Monday, October 16, 2017

Pejuang kebenaran tak perlu takut, kata Zamihan

Presiden Aswaja Zamihan Mat Zin berkata Islam menetapkan setiap pemerintah itu boleh ditegur mahupun dinasihati. Gambar Facebook, 16 Oktober, 2017.

PEJUANG kebenaran tidak perlu takut dan gentar, kata pendakwah Zamihan Mat Zin , menambah beliau sudah menjangka tauliah mengajarnya di Selangor akan ditarik balik, lapor Watan-Online.

Kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang ditahan reman dan disiasat mengikut Akta Hasutan susulan tindakannya mengkritik Sultan Johor berhubung dobi Muslim, dipetik sebagai berkata semangat dan perjuangannya untuk agama tidak tergugat.

“Seorang pejuang kebenaran tidak perlu takut dan gentar terhadap dugaan yang berlaku. Ia juga tidak perlu khuatir tentang nyawanya yang akan terancam kerana dia berjuang semata-mata untuk akhirat.

“Saya selaku rakyat biasa akur dengan keputusan Tuanku kerana ia hak Tuanku. Namun, tindakan itu tidak sama sekali ‘melucutkan’ ilmu dan semangat perjuangan akidah saya,” katanya dipetik daripada Watan-Online.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mengarahkan Majlis Agama Islam Selangor untuk menarik balik tauliah serta jawatan sebagai ahli Jawatankuasa Pentauliahan yang disandang Zamihan di negeri itu.

Zamihan yang juga presiden Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah Malaysia (Aswaja) berkata Islam menetapkan setiap pemerintah itu boleh ditegur mahupun dinasihati.

“Akhir zaman, kemiskinan ahli sunnah wal Jamaah begitu terserlah. Kita ketandusan pemimpin yang sanggup berjuang semata-mata kerana akidah.

“Marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah. Takutlah Allah dan ingatlah balasan akhirat. Pasti hidup kita beroleh berkat,” katanya kepada Watan-Online.

Zamihan ditahan pada Rabu lalu dan direman selama dua hari selepas satu video kenyataannya yang didakwa mengkritik Sultan Johor mengenai isu "kedai dobi untuk orang Islam" tersebar di media sosial.

Beliau dibebaskan daripada tahanan reman pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata Zamihan disiasat kerana didakwa menghasut dalam ceramah yang mengkrtik Sultan Johor itu.

Dalam video berkenaan Zamihan berkata "tidak betul" untuk menyekat kedai dobi seperti itu.

Zamihan yang merupakan pegawai agama Jabatan Penjara yang dipinjamkan dari Jakim, menafikan kenyataannya itu mengkritik atau menghina Sultan Johor.

 – 16 Oktober, 2017.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-