kuasa BN pada pilihan raya umum adalah skandal yang mengelilingi Perdana Menteri Najib dan keluarganya, khususnya 1MDB dan sumbangan politik RM2.6 bilion , "katanya dalam satu kenyataan.

Faktor lain katanya, termasuk kenaikan kos sara hidup akibat cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan oleh Najib pada tahun 2015.

Thursday, May 17, 2018

Segalanya berlaku dengan pantas, UMNO dimakan sumpah

RENCANA
oleh: Hafiz Zainuddin

Segalanya berlaku dengan sangat pantas. Tidak pernah kita terbayang bagaimana sebuah ‘rejim tua’ yang digeruni, mewah dan sombong hilang kuasa sekelip mata – secara aman – tanpa huru-hara– hanya dalam tempoh kurang 24 jam selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Keadaan ini mungkin tidak pernah kita jangka. Ya. Rakyat Malaysia sudah pasti menanam harapan agar negara ini ditadbir oleh sebuah kerajaan yang adil, demokratik dan berintegriti. Tetapi untuk melihat regim tertua itu tersungkur sedemikian rupa amatlah diluar jangkauan.

Mungkin ramai menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan terus menang walaupun dengan majoriti mudah namun jarang-jarang orang menduga BN tumbang penuh memalukan apabila ramai ayam-ayam sabung mereka bertaraf menteri dan pimpinan tertinggi terkorban.

Keramat suara rakyat – mungkin ini paling sesuai menggambarkan betapa berkuasanya setiap pangkah rakyat Malaysia pada kertas undi sehingga terkuburnya sang pemerintah sejak berdekad-dekad lalu sejak negara mencapai merdeka pada 1957.

Ini adalah referendum rakyat. Ini adalah bukti bahawa rakyat telah jenuh dan muak dengan segala propaganda UMNO-BN yang menjaja ketakutan yang berselindung disebalik slogan agama, bangsa dan tanah, pada masa yang sama tangan-tangan itu yang galak mencuri harta negara. UMNO akhirnya dimakan sumpah!

Soalnya sekarang, apa selepas ini? Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk mengemudi Malaysia baru pasca PRU14? Sudah tentu, rakyat menunggu dengan penuh keterujaan dan harapan menggunung pelaksanaan segala janji dalam manifesto – demi sebuah Malaysia yang lebih adil, demokratik dan bermaruah.

Tidak sampai tujuh hari memegang tampuk kuasa, kerajaan Pakatan Harapan tidak berlengah dibuai kemenangan. Satu demi satu langkah diambil untuk menstabilkan kerajaan sekaligus melaksanakan beberapa tindakan drastik mengukuhkan kembali ekonomi negara yang tempang dikemudi kerajaan lalu – termasuk menamatkan ‘drama’ lompat-melompat pembentukan beberapa kerajaan negeri sebelum ini.

Sebaik mengangkat sumpah selaku Perdana Menteri ke tujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad telah melaksanakan langkah drastik memulihkan semula kedudukan politik dan ekonomi negara.

Ini termasuk meneruskan usaha menyelamatkan puluhan billion ringgit akibat ‘disonglap’ pasukan Najib Razak sehingga nama negara turut tercemar di seluruh deunia dengan panggilan ‘kerajaan kleptokrasi’.

Demi memastikan wujudnya ketulusan awam siasatan penyelewengan 1MDB, kerajaan juga telah menggugurkan status sulit laporan pengauditan 1MDB yang digunakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) dan sudah boleh diakses oleh rakyat.

Usaha ini tidak terhenti disitu, kerajaan turut menjalankan ‘serbuan’ di kediaman peribadi bekas Presiden UMNO Najib Razak untuk mencari sebarang dokumen dan barang bukti melibatkan penyelewengan.

Bagai kiambang kembali bertaut, itu dapat kita lihat apabila Tun Mahathir mempercepatkan usaha pembebasan bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah merengkok tiga tahun dalam penjara akibat fitnah – pembebasan beliau pada 16 Mei 2018 seharis sebelum umat Islam negara ini menunaikan ibadah puasa Ramadan mengembalikan segala ingatan kita kepada era kegemilangan Malaysia sebagai harimau asia.

Mesti tidak diberi sebarang jawatan rasmi kerajaan, gandingan Mahathir-Anwar dilihat akan memberi kesan yang lebih positif dalam pembinaan semula negara.

Satu demi satu pelaksanaan dasar merakyatkan ekonomi diumumkan. Hari pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga diwarnai dengan pengumuman Tun Mahathir yang mahu supaya cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak dikutip.

Sejajar pengumuman tersebut, kementerian kewangan pada hari yang sama telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa berkuatkuasa 1 Jun 2018, cukai GST yang dikenakan pada kadar 6% akan dikurangkan pada kadar 0%.

Walau apa pun ‘drama’ atau ‘kekecohan’ yang mungkin atau telah berlaku sepanjang minggu-minggu awal pentadbiran kerajaan baru Pakatan Harapan. Rakyat tetap menaruh kepercayaan bahawa segala langkah yang diambil haruslah memberi tumpuan untuk meringankan beban kos sara hidup dan pemulihan poket mereka.

Yang penting, rakyat menuntut keadilan agar setiap sen duit yang disonglap pemimpin UMNO-BN dapat dipulangkan kepada kantung negara.

Kepada pemimpin kaki songlap, kemana lagi anda boleh lari? 

– Roketkini.com

Sunday, May 13, 2018

Sebelas ‘YB katak’ setakat ini 2 di Perak, 3 di Johor dan 6 di Sarawak

 firdaus.sayeda 
12/05/2018


BANGI, 26 Syaaban 1439H, Sabtu – Masuk hari ketiga selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berlalu, sekurang-kurangnya sebelas ADUN telah melompat ke parti lain (menjadi YB katak).

Tindakan lompat parti ini mendapat reaksi berbeza daripada orang ramai. Ada yang melihatnya sebagai menyelamatkan keadaan bagi penubuhan kerajaan negeri dan ada yang melihatnya sebagai satu pengkhiatan kepada parti asal.

Di Perak, dilaporkan dua ADUN Barisan Nasional telah menyertai Pakatan Harapan seterusnya membantu PH membentuk kerajaan negeri baharu hari ini setelah mendapat majoriti mudah 31 kerusi daripada keseluruhan 59 kerusi DUN.

Media mendedahkan dua ADUN itu ialah ADUN Tualang Sekah Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan ADUN Sungai Manik Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Di Johor, tiga ADUN BN juga telah menyertai PPBM. Mereka ialah ADUN Johor Lama, Haji Rosleli Jahari; ADUN Sedili, Rasman Ithnain; dan ADUN Endau, Alwiyah Talib.

Susulan itu, PH mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 36 kerusi DUN Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), manakala BN mendapat 19 kerusi dan PAS dengan satu kerusi.

ADUN Sedili, Rasman Ithnain dalam sidang media siang tadi berkata, tindakan mereka adalah sukarela demi membela rakyat.

Di Sarawak, Bernama melaporkan dakwaan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin bahawa enam pemimpin politik negeri itu termasuk dua anggota Parlimen sertai PKR.

Di Kedah, semalam ditularkan berita seorang ADUN BN lompat parti ke PH namun ia hanyalah sekadar khabar angin.

Pakatan Harapan Kedah berjaya menubuhkan kerajaan negeri baharu di negeri itu setelah mendapat persetujuan pihak istana meskipun tidak mendapat majoriti mudah setelah memenangi 18 kerusi DUN berbanding PAS (15 kerusi) dan BN (3 kerusi).

Friday, May 11, 2018

UMNO-BN perlu bangkit kembali- KJ

Oleh LYN NASIR

“Sekarang bermulalah tugas yang sangat berat, iaitu tugas untuk membina semula parti keramat.

11 MEI: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meminta semua ahli bangkit membina semula parti susulan kekecewan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menyedari bahawa ia bukanlah suatu keadaan yang diinginkan, Ahli Parlimen Rembau itu mengingatkan semua ahli supaya tidak perlu bersedih, sebaliknya terus bangkit menjadikan UMNO kembali sebagai sebuah parti keramat untuk rakyat.

“Saya mahu UMNO kembali menjadi parti yang menjaga maruah orang Melayu, yang menjaga kemakmuran bersama kaum-kaum yang lain serta yang benar-benar berjuang untuk semua lapisan masyarakat.

“Saya mengajak rakan-rakan yang ingin membina semula UMNO daripada keruntuhan yang kita lihat hari ini, untuk bersama-sama dengan saya kerana perubahan ini mesti bermula dengan serta-merta,” katanya dalam satu perutusan sempena Ulangtahun UMNO ke-72 hari ini.

Dalam PRU kali ini PH diangkat sebagai sebuah kerajaan baharu selepas menewaskan BN yang memerintah sejak 60 tahun lamanya.

Pada masa sama, Khairy turut memohon maaf atas kegagalan beliau kerana tidak mencapai kemenangan kali ini.

Namun tanggungjawab perlu terus dipikul untuk melaksanakan amanah yang diberi rakyat pada kawasan yang dimenangi BN.

“Patah sayap bertongkat paruh, namun menyerah tidak sekali. Mungkin hari ini, kita rasa sedih, kita rasa tidak berdaya, tiada sinar di hujung jalan.

“Tetapi kalau kita kembali ke pangkal perjuangan yang sebenar dan mendengar suara rakyat serta ahli biasa, suatu hari nanti, Rajawali perjuangan akan terbang ke langit semula,” kata Ketua Pemuda BN.

Thursday, May 10, 2018

Tun Dr Mahathir Angkat Sumpah PM Ketujuh


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mencipta sejarah apabila mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kali kedua hari ini susulan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau yang memakai baju Melayu hitam dan bersamping songket hitam keemasan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh di hadapan Yang di-Pertuan Agong ,Sultan Muhammad V, di Istana Negara di sini.

Dr Mahathir, pertama kali dilantik menjadi perdana menteri keempat pada 1981 sewaktu berumur 56 tahun sebelum meletakkan jawatan pada 2003, setelah menerajui tampuk pimpinan negara selama 22 tahun.

Berumur 92 tahun, Dr Mahathir mencipta sejarah lagi menjadi perdana menteri tertua di dunia dengan kembali ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya setelah 15 tahun meletakkan jawatan pada 2003.

-BERNAMA

Rasmi Parlimen: BN 67, HARAPAN 91, PAS 14

Diterbitkan 10 Mei 2018, 1:56 pagi
Dikemaskini 10 Mei 2018, 2:10 pagi


Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan belum ada mana-mana parti berjaya memenangi 112 kerusi parlimen yang membolehkan mereka membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Berikut keputusan rasmi SPR bagi kerusi Parlimen (belum selesai perkiraan):

BN - 67 kerusi
HARAPAN (dan WARISAN)- 91 kerusi
PAS - 14 kerusi
STAR - 1 kerusi
Bebas-2 kerusi

Wednesday, May 9, 2018

Tsunami Hijau: Rakyat Kelantan pertahan ulama

ASLANI M 
09 MAY 2018


KOTA BHARU:  Biar pun ada kajian yang mendakwa Kelantan akan terlepas ke tangan Umno pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini, namun gelombang di bawah memperlihatkan sebaliknya.

Sejak Jumaat lepas tsunami hijau tidak mampu dinafikan, benar-benar mencerminkan majoriti rakyat Kelantan mahu mempertahankan kepimpinan ulama.

Mereka terjemahkan sikap itu dengan memasang bendera bulan purnama di kenderaan masing-masing. Kedai menjual peralatan kempen PAS di Kota Darulnaim beroperasi sehingga tengah malam.

Perarakan anak-anak muda dengan mengibarkan bendera PAS boleh ditemui di mana-mana. Setiap malam mereka beramai-ramai berkonvoi bagi mempamerkan kesungguhan mereka mempertahankan PAS.

Kemuncaknya malam tadi apabila ribuan kenderaan termasuk motosikal menjelajah jalan-jalan utama di Kota Bharu bermula selepas Isya sehingga awal pagi.

Malah kenderaan yang menbawa bulan purnama paling banyak ditemui. Malah ada bas juga memasang bendera hijau.

Begitu juga kenderaan anak perantau yang pulang dari Kuala Lumpur juga memperlihatkan tsunami hijau di sepanjang laluan dari Karak ke Kota Bharu.

Kepulangan anak perantau dari Kelantan menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas di Bandar Bentong dan Raub sehingga ramai terpaksa menggunakan jalan alternatif.

Zulkifli Yusof dari Bangi berkata, kesesakan lalu lintas begitu ketara sekali semalam, lebih kurang sama dengan suasana menjelang sambutan perayaan Aidilfitri.

“Ini benar-benar menggambarkan tsunami hijau berlaku di Kelantan biarpun ada kajian menyifatkan Umno kemungkinan besar merampas Kelantan,” kata seorang pegawai kanan sebuah syarikat milik kerajaan ketika ditemui di Pasir Mas.

Semalam Ilham Centre merumuskan kajian BN mampu merampas Kelantan dan mengekalkan penguasaan di Terengganu.

 - HARAKAHDAILY 
   9/5/2018

Rangkuman hari terakhir: Rayuan Dr M, tawaran Najib, pendirian Hadi

Diterbitkan 9 Mei 2018, 1:28 pagi

RANGKUMAN | Tamat sudah sebelas hari kempen pilihan raya umum ke-14 yang digelar "ibu segala pilihan raya".

Hakikatnya "kempen" sudahpun bermula lama, apabila parti-parti politik membahaskan idea dan saling menyerang di media dan program-program mereka.

Justeru selama sebelas hari tiga pihak politik utama iaitu BN, HARAPAN dan PAS, serta WARISAN di Sabah, membuat usaha terakhir bagi meraih sokongan pengundi.

Begitu juga dengan parti-parti lain seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta parti-parti tempatan di Sabah dan Sarawak.

Sehari sebelum undi dibuang, kita menyaksikan rayuan, serangan dan tawaran saat akhir serta dapatan tinjauan yang barangkali membayangkan keputusan malam esok.

Maruah atau 'rasuah'

Amanat terakhir Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi HARAPAN berkisar kepada maruah - maruah orang Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya.

Beliau berkata PRU kali ini bukan sekadar memilih pihak yang menang tetapi mengembalikan maruah orang Melayu yang dirosakkan Datuk Seri Najib Razak, serta merayu rakyat agar tidak terpengaruh dengan tawaran insentif oleh presiden Umno itu.

Beliau berkata Najib menjadikan "perjuangan terhadap bangsa, negara dan agama" kepada kepercayaan cash is king - serangan yang sering diulanginya.

Najib pula kekal dengan politik pembangunan dan insentif. Beliau mengumumkan sejumlah tawaran seperti pengecualian cukai pendapatan kepada golongan berusia 26 tahun ke bawah dan pengecualian tol lima hari sempena Hari Raya Aidil Fitri.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menganjurkan reformasi sistem berbanding penukaran pemimpin dengan tawaran kerajaan teknokrat Gagasan Sejahtera.

Tinjauan menang kalah

Dua badan kaji selidik, Ilham Center dan Merdeka Center membentangkan dapatan mereka. Tinjauan Ilham Center berakhir 6 Mei, manakala Merdeka Center tengah hari tadi. Jadi hasilnya terkini.

Di peringkat Parlimen, Ilham Center berkata HARAPAN mendahului di 77 daripada 165 kerusi di semenanjung, manakala BN dengan 56 kerusi dan PAS tujuh kerusi.

Di peringkat negeri, ia menjangka HARAPAN akan merampas Johor, BN kembali mentadbir Kelantan, dan peluang 50-50 untuk BN dan HARAPAN di Kedah dan Perak.
Merdeka Center pula menjangka BN menang sekurang-kurangnya 100 kerusi Parlimen, HARAPAN (83) dan PAS (2), dengan 37 kerusi menunjukkan persaingan sengit.

WARISAN pula dijangka menang lima kerusi Parlimen di Sabah.

Dapatan juga menunjukkan undi popular BN merosot kepada 37.3 peratus, HARAPAN dengan 43.4 peratus dan PAS 19.3 peratus.

Bagaimanapun dengan sistem first past the post, jumlah undi popular tidak semestinya mencerminkan jumlah kerusi di Parlimen. Ia terlihat dengan jangkaan kerusi yang dimenangi HARAPAN dan PAS.

Najib lawan veteran Umno

Najib hari ini membuka mulut berhubung tokoh veteran Umno - Daim Zainuddin, Rafidah Aziz dan Rais Yatim - yang berkempen untuk HARAPAN.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, beliau menyatakan rasa kecewa dengan tiga bekas pemimpin Umno itu yang menurutnya menikam parti itu dari belakang di saat genting seperti ini.

"Malangnya ada orang dapat macam-macam daripada UMNO, jawatan tinggi, pendapatan yang kaya tapi sanggup dia tikam UMNO dalam saat-saat macam ni," katanya seperti dipetik Bernama.

Mengulas kenyataan itu, Rafidah berkata juga merasa sedih kerana dikhianati Najib yang didakwanya melanggar kepercayaan dan amanah sebagai perdana menteri.

Tuesday, May 8, 2018

Jangan Jadi ‘Alu Dan Lesung Berlaga, Yang Kenyangnya Ayam’ – Hadi Awang

By Ammar Sufian
-08/05/2018

Budaya politik matang adalah antara lima perkara yang diamalkan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ujar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Jelasnya, ia termasuk memastikan tidak berbalah dengan parti lawan terutama Barisan Nasional (BN) walaupun kedua-dua parti berkenaan mempunyai perbezaan pendapat.

Beliau tidak mahu jadi seperti pepatah ‘alu dan lesung berlaga, yang kenyangnya ayam’ di mana perbalahan hanya akan menguntungkan pihak-pihak berkepentingan.

“Dalam pilihan raya ini kita ambil pendekatan lima perkara. Pertama, budaya politik matang dan sejahtera. Maknanya kita nak ubah politik berbalah supaya takde kerana berbalah ni merugikan orang Melayu dan orang Islam. Yang untungnya orang bukan Islam.

“Pas dengan UMNO kalau berbeza pendapat tidak apa. Kalau berbalah, macam alu dengan lesung berlaga, yang kenyangnya ayam. Maka kita bawa budaya politik matang dan sejahtera,” katanya semasa Chit Chat Bersama Ayoh Chik Presiden PAS di Felda Kerteh 4, Ketengah Jaya di sini hari ini.

Jelasnya lagi, Pas ada cara dan pendekatan sendiri yang menyebabkan parti itu tidak berminat untuk bersama BN mahupun Pakatan Harapan.

“Saya mengambil pendekatan pergi rumah Tun Mahathir, pergi rumah Datuk Seri Najib, Lim Kit Siang pun saya jumpa.

“Orang UMNO dok jumpa Najib, orang UMNO dok jumpa Mahathir. Kita beri pendapat kita, mereka kena ikut, kena dengar. Namun kalau tak nak dengar maka kita bertanding sendirilah,” ujarnya.

Merdeka Center: BN tawan 100 kerusi, HARAPAN 83


PRU14 | Beberapa jam sebelum pusat pengundian dibuka pagi esok, badan kaji selidik Merdeka Center menjangkakan BN akan memenangi sekurang-kurangnya 100 kerusi parlimen dalam PRU kali ini.

Di sebalik serangan sengit terhadap BN pula, Pakatan Harapan (HARAPAN) dijangka akan hanya mampu menguasai 83 kerusi, manakala PAS dua.

Bagaimanapun menurut Merdeka Center, ada 37 kerusi parlimen lain yang menunjukkan persaingan sengit.

Sebagai rekod, sesebuah parti hanya akan dapat membentuk kerajaan jika memperoleh sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Dalam keadaan itu, Merdeka Center berkata, kelebihan nampak menyebelahi BN.

"Berdasarkan dapatan di atas, kemampuan BN mengekalkan kepelbagaian sokongan di kalangan pengundi Melayu, selain peluang PAS mengekalkan sekurang-kurangnya satu per empat undi Melayu, kami menjangkakan BN akan menang dalam pilihan raya ini," katanya.

Kata Merdeka Center setakat tengah hari tadi sokongan pengundi Melayu kepada BN berada pada tahap 44.3 peratus, manakala HARAPAN berada pada tahap 27.6 peratus.

PAS pula mendapat 28.1 peratus.

Untuk sokongan pengundi Cina, BN memperoleh 15.8 peratus, HARAPAN 84.2 peratus manakala untuk PAS ia tidak begitu ketara.

BN juga mendapat sokongan 41.3 peratus daripada pengundi India berbanding 56.5 peratus buat HARAPAN, manakala PAS 28.1 peratus.

Kaji selidik melalui telefon itu dijalankan Merdeka Center untuk tempoh 9 pagi 28 April hingga 12 tengahari tadi. Seramai 1,579 pengundi berdaftar di 70 kerusi marginal di Semenanjung Malaysia terbabit dalam kaji selidik berkenaan.

Daripada jumlah itu 68 peratus ialah Melayu, 24 peratus Cina dan 8 peratus India.

[Baca berita penuh]

Monday, May 7, 2018

Ceramah Dr M bertembung konsert MOF, LADA

Anne Muhammad 
Diterbitkan 7 Mei 2018, 5:40 petang


PRU14 | Penduduk Langkawi yang sedang menjadi perhatian seluruh negara kerana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), mungkin boleh melupakan seketika persaingan sengit politik.

Ketika calon parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan ceramah, mereka yang mahukan kelainan boleh memilih menyaksikan konsert yang membariskan artis terkenal seperti Datuk Ramli Sarip.

Konsert besar-besaran akan diadakan di Langkawi pada 8 Mei ini, iaitu hari yang sama Pengerusi HARAPAN membuat ceramah penutup kempennya di Pulau Mahsuri itu.

Bekas Perdana Menteri itu dijangka akan membuat ceramah penutup kempen HARAPAN di Langkawi yang akan disiarkan secara langsung di semua majlis ceramah gabungan itu di seluruh negara bermula jam 9.30 malam.
Dr Mahathir juga disebut-sebut akan menjadi perdana menteri buat kali kedua jika HARAPAN berjaya menawan Putrajaya pada PRU14.

Sementara itu, selain Ramli, Konsert #Langkawi Hebat itu akan itu akan menampilkan artis terkenal seperti Datuk Dj Dave, Dayang Nurfaizah, Joe Flizzow, Ruffedge, Ayda Jebat, Ernie Zakri, Zahirah Macwilson dan Achey Boyey.

Konsert Anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Kementerian Kewangan Malaysia itu akan diadakan di Dataran Lang, kira-kira 3.6 kilometer dari jarak ceramah Dr Mahathir berucap.

Selain itu, terdapat juga pertunjukan bunga api dan cabutan bertuah menawarkan hadiah motosikal, telefon bimbit, permainan Play Station dan banyak lagi

Sunday, May 6, 2018

Gagasan Sejahtera yakin potensi menang 112 kerusi

FUAD AHMAD
05 MAY 2018

KUALA LUMPUR: Gagasan Sejahtera melahirkan keyakinan awal untuk memenangi 112 kerusi Parlimen sekali gus mampu menerajui negara dengan simple majority.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, PAS yakin untuk memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata demikian semasa sidang media khas di Pejabat Agung PAS, di Jalan Raja Laut sebentar tadi.

Beliau yang juga jurucakap rasmi Gagasan Sejahtera memaklumkan bahawa perkembangan positif daripada 196 pusat kempen di seluruh negara meyakinkan PAS untuk mencapai sasaran untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Kata beliau, keyakinan PAS ini didorong oleh jentera PAS yang menjalankan kempen dengan kaedah turun padang untuk bertemu pengundi secara langsung.

Gagasan Sejahtera yang dianggotai oleh PAS meletakkan 158 calon untuk bertanding kerusi Parlimen di seluruh negara.

PAS memerlukan sekurang-kurang 112 kerusi untuk mencapai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan tanpa bergabung dengan mana-mana parti politik lain.

Tawar calon berkaliber

Beliau juga memaklumkan bahawa calon-calon Gagasan Sejahtera terdiri daripada kalangan profesional, tokoh-tokoh agama dan mantan pegawai kanan kerajaan yang sesuai untuk mengemudi kerajaan pasca PRU14.

Katanya, menurut seorang penganalisis Astro Awani, Gagasan Sejahtera memiliki calon PhD paling ramai di kalangan parti politik yang bertanding pada PRU14

PAS telah meletakkan 17 calon yang memiliki PhD dengan 9 calon bagi kerusi Parlimen dan 8 calon bagi kerusi Dun di seluruh negara.

PAS juga seperti yang dilaporkan oleh laman web Malaysia Sejahtera telah menghantar seramai 60 peratus calon yang dikira sebagai profesional.

 – HARAKAHDAILY
    5/5/2018

Friday, May 4, 2018

'Bukan salah BN, barang dah naik sejak zaman Jepun'

Anne Muhammad 
Diterbitkan 4 Mei 2018, 8:47 malam

PRU14 | Calon BN Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad berkata BN tidak boleh dipersalahkan berkaitan kenaikan kos harga barangan yang meningkat setiap tahun kerana perkara itu juga berlaku di tempat lain sejak zaman Jepun.

Nawawi berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan pengundi daerah berkaitan kenaikan kos sara hidup di pulau pelancongan itu.

“(Kenaikan) yang itu di mana-mana, harga kos barang bukan sahaja hari ini tapi sejak zaman Jepun kos sentiasa meningkat.

“Ia bukan kerana parti tapi faktor ekonomi, formula ekonomi begitu. Tiap-tiap tahun harga akan naik, gaji akan naik, pendapatan juga akan naik, mana ada barang turun harga, yang tu rakyat dah faham,” katanya pada Majlis Helang, Hebatkan Langkawi anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di Telaga Walk, Jalan Pantai Chenang, Langkawi, hari ini.

Nawawi sebelum itu menggesa pengundi di Langkawi memilih parti yang boleh memajukan negeri tersebut dan bukannya berdasarkan personaliti.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini, Langkawi bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Nawawi dan Zubir Ahmad dari PAS.

Nawawi sendiri mengakui terdapat pengundi di Langkawi yang memilih calon kerana sayangkan Dr Mahathir berbanding BN yang mahu membangunkan daerah itu.

“Yang penting kena pilih parti kerana parti yang bawa ke arah lebih baik. Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) dia tak boleh buat apa. Calon yang ada dah berumur berbanding calon yang kita ada.

“Kalau nak pilih, pilihlah orang boleh buat kerja, kena ada tenaga dan kena ada masa,” katanya.

Nawawi juga berpesan agar rakyat Langkawi lebih mengutamakan masa depan pulau itu berbanding sentimen terhadap Dr Mahathir.

“Walaupun kita sayang Tun tapi sayang tu hendaklah sebagai seorang manusia. Tapi sayang kita, mestilah pada masa depan Langkawi,” katanya.

Daim, Rafidah rakyat boleh terbaring Jika didedah kemungkaran zaman Dr. Mahathir

Mohamad Shofi Mat Isa
04 Mei 2018 11:22 AM

KETUA Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (duduk kiri) ditemani Ketua Wanita UMNO Pekan, Datuk Zalmah Abdul Rahman (berdiri,belakang) beramah mesra dengan masyarakat Orang Asli sempena Program Salam Sayang bersama penduduk Orang Asli di Kampung Arong di Chini, Pekan hari ini. - UTUSAN ONLINE/MAHATHIR ALI

PEKAN 4 Mei - Rakyat di negara ini boleh ‘terbaring’ jika mereka didedahkan dengan kemungkaran yang dilakukan semasa era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz.

Ketua Wanita Barisan Nasional ( BN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, rakyat pasti akan terkejut kerana pelbagai kemungkaran dilakukan bekas tiga pemimpin negara itu.

“Kami (Wanita BN) yang menyokong mereka walaupun berdepan pelbagai skandal, hari ini mereka tuding jari kepada orang lain pula.

“Mungkin mereka ini cemburu dengan kejayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, jadi mereka mem-buat pelbagai tohmahan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Salam Sayang Bersama Penduduk Orang Asli Kampung Arong di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Roslin Abdul Rahman dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pek-an, Datuk Zalmah Abd. Rahman.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-