Showing posts with label Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Show all posts
Showing posts with label Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Show all posts

Tuesday, February 18, 2025

Kalau nafsu pimpin hak asasi, binatang pun terkalahkan

harakahdaily.net
February 18, 2025

Normalisasi lelaki berpakaian, berperwatakan wanita

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa supaya pihak bertanggungjawab mengambil langkah sewajarnya terhadap mana-mana orang lelaki berpakaian wanita serta menunjukkan ciri-ciri kewanitaan yang dilarang oleh agama.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, perkembangan golongan sebegini harus ditegah sebelum semakin merebak dan meruncing pada masa akan datang.

“Pihak JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) harus memanggil dan menasihati segelintir pempengaruh lelaki yang berpakaian dan berperwatakan wanita kerana ia adalah satu kesalahan yang besar di sisi agama,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelas Ahli Parlimen Pokok Sena itu, ia juga suatu kesalahan yang jelas dalam beberapa enakmen negeri termasuklah Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

Maka katanya, sewajarnya suatu tindakan yang tegas diambil bagi memastikan kejadian sebegini tidak berulang pada masa akan datang sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja.

“Nabi SAW pernah memberikan peringatan tegas yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA; “Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki” (Riwayat Al-Bukhari, Abu Daud, Al-Tirmizi dan Ibn Majah),” katanya memetik hadis Nabi SAW.

Sebelum ini menurutnya, negara pernah dikejutkan dengan perbuatan seorang lelaki yang menyerupai wanita menunaikan umrah di Tanah Suci.

Malangnya beliau berkata, kelompok sebegini terus berleluasa melihatkan ketiadaan ketegasan pihak berkuasa untuk menangani isu ini.

Dewan Ulamak PAS Pusat juga tegasnya, menolak pandangan sesetengah pihak bahawa isu itu harus dihormati di atas prinsip hak asasi manusia.

“Sayugia diingatkan bahawa hak asasi bagi seseorang manusia ditegakkan hanya dengan patuhnya mereka dengan ajaran agama Islam. Kalau nafsu yang memimpin hak asasi, maka binatang pun akan terkalahkan!” peringatnya. 

HARAKAHDAILY 18/2/2025

Friday, February 14, 2025

Penghinaan kepada sistem pentadbiran dan Perlembagaan

harakahdaily.net
February 14, 2025

Tersirat dan licik, buka ruang manipulasi


KANGAR: Cadangan untuk memisahkan portfolio Menteri Hal Ehwal Agama kepada dua bahagian bagi Islam dan bukan-Islam bukan sahaja dangkal, malah satu penghinaan terhadap sistem pentadbiran negara serta asas Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Penerangan PAS Negeri, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil berkata, usaha tersebut jelas berniat jahat, berbahaya kepada keharmonian negara, serta membuka ruang kepada manipulasi politik yang merosakkan kestabilan masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Perlembagaan telah menetapkan urusan agama Islam di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, dan hal ehwal bukan-Islam sudah mempunyai saluran sendiri melalui Jabatan Perpaduan Negara serta agensi berkaitan.

“Cadangan pemisahan ini tidak lebih daripada agenda licik untuk melemahkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, dan kita tidak akan membiarkan usaha sebegini berlaku,” tegas beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Negeri.

Terdahulu, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui mencadangkan pemisahan portfolio Menteri Hal Ehwal Agama dengan alasan kononnya mahu memastikan keadilan dalam pengurusan agama serta memperkukuh perpaduan.

Namun, cadangan tersebut sebenarnya hanya mengundang reaksi kurang senang pelbagai pihak yang dilihat menjurus kepada perpecahan dan membuka ruang kepada campur tangan luar dalam urusan pentadbiran agama Islam.

Sementara itu, pakar Perlembagaan Negara, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz turut menempelak cadangan tersebut dengan menegaskan bahawa dokumen sejarah Perlembagaan tidak pernah membincangkan mengenai pelantikan menteri untuk agama bukan-Islam.

Cadangan pemisahan portfolio ini muncul selepas kontroversi berkaitan garis panduan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) mengenai kehadiran umat Islam dalam perayaan bukan-Islam, yang akhirnya diputuskan oleh Kabinet untuk tidak diteruskan.

Namun, tindakan Yu Hui ujar Asrul Aimran, membuktikan wujudnya agenda tersirat yang perlu ditentang habis-habisan oleh umat Islam di negara ini.

 – HARAKAHDAILY 14/2/2025

DAP mahu negara ikut acuan sekular ‘Malaysian Malaysia’

harakahdaily.net
February 14, 2025

PADANG BESAR: Ketua Pemuda PAS Perlis, Haziq Asyraf Dun mempersoalkan motif di sebalik cadangan pemisahan portfolio Menteri Hal Ehwal Agama kepada dua bahagian, masing-masing untuk Islam dan bukan-Islam.

Menurut beliau, sistem sedia ada sudah cukup untuk memastikan keharmonian antara agama di Malaysia, sejajar dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Malaysia sudah ada Menteri Hal Ehwal Agama yang menguruskan hal berkaitan Islam, manakala Kementerian Perpaduan boleh menyelaras dan menjaga keharmonian di antara penganut agama yang ada di Malaysia.

“Jadi, mengapa perlu ada pemisahan portfolio menteri agama?” katanya kepada Harakahdaily, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri menegaskan, asas kenegaraan telah dibina sekian lama harus dihormati oleh semua pihak.

“Kita hidup dalam negara masyarakat majmuk, tetapi kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan hak Bumiputera perlu difahami serta diterima,” tambahnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui mencadangkan supaya portfolio Menteri Hal Ehwal Agama dipisahkan kepada dua bahagian kononnya bagi memastikan keadilan dalam pengurusan agama serta memperkukuh perpaduan.

Cadangan ini timbul susulan keputusan Kabinet untuk tidak meneruskan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai penyertaan umat Islam dalam perayaan bukan-Islam.

Menurut Haziq, cadangan tersebut menimbulkan persoalan sama ada ia sebahagian daripada usaha membawa agenda ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan oleh DAP.

“DAP kini dilihat semakin berani membawa agenda mereka, seperti yang jelas dinyatakan dalam laman web rasmi parti itu, di mana objektif mereka termasuk memperkukuh Perlembagaan Malaysia dalam rangka kerja sekular asalnya sebagai undang-undang tertinggi negara,” katanya.

Beliau menggesa umat Islam agar lebih peka terhadap perkembangan semasa dan memastikan asas kenegaraan yang berpaksikan Islam terus dipertahankan.

 – HARAKAHDAILY 14/2/2025

Monday, February 10, 2025

Tahun kedua penuh campur tangan ke atas Islam

harakahdaily.net
February 10, 2025

Tahun pertama tonjol pelbagai aktiviti dan tokoh Islam

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu kembali kepada matlamat asal untuk membawa perubahan negara kepada acuan Islam yang sebenar sebagai agama Persekutuan, bersesuaian dengan dasar ‘Madani’ dislogankan.

Pengerusi Sekretariat Kedaulatan Agama dan Negara, Ustaz Masridzi Sat berkata, tahun kedua kerajaan menyaksikan pemimpin bukan-Islam seperti DAP dilihat mula mencampuri urusan berkaitan kepentingan Islam dan umat Islam di negara ini.

“Walaupun di peringkat awal dipenuhi dengan kehadiran para alim ulama terkenal dari luar negara serta pelbagai aktiviti keagamaan seperti Maulidur Rasul, zikir munajat, seminar, tausiyah, ceramah pengajian dan sebagainya.

“Namun pada tahun kedua keadaan jadi berubah,” katanya pada sidang media NGO Melayu-Islam yang turut dihadiri Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali, di sini hari ini.

Juga hadir Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa dan Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali serta Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu (TAMU), Zaharah Sulaiman.

Jelas beliau, antara isu terbaru yang berlaku ialah bantahan garis panduan baru bagi orang Islam menyertai acara di rumah ibadat bukan-Islam dicadangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Bantahan dibuat oleh pimpinan DAP, MCA, MIC dan pimpinan bukan Islam dalam Kerajaan Madani, juga cara tatakelola akhlak PMX (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) yang menolak cadangan yang disokong oleh mufti ini.

“Adalah sangat merendah dan menghina JAKIM serta para mufti yang menyokong garis panduan ini. Ditambah lagi dengan isu-isu sensitif seperti kapal perang China di Pulau Pinang dan kibaran bendera China di Teluk Intan,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa rakyat beragama Islam di negara ini untuk membuka mata dan sedar mengenai perkembangan yang berlaku ketika ini.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat yang beragama Islam agar lebih peka dan sensitif terhadap isu-isu yang merbahaya kepada agama dan negara termasuklah berani menegur, berani bersuara dan berani membantah.

“Sebarang dasar atau peraturan yang boleh mengancam, memudaratkan dan melemahkan Islam dan umat Islam dalam negara ini,” katanya. 

– HARAKAHDAILY 10/2/2025

Garis panduan: Ulama buat bukan suka-suka

harakahdaily.net
February 10, 2025
MARAN: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa umat Islam memerlukan garis panduan yang jelas dalam menghadiri upacara keagamaan bukan-Islam.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, isu tersebut bukan perkara baharu kerana garis panduan seumpama itu telah wujud sejak tahun 2015.

”Sama juga Menteri Agama minta supaya dibuat peraturan. Yang terbaru ni isu mengunjungi, menghadiri upacara keagamaan. Kena ada satu garis panduan. Yang bantah (itu orang) bukan-Islam, itu yang peliknya.

“Yang bantah DAP. Yang bantah MCA. Padahal garis panduan dah lama ada tahun 2015 lagi dah ada,” katanya dalam ceramah di Markaz Al-Khidmat PAS Kawasan Maran, Taman Embun Mutiara, Kampung Awah, di sini malam semalam.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang itu, menjelaskan bahawa umat Islam perlu terikat dengan pelbagai syarat dalam kehidupan beragama, termasuk dalam soal ibadah, perkahwinan, dan akidah.

“Orang Islam ini dia terikat dengan syarat. Nak buat apapun kena ada syarat. Sembahyang ada syarat sah, syarat batal. Wuduk ada syarat sah, ada syarat batal. Perkahwinan suami isteri ada syarat sah, ada syarat batal perkahwinan.

“Iman kita, akidah kita, ada syarat batal iman, ada syarat sah iman. Bukan perjanjian saja ada syarat sah batal. Semua dalam Islam ni terikat dengan syarat dia,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Cheka itu turut menegaskan bahawa menghadiri majlis agama bukan-Islam perlu berlandaskan syarat tertentu yang telah digariskan oleh pihak berautoriti agama.

“Syarat ni bukan nak menyusahkan, (tetapi ia untuk) nak memandu. Oh ni ada yang kata ini syarat menyebabkan kita polemik kaum di Malaysia? Perpaduan kita dibentuk selama ini dengan syarat ini menyebabkan dia akan timbul masalah?

“Hei, peraturan ini untuk menyelamatkan, untuk jadi garis panduan. Semua benda kena ada garis panduan. Nak langgar? Langgarlah. Tapi ingat ada yang larangan boleh merosakkan akidah,” tegasnya.

Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa peraturan yang dibuat oleh pihak seperti mufti dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bukan untuk menyusahkan, tetapi untuk menjaga akidah umat Islam.

“Sebab itu ulama-ulama, para mufti ke, JAKIM ke, dia buat peraturan ni bukan suka-suka. Bukan suka-suka supaya nak selamat. Ada benda boleh, ada benda tak boleh.

“Yang boleh pergilah. Tak ada masalah. Tapi upacara keagamaan, dia kena ada syarat. Kalau tak ada syarat, tak ada beza agama,” jelas beliau.

Beliau turut merujuk kepada kitab ‘Mustika Hadis’, yang diterbitkan ketika era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kitab ini diterbitkan, diedar, diajar di semua masjid-masjid seluruh Malaysia. Mukadimah Mustika Hadis, Mustika Hadis jilid satu, jilid dua, jilid tiga. Dalam mukadimah Mustika Hadis disebut perkara-perkara yang boleh membatalkan akidah.

“Bukan tuduh si polan-si polan, bukan. Macam kita katalah, ini perkara membatalkan wuduk. Bukan nak beritahu dia, awak tak ada wuduk dah, bukan. Nak beritahu panduan,” katanya.

Tuan Ibrahim turut menjelaskan larangan bagi umat Islam memakai pakaian yang bersifat keagamaan bukan-Islam.

“Kenapa orang Islam tak boleh berpakaian, pakaian keagamaan orang bukan Islam? Dia ada pakaian agama. Pakai agama kita tak boleh pakai. Umpama pakai salib. Tak boleh. Hatta kita pakai pakaian keagamaan, upacara keagamaan mereka tak boleh.

“Ada pun pakaian yang biasa macam bunga malai. Bunga malai itu menyambut tamu, menghormati tamu. Itu tak apa. Tidak salah. Tapi pakaian agama tak boleh,” katanya lagi.

Beliau turut menekankan bahawa Islam adalah agama yang menghormati hak beragama bagi penganut agama lain.

“Macam gereja zaman Qibti, zaman kerajaan ratus tahun sebelum kebangkitan Nabi Muhammad. Gereja itu masih ada sampai sekarang di Mesir. Islam memerintah Mesir lama, zaman Saidina Umar al-Khattab. Tak runtuh pun gereja itu.

“Pasal apa? Kerana Islam menjamin hak beragama masing-masing. Tak ada masalah. Biara, Yahudi masih lagi ada di banyak negara Islam. Pergi ke Indonesia, Borobudur tu masih ada. Masih ada sampai ke hari ini. Walaupun Islam dah lama bertapak di Indonesia.

“Pasal apa? Kerana kita memelihara, menghormati hak beragama. Islam tak paksa orang bukan Islam masuk Islam, kerana paksa jadi munafik. Islam tak terima akidah orang munafik,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa garis panduan perlu ada bagi memandu kehidupan manusia dalam pelbagai aspek.

“Sebab itu saya mukadimahkan tadi dengan satu ayat dan kita pun doa setiap waktu sembahyang wajib minta satu je. Ihdinassirotol mustaqim. Ya Allah tunjukkanlah kami jalan yang lurus.

“Tuan-tuan setiap rakaat sembahyang kita wajib baca Fatihah. Sembahyang apa pun, sembahyang mayat yang tak ada doa iftitah. Fatihah wajib baca.

“Sembahyang mayat yang rukuk tak ada, sujud tak ada. Tempat sayalah, sini saya tak tahu. Sembahyang mayat rukuk tak ada. Fatihah wajib baca,” katanya.

Tuan Ibrahim menegaskan bahawa umat Islam perlu sentiasa memohon petunjuk kepada Allah dalam setiap aspek kehidupan.

“Dalam Fatihah kita minta satu, Ihdinassirotol mustaqim. Ya Allah tunjuklah pada kami jalan yang betul. Jalan yang lurus. Jalan menyampaikan kita pada reda Allah Subhanahu wa Ta’ala.

“Tak kiralah tuan-tuan nak masuk line mana. Jalur politik ke, jalur ekonomi ke, jalur pertanian ke, jalur nelayan ke, mana pun kena ada jalan masing-masing.

“Islam memandu kita. Nak politik, masuklah politik. Tapi bukan politik maki hamun, cerca, bukan,” tegas beliau mengakhiri kenyataan.

 – HARAKAHDAILY 10/2/2025

Saturday, February 8, 2025

Kerajaan dituntut nyata pendirian, hormat Majlis Fatwa

harakahdaily.net
February 7, 2025

Mengenai garis panduan sambutan perayaan agama bukan Islam
Afnan Hamimi Taib Azamudden

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mempertikaikan pendirian kerajaan berhubung Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Garis panduan ini yang berpandukan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bertujuan memastikan akidah umat Islam terpelihara di samping mengekalkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden, menzahirkan kebimbangan terhadap sikap kerajaan yang dilihat tidak mengangkat garis panduan ini sebagai sebahagian daripada dasar rasmi negara.

Menurutnya, kenyataan bersama dua kementerian mengenai isu ini menimbulkan persoalan besar mengenai sejauh mana kerajaan menghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan serta peranan Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Majlis Fatwa Kebangsaan merupakan badan autoriti yang memberi panduan kepada umat Islam dalam isu-isu berkaitan akidah dan amalan agama.

“Pengabaian terhadap keputusan badan ini bukan sahaja menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam, malah berpotensi mencetuskan sensitiviti agama yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, Pemuda PAS Malaysia menuntut agar kerajaan menyatakan secara jelas pendirian rasmi mereka terhadap garis panduan ini dan menjelaskan mengapa ia tidak dijadikan sebahagian daripada dasar negara.

Selain itu, katanya kerajaan perlu memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa agama seperti JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri untuk melaksanakan fatwa dan garis panduan tanpa campur tangan politik.

“Pemuda PAS Malaysia juga mahu dialog terbuka dan berstruktur antara kerajaan, pihak berkuasa agama, serta badan bukan kerajaan diadakan bagi memastikan sensitiviti agama dihormati dan prinsip Islam terus dijunjung dalam pentadbiran negara,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan perlu dihormati dan dipertahankan dalam setiap dasar serta tindakan kerajaan demi memastikan kedaulatan Islam terpelihara, tanpa menjejaskan keharmonian negara. 

– HARAKAHDAILY

Friday, February 7, 2025

Garis panduan batal, Jakim boleh nasihat tapi ‘tak bersifat dasar’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 7, 2025 2:18 PM
Kabinet memutuskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah dalam acara bukan Islam di rumah ibadat mereka.

Bagaimanapun, nasihat tersebut tidak bersifat dasar.

Keputusan mesyuarat itu diumumkan oleh menteri agama Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan Aaron Ago Dagang dalam kenyataan bersama sebentar tadi.

Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah kontroversi rancangan penggubalan garis panduan baru, antaranya supaya penganjur mendapatkan kebenaran pihak berkuasa agama Islam, jika peserta melibatkan orang Islam.

Na’im dan Aaron tidak menyatakan dengan jelas sama ada rancangan penggubalan garis panduan baru itu dibatalkan.

Bagaimanapun terdapat media Cina, memetik sumber, yang melaporkan bahawa rancangan itu sebenarnya dibatalkan.

[Berita penuh menyusul]

Garis panduan JAKIM adab sambut perayaan bukan Islam untuk lindungi akidah

bharian.com.my
Februari 7, 2025 @ 8:44am


Satu daripada enam nilai teras Malaysia MADANI adalah Hormat, merujuk kepada 'perilaku budi bahasa kepada kekayaan tradisi, merayakan kemajmukan dan meraikan perbezaan pandangan dunia'.

Teras murni ini pasti menjadi rujukan, pedoman dan panduan kerajaan serta agensinya bagi mewujudkan satu tatakelola kerja atau peraturan baharu hendak diwujudkan.

Atas faktor ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang mewujudkan garis panduan bagaimana adab dan larangan bagi orang Islam menyambut perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mohktar menjelaskan, cadangan garis panduan itu masih dalam proses libat urus bersama pihak berautoriti, sekali gus tidak wajar menjadi isu politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menegaskan Kabinet akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Timbul keanehan di sini apabila terdapat segelintir komuniti bukan Islam bertindak menentang cadangan diwujudkan garis panduan baharu daripada JAKIM ini serta bersikap 'lebih sudu daripada kuah' berbanding umat Islam.

Sedangkan sasaran JAKIM mewujudkan garis panduan ini adalah khusus untuk orang Islam dan tidak membabitkan bukan Islam.

Sudah pasti JAKIM melihat kepentingan garis panduan ini mengikut Perkara 3 Perlembagaan yang menegaskan Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman di mana-mana bahagian Persekutuan.

Perkara 11 pula menyatakan: 'Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya serta tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya'. Kebebasan ini membentuk perpaduan kukuh antara kaum dan dibuktikan dengan keamanan dikecapi rakyat selama ini.

Justeru, sepatutnya tidak timbul rasa prejudis komuniti bukan Islam apabila JAKIM hendak mewujudkan garis panduan mengenai kehadiran umat Islam dalam majlis atau acara membabitkan bukan Islam.

Dalam Islam, ada peraturan tertentu mengenai jenis pergaulan dibenarkan, terutama dalam konteks agama dan kepercayaan. Garis panduan itu bertujuan membantu umat Islam terutama pemimpin berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam serta cara menghormati prinsip agama mereka, tanpa melanggar batasan syariat.

Garis panduan ini juga memberi panduan bagaimana umat Islam boleh berinteraksi dengan bukan Islam dengan cara sopan dan beradab, tanpa menyinggung perasaan atau menyebabkan konflik untuk menjaga keharmonian masyarakat pelbagai agama dan budaya.

Ini kerana sesetengah acara mungkin mengandungi unsur bertentangan syariat Islam, maka garis panduan ini membantu umat Islam membuat keputusan bijak memilih jenis majlis atau acara patut dihadiri serta mana perlu dielakkan.

Jelas di sini, prejudis yang berbangkit adalah disebabkan kekeliruan sesetengah pihak mengenai prinsip 'boleh dan tidak boleh' umat Islam boleh terbabit dalam sesuatu acara atau majlis bukan Islam.

Prinsip asas garis panduan itu adalah untuk melindungi umat Islam daripada pengaruh yang boleh mengganggu kehidupan beragama mereka, bukan menyekat kebebasan perhubungan antara kaum.

Thursday, February 6, 2025

Siapa DAPSY untuk campur tangan hal syariat Islam?

harakahdaily.com
February 6, 2025

Buka jalan kepada lebih banyak provokasi terhadap Islam?

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa kenyataan DAPSY membantah garis panduan kehadiran umat Islam ke majlis agama lain adalah satu bentuk campur tangan yang biadab dan tidak bertanggungjawab.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, tindakan mereka jelas menunjukkan keangkuhan serta kejahilan mereka dalam memahami kedudukan Islam di negara ini.

“Garis panduan yang ditetapkan bukanlah satu bentuk sekatan yang menindas, sebaliknya satu keperluan untuk memastikan akidah umat Islam sentiasa terpelihara.

“Malaysia adalah sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, dan segala keputusan berkaitan agama ini dibuat oleh pihak berautoriti seperti Majlis Fatwa Kebangsaan serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Siapa DAPSY untuk mempertikaikan hal ini? Apakah hak mereka untuk campur tangan dalam urusan umat Islam sedangkan mereka langsung tiada autoriti dalam perkara ini?” persoalnya dalam satu kenyataan.

Pemuda PAS tegasnya, tidak akan berdiam diri apabila ada pihak luar yang cuba menekan umat Islam dengan agenda liberal melampau.

Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, kenyataan DAPSY bukan sahaja memperlihatkan keangkuhan mereka, malah seolah-olah mahu mencabar kedudukan Islam di negara ini.

“Adakah mereka mahu membuka jalan kepada lebih banyak provokasi terhadap Islam? Atau mereka memang tidak pernah belajar dari kesilapan sebelum ini?” persoalnya.

Pemuda PAS juga katanya, ingin mengingatkan bahawa umat Islam tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba menafikan hak umat Islam untuk menjaga kesucian agamanya.

Afnan berkata, sekiranya DAPSY benar-benar mahu bercakap soal keharmonian, mereka seharusnya menghormati garis panduan telah ditetapkan dan bukan sibuk mempertikaikan sesuatu yang bukan urusan mereka.

“Jika mereka masih berkeras, kami tidak akan teragak-agak untuk bertindak lebih tegas bagi memastikan Islam tidak diperkotak-katikkan oleh pihak yang berkepentingan politik.

“Cukup-cukuplah dengan sikap kurang ajar sebegini. Jangan cuba bermain api dengan umat Islam di Malaysia. Kami akan terus mempertahankan agama ini walau apapun yang terjadi,” tegasnya. 

– HARAKAHDAILY 6/2/2025

Friday, January 24, 2025

Acara Harith Iskander di Dewan Filharmonik Petronas dibatal

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 24, 2025 9:37 PM
Laman web Dewan Filharmonik Petronas mengumumkan pembatalan acara pelawak Harith Iskander pada 25 Jan.

Ini berlaku selepas Harith membuat catatan Facebook menyentuh isu sandwic ham yang kontroversi.

Laman web itu berkata pihak yang membeli tiket untuk acara itu boleh menukarnya dengan persembahan lain di tempat itu atau persembahan Orkestra Filharmonik Malaysia.

Pemegang tiket juga boleh memohon bayaran balik melalui kaedah pembayaran asal, kata laman web itu.

Pengumuman itu, yang ditandatangani oleh pengurusan dewan, berkata pertukaran dan permohonan bayaran balik mesti dibuat selewat-lewatnya pada 8 Feb.

Harith mendapat kritikan daripada netizen selepas dia bergurau mengenai “ham sap kopi” - sejenis kopi yang ditawarkan di sebuah restoran.

Pada Ahad (18 Jan), dia menyiarkan gambar menu kedai kopi dengan keterangan, “Saya sangat keliru. Iman saya tergugat.

“Kopi ini akan membawa saya ke jalan yang salah dalam banyak cara.

“Bukan sahaja menggoda saya untuk menjadi 'hamsap' tetapi juga mengelirukan saya dengan perkataan ‘ham’ di dalamnya. Ni untuk minum atau makan (ini untuk minum atau makan)?

“Saya mesti membuat laporan polis kerana saya sangat lemah sehingga kehilangan semua keupayaan untuk menggunakan logik. Siapa lagi yang keliru?” tulisnya.

Menu ini difahamkan merujuk kepada kopi masin tetapi perkataan "ham sap" juga digunakan dalam bahasa sehari-hari untuk merujuk kepada seorang yang miang.

Seorang lagi pelawak dikenali sebagai Shahrol Shiro membuat laporan polis dan membidas Harith kerana dikatakan membuka ruang untuk orang ramai menghina dan mempersendakan Islam.

Polis sejak itu telah membuka siasatan terhadap Harith.

Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) akan memanggil Harith kerana posting Facebooknya mengundang komen seorang wanita yang disifatkan menghina Nabi Muhammad.

Jakim juga telah membuat laporan polis terhadap pelawak itu, kata ketua pengarahnya Sirajuddin Suhaimee.

Monday, September 9, 2024

Sebelum Teresa, MCA juga ‘terkam’ isu sijil halal

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 9, 2024 2:15 PM
Beberapa jam sebelum Naib Pengerusi DAP Teresa Kok membantah cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mempertimbangkan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol, rakan sejawatannya dari MCA Wee Jeck Seng juga membuat perkara yang sama.

Bagi ahli Parlimen Tanjung Piai itu, dasar Jakim berkenaan akan menyusahkan perniagaan bukan Islam dan pada masa yang sama mendedahkan ketidakberkesanan pemimpin DAP dalam menjaga hak masyarakat bukan Islam.

Bagaimanapun, memandangkan kenyataan medianya pada 6 Sept, yang dikeluarkan sebelum Kok, hanya dalam bahasa Cina, media berbahasa Inggeris dan Melayu tidak menyerlahkannya, justeru dia terselamat daripada “serangan” yang diterima Kok.

Wee mengkritik kerajaan campuran Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung dasar yang mencabuli kebebasan dan hak masyarakat bukan Islam.

Dia seterusnya mempersoalkan sama ada pemimpin DAP dalam kabinet ada mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan kepentingan masyarakat bukan Islam.
Sambil mengingatkan bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama, Wee berkata langkah mandatori berdasarkan agama tertentu adalah tidak adil kepada masyarakat lain.

“Sama ada untuk memohon pensijilan halal atau tidak harus merupakan keputusan yang dibuat oleh perniagaan berdasarkan permintaan pasaran dan pertimbangan komersial mereka.

“Kerajaan tidak sepatutnya mengenakan syarat ini, lebih-lebih lagi restoran dan syarikat ini bukan untuk memenuhi keperluan pengguna Islam,” katanya.

Kedua-dua Wee dan Kok mengulas cadangan Jakim untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi atau alkohol.
Sama seperti pendirian pemimpin DAP itu, Wee juga berhujah bahawa tindakan tersebut akan meningkatkan beban operasi perniagaan.

Bagi Kok, tindakan itu akan mengundang cemuhan antarabangsa, Wee pula berhujah bahawa dasar sedemikian akan menghalang pembangunan pelbagai pasaran dan memberi kesan kepada imej antarabangsa negara.

Katanya, dasar itu juga boleh diperluaskan kepada restoran sayuran (vegetarian), dewan makan agama Buddha, dan juga kedai makanan kesihatan, yang pelanggan utamanya terdiri daripada bukan Islam. Ini, menjadikan pensijilan halal mandatori itu sebagai langkah yang tidak perlu.

Wee juga mengkritik proses pensijilan halal yang rumit dan memakan masa, yang akan meningkatkan kos operasi dan seterusnya memberi kesan kepada kebebasan perniagaan pengendali bukan Islam.

"Proses pensijilan yang menyukarkan semasa telah menyebabkan banyak perniagaan yang pening kepala, dengan sesetengahnya akhirnya berputus asa untuk memohon. Jika ini diwajibkan, akibatnya mungkin lebih teruk," katanya.

Wee juga memberi amaran bahawa jika kerajaan terus melaksanakan dasar berasaskan agama itu, ia boleh menjejaskan imej antarabangsa Malaysia, khususnya di kalangan pelancong dan pelabur asing.
"Pengumuman perbincangan atau rancangan yang kerap untuk dasar sedemikian akan memberi gambaran bahawa Malaysia sedang menuju ke arah menjadi sebuah negara satu agama, yang secara langsung akan menjejaskan pelaburan asing dan pelancongan," katanya lagi.

Sehubungan itu, Wee menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan kepentingan semua rakyat semasa menggubal dasar dan mengekalkan intipati Malaysia sebagai sebuah negara berbilang budaya bagi memastikan keyakinan pelaburan domestik dan asing serta kestabilan sosial.

Friday, September 6, 2024

'Wajibkan sijil halal akan tambah beban peniaga, malukan negara'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 6, 2024 6:15 PM
Cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

"Apabila kerajaan mewajibkan premis makanan mempunyai sijil halal, ia dilihat akan menambah beban kepada perniaga kecil.

“Walaupun banyak restoran tidak menyediakan daging babi atau alkohol, mereka tidak memohon pensijilan halal. Ini termasuklah ribuan pengusaha restoran kecil Melayu.

"Pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambah kos pentadbiran. Pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela, membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, dan bukannya dilaksanakan secara paksa yang akan menambah kesukaran operasi perniagaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilapor mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.
Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, menjelaskan ada beberapa langkah yang perlu diambil sebelum ia boleh dilaksanakan.

“Ketika ini tiada undang-undang mewajibkan pengusaha restoran atau syarikat makanan memiliki sijil halal.

“Apabila katakan kita nak mewajibkan semua (restoran) ada sijil halal, beberapa akta ataupun undang-undang itu perlu perlu dipinda.

“Banyak agensi akan terlibat untuk menguatkuasakannya,” katanya.

Pilihan pengguna

Mengulas lanjut, Teresa berkata pengguna berhak memilih sama ada untuk mengunjungi restoran yang telah disahkan halal atau tidak.

"Pensijilan halal secara mandatori akan menghadkan fleksibiliti perniagaan dan mempengaruhi kebebasan pilihan pengguna.
"Pengawalan yang berlebihan ini bukan sahaja mengekang kebebasan pengurusan perniagaan tetapi juga tidak menghormati kehendak pengguna," tambahnya.

Katanya, Malaysia pada masa ini tidak mempunyai undang-undang sedemikian dan pelaksanaan mandatori ini bercanggah dengan undang-undang sedia ada serta mungkin memerlukan pindaan kepada pelbagai undang-undang.

“Lebih penting lagi, campur tangan ini bertentangan dengan semangat kebebasan ekonomi dan autonomi perniagaan yang sering dianjurkan oleh kerajaan, dan akan memberi kesan negatif kepada kerajaan perpaduan.

“Jika pensijilan halal ini diwajibkan, ia bukan sahaja akan mencetuskan reaksi negatif dalam negara, malah mungkin memalukan negara kita di peringkat antarabangsa," katanya.

Tuesday, September 3, 2024

Tiada penempatan baru pegawai Jakim di jabatan kerajaan

malaysiakini.com
Shakira Buang
Diterbitkan: Sep 3, 2024 3:29 PM
Kerajaan berkata tiada sebarang penempatan baru melibatkan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di jabatan-jabatan kerajaan.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata isu tersebut bahkan sudah dijelaskan oleh Jakim pada 7 Ogos lalu ekoran salah faham yang timbul daripada program audio siar (podcast) sebelumnya.

Kata Fahmi, keadaan kemudian semakin mengelirukan apabila Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) membuat kenyataan mengulas isu tersebut.

“Sebenarnya perkara ini telah dijawab oleh pihak Jakim pada 7 Ogos yang lalu susulan kenyataan seorang aktivis hak asasi manusia dan peguam dalam satu podcast yang telah disiarkan pada waktu itu.

“Bagaimanapun MCCBCHST telah mengeluarkan kenyataan baru dan ini telah menimbulkan satu keadaan yang kita anggap berlaku salah faham,” katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.

Fahmi merujuk kepada siaran YouTube The Zaid Ibrahim yang menampilkan tetamunya, Siti Kasim.

Jakim sebelum ini sudah mengeluarkan kenyataan bagi menafikan dakwaan dibuat peguam terbabit.

Fahmi juga memberitahu Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar akan bertemu dengan MCCBCHST untuk menjelaskan isu tersebut.

Semalam, MCCBCHST melahirkan kebimbangan bahawa penempatan pegawai Jakim di jabatan kerajaan boleh menjejaskan perlembagaan, dari aspek hak asasi yang dijamin oleh Perkara 5 hingga 13 Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, kumpulan itu dalam kenyataan media menganggap penglibatan Jakim dalam penggubalan dasar kerajaan untuk memastikan ia sejajar dengan prinsip Islam adalah di luar bidang kuasa agensi berkenaan.

Bahkan mereka menganggap ia mungkin tidak berperlembagaan kerana boleh menjejaskan hak asasi yang dijamin kepada semua rakyat negara ini.

Fahmi berkata dasar penempatan pegawai Jakim itu bukanlah isu baru kerana ia sudah dilaksanakan pada 2006 dan 2007 lagi.

Malah katanya ada antara anggota kabinet sekarang merupakan sebahagian daripada jemaah menteri yang terlibat dalam keputusan berkenaan hampir 20 tahun dulu.

Tegas Fahmi, penempatan pegawai Jakim itu juga tidak pernah menyentuh soal dasar dalam sesuatu kementerian.

Katanya matlamat asal penempatan pegawai terbabit ialah bagi membantu kerajaan terutama dari segi integriti atau pun pengisian kerohanian dalam sesebuah kementerian.

“Jadi, tuduhan yang dibuat oleh beberapa pihak ini tidak patut dilontarkan kerana ia tidak berasas,” tegasnya.

Mengenai keperluan untuk MCCBHST disiasat kerana didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah, Fahmi berkata, kerajaan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sekiranya ada laporan dibuat.

“Ini menyentuh aspek penguatkuasaan, saya tidak memberi komen dalam isu ini dan seperti kelazimannya sekiranya pihak penguatkuasaan ada menerima laporan maka mereka akan disiasat,” katanya.

Monday, September 2, 2024

Kenyataan MCCBCHST 'berbau hasutan' — Presiden peguam Muslim

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 2, 2024 6:32 PM
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Muhamad Hisham Marzuki menyifatkan kenyataan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) terhadap penempatan pegawai agama Islam di jabatan kerajaan sebagai tindakan yang 'berunsur hasutan'.

Katanya mengurangkan syiar Islam kepada sekadar upacara bersifat Islamofobia.

“Tindakan oleh pihak-pihak tertentu yang terus memainkan propaganda bahawa apa sahaja berkaitan Islam atau syariah tidak mempunyai tempat dalam ruang awam di negara kita yang tercinta, kecuali untuk tujuan upacara kecil, berbau Islamofobia, yang berakar umbi daripada kebencian terhadap umat Islam dan badan agama di Malaysia,” katanya.

Menurut Muhamad Hisham tindakan kerajaan yang didakwa itu tidak melanggar perlembagaan atau pencerobohan hak.
Dia memberi maklum balas terhadap kenyataan MCCBCHST yang menyuarakan kebimbangan mengenai laporan yang menyatakan bahawa pegawai daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan ditempatkan di jabatan kerajaan bagi memastikan keputusan selaras dengan prinsip Islam.

“Tindakan ini berpotensi menjejaskan jaminan perlembagaan termasuk hak asasi yang dijamin oleh Perkara 5 hingga 13, yang juga membentuk struktur asas perlembagaan,” kata kumpulan tersebut.

Malaysiakini sedang mendapatkan penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar dan Jakim berhubung laporan ini.

Sementara itu, Muhamad berkata Islam terkandung dalam sumpah Yang di-Pertuan Agong, menurut Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan.

Dia juga merujuk kes Lina Joy, yang mendapati Islam itu "cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia.”

Muhamad turut memetik kes Herald yang menetapkan kewajipan persekutuan untuk menggalakkan umat Islam mematuhi amalan Islam.

“Persepsi dalam kenyataan MCCBCHST tersebut mengelirukan pemahaman awam dan tidak selaras dengan kedudukan Islam seperti yang dipegang dalam kes-kes yang telah diputuskan di atas,” katanya.

Thursday, March 19, 2020

Covid-19: Kempen bacaan Yaasin, Al-Kahfi malam ini



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyeru umat Islam di negara ini menggunakan peluang malam Jumaat ini agar berdoa menghadapi wabak Covid-19.

Serentak pada 24 Rejab 1441H ini juga, orang ramai digalakkan melakukan solat hajat dan berdoa di rumah masing-masing ketika Malaysia berada di kedudukan teratas kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan negara ASEAN.

“Munajat agar dunia diselamatkan daripada wabak Covid-19. Digalakkan membaca surah al-Kahfi juga,” dipetik daripada poster Jakim yang dikongsi warga maya.

Setakat 12 tengah hari tadi, jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 sudah mencecah 900 kes dengan sebanyak 110 kes baharu.

Daripada jumlah kes baharu itu, 63 kes daripadanya adalah daripada kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Sementara itu, seramai 20 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan mereka kini memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam masa sama, 15 individu sudah dibenarkan pulang hari ini sekali gus kes pulih sepenuhnya berjumlah 75 kes.

Untuk rekod, Malaysia pada masa ini berada di tangga teratas di Asia Tenggara negara paling tinggi kes Covid-19 dan ke-18 di peringkat dunia.

Kedudukan Malaysia bagi wabak berbahaya itu mengatasi Singapura dengan setakat jam 7.30 malam ini berjumlah 313 kes diikuti Indonesia (311) dan Thailand (272), Vietnam (76) dan Brunei 75 kes.

Saturday, April 27, 2019

Restoran, kedai kek gagal tunjuk sijil halal

MyMetro
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


RESTORAN terkenal dan beberapa premis yang menjual kek di Perlis dikesan gagal mematuhi prosedur penyediaan makanan halal yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Azizan Sulaiman berkata, premis berkenaan gagal menunjukkan sijil halal selain penyediaan makanan di dapur meragukan pihaknya.

“Mereka mengambil orang Islam bekerja untuk menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan di meja makan tetapi di bahagian dapurnya sangat meragukan pengguna Islam.

“Saya bukan mahu menimbulkan isu perkauman, tetapi perkara ini agak sensitif dalam kalangan umat Islam dan premis itu seharusnya berusaha mendapatkan sijil perakuan halal daripada JAKIM sekiranya benar mereka tidak menghidangkan makanan dan minuman yang meragukan.

“Saya ada bertemu dengan pengusaha premis dan mereka mendakwa, walaupun tukang masak bukan beragama Islam, namun mereka tidak meletakkan bahan berunsur haram dalam makanan, tetapi apa salahnya jika mereka mengikuti prosedur JAKIM dan dapatkan sijil perakuan halal untuk dipamerkan kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui di sebuah majlis di Dataran Sheikh Ahmad, hari ini.

Azizan berkata, pemilik premis itu perlu lebih peka kerana tindakan mengambil pekerja Islam khususnya di bahagian perkhidmatan pelanggan seakan memperdayakan pengguna.

Katanya, pihaknya menggesa supaya setiap pengusaha makanan di negeri ini tidak menipu pelanggan dan lebih jujur ketika mengendalikan premis kepada orang awam.

“Di pihak kami tidak boleh mengambil langkah drastik untuk menutup premis kerana tiada enakmen negeri khusus yang membenarkannya.

“Tetapi saya mengingatkan kepada pengguna supaya selepas ini untuk lebih peka sebelum mengunjungi restoran atau premis yang tidak mempunyai logo halal atau gagal mempamerkan sijil perakuan halal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 10:19 AM

Wednesday, March 13, 2019

Unit pemantau Jakim terima 10,000 aduan hina Islam

Bernama
-March 13, 2019 9:21 AM
Unit pemantau Jakim menerima 10,000 aduan berkaitan penulisan menghina dan provokasi kepada agama Islam di semua platform media.

SEREMBAN:  Unit pemantau di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerima kira-kira 10,000 aduan berkaitan penulisan menghina dan provokasi kepada agama Islam di semua platform media termasuk media sosial sejak unit itu ditubuhkan minggu lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata setiap aduan yang diterima akan diteliti dan ditapis rapi terlebih dahulu bagi menentukan kesahihannya, kerana ada juga aduan yang diterima melibatkan “akaun palsu”.

“Itulah yang akan kita tapis dan kita tengok secara teliti, tapi saya kira yang lebih merisaukan ialah jumlahnya yang begitu besar dan seolah-olah menjadi-jadi. Ini adalah satu perkara yang tidak sihat,” katanya kepada pemberita di sidang media pra pelancaran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2019, semalam.

“Kadang kala kita tengok ahli politik di sebelah pembangkang, mereka dilihat terlalu ekstrim kadang-kadang sehingga menghukum orang bukan Islam. Mungkin dengan itu menimbulkan keadaan di mana ada ‘tindak balas’ dan ini semua perkara tidak sihat,” tambahnya.

Ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan haram Lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sempena Hari Wanita, Sabtu lepas, Fuziah berkata sambutan hari wanita itu dicemari oleh kumpulan yang membawa agenda tersendiri.

“Ini satu perkara yang amat dikesali, seharusnya tidak berlaku dan mengapa mereka membawa agenda mereka sendiri dalam sambutan Hari Wanita. Pendirian kita di Jabatan Perdana Menteri, kita kesal perkara itu berlaku,” katanya.

Monday, March 11, 2019

LGBT cemar imej Malaysia negara Islam, kata Jakim

Diterbitkan pada 11 March 2019

Jakim komited membantu golongan yang terjebak dengan budaya LGBT melalui program rawatan dan pemulihan dari semasa ke semasa. 
Foto AFP

PUTRAJAYA, 11 Mac — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menolak sebarang usaha untuk mengiktiraf lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam negara.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata pendirian itu selaras dengan pendirian Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia tidak boleh menerima sistem nilai yang diamalkan di negara barat iaitu LGBT, dan perkahwinan sama jenis.

“Sejak dahulu lagi LGBT tidak diterima di negara kita. Jangan ada mana-mana pihak yang cuba mencemarkan imej Malaysia sebagai negara Islam,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata demokrasi tidak bermaksud semua orang boleh buat apa yang disukainya, lebih-lebih lagi apa yang diperjuangkan bertentangan dengan undang-undang, ajaran agama, nilai dan norma masyarakat Malaysia.

“Jakim merasa kesal dengan tindakan sekumpulan peserta perarakan Hari Wanita Antarabangsa di Kuala Lumpur pada Sabtu yang menyokong golongan LGBT dalam negara.

"Pendirian sama juga turut ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang melarang sebarang usaha untuk mempromosi LGBT,” tambahnya.

Mohamad Nordin berkata Jakim komited menangani dan membantu golongan yang terjebak dengan budaya LGBT melalui program rawatan dan pemulihan yang dijalankan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai pihak.

Media sebelum ini melaporkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Women’s Aid Organization (WAO), Sisters In Islam (SIS) serta penyokong LGBT menyertai perhimpunan sempena Hari Wanita Sedunia berhampiran sebuah pusat membeli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Sabtu.

Perhimpunan itu difahamkan tidak mendapat kebenaran pihak polis. 

Bernama

Saturday, January 12, 2019

Denda hingga RM5 juta jika kelirukan pengguna dengan status halal

Oleh BERNAMA


Mana-mana pihak yang cuba mengelirukan pengguna dengan status halal boleh didenda sehingga tidak melebihi RM5 juta jika kesalahan pertama dilakukan oleh suatu pertubuhan perbadanan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara tersebut adalah berpandukan Perintah Perihal Dagangan (Takrifan Halal) 2011.

“Jika kesalahan dilakukan oleh bukan pertubuhan perbadanan, ia boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama,” katanya lagi.

Tambah Mohamad Nordin, peniaga dan pengusaha seharusnya mempunyai sensitiviti yang tinggi untuk membangun perusahaan dalam memenuhi keperluan pengguna Islam dan bukan Islam di negara ini. Sementara masyarakat pengguna pula hendaklah memilih hanya premis yang mempunyai sijil halal yang diyakini sah sahaja.

Beliau mengulas laporan Bernama pada 7 Jan berhubung kenyataan Presiden Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor (Permas) Ayob Abd Majid yang mencadangkan Jakim perlu mewajibkan pengusaha restoran untuk memiliki sijil halal sebelum beroperasi.

Jelas Mohamad Nordin, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) adalah bersifat sukarela dan bukan suatu kewajipan bagi pengusaha premis makanan dan ia adalah berpandukan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) dan (Takrif Halal) 2011.

Setakat ini, tiada peraturan yang mewajibkan mana-mana syarikat untuk mendapatkan SPHM daripada Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), tambah beliau.

“Cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal kepada semua premis makanan memerlukan pandangan daripada pelbagai pihak,” katanya lagi.

Mohamad Nordin menasihatkan semua pengusaha restoran dan pengeluar produk makanan supaya mendapatkan sijil halal daripada Jakim bagi memastikan jaminan halal dan kualiti makanan yang disediakan di samping meningkatkan keyakinan pengguna.

BERNAMA
Berita penuh https://malaysiadateline.com/denda-hingga-rm5-juta-jika-kelirukan-pengguna-dengan-status-halal/

Saturday, October 6, 2018

Serbuan khalwat: Para mufti berbeza pendapat

Diterbitkan 6 Okt 2018, 7:01 petang


Para mufti dari Perak, Pahang dan Negeri Sembilan membantah kenyataan Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Mujahid Yusof Rawa mengenai pihak berkuasa perlu menghentikan operasi serbuan di premis persendirian.

Bagaimanapun, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor dilaporkan berkata mempertahankan Mujahid.

Bercakap kepada BH Online, Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata Mujahid tidak memiliki kuasa terhadap penguatkuasa agama pada peringkat negeri yang melaporkan kepada jabatan agama Islam di negeri masing-masing.

“Beliau sebenarnya hanya menteri yang menjaga hal ehwal JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), hal-hal agama seperti penguatkuasaan terletak di bawah negeri.

“Sebenarnya pegawai penguatkuasa tidak boleh secara sewenang-wenangnya membuat serbuan atau operasi di rumah persendirian...hanya selepas menerima aduan baharu mereka boleh bertindak,” katanya.

Tanggungjawab pihak berkuasa cegah maksiat

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, dilaporkan bersetuju menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk mencegah maksiat.

"Orang berkhalwat selalunya buat ditempat tertutuplah... Jadi kalau tak boleh tegah biarlah orang buat maksiat, tak perlu undang-undanglah, kita laksanakan undang-undang ini sudah lama, tiada masalah pun.

"Kita yang salah jika kita tidak cegah, kita kena cegah maksiat dimana pun," jelas Harussani dipetik Sinar Harian.

Mujahid dalam wawancara bersama The Star hari ini berkata pihak berkuasa agama tidak patut membuat serbuan bagi mencegah misalnya orang Islam daripada minum arak atau berkhalwat di ruang peribadi mereka.

Walaupun penguatkuasaan serbuan maksiat di bawah bidang kuasa negeri, Mujahid dilaporkan berkata beliau sedang berbincang dengan pihak berkuasa agama negeri untuk melaksanakan dasar persekutuan, Islam membawa rahmat ke seluruh alam.
Sementara itu, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor pula dipetik BH Online berkata mungkin menteri itu berpendapat sesiapa yang melakukan zina atau khalwat tidak seharusnya diaibkan dengan tindakan penguatkuasaan.

“Malah dalam Islam kita dilarang untuk membuka aib kepada masyarakat. Ini kerana mereka yang melakukannya cuba untuk tidak mendedahkannya.

“Manusia tidak boleh lari daripada melakukan dosa dan ada di antara mereka yang terpaksa melakukannya dan ia dilakukan dalam keadaan tersembunyi. Mungkin itu yang dimaksudkan Mujahid berkenaan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau memberi contoh kisah Nabi Muhammad SAW yang mana ada sahabatnya yang membuat pengakuan berzina.

"Namun Rasul cuba untuk tidak melayan pengakuan itu dengan mengelak setiap kali dia cuba mengaku.

“Seseorang tidak seharusnya memalukan dirinya dengan mengaku melakukan dosa dan orang lain juga tidak perlu menghebahkannya sekiranya mengetahuinya.

“Sebaliknya sebagai seorang Muslim kita sepatutnya membantu individu itu kembali ke landasan yang betul,” jelas beliau, petik BH Online.

Wan Salim menyarankan penguatkuasa jabatan agama supaya memberi amaran kepada pengusaha hotel untuk melarang pasangan yang belum berkahwin daripada menginap bersama.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-