Thursday, April 5, 2018

SPR tegur Pakatan Harapan putar belit fakta

KUALA LUMPUR:   Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegur Pakatan Harapan diketuai DAP supaya tidak memutar belit isu berkaitan logo dan gambar Tun Dr. Mahathir Mohamad pada poster Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata, isu itu bukan perkara baharu malah telah diamalkan dalam setiap PRU dan Pilihan Raya Kecil (PRK) mengikut Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Pembangkang tidak sepatutnya memutar belit isu ini kerana ia bukan perkara baharu malah telah diamalkan dalam PRU dan PRK sebelum ini.

“Pegawai SPR juga telah menerangkan perkara sebenar iaitu penggunaan logo dan gambar tokoh atau pemimpin tidak dibenarkan jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak meluluskan pendaftaran Pakatan Harapan sebagai sebuah parti gabungan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook memberitahu, SPR tidak membenarkan penggunaan gambar Dr. Mahathir pada poster kerana Pakatan Harapan masih belum didaftarkan di bawah ROS.

Dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Presiden Harapan di Parlimen itu, Ahli Parlimen Seremban berkenaan turut mengkritik tindakan SPR kerana melaksanakan larangan tersebut.

Sehubungan itu, Mohd. Hashim menempelak kritikan tersebut dan menyifatkan dakwaan Anthony Loke bertujuan ingin mengelirukan masyarakat.

“Semua urusan kempen tertakluk di bawah bidang kuasa Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPPKPR) di bawah SPR bagi menguatkuasa sebarang pelanggaran Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“SPR tidak akan membenarkan penggunaan logo atau simbol gabungan mana-mana parti yang tidak diluluskan ROS, termasuk mempamerkan gambar bukan calon daripada parti tersebut bertanding,” katanya.

- Utusan Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-