By Hassan Mohd Noor
-22/04/2024
SEPANG — Isu sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu terus panas apabila seorang pemimpin MCA tampil meminta UMNO tidak campur tangan dalam sebarang keputusan yang dibuat parti itu.
Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Koh Chin Han dalam kenyataan melalui Facebooknya hari ini bertanya, di mana logiknya mahukan parti komponen BN itu membantu parti yang berusaha bersungguh-sungguh hendak menjahanamkan MCA.
“Kan dia orang (DAP) yang dah nyatakan mereka tak suka MCA, tak dengar ke pemimpin-pemimpin UMNO ini?
“Cukuplah! Biarlah MCA buat keputusan sendiri, yang UMNO nak berpeluk dan cium mulut dengan DAP, itu hak kamu, kami tak dapat campur tangan, pada masa yang sama juga jangan campur tangan keputusan MCA,” katanya.
Pada Jumaat, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA dilapor memutuskan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada Barisan Nasional (BN).
Susulan itu, Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan ‘memujuk’ MCA turun membantu calon PH dan yakin perselisihan faham antara MCA dan PH dapat diselesaikan lebih-lebih lagi dua parti itu sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
Chin Han dalam kenyataannya turut mempersoalkan tindakan memainkan semula sentimen Semangat BN bagi menggalakkan MCA dan MIC turun padang untuk membantu calon PH pada PRK itu.
“Tiba-tiba, baru saya diingatkan wujudnya “Semangat BN”, macam dah lama terbenam semangat yang dipupuk sejak ditubuhnya Barisan Nasional pada 1973 bagi menggantikan Perikatan.
BN kalah teruk pada PRU yang lepas, kita kehilangan banyak kerusi disebabkan kehilangan sokongan semua kaum, Melayu tak sokong UMNO, Cina tak sokong MCA mahupun India tak sokong MIC.
BN cuma tinggal 30 kerusi, “tiba-tiba” BN “ditarik” masuk Kerajaan Perpaduan, ada pihak yang dapat jawatan kerajaan, ada pihak yang diketepikan,” katanya.
Beliau mendakwa selama 17 bulan, MCA (dan MIC) diketepikan, diabaikan, dicampak dan disepak ke kiri kanan, dilucutnya semua jawatan kerajaan pusat termasuk pegawai-pegawai di jabatan, begitu juga jawatan badan berkanun.
“Selain itu, MCA dikutuk, dicaci, dijadikan bahan lawak termasuk dilabel “biawak hidup” oleh Pengarah Komunikasi UMNO,” katanya.
Menurut beliau lagi, MCA juga turut dinafikan peluang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) enam negeri, malah mendakwa sering dibuli dan diserang oleh pemimpin-pemimpin DAP.
Dan terbaru katanya, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengeluarkan kenyataan ” saya bukan tak suka BN tapi cuma tak suka MCA”.
Katanya, ada juga pemimpin DAP yang mendesak MCA keluar daripada BN, padahal apa hak mereka dan di mana pula semangat perpaduan dalam kerajaan.
“Kini, datangnya PRK Kuala Kubu Bharu, tanpa Mesyuarat Majlis Tertinggi BN, Pengerusi BN telah mengumumkan akan sokong calon PH iaitu DAP. MCA dan MIC pula membuat keputusan tidak akan membantu berkempen melainkan calon BN.
“Dalam keadaan sebegini, dalam masa inilah tiba-tiba wujud semula semangat BN, yang mana UMNO hendakkan MCA dan MIC turun padang membantu calon PH,” katanya.
— BebasNews
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.