Sunday, April 22, 2018

Anak Hadi jawab anak Nik Aziz

Shakira Buang
Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan kenyataan Nik Omar Nik Abdul Aziz bahawa PAS perlu bergabung dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 bagi membentuk kerajaan hanyalah andaian semata.

“Itu adalah andaian. Andaian itu boleh berlaku dan tidak boleh (berlaku). Apa yang penting sekarang PAS bersama rakan-rakan dalam Gagasan Sejahtera sepakat pada PRU14,” katanya dalam sidang media selepas program Town Hall Anak Muda bersama PAS di Bangi, Selangor, hari ini.

Anak presiden PAS itu berkata demikian mengulas kenyataan anak bekas mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Abdul Aziz sebelum ini yang berkata bahawa allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berpesan agar PAS bergabung dengan pihak lain jika ingin menang pilihan raya.

Nik Omar yang pernah dispekulasikan akan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) juga berkata bahawa beliau melihat HARAPAN lebih kuat kerana mempunyai empat parti komponen yang mempunyai kekuatan tersendiri.

Beliau sebelum ini menafikan spekulasi akan menyertai AMANAH dan menjelaskan tidak akan menyertai politik kerana ibunya tidak bersetuju.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menanggapi spekulasi itu sebagai cubaan AMANAH menjadikan Nik Omar umpan pilihan raya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-