Showing posts with label Datuk Seri Anwar Ibrahim. Show all posts
Showing posts with label Datuk Seri Anwar Ibrahim. Show all posts

Tuesday, October 22, 2024

Anwar-Prabowo perlu rentak sedegam demi manfaat rakyat serumpun

bharian.com.my
Oktober 22, 2024 @ 8:34am

MALAM sebelum Prabowo Subianto mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia kelapan, beliau dilihat memaut tangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan empat mata dan makan malam di kediaman peribadi Subianto.

Mantan Jeneral itu kemudian menunjukkan kepada Perdana Menteri sambil berkata: "Kakak saya ini..." bermaksud abang, manakala Anwar menyifatkan Indonesia di bawah kepemimpinan Prabowo sebagai sahabat sejati yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Begitulah keakraban pemimpin kedua-dua negara berjiran memiliki hubungan unik mungkin tidak ada pada negara lain. Malaysia dan Indonesia, dua negara serumpun berkongsi akar budaya, bahasa dan sejarah, tetapi melalui pelbagai era pembangunan sejak merdeka hingga kini.

Namun, dengan kepemimpinan Prabowo dan Anwar tegas dalam visi Malaysia MADANI, era baharu ini menuntut kedua-dua negara lebih sepakat dan berpadu tenaga.

Pada pertemuan lebih mirip kekeluargaan berbanding formaliti kenegaraan, Anwar dan Prabowo sempat berbincang pelbagai isu dan inisiatif memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor, mencerminkan komitmen tidak hanya mengekalkan hubungan baik, bahkan menghangatkan lagi kerjasama strategik.

Menariknya, Prabowo dengan azam menjadikan Indonesia mampu swasembada pangan bermaksud mencapai keperluan makanan sendiri hakikatnya serupa dengan tekad Anwar dalam konteks keterjaminan makanan seperti terserlah dalam Belanjawan 2025 lalu. Begitu juga sektor tenaga, kedua-dua pemimpin berkongsi idea sama apatah lagi Malaysia dan Indonesia dikurniakan sumber alam melimpah dalam sektor bahan api serta mineral termasuk unsur nadir bumi (REE). Semua ini menjadi antara ramuan penting dalam konteks ekonomi dan teknologi hijau.

Justeru, Malaysia dan Indonesia perlu rentak sedegam, langkah sepijak memanfaatkan kekayaan sumber secara lebih bijak, bukan sahaja meningkatkan usaha menghasilkan produk akhir daripada bahan mentah, bahkan memastikan kekayaan dinikmati rakyat mereka sendiri. Malah, dalam banyak hal seperti minyak sawit, suara kedua-dua negara lebih kuat berdepan percaturan gergasi ekonomi seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).

Malaysia sendiri bakal menggalas tanggungjawab Pengerusi ASEAN 2025, perlu memastikan hubungan erat dengan Indonesia terus diperkukuh, terutama dalam konteks kerjasama serantau. Sebagai dua negara utama ASEAN, kita perlukan sokongan teguh terutama Indonesia dalam melaksanakan tanggungjawab menangani cabaran serantau mahupun global seperti perubahan iklim, keselamatan makanan dan pengurusan tenaga mampan.

Apatah lagi berdepan percaturan geopolitik kuasa besar terutama antara AS dengan China yang kedua-dua rakan dagang, menuntut pendekatan diplomasi bijak sering dirujuk sebagai 'diplomasi kancil' bukan sahaja demi manfaat kepada kedua-dua negara, bahkan ASEAN keseluruhannya. Malah, suara Anwar membela Palestin berdepan serangan genosid Israel di Gaza juga senada dengan Prabowo yang turut menyatakan dukungan kemerdekaan negara itu dalam pidato perdananya.

Kita mahu melihat Malaysia dan Indonesia pada era baharu ini berpadu tenaga lebih erat, menjadikan kekuatan serumpun sebagai asas melangkah lebih jauh di pentas dunia. Pemimpin kita perlu memastikan hubungan unik ini membawa manfaat jangka panjang dengan semua pihak termasuk rakyat turut sama mendukungnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Prabowo Subianto atas pelantikannya sebagai Presiden baharu Indonesia, kelmarin. - Foto BERNAMA

Sunday, September 29, 2024

PM dahului senarai 763 penerima darjah kebesaran ulang tahun keputeraan Sultan Kelantan

bharian.com.my
Oleh Siti Rohana Idris
bhnews@bh.com.my
 - September 29, 2024 
Foto fail - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

KOTA BHARU: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendahului senarai 763 penerima darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang ke-55, di sini, hari ini.

Dalam istiadat di Istana Balai Besar, Perdana Menteri dikurniakan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama bagi darjah kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) dengan gelaran Seri Paduka.

Di majlis sama, dua individu menerima darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) yang membawa gelaran Seri Paduka.

Mereka ialah Pengerusi Kumpulan Eksekutif Apex Equity Holdings Berhad, Datuk Wira Farhash Wafa Salvador dan Ketua Pegawai Eksekutif Muhibbah Security Sdn Bhd, Datuk Mohd Khidir Yaacob.
Wira Farhash Wafa Salvador
Penerima tunggal bagi darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPK), membawa gelaran Seri Paduka dikurniakan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh.

Tiga individu menerima darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK), membawa gelaran Seri Paduka iaitu Pegawai Kewangan Negeri Kelantan, Tengku Kaya Perkasa Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal; Profesor di Jabatan al-Quran dan al-Hadith Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Mohd Yakub@Zulkifli Mohd Yusoff serta Pengarah Tanah dan Galian Kelantan, Datuk Rosnazli Amin.

Gelaran Seri Paduka bagi darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (SPJK) pula dikurniakan kepada Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Seri Nordin Muhamad dan bekas Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.
Nordin Muhamad
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pula dikurniakan darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (SPJK), membawa gelaran Seri Paduka dan menjadi penerima tunggal.
Razarudin Husain.
Duta Besar dan Wakil Tetap Malaysia ke PBB di New York, Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad pula menerima gelaran Datuk Paduka untuk darjah kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DPMK).
Ahmad Faisal Muhamad
Dua penerima darjah Kebesaran Ahli Yang Kehormat Yang Kedua DPMK yang juga membawa gelaran Datuk Paduka ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Ir Dr Ahmad Anuar Othman dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood@Johan Merican.
Johan Mahmood@Johan Merican
Lima penerima darjah kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK), membawa gelaran Datuk Paduka ialah Presiden Kelab Penyokong Kerajaan, Abd Rahman Yunus; Principal Arkitek, AR Mohd Asri Mohd Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Mohd Saripudin Tuan Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, Datuk Tengku Ab Aziz Mahmud serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat.

Ahli Yang Kehormat Yang Kedua bagi darjah kebesaran DJMK yang membawa gelaran Datuk Paduka dikurnia kepada lima penerima iaitu yang terdiri daripada ahli perniagaan serta peguambela dan peguamcara iaitu Azahar Mohd Shariff; Daniyar Kessikbayev; Law Yew Foo; Michael Kalum Moggie dan Tan Say Yap.

Ahli Yang Kedua bagi darjah kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK) yang membawa gelaran Datuk Paduka dikurniakan kepada penerima tunggal iaitu Ketua Provos Marsyal, Brigedier Jeneral Suhaimi Shamsuddin.

Tiga penerima Ahli Yang Kehormat Yang Kedua DPKK yang turut membawa gelaran Datuk Paduka ialah Panglima Markas Briged Kelapan Infantri, Brigedier Jeneral Muzamil Ali; Pengarah Rejimen Artileri Diraja, Brigedier Jeneral Datuk Norazman Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mejar Jeneral Saharudin Harun.

Tujuh penerima Ahli Yang Kedua bagi darjah kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) yang membawa gelaran Datuk Paduka ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Ab Pattah Hasbullah; Ahli Jemaah Ulama (PESARA), Abdul Kadir Muhammad dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Amran Abd Kadir.

Saturday, September 21, 2024

PM umum bantuan banjir RM10 juta buat Kedah

bharian.com.my
Oleh M Hifzuddin Ikhsan
bhnews@bh.com.my
 - September 21, 2024 @ 12:31pm
Pekerja kedai makan menyediakan makanan percuma kepada penduduk terjejas banjir di sekitar Kampung Suka Menanti, Alor Setar, hari ini. - FOTO BERNAMA

ALOR SETAR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi melaksanakan kerja baik pulih infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir di seluruh negeri ini.

Perdana Menteri berkata, jumlah itu termasuk bantuan kewangan yang disalurkan agensi Persekutuan dan negeri kepada semua mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, hari ini. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir
Katanya, Kerajaan Persekutuan akan memantau kemajuan empat projek tebatan banjir di Kedah bagi memastikan kesan kerosakan banjir dapat diminimumkan pada masa hadapan.

Berita penuh menyusul

Tuesday, September 19, 2017

Anwar dikejarkan ke HKL

Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, Anwar yang kini menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh itu dikejarkan ke HKL pada pukul dua petang tadi akibat masalah tekanan darah kurang stabil.

"Beliau kini dalam pemantauan doktor, dan turut memerlukan rawatan fisioterapi intensif akibat kecederaan lama di bahu beliau," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Anwar menggesa semua pihak untuk terus berusaha ke arah perubahan, dan sekali lagi mengingatkan PKR dan Pakatan Harapan agar memberi keutamaan kepada isu melibatkan rakyat.

Perkara itu terdahulu disahkan oleh anaknya Nurul Izzah Anwar dan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli kepada Malaysiakini.

Ketua Umum PKR itu kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan liwat, dakwaan yang menurutnya bermotifkan politik.

Beliau dijangka dibebaskan pada pertengahan 2018.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/395707#VMrihtOBFzTlTHIp.99

Sunday, September 3, 2017

Anwar mula meratapi kehilangan PAS?

PENA SELATAN 03 SEPTEMBER 2017
KENYATAAN Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 September lalu memperlihatkan bertapa beliau cukup resah dan gelisah dengan apa yang berlaku dalam PKR selepas beliau meneliti kenyataan Rafizi Ramli, Naib Presiden dan ahli-ahli yang melahirkan keresahan kerana corak cadangan kerjasama PKR dengan PAS yang dianggap samar.

Baginya keadaan itu berlarutan tanpa dimuktamadkan. Keadaan sedemikian dianggap mengelirukan dan dikhuatiri akan menjejaskan muafakat Pakatan Harapan.

Pimpinan Pakatan Harapan juga telah menjelaskan pendirian menolak kerjasama dengan PAS, kata Anwar.

Namun Anwar juga menegaskan bahawa pihaknya teguh dan kukuh bersama Pakatan Harapan sepertimana yang dizahirkan Presiden PKR, Dato Seri Wan Azizah Wan Ismail sejak awal lagi.

Sementara apa yang diusulkan dan dipersetujui Biro Politik sebelum ini adalah tidak memusuhi PAS, mengkaji kemungkinan mengelak pertarungan tiga penjuru.

Bagi Anwar pertimbangannya adalah menggembeleng seluruh kekuatan dalam menghadapi Umno-BN dalam PRU 14.

Dalam hal ini, Anwar sendiri melihat bahawa PAS bukanlah musuh, namun apa yang terzahir dalam Pakatan Harapan sangat berbeza dimana DAP, PAN, Bersatu dan Rafizi sendiri yang acap kali mewakili PKR menjadikan PAS sebagai musuh utama hatta melemparkan tuduhan kepada PAS kononnya mahu bersama Umno.

Walaupun sebelum ini berulang kali ditegaskan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa PAS tidak bersama Umno, begitu juga PAS tidak akan bersama PH kerana secara jelasnya PH tidak menghormati pendirian PAS dan dasar yang dilaksanakan PAS iaitu Islam lebih-lebih lagi semasa PAS membawa RUU55 ke Parlimen di mana PH menentangnya.

Apatah lagi label-melabel yang dikenakan ke atas PAS oleh anggota pimpinan PH cukup memeritkan malah dengan sengaja menggambarkan PAS seperti mahu bersama Umno BN.

Inilah sikap PH yang terjelma, malah menjadi amalan mereka. Melihat kepada realiti bahawa PRU14 semakin hampir, apa yang dikatakan Anwar umpama membuka pekung besar dalam PH dan PKR sendiri kerana sebelum ini rata-rata di kawasan PKR Bertanding khususnya di Parlimen Pandan yang diwakili Rafizi, jentera PAS lah yang sarat memikul tanggungjawab melaksanakan tugas berkempen dan sebagainya bagi memenangkan PKR di sana.

Begitulah juga di kawasan MB Selangor, Datuk Seri Azmin Ali di mana kawasan yang diwakilinya beliau sendiri menyedari realiti kekuatan PAS di peringkat bawah yang menyebabkan beliau juga menunjukkan kesungguhan sebelum ini melangsungkan perbincangan lanjut dengan PAS.

Namun perlu diingat, bahawa PAS telah meletakkan kata putus bahawa tiada lagi kerjasama dengan PKR mahupun PH sebaliknya PAS kekal di blok ketiga bersama Gagasan Sejahtera dengan IKATAN menjadi rakan kongsi bersama NGO yang pelbagai sifatnya menyokong gagasan ini.

Sama-sama kita nantikan lagi debaran kegelisahan Anwar dan PKR menjelang Pilihan Raya kerana umpama kehilangan pendekar tempur bilamana tiada lagi kerjasama dengan PAS. 

– HARAKAHDAILY 3/9/2017

Monday, July 17, 2017

Tun M kena jawab benarkah Anwar lakukan perbuatan luar tabii


KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada beliau masih kekal dan konsisten dengan kenyataannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan perbuatan di luar tabii seperti didakwanya pada 1998, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Banyak persoalan berlegar dalam kepala orang ramai. Pertamanya, adakah Dr. Mahathir masih kekal dengan kenyataan lamanya pada 1998 yang dia tuduh Anwar melakukan perbuatan luar tabii.

“Sehinggakan dia kata Anwar ini pemimpin yang tidak ada maruah, oleh itu tidak boleh memimpin negara.

“Semua itu kini menjadi persoalan besar rakyat, sama ada tuduhan itu tidak betul pada asalnya, ataupun beliau sanggup korbankan prinsip lamanya (demi politik), “ katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Dalam sidang media pada 22 Sept 1998 yang dibuat Dr Mahathir, perdana menteri keempat itu mendakwa Anwar terlibat dalam perbuatan liwat dan seorang peliwat tidak layak menjadi pemimpin negara.

Najib menjelaskan, selagi semua itu tidak dijawab Dr Mahathir, orang ramai akan sangsi dan bahawa ini adalah hanya mainan dan sandiwara politik yang tiada keikhlasan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, walaupun ada segelintir pihak yang tidak senang hati dengan UMNO dan kerajaan, pelbagai usaha telah dan sedang dilakukan untuk membawa negara ke tahap yang membanggakan.

Jelasnya, situasi ini adalah lebih baik berbanding kem pembangkang yang masih tidak jelas dan kelam- kabut dalam menentukan siapa yang mempunyai kuasa penentu manakala hala tuju politik yang masih tidak jelas.

Mengenai sambutan Rumah Terbuka hari ini, Najib yang juga presiden UMNO berkata sambutan luar biasa daripada masyarakat untuk bersama-sama memeriahkan adalah satu tanda keyakinan berterusan kepada parti dan kerajaan.

“Mereka datang berpusu-pusu dari pagi dan ingin bersama UMNO. Satu gambaran jelas hubungan parti dan rakyat yang tiada tembok pemisah.

“Ini kerana mereka tahu mereka boleh bersalam-salaman, berselfie dengan pemimpin UMNO. Sebagai pemimpin, kita ingin lebih rapat dan mesra dengan rakyat,” katanya

- Bernama

Saturday, July 15, 2017

Tun M: Mula proses bebas Anwar seminggu bentuk kerajaan

 AIDCNEWS
PETALING JAYA: Pakatan Harapan komited terhadap proses membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara dalam tempoh seminggu membentuk kerajaan yang akan datang.

Hasrat itu diumumkan pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri yang memimpin negara selama 22 tahun.

Dr Mahathir berkata, ia akan mengikut proses perundangan permohonan pengampunan diraja bagi membebaskan Anwar yang dipenjara kerana kes liwat.

“Kita akan tunggu perundangan untuk melakukannya, bukan serta-merta kerana perdana menteri yang mengambil alih perlu melakukan banyak perkara,” katanya pada sidang media, awal pagi Jumaat selepas mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan di ibu pejabat PKR.

Beliau berkata demikian sekiranya Anwar akan menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Anwar berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri di bawah Dr Mahathir selama lima tahun sebelum dipecat pada 1998.

Anwar, 69, dipenjara lima tahun kerana didapati bersalah melihat Mohd Saiful Bukhari, 30, di kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.

Beliau ketika ini dipenjara di Penjara Sungai Buloh.

Ditanya siapa yang akan dipilih Pakatan Harapan bagi memegang jawatan perdana menteri, Dr Mahathir berkata, mereka akan mengumumkannya tidak lama lagi 

Friday, July 14, 2017

Anwar, Dr M ketuai Pakatan, logo 'gunung' jadi pilihan

Vanesha Shurentheran and Khairil Ashraf

Gabungan 4 parti itu turut mengumumkan 7 perkara yang akan dilaksanakan dalam 100 hari pertama selepas membentuk kerajaan, termasuk memansuhkan GST.
PETALING JAYA: Gabungan 4 parti di bawah Pakatan Harapan malam tadi mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin tertinggi, di samping memilih logo baharunya yang akan digunakan pada pilihan raya umum akan datang.

Anwar diumumkan “ketua umum” dan Dr Mahathir sebagai “pengerusi”, jawatan sama yang dipegang dalam parti masing-masing.

Dalam kenyataan bersama dibacakan Dr Mahathir, gabungan itu turut mengumumkan akan mengemukakan permohonan baru untuk mendapatkan pengampunan bagi Anwar, yang kini dilarang bertanding sebagai calon pilihan raya selepas dijatuhkan hukuman 5 tahun penjara pada 2015.

“Permohonan yang dikemukakan mengikut proses undang-undang ini, dengan perkenan…Yang di-Pertuan Agong, akan membolehkan Anwar kembali mengambil bahagian semula dalam politik negara sepenuhnya,” kata kenyataan ditandatangani pemimpin tertinggi PKR, DAP, Amanah dan PPBM, selepas mesyuarat di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya malam tadi.

Antara hadir pada mesyuarat itu ialah Dr Mahathir sebagai pengerusi PPBM, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Ketika ditanya sama ada struktur baharu itu merestui Anwar sebagai calon perdana menteri, Dr Mahathir menjawab:

“Dia akan dibebaskan hasil usaha perdana menteri yang terdahulu daripadanya dan kita akan mohon supaya dia dapat pengampunan diraja dan selepas itu kita akan melalui proses undang-undang,” katanya, sambil menambah ia sesuatu yang tidak dapat dilakukan serta merta “kerana perdana menteri yang akan mengambil alih ini mempunyai tugas yang banyak”.

Sebelum ini, timbul beberapa desakan supaya Dr Mahathir menjawat perdana menteri sebelum melantik Anwar yang kini masih menjalankan hukuman penjara.

Dr Mahathir enggan menjawab sama ada rancangan itu dipersetujui PH.

“Yang itu kita akan isytihar tak lama lagi,” katanya.

“Nombor 7 akan kita isytihar,” kata Dr Mahathir merujuk perdana menteri ke-7 selepas Datuk Seri Najib Razak.

“Tapi hari ini kita isytihar nombor 8 sahaja.”

Logo baharu ‘puncak gunung’

Logo rasmi yang dipilih mewakili gabungan itu berlatarbelakang warna merah, dengan perkataan “Harapan” dibahagikan oleh sebuah segitiga di tengahnya.

“Kita besarkan A menjadi satu gunung puncak yang tinggi,” kata Dr Mahathir selepas mesyuarat itu.

Logo baharu itu sekiranya didaftarkan akan buat pertama kali digunakan pembangkang pada pilihan raya umum. Sebelum ini, parti pembangkang di bawah Pakatan Rakyat yang kini dibubarkan menyertai pilihan raya dengan logo masing-masing.

Senarai kepimpinan diumumkan hari ini hasil daripada rundingan yang memakan masa beberapa bula melibatkan pimpinan tertinggi 4 parti itu.

Selain Dr Mahathir dan Anwar, Wan Azizah dilantik menjadi presiden, dibantu timbalannya Muhyiddin (PPBM), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah).

Empat naib presiden turut dilantik mewakili setiap parti, iaitu Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Chong Chieng Jen dan Salahuddin Ayub.

Bekas timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah dilantik sebagai ketua setiausaha, manakala ahli Parlimen DAP, M. Kula Segaran dilantik bendahari.

Dalam kenyataannya, PH berjanji menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mula dilaksanakan pada April 2015, dalam masa 100 hari selepas membentuk kerajaan sekiranya menang pilihan raya umum akan datang.

Ia antara 7 janji lain yang turut menyentuh harga petrol, kos kehidupan, reformasi institusi, rasuah, 1MDB dan Felda.

“Melalui kesatuan politik di antara PKR, DAP, Amanah dan PPBM, kami akan menggembleng seluruh kekuatan rakyat untuk memenangi pilihanraya umum ke-14 dan membentuk kerajaan,” kata kenyataan itu.

Wednesday, July 12, 2017

Tuduhan Anwar saya terlibat mengarut, kata Shafee

Koh Jun Lin
Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan dakwaan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa dirinya terbabit dalam penyambungan perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Makinudin sebagai mengarut.

"Anwar boleh bercakap apa sahaja yang dia suka. Saya tidak akan jawab kerana saya fikir tuduhan itu mengarut,” katanya ringkas kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai dakwaan berkenaan.

Peguam itu ditemui di luar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini.

Anwar pada Isnin lalu mempersoalkan jika Muhammad Shafee terbabit menyediakan pandangan perundangan serta asas dalam perkara itu dan menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu pada kadar segera mengesahkan perkara itu.

Jumaat lalu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa Md Raus akan menyandang jawatan Ketua Hakim Negara bagi tempoh tiga tahun bermula 4 Ogos ini selepas dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan mulai tarikh dan bagi tempoh yang sama.

Menurut kenyataan itu, pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang juga hakim tambahan, dibuat mengikut Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-raja yang bersidang pada 24 dan 25 Mei tahun ini, telah memperkenankan kedua-dua pelantikan itu.

Sabtu lalu, Badan Peguam Malaysia melabelkan pelantikan dua jawatan tertinggi kehakiman sebagai "terang-terangan menyalahi perlembagaan".

Bagaimanapun, Muhammad Shafee mempunyai pandangan berbeza dan berkata hampir semua orang menyangka Md Raus melantik dirinya sendiri dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menjadi hakim tambahan.

Namun katanya, bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria adalah orang yang melantik Md Raus sebelum beliau bersara pada 30 Mac 2017.

Dalam perkembangan lain, ketika disoal mengenai dakwaan bahawa dirinya dibayar RM9.5 juta dari akaun bank peribadi Najib bagi khidmatnya sebagai pendakwa kerajaan untuk perbicaraan liwat II membabitkan Anwar, Muhammad Shafee berkata perkara itu sudah dibawa ke mahkamah dan beliau akan menjawab di mahkamah.

"Semua mengarut, perkara itu kini di mahkamah. Jadi saya akan jumpa Anwar di mahkamah mengenai RM9.5 (juta) itu. Nanti kita lihat apakah dia betul," katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini mengarahkan Muhammad Shafee untuk menjawap permohonan Anwar untuk mengketepikan sabitan kes liwat II itu.

Antara lain, Hakim Datuk Kamaludin Md Said mengarahkan Muhammad Shafee untuk mengemukakan afidavit jawapannya hari ini.

Monday, July 10, 2017

Khairy minta 3 tokoh tinggalkan pentas politik


KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata tiga tokoh wajar meninggalkan pentas politik tanah air kerana mereka akan terus memecahbelahkan rakyat selagi berkecimpung dalam arena itu.

Beliau berkata individu yang dimaksudkan ialah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad, pemimpin de facto Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

“Bukan maksud saya apabila kita menyatukan rakyat, semua akan beri sokongan kepada Barisan Nasional, tetapi sekurang-kurangnya tidaklah seperti mana hari ini di mana suasana politik Malaysia sangat penuh dengan keracunan, kebencian dan hasutan yang sebenarnya datang daripada tiga tokoh ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Wangsa Maju, di sini hari ini.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata Dr Mahathir dan Anwar, kedua-duanya bekas pemimpin UMNO, dilihat banyak memecahbelahkan masyarakat Melayu untuk kepentingan diri masing- masing.

Katanya Kit Siang pula bertindak menanam pemikiran sempit dalam kalangan masyarakat Melayu yang boleh membawa kepada perpecahan antara Melayu dan Cina.

Justeru kata Khairy ketiga-tiga individu terbabit harus memberi peluang kepada generasi muda daripada parti masing-masing supaya ‘masalah lama’ sejak 20 hingga 30 tahun lepas tidak dibawa ke masa depan.

“Berilah peluang untuk kita bertanding dalam keadaan aman dan bersaing dalam keadaan sihat,” katanya.

Sementara itu Khairy berkata pemimpin UMNO perlu menerapkan budaya ‘5C’ iaitu ‘clean’ (bersih), ‘competent’ (cekap), ‘compassionate’ (berbelas kasihan), ‘contemporary’ (kontemporari) dan ‘competitive’ (kompetitif) supaya parti itu terus mendapat sokongan khususnya daripada sesetengah orang Melayu yang berasakan mereka tidak lagi memerlukan UMNO.

“Ini mungkin kerana mereka tidak mendapat apa-apa daripada kerajaan atau perjuangan UMNO atau mungkin mereka dapat( faedah), tetapi berasakan mereka hebat atas sebab diri mereka sendiri.

“Mereka nak tengok pada nilai, ketrampilan , komitmen kita dan kecekapan kita. Ini politik pascamoden dan mereka mungkin tak perlu apa-apa tetapi kita perlukan mereka,” katanya.

- Bernama

Wednesday, June 21, 2017

Yayasan Hak Asasi Manusia gesa Agong bebaskan Anwar

Kumpulan advokasi Hak Asasi Manusia - Human Right Foundation (HRF) - telah menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong, menggesa baginda supaya membebaskan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

NGO yang berpangkalan di New York itu mendakwa terdapat campurtangan politik dalam kes Liwat 11 terhadap Anwar Anwar, dengan memetik tuduhan yang pendakwa utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah dibayar RM9.5 juta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mereka berkata Shafee masih belum menafikan dakwaan terhadapnya.

Surat itu ditandatangani oleh presiden HRF Thor Halvorssen, dan pengerusinya Garry Kasparov.

Putrajaya, dalam langkah mengejutkan pada 22 Julai 2013, melantik Shafee untuk mengetuai pasukan pendakwaan terhadap Anwar di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membebaskan Anwar, dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya.

Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 mengekalkan sabitan terhadap Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Sarawak Report sebelum ini mendakwa Shafee menerima RM9.5 juta daripada Najib dalam dua bayaran pada 11 September 2013 dan pada 17 Februari 2014.

Shafee pada 9 Jun berkata beliau akan membuat kenyataan mengenai perkara itu tetapi sejak itu masih belum berbuat demikian.

Kerajaan telah memberitahu Parlimen bahawa Shafee dibayar RM1,000 untuk bertindak sebagai pendakwa utama dalam kes Anwar.

Monday, June 12, 2017

PKR kata Mahathir bakal bawa kemusnahan!

KUALA LUMPUR – Perebutan kuasa yang berlaku dalam kalangan parti-parti pembangkang yang menganggotai Pakatan Harapan tidak boleh disorokkan lagi, malah semakin lama semakin meruncing.

Biro Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengeluarkan kenyataan oleh pemimpinnya, William Leong Jee Keen membidas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana cuba mengambil alih pimpinan Pakatan Harapan.

Jee Keen yang merupakan Ahli Parlimen Selayang berkata, cadangan Mahathir supaya beliau mengetuai Pakatan Harapan dengan alasan supaya pembangkang dapat memenangi undi kaum Melayu merupakan satu bencana.

“Cadangan Mahathir untuk mengambil alih kepimpinan pembangkang dan untuk PPBM menjadi parti yang dominan dalam Pakatan Harapan bagi memenangi undi Melayu tidak akan berakhir dengan kemenangan, sebaliknya bencana

“Benar adalah kritikal untuk pembangkang memenangi undi Melayu terutama di kawasan-kawasan kampung. Cara untuk memenanginya perlu dicari tetapi perlu berdasarkan prinsip, menghormati kepentingan semua dan secara konsensus. Cadangan (Mahathir) tersebut gagal dalam menghormati,” tegasnya dalam kenyataan itu hari ini.

Mengulas lanjut, Jee Keen berkata, cadangan Mahathir itu pada dasarnya merupakan satu usaha kepada penyebatian politik perkauman ke dalam Pakatan Harapan sedangkan Pakatan Harapan tidak boleh berpegang kepada konsep Ketuanan Melayu kerana ia melanggar prinsip pakatan pembangkang.

Menurut beliau, jika Pakatan Harapan bertukar daripada dasar Ketuanan Rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum kepada Ketuanan Melayu merupakan satu pengkhianatan kepada prinsip-prinsip Pakatan Harapan.

Beliau turut mengingatkan Mahathir bahawa Pengerusi PPBM itu tidak akan menjadi Ketua Pembangkang walaupun beliau berjaya mengetuai Pakatan Harapan kerana Pakatan Harapan bukan pembangkang.

Jelas beliau, Pakatan Harapan cuma `kenderaan’ untuk pembangkang yang terdiri daripada ahli reformasi, aktivis dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti BERSIH untuk memasuki kawasan kampung dan FELDA bagi mempengaruhi rakyat menentang kerajaan Malaysia.

Malah, katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memegang sebarang jawatan kerana beliau cuma `de facto’ yang memberi inspirasi kepada rakyat supaya menentang Barisan Nasional (BN).

“PPBM tidak boleh menuntut dan pemimpin Pakatan Harapan tidak boleh membenarkan Mahathir menjadi `de facto’ pakatan pembangkang kerana ia tidak akan diterima oleh orang ramai (penyokong pembangkang)

“Komitmen menahan gas pemedih mata, meriam air, keganasan polis, dipukul, ditangkap, ditahan tanpa perbicaraan, pendakwaan terpilih, penjara, penindasan dan pemulauan (sewaktu Mahathir menjadi Perdana Menteri) akan menyebabkan mereka tidak menerima dasar-dasar yang mereka telah berjuang begitu lama dan begitu sukar untuk dihapuskan,” katanya.

– Mynewshub.cc

Surat dari penjara..... Anwar tak setuju Mahathir ganti Azizah terajui PH

 BY HELME HANAFI
Orang puteh kata 'it takes a thief to catch a thief' atau bahasa kita 'hanya jauhari mengenal manikam'.

Orang lain Tun Mahathir Mohamad boleh temberang... tapi Datuk Seri Anwar Ibrahim dah masak dengan 'politik' bekas PM itu, Anwar tahu 'akal' beliau nak rampas 'command' pembangkang daripada keluarga beliau dan PKR kepada Mahathir dan PPBM.

Pagi Ahad sumber PKR memberitahu Agendadaily, Anwar menolak keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk menamakan Mahathir sebagai pengerusi gabungan tersebut walaupun beliau sendiri dinamakan sebagai ketua umum / penasihat PH manakala Ketua Pembangkang kini Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dinamakan sebagai timbalan pengerusi.

Ini kerana Anwar cukup faham, gabungan yang akan didaftarkan itu menjadikan pengerusi sebagai pemimpin rasmi manakala ketua umum hanyalah gelaran untuk penasihat.

"Dalam surat terbaru (Sabtu) Anwar tak setuju perubahan struktur PH, beliau mahu struktur lama iaitu Wan Azizah dikekalkan sebagai Pengerusi PH, dalam struktur baru yang dipersetujui oleh DAP dan PAN, Tun Mahathir merupakan Pengerusi manakala Wan Azizah Penasihat dan Anwar Ketua Umum," kata sumber tersebut.

Bantahan Anwar menyebabkan keputusan untuk mengumumkan struktur dan logo PH yang sepatutnya pada Jumaat lalu (9 Mei) tertangguh lagi.

Mesyuarat Presiden PH dijangka bersidang bagi membincangkan bantahan Anwar dan keputusan PKR pada minggu hadapan.

Pada mesyuarat pagi Jumaat yang lalu, PPBM mencadangkan Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat sebagai pengerusi dan presiden pakatan tersebut.

Cadangan PPBM itu dipersetujui sekutu lama Anwar iaitu DAP dan PAN tapi PKR mahukan tempoh untuk merujuk Anwar, dan dalam jawapan pada Sabtu, Anwar menegaskan supaya perbincangan diteruskan tapi tidak setuju Mahathir menerajui PH.

Pimpinan PKR, PAN dan DAP di kongres PKR 21 Mei lepas mengangkat plakad “Anwar PM ke-7”, manakala pimpinan PPBM tidak berbuat demikian.

Pada 1 Jun lalu, Mahathir berkata beliau akan 'mempertimbangkan' jika diminta menjadi perdana menteri PH.

Mahathir berkata beliau tidak akan membelakangkan pimpinan PH lain, maka pemilihan calon perlu mendapat persetujuan semua komponen gabungan pembangkang.

Saturday, June 10, 2017

Mungkin ada agenda tersembunyi di sebalik dakwaan RM9.5j

Geraldine Tong


Bekas ketua polis negara berkata, beliau mengesyaki ada agenda tersembunyi di sebalik dakwaan Datuk Seri Najib Razak mengeluarkan bayaran sebanyak RM9.5 juta kepada peguam terkemuka, Tan Sri Shafee Abdullah.

Menurut Tan Sri Musa Hassan, agenda itu mungkin boleh menyebabkan negara kucar-kacir atau musnah.

"Saya sangsi. Mungkin ada kepentingan tertentu dan agenda tersembunyi di sebalik dakwaan ini yang boleh membawa kehancuran atau huru-hara kepada negara," katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini.

Musa menjawab soalan media mengenai kemungkinan ada kaitan antara dakwaan portal Sarawak Report berhubung bayaran didakwa dibuat perdana menteri kepada Shafee, dan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengemukakan permohonan mengetepikan sabitan kes liwat keduanya.

Shafee - seorang peguam persendirian - dilantik kerajaan mengetuai pasukan pendakwa ketika perbicaraan kes Anwar di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Bekas timbalan perdana menteri dan pemimpin PKR itu sebelumnya dibebaskan daripada tuduhan berkenaan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari 2012.

Persoal kesahihan

Bagaimanapun keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Mac 2014.

Malaysiakini tidak boleh mengesahkan dakwaan laporan Sarawak Report itu secara bebas atau menentukan sama ada bayaran yang dikatakan itu berkaitan dengan peranan Shafee dalam kes Anwar.

Shafee pula dipetik portal FMT sebagai berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan mengenai dakwaan berkenaan pada suatu hari nanti.

Musa turut berkata, sesiapa pun yang membuat dakwaan berkenan wang itu sepatutnya melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta polis.

Untuk rekod, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini menyatakan 40 laporan polis sudah dibuat berhubung dakwaan berkenaan.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan, Musa mempersoalkan kesahihan dakwaan itu atas alasan akaun bank perdana menteri sudah ditutup ketika transaksi itu didakwa dilakukan.

Friday, June 9, 2017

Isu RM9.5 juta: Anwar fail saman batal hukuman penjara

Adam Abu Bakar
June 9, 2017

Peguam, N Surendran berkata, saman pemula itu bertujuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 yang memutuskan Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman pemula terhadap kerajaan dengan alasan beliau tidak mendapat perbicaraan adil susulan dakwaan sebuah portal baru-baru ini yang ketua pendakwa raya dalam kes liwatnya 2 tahun lalu menerima bayaran RM9.5 juta daripada perdana menteri.

Anwar yang diwakili peguam, N Surendran berkata, saman pemula itu bertujuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 yang memutuskan ketua umum PKR itu bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Dalam saman pemula ini, kerajaan Malaysia dinamakan sebagai defendan dan susulan itu mereka yang dipanggil sewaktu perbicaraan harus datang mewakili kerajaan,” katanya di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini dengan ditemani anak Anwar, Nurul Nuha Anwar dan peguam, Latheefa Koya, Sivarasa Rasiah serta Eric Paulsen.

Surendran juga berharap kes itu dapat didengar secepat mungkin kerana Anwar tidak berhak meringkuk dalam penjara walaupun sehari.

Sebelum ini, Sarawak Report mendakwa peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dilantik khas bagi mengetuai pasukan pendakwa raya dalam kes liwat Anwar, menerima RM9.5 juta daripada akaun bank peribadi perdana menteri.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014.

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi dan menyabitkan Anwar selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Anwar melakukan kesalahan itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang, pada 26 Jun 2008.

Cubaan FMT menghubungi peguam itu tidak berjaya walaupun beberapa pesanan WhatsApp sudah dihantar kepadanya.

Monday, June 5, 2017

Portal: Buat apa bayar pendakwa kes Anwar?

Sebuah portal pro-Umno cuba menangkis dakwaan Sarawak Report bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak membayar peguam terkemuka Tan Sri Shafee Abdullah sebanyak RM9.5 juta.

Dakwaan, yang mencadangkan bahawa wang berkenaan berasal dari bekas anak syarikat 1MDB, SRC International, menimbulkan kepercayaan kewujudan konspirasi politik terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di kalangan penyongkong pembangkang.
Shafee bertindak sebagai pendakwa raya dalam kes Anwar yang dituduh meliwat bekas pembantu apabila perkara itu dibawa ke mahkamah rayuan dan persekutuan.

Walau bagaimanapun, portal MyKMU.net menyifatkan dakwaan Sarawak Report sebagai "pembohongan paling teruk sekali” terhadap Najib dan 1MDB.

“Jadah apa Najib nak bayar pendakwaraya (untuk memastikan Anwar didapati bersalah) bila hakim yang buat keputusan dan memang pun kerja pendakwaraya untuk memastikan tertuduh bersalah?

“Kiri kanan, depan belakang nampak bodoh tapi sebab Pakatan (dan Mahathir) memang bodoh, apa dia peduli. Kita rakyat, jangan ikut bodoh sekali,” kata penulisnya.

Portal itu mendakwa bahawa tuduhan terbaru mendedahkan bahawa Pakatan Harapan dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohmad telah kehabisan modal untuk digunakan terhadap Najib, selain daripada 1MDB.

“Mahathir kata duit 1MDB dah lesap tapi yang dok bayar sana sini sepert dituduhi tu guna duit mana pulak?
“Jadi menjelang PRU14 yang tak lama lagi, jangan hairanlah kalau tajuk cerita ‘guna wang 1MDB’ ini akan bertambah banyak.

“Sehingga kalau Najib beli makan kucing pun puak ini akan cuba kaitkan dengan duit 1MDB jugak – pun jangan terperanjat kalau ada juga biol-biol Pakatan di luar sana yang percaya,” kata Mykmu.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas mahkamah persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhary Azlan.

Bekas ketua pembangkang yang kini meringkuk di penjara itu mendakwa, seperti pertuduhan sama yang pertama sepanjang tempoh Dr Mahathir sebagai perdana menteri, telah direkayasa oleh pesaing politiknya.

Pihak berkuasa menafikan tuduhan berkenaan.

Jumaat lalu, Anwar menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan Sarawak Report.

“Apakah tujuan dana besar ini disalur oleh Najib kepada akaun peribadi seorang peguam swasta yang dilantik oleh kerajaan Najib untuk mengendalikan pendakwaan terhadap saya?” soal Anwar.
Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata sama ada atau tidak Shafee dibayar jumlah itu, tidak memberi kesan kepada kes itu.

"Tidak, tidak sepatutnya. Satu-satunya perkara yang boleh mengubah keputusan ialah jika hakim merasakan berbaloi.

"Ia bukan seperti jika kamu bayar RM10 juta (kepada pendakwa) maka perbicaraan akan menjadi cepat, jika kamu bayar RM5 juta, perbicaraan menjadi perlahan," jelas beliau menambah pendakwa dibayar untuk mendakwa.

Pembangkang juga telah membuat beberapa laporan polis berhubung dakwaan itu.

Walau bagaimanapun, Shafee yang dilaporkan tidak sihat, belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan itu.

Saturday, May 20, 2017

AMK usul nama Anwar calon PM PRU14

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 MEI 2017
Anwar Ibrahim
SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) berhasrat untuk mengusulkan kepada parti dan Pakatan Harapan bagi menamakan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri dalam PRU14 akan datang.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kejayaan Anwar membina gerakan massa yang luas serta merentasi idologi serta berkomunikasi dengan rakyat dilihat tiada tandingan oleh mana-mana pihak lain.

"Rekod beliau sebagai Menteri Kewangan terakhir yang membawa belanjawan lebihan juga telah terbukti sebelum ini.

"Beliau juga membawa kebangkitan Islam yang sederhana serta menyatukan budaya-budaya serantau dalam gagasan gelombang kebangkitan Asia menjadikannya tokoh antarabangsa dihormati," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Kongres Nasional AMK Tahunan Ke 12 yang berlangsung di IDCC, hari ini.

Selepas dibebaskan pada tahun 2004 lalu, Nik Nazmi berkata, Anwar telah mengatur pelbagai pertemuan bagi membina kesepakatan di dalam Pakatan Harapan.

Selain itu, Nik Nazmi memaklumkan bahawa Anwar juga telah menawarkan Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) sebagai wacana tanding kepada kemelut ekonomi politik negara.

"Inilah antara kekuatan Anwar yang membolehkan beliau diberi kepercayaaan untuk memimpin arus perjuangan rakyat.

"Jika kita imbau semula sejarah hidup beliau sejak 1970-an sehingga kini, namanya tidak sunyi dalam memainkan peranan di setiap peringkat," katanya.

Tambah Nik Nazmi, generasi muda PKR seharusnya bersedia untuk mengikut langkah sama diambil Anwar bagi memantapkan Pakatan Harapan dalam mendepani PRU14 akan datang.

Thursday, April 20, 2017

Kerugian BNM: Anwar dipanggil beri keterangan

 Send by Email
Putrajaya – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dipanggil ke Kementerian Kewangan, di sini dipercayai bagi memberi keterangan kepada Pasukan Petugas Khas berhubung urus niaga membabitkan kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 1990-an.

Anwar yang pernah memegang jawatan Menteri Kewangan dari 1991 hingga 1998 tiba di kementerian itu kira-kira jam 2.30 petang, menaiki kenderaan Jabatan Penjara, serta diiringi kenderaan polis.

Bagaimanapun, kenderaan berkenaan terus menuju ke tempat letak kereta di aras bawah tanah Kementerian Kewangan, menyebabkan beliau tidak dapat dihampiri pihak media.

Kenderaan itu kemudian dilihat meninggalkan bangunan kementerian kira-kira jam 4.45 petang.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Penubuhan Pasukan Petugas Khas berkenaan yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan diumumkan pada Februari lalu bagi menjalankan siasatan awal berkaitan kerugian Bank Negara dalam aktiviti spekulasi bagi urus niaga mata wang asing.

Selain itu, pasukan yang turut dianggotai enam ahli lain itu juga akan menyiasat sejauh mana tindakan menyembunyikan maklumat kerugian dan mengkaji jika ada perbuatan memberi kenyataan mengelirukan mengenainya kepada Mesyuarat Parlimen, serta mengemukakan syor kepada kerajaan mengenai tindakan susulan.

– BH Online

Saturday, March 4, 2017

Peguam mohon pembebasan Anwar, desak k'jaan terima gesaan PBB

Peguam bagi mantan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menulis kepada kerajaan meminta pembebasan awal selepas beliau menjalani pemanjaraan selama dua tahun bagi sabitan tuduhan liwat.

"Dalam permohonan kami, kami telah menyatakan sebab utama mengapa Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti dibebaskan serta-merta.

"Antara sebab-sebab itu adalah bahawa kumpulan kerja PBB mengenai penahanan arbitrari pada 15 September 2015 telah mengisytiharkan penahanannya sebagai tidak sah dan menggesa pembebasannya.

"Oleh itu, pemenjaraannya yang berterusan mencemarkan imej dan reputasi negara kita di mata masyarakat antarabangsa.

"Malaysia adalah negara anggota PBB, dan tidak boleh mengabaikan dapatan mutlak sebuah badan PBB," kata peguam N Surendran dan Latheefa Koya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua-dua mereka secara rasmi menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara semalam meminta pembebasan Anwar di bawah seksyen 43 Akta Penjara 1995.

Sunday, January 29, 2017

Gabungan lawan BN makin kukuh dengan rundingan

 ZIKRI ABDULLAH
Setiap kawasan menerima bendera Amanah sebagai simbloik kepada pelancaran jentera Amanah negeri

Gabungan parti-parti yang akan menentang BN pada pilihan umum ke-14 (PRU14) akan memperkemas mekanisme bagi memastikan semua keputusan mendapat persetujuan semua pihak, kata ketua pengarah pilihan raya Amanah Nasional, Dr Hatta Ramli.

"Kita tidak mahu mengulangi kesilapan yang telah berlaku dalam pilihan raya lalu di mana ada pihak tertentu membuat keputusan sendiri di luar perundingan, " katanya ketika berucap di majlis pelancaran jentera pilihan raya Amanah Kelantan di Wisma Tok Guru malam tadi.

Pelik tapi benar katanya apabila ada yang meminta Tengku Razaleigh menjadi calon perdana menteri sedangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah diputuskan melalui persetujuan bersama.

"Pada hari penamaan calon pula ada parti yang meletakkan calon di kawasan yang telah diputuskan untuk parti lain," katanya.

Justeru menurut beliau rahsia kejayaan gabungan parti-parti pembangkang menghadapi BN dalam PRU yang lalu benar-benar atas kehendak rakyat.

"Ertinya tiada satu parti pembangkang pun yang boleh mendakwa bahawa partinya sahaja yang kuat.

"Platform yang menjadi jambatan kepada kekuatan rakyat ini jelas terjadi melalui gabungan ngo seperti Bersih," katanya.

Mengambil pengajaran dari peristiwa lalu, gabungan yang bakal menghadapi BN perlu merangka mekanisme baharu yang lebih sistematik supaya hasrat rakyat benar-benar tercapai.

"Sebelum satu kata putus mengenai sesuatu perkara kita sebagai pengamal demokrasi membenarkan semua pihak untuk memberi pendapat masing-masing.

"Ada yang mahu cadang nama perdana menteri atau mengaku kawasan tertentu milik mereka, namun setelah keputusan diambil semua pihak perlu mendokong pendirian bersama," katanya.

Dr Hatta pada majlis itu menyerahkan bendera kepada ketua jentera pilihanraya di 14 kawasan seluruh Kelantan dan sayap-sayap wanita dan pemuda.

Turut berucap di majlis itu ialah pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah dan timbalannya Muhammad Hussin.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-