-02/09/2017
Oleh : Khairul Nizam Abdullah
KUALA NERUS – PAS menegaskan bahawa peningkatan kos sara hidup dan harga barangan serta perkhidmatan, adalah berpunca dari penguatkuasaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).Ahli Parlimen Kuala Nerus Dr. Ustaz Khairuddin Aman Razali berkata, banyak sungutan yang timbul dikalangan rakyat hari ini berkait tindakan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) itu.
“Kita mengatakan bahawa punca kepada kenaikkan kos hidup ini adalah GST. Itu realiti walaupun cuba dinafikan oleh kerajaan,
“Kerajaan mengatakan ketika mana hendak memperkenalkan GST bahawa berlaku inflasi sekitar dua peratus sahaja dalam tempoh dua tahun pertama,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Korban Perdana Dan Kenduri Rakyat di sini semalam, Jumaat, 1 September.
Menurutnya, kadar inflasi meningkat daripada 3.1 peratus pada Januari 2017 kepada 4.5 peratus pada bulan Febuari tahun yang sama.
Katanya, kadar tersebut terus bertambah pada bulan Mac sehingga 5.1 peratus.
Namun, apa yang paling dirasai oleh rakyat ialah kata beliau, peningkatan harga makanan dan minuman, termasuk yang dijual di gerai-gerai tepi jalan.
“Jadi PAS mengatakan bahawa perlu kerajaan mengkaji balik GST walaupun ternyata kerajaan mendapat pendapatan yang banyak melalui GST tapi duit yang banyak itu datang daripada poket rakyat dan yang terkesan dengan perkara ini bukannya orang kaya tapi orang miskin,
“Tapi itulah kita sebut pada awal diperkenalkan GST bahawa walaupun cukai ini dikenakan kepada orang kaya dan juga orang miskin dengan hujah orang kaya lebih banyak membeli berbanding orang miskin,
“tapi kesan global daripada GST tetap akan kena pada semua orang kaya dan juga miskin. Kerana itulah kita menuntut kerajaan untuk ‘review’ balik dan kena hapuskan GST ni dan kembali kepada konsep asal,” tegas beliau.
Justeru katanya, PAS menekankan peri pentingnya kerajaan untuk berhemah dalam berbelanja kerana peningkatan hutang kerajaan persekutuan begitu ketara sekali tahun 1997 sampai sekarang, 655 billion.
“Walaupun mendapat pendapatan yang besar daripada GST tetapi kalau perbelanjaan tidak dikawal maka peningkatan hasil negara macamana sekalipun tidak akan menyelesaikan masalah kerana masalah kita bukan pada ‘income’ yang kurang tetapi pada cara berbelanja yang boros,
“Apa yang kita mahu ialah keberkatan ekonomi. Bukan hanya pendapatan bertambah tetapi tidak berkat. Jika rakyat mengeluh, dimanakah barakahnya?,” soal Ustaz Khairuddin.
Oleh itu, beliau menggesa rakyat menilai realiti yang wujud menjelang pada PRU ke-14 akan datang.
Katanya, PAS menawarkan kepada rakyat kehidupan sejahtera bersama Islam dan sesungguhnya hanya Islam boleh menyelamatkan rakyat dan negara daripada kemelut ekonomi yang sedang dihadapi pada hari ini,
Beliau turut mengambil kesempatan pada hari ini untuk mengucapkan selamat hari raya pada seluruh rakyat di parlimen Kuala Nerus khususnya dan seluruh umat Islam di Malaysia dan di dunia secara umumnya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.