Friday, November 17, 2017

Mahathir mungkin tanding PRU14, kerusi pilihan: Putrajaya atau Langkawi


Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad berkemungkinan besar akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kata Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Ujarnya, Dr Mahathir akan bertanding untuk mendapatkan kedudukan di Parlimen.

"Saya rasa Dr Mahathir akan menawarkan dirinya sebagai calon, kerana dia adalah pembawa obor kami.

"Mengikut cakap-cakap, terdapat kemungkinan besar beliau akan bertanding di Langkawi, walaupun beliau diminta untuk bertanding di Putrajaya," ujarnya dipetik The Star.

Awal bulan lepas, Dr Mahathir sendiri memberi bayangan untuk bertanding di Putrajaya pada PRU14.

“Ya, mungkin saya akan bertanding di Putrajaya,” katanya ringkas.

Abdul Rashid merupakan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pada itu optimis bahawa PPBM akan meletakkan calon di 38 kawasan pada PRU14 akan datang dan beliau akan bertanding bagi merebut kerusi Kota Bharu.

"Jumlah ini lebih banyak daripada kerusi yang DAP menang pada pilihan raya lepas. Kami tiada pilihan, kerana adalah parti yang mengetuai Pakatan dalam mendapatkan sokongan Melayu.

"Kami juga beranggapan diri kami sebagai ketua dalam mendapatkan sokongan rakyat kepada pembangkang," katanya lagi.

Abdul Rashid juga menjelaskan PPBM akan meletakkan lebih ramai calon di kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, Johor dan Perak.

Tambahnya, calon paling ramai adalah di Kedah yang merupakan negeri kelahiran Dr Mahathir serta Johor - kawasan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kata beliau lagi, untuk mendapatkan kebenaran bertanding kerusi DUN yang banyak, PPBM terpaksa melepaskan hasrat bertanding lebih banyak kerusi parlimen.

"Kami mungkin tidak dapat apa yang kami mahukan, tetapi tidak mengapa kerana kami akan bertolak ansur," ujarnya lagi.

- mD

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-