Tuesday, December 5, 2017

Annuar gesa rakyat abaikan dusta pembangkang

Oleh: NAJAMUDDIN MOHD NOR
5 DIS: Rakyat Malaysia tidak patut termakan hasutan pembangkang yang mempolitikkan siasatan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat berkaitan dengan 1 Malaysian Development Berhad (1MDB).

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa menegaskan, masih ramai rakyat Malaysia terkeliru dan tidak faham peranan DoJ Amerika Syarikat dalam menyiasat perkara yang telah melanggar peraturan di negara tersebut.

“Jawatankuasa Kira Wang Negara (PAC) telah sebut dan segalanya telah ada, segalanya telah kita bincang beratus kali dan banyak lagi perkara lain tak pernah kita bincang secara terperinci seperti 1MDB.

“Sebenarnya ramai orang mudah menimbulkan kesilapan, sebenarnya sama ada DOJ di US, Singapura atau pun di mana sahaja, mereka semua bertindak dengan apa yang ada pada undang-undang di negara mereka dan 1MDB atau Malaysia tidak pernah protes.

“Kita tidak boleh mengikut rentak pembangkang bukan sahaja nak cari salah tetapi nak mengecam Perdana Menteri dalam konteks hits kempen mereka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di PWTC, pada Selasa.

Menurutnya, DoJ Amerika Syarikat telah melakukan amalan biasa dalam prosedur operasi standard terhadap perkara yang telah menyalahi peraturan di negara itu.

“Rules of law di tiap-tiap negara itu mesti berjalan, tapi ramai orang tak paham. Semuanya konteks pelanggaran undang-undang dalam negara mereka.

“Bukan soal 1MDB dan bukan pihak yang patut untuk dipertanggungjawabkan.

“Tapi kalau ada perkara yang terkait tapi berlaku di negara mana-mana maka proses negara itu akan berjalan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, 1MDB telah menunjukkan prestasi yang baik dalam agenda pembangunan di negara.

“Seperti juga dengan kita, kita jalankan 1MDB dalam negara kita dan mengikut ‘frame work’ dalam negara kita, resolusi perniagaannya berjalan terus.

“Dan kita tahu 1MDB sedang lakukan yang terbaik. Nilai pembangunan kasar untuk TRX dan Bandar Malaysia menunjukkan angka yang baik, jadi 1MDB lebih menumpukan kepada potensi pembangunan dan kita akan teruskan,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu.

Reaksi Annuar itu adalah merujuk laporan terbaru DoJ yang mengumumkan badan kehakiman negara itu berjaya merampas dan menahan harta berjumlah hampir AS$1.75 bilion melibatkan 1MDB.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-