Friday, December 1, 2017

Rahsia hidup mewah


KUALA LUMPUR: Rahsia anak saudara Menteri Besar Selangor mampu hidup mewah walaupun tidak bekerja terbongkar apabila dia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin bagi membantu siasatan kes melombong pasir tanpa lesen di Sungai Long, Kajang.

Demi wang, suspek yang dikenali sebagai ‘Aboy’ menjadi orang tengah bagi berurusan dengan agensi penguat kuasa dan kerajaan negeri supaya kegiatan ha­ram itu tidak diganggu.

Lebih mengejutkan, suspek berusia 37 tahun itu juga dikatakan mampu memiliki kenderaan mewah dan sentiasa bercuti di luar negara hasil wang sogokan yang diperoleh daripada syarikat-syarikat yang mahu mendapatkan projek daripada kerajaan negeri.

Bagaimanapun, salah laku ‘Aboy’ dapat dihidu SPRM apabila dia diberkas bersama tiga individu kira-kira pukul 12.30 tengah hari di sekitar sini.

Tiga individu itu terdiri daripada dua pengarah syarikat dan pengurus tapak projek yang dipercayai menjalankan kegiatan melombong pasir di Sungai Long sehingga mengakibatkan anak sungai tertimbus serta tersekat.

Seorang daripada pengarah syarikat berkenaan yang bergelar jutawan serta memiliki kawasan perlombongan itu dipercayai mendalangi aktiviti haram tersebut.

Menurut sumber, hasil maklumat awam, kegiatan melombong terbabit telah dilakukan tanpa lesen dan menimbulkan persoalan kerana tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa termasuk kerajaan Selangor.

“Lanjutan itu, satu serbuan dilakukan ke atas sebuah syarikat di Sungai Ramal dan hasil pemeriksaan mendapati perbuatan melombong atau mencuri pasir ini dilindungi oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Aboy’.

“Sehubungan itu, siasatan lanjut masih dijalankan bagi meneliti kesahihan dakwaan terhadap lelaki tersebut dan sejauh manakah penglibatannya dalam projek-projek kerajaan negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Tambah sumber, SPRM kini sedang menilai kerugian yang dialami kerajaan ekoran perlombongan pasir dan batu haram itu yang berkemungkinan bernilai jutaan ringgit.

“Ini kerana syarikat yang mengendalikan perlombongan itu dikesan tidak menghentikan aktiviti sejak 2014.

Selain itu, pegawai alam sekitar dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) yang menjalankan ujian di kawasan tersebut mengesahkan telah berlaku perlombongan pasir dan batu haram di situ,” ujarnya.

Dalam pada itu, sumber memberitahu, hasil penahanan ‘Aboy’ juga, wang tunai berjumlah RM4 juta dalam beberapa akuan milik individu dan syarikat yang disyaki bersekongkol dengannya turut dibekukan.

“Keempat-empat suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. Seramai tujuh individu termasuk pekerja syarikat dan pemandu lori sudah diambil keterangan oleh SPRM berhubung kegiatan perlombongan haram itu,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan tersebut dan memberitahu, operasi itu dilancarkan selepas pihaknya menerima maklumat orang ramai berhubung aktiviti mencuri pasir di kawasan berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

- Utusan Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-