Monday, May 28, 2018

BTN tanam semangat cintakan negara, bukan kursus rasis

NINA FARZUIN MD SHAROM
28 MEI 2018

Nik Nazmi Nik Ahmad.

SHAH ALAM - Biro Tatanegara (BTN) adalah kursus kenegaraan yang melibatkan sejarah negara dan perjuangan orang Melayu.

Seorang individu yang pernah terlibat merangka program tersebut berkata, modul digunakan hanyalah fakta sejarah tanpa membangkitkan sebarang isu perkauman.

“Ia mengisahkan tentang sejarah perjuangan mengisi kemerdekaan negara.

“Kalau dilihat aspek-aspek sejarah, ia banyak bergantung kepada Melayu, sama ada dari segi bahasa, kesultanan, perjuangan dan kebetulan partinya Umno pada ketika itu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sebelum itu, Ketua Pemuda Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad berpandangan, sudah sampai masanya BTN dimansuhkan.

Menurut Nik Nazmi, keseluruhan matlamat dan etika dalam BTN dilihat bersifat sangat berat sebelah dan boleh merosakkan perpaduan negara yang tulen.

Mengulas lanjut, individu yang tidak mahu dinamakan berkata, dakwaan yang mengatakan ia menimbulkan semangat perkauman adalah tidak benar kerana tujuannya hanyalah untuk menanam semangat cintakan negara.

“Setahu saya, pengisian kursus tidak menyatakan kaum selain Melayu itu jahat. Memang ada menyebut dan menceritakan tentang pendatang seperti komunis dan Jepun.

“Begitu juga dengan peristiwa 13 Mei, tapi ini semua memang ada dalam sejarah dan ia adalah fakta,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyifatkan kenyataan dan dakwaan diberikan Nik Nazmi sebagai tanggapan semata-mata.

“Panduan kursus ini adalah lagu Warisan (Anak Kecil Main Api) di mana liriknya tidak sedikit pun menimbulkan isu perkauman tapi hanya membangkitkan semangat untuk kita menjadi Melayu yang gagah di nusantara. Mesejnya sangat positif.

“Dia (Nik Nazmi) hanya bertanggapan, saya tidak rasa ketika dia menyertai kursus itu, dia bertanya lanjut mengenai perkara ini,” katanya.

Manakala, seorang peserta kursus BTN dikenali Zack, 29, berkata, kursus tersebut bukanlah menanam rasa benci terhadap bangsa lain tetapi lebih kepada memupuk semangat antara kaum di negara ini.

Katanya, selain itu segala aktiviti dilakukan juga berbentuk semangat cintakan negara.

“Kami juga dipupuk dengan nilai patriotisme yang tinggi, selain modul diterapkan sesuai untuk pembangunan dalam peringkat remaja,” katanya yang menjalani kursus berkenaan di Terengganu.

Katanya, sepanjang kursus itu juga, mereka diperdengarkan dengan lagu Warisan (Anak Kecil Main Api) sebagai penaik semangat.

“Lagu itu mempunyai penuh makna dan dapat menaikkan semangat kami ketika itu. Bagi saya tiada yang salah dalam kursus BTN ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-