Saturday, December 9, 2017

Himpunan PWTC tamat dengan bara semangat Umno

Shakira Buang
PAU2017 | Beriringan dengan lagu Anak Kecil Bermain Api dan selawat ke atas Rasulullah SAW Perhimpunan Agung Umno (PAU) tahun ini secara rasmi melabuhkan tirainya petang tadi.

Selepas berkampung selama berhari-hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di tengah Kuala Lumpur, Menara Datuk Onn itu menjadi saksi bahawa penyokong Umno itu sanggup berhipun demi parti mereka.

Selepas semuanya berakhir mereka akan pulang membawa bersama semangat, kenangan dan harapan selepas mendapat suntikan kata-kata keramat kepimpinan tertinggi Umno.

Semangat baru itu pula melibatkan 'perang besar' yang akan dihadapi Umno pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang boleh diadakan bila-bila masa saja dari sekarang.

Seperti 70 kali pertemuan lalu, Perhimpunan Agung Umno ke-71 itu bukan parti biasa dan PAU 2017 bukanlah sekadar ritual tahunan.

Setiap kali PAU berlangsung pasti ada mesej yang disampaikan kepada anggota parti Melayu itu dan bakal pengundi di luar sana.

Presiden dapat sokongan padu

Selain menjadi medan menyuntik semangat perwakilan, anggota parti itu juga tidak melepaskan peluang untuk menghentam pihak lawan.

Berucap di ucapan penggulungan petang tadi Datuk Seri Najib Razak secara terbuka mempersendakan bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia sekali gus lagi mempersenda cadangan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk melantik Dr Mahathir menjadi perdana menteri jika mereka memenangi PRU akan datang.
Menyasarkan mesej itu lebih kepada golongan muda, presiden Umno itu berkata langkah yang betul bagi menyediakan negara untuk masa depan bukanlah memilih pemimpin masa lampau.

Najib telah menjadi presiden Umno selama sembilan tahun.

Dalam Umno beliau dilihat mendapat sokongan padu anggota parti seperti dibuktikan oleh sorakan, jeritan, laungan dan ikrar yang dibaca bersama-sama mereka sehingga bergema di dalam Dewan Merdeka itu.

Sokongan padu itu juga dapat dilihat menerusi langkah parti itu yang tidak mempertandingkan jawatan utama dalam pemilihan akan datang.

Kata-kata semangat

Usul yang dibawa Pemuda Umno dan diluluskan selepas dibahas pada hari kedua perhimpunan agung Umno. Undian dibuat melalui angkat tangan.

Pemerhatian Malaysiakini mendapati hampir semua orang yang memenuhi ruang legar PWTC memang sangat setianya kepada parti Melayu itu.

Walaun tidak mendapat tempat di dalam dewan, rata-rata mereka tidak berganjak dari layar TV yang memaparkan ucapan penggulungan presiden.
Malah kebanyakan mereka turut sebak apabila Pengerusi Tetap Umno, Tan Sri Badruddin Amiruldin mengakhiri ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno 2017 dengan kata-kata semangat yang berkobar-kobar untuk anggota parti itu terus mengekalkan kemenangan Umno bagi PRU akan datang.

Badruddin sendiri nampak sebak dan hampir menumpahkan air mata jantannya ketika melaungkan “Hidup Umno” untuk beberapa ketika selain berdoa agar kemenangan milik mereka.

Kata-kata keramat pengerusi tetap itu juga membuatkan perwakilan turut sama sebak.

Sementara itu bagi peniaga di kawasan gerai jualan di tingkat tiga PWTC, seperti biasa PAU merupakan lubuk rezeki buat mereka.

Hal itu kerana pada ketika inilah mereka mendapat laba berlipat kali ganda, lebih-lebih lagi dengan pelbagai inisiatif yang dilakukan untuk melariskan produk masing-masing.

Seperti selalu hari terakhir persidangan Umno pula menjadi medan lumba buat peniaga menurunkan harga untuk memancing pengunjung.

Tinjaun Malaysiakini mendapati, ada peniaga yang sanggup menawarkan potongan harga hingga 80 peratus untuk sesiapa yang mengikuti perhimpunan itu hingga ke saat-saat akhir.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/404995#5j4YCp5vtqqiUWpm.99

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-