Wednesday, July 12, 2017

Sebat: Zaid bantah, Umno sokong, PKR.....dengan syarat

Mohamad Fadli and Faiz Zainudin
 July 12, 2017

Zaid Ibrahin tidak terkejut Kelantan meluluskan RUU sebat di khalayak ramai kerana PAS tidak ada apa-apa untuk ditawarkan menjelang PRU akan datang.
PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim hari ini menyifatkan tindakan Kelantan meluluskan rang undang-undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lain membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai sebagai tindakan terdesak.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak terkejut kerana PAS tidak mempunyai apa-apa untuk ditawarkan kepada rakyat negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

“Apa yang mereka cuba jual kepada rakyat ialah PAS boleh melakukannya. Ini cuma nak tunjuk mereka Islam, oleh itu mereka mahu merotan orang di khalayak ramai,” kata Zaid kepada FMT.

Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini sebulat suara meluluskan RUU tersebut. Ia juga memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguat kuasa agama untuk menggunakan gari ke atas suspek jenayah syariah, dan membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.

Adun Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail mengalu-alukan RUU itu kerana Umno sentiasa menyokong usaha memartabatkan undang-undang syariah.

“Benda yang baik untuk umat Islam,” katanya kepada FMT, dan menambah Umno menyokong kerana tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Sementara itu, satu-satunya wakil rakyat PKR di Kelantan, Adun Guchil Mohamad Roslan Puteh berkata PKR menyokong RUU itu dengan bersyarat.

“Setuju jika menepati dan selari sebagaimana syarat dan kaedah serta perlaksanaan hukuman dalam Islam,” katanya.

Roslan sebelum ini dipuji PAS kerana menyokong Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (EKJS II) dilaksanakan di negeri itu, walaupun dikatakan mendapat tentangan daripada wakil rakyat PKR lain. EKJS II sebelum ini dilaporkan sebagai enakmen hudud, qisas dan takzir.

Ditemui pemberita di luar Dewan hari ini, Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata RUU itu diluluskan sebagai persiapan untuk melaksanakan rang undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau RUU 355, jika ia diluluskan di Parlimen kelak.

Ciri utama pindaan yang diusulkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu adalah meningkatkan hukuman maksimum untuk pesalah syariah, daripada 3 tahun penjara kepada 30 tahun, denda RM5,000 kepada RM100,000 dan 6 sebatan rotan kepada RM100,000.

Mengenai sebatan di khalayak ramai, Nik Amar berkata ia menepati kehendak agama “sebab hukuman syariah itu mesti dibuat di depan khalayak”.

Mengulas persiapan untuk RUU 355, Zaid yang menyertai DAP Februari lalu berkata itu sekadar angan-angan PAS.

“Itu sebahagian propaganda dia. PAS tidak akan batal RUU 355 tetapi ia belum dibahas lagi,” katanya.

Afiqah Farieza menyumbang kepada laporan ini

Tuduhan Anwar saya terlibat mengarut, kata Shafee

Koh Jun Lin
Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan dakwaan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa dirinya terbabit dalam penyambungan perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Makinudin sebagai mengarut.

"Anwar boleh bercakap apa sahaja yang dia suka. Saya tidak akan jawab kerana saya fikir tuduhan itu mengarut,” katanya ringkas kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai dakwaan berkenaan.

Peguam itu ditemui di luar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini.

Anwar pada Isnin lalu mempersoalkan jika Muhammad Shafee terbabit menyediakan pandangan perundangan serta asas dalam perkara itu dan menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu pada kadar segera mengesahkan perkara itu.

Jumaat lalu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa Md Raus akan menyandang jawatan Ketua Hakim Negara bagi tempoh tiga tahun bermula 4 Ogos ini selepas dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan mulai tarikh dan bagi tempoh yang sama.

Menurut kenyataan itu, pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang juga hakim tambahan, dibuat mengikut Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-raja yang bersidang pada 24 dan 25 Mei tahun ini, telah memperkenankan kedua-dua pelantikan itu.

Sabtu lalu, Badan Peguam Malaysia melabelkan pelantikan dua jawatan tertinggi kehakiman sebagai "terang-terangan menyalahi perlembagaan".

Bagaimanapun, Muhammad Shafee mempunyai pandangan berbeza dan berkata hampir semua orang menyangka Md Raus melantik dirinya sendiri dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menjadi hakim tambahan.

Namun katanya, bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria adalah orang yang melantik Md Raus sebelum beliau bersara pada 30 Mac 2017.

Dalam perkembangan lain, ketika disoal mengenai dakwaan bahawa dirinya dibayar RM9.5 juta dari akaun bank peribadi Najib bagi khidmatnya sebagai pendakwa kerajaan untuk perbicaraan liwat II membabitkan Anwar, Muhammad Shafee berkata perkara itu sudah dibawa ke mahkamah dan beliau akan menjawab di mahkamah.

"Semua mengarut, perkara itu kini di mahkamah. Jadi saya akan jumpa Anwar di mahkamah mengenai RM9.5 (juta) itu. Nanti kita lihat apakah dia betul," katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini mengarahkan Muhammad Shafee untuk menjawap permohonan Anwar untuk mengketepikan sabitan kes liwat II itu.

Antara lain, Hakim Datuk Kamaludin Md Said mengarahkan Muhammad Shafee untuk mengemukakan afidavit jawapannya hari ini.

Najib lebih berjasa berbanding 'bekas PM berdarah India'

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mendakwa beliau dihargai oleh pemimpin kaum India ramai banyak membantu masyarakat itu.

Malah katanya Presiden MIC Datuk Ser Dr S Subramaniam sendiri mengiktiraf sumbangan itu.

"Dan dia (Dr Subramaniam) menyebut bahawa saya telah melakukan lebih daripada perdana menteri-perdana menteri sebelum saya, termasuk seorang yang keturunannya dari negara India dulu," katanya.

Tanpa menyebut sebarang nama secara khusus Najib dipercayai sekali lagi menyindir bekas ketuanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini menjadi antara pengkritik paling lantang kerajaan.

Pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun, nenek moyang Dr Mahathir dikatakan berasal dari Kerala, India.

Pernah bertegas supaya Najib dilantik sebagai perdana menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad suatu ketika dulu, Dr Mahathir kini bermusuh dengan beliau.

Hubungan kedua-dua mereka kini diibaratkan sebagai berpatah arang.

Lebih kuat bersatu padu

Malah Dr Mahathir sendiri meninggalkan Umno dan menjadi orang penting Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang gigih berkempen untuk mengetepikan BN.

Kata Najib, dalam belanjawan setiap tahun kerajaan menyediakan peruntukan untuk sekolah aliran Cina dan Tamil, serta sekolah agama.

Katanya, hampir RM900 juta diperuntukkan untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara sejak beliau menjadi perdana menteri.
"Saya lakukan perkara ini sebab saya percaya inilah patut dilakukan secara adil untuk semua. Bukan setakat itu, kita akan terus menambah bilangan SJKT.

"Seperti dijanjikan pada 2013, kita janji bina enam SJKT baharu menjadikan jumlah keseluruhan kepada 530 sekolah.

"Empat sekolah dalam proses pembinaan, satu akan dibuka bulan depan dan satu lagi pada akhir tahun nanti. Semua janji kerajaan kita tepati," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Tidak dilupakan, kata Najib, ialah Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) yang membuktikan kerajaan tidak bercakap kosong, sebaliknya gigih memberikan kesejahteraan kepada masyarakat India di negara ini.

"Pelan ini bukanlah sekadar khayalan, vetti pecchi atau omongan kosong sebaliknya pelan ini adalah nijjam atau kenyataan iaitu pelan realiti pertama sebagai tindakan menyejahterakan masyarakat India.

"MIB ialah platform baik untuk mencapai kepemimpinan masyarakat India yang lebih kuat dan bersepadu,” katanya.

Perdana menteri berkata demikian ketika berucap di majlis menyemat plak dan pelancaran buku Kegemilangan 200 Tahun Pendidikan Tamil di Malaysia di SJKT Taman Permata, di Dengkil, Selangor.

Selain Dr Subramaniam, turut hadir Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-