Wednesday, May 16, 2018

Polis Ambil Dokumen Kes Berprofil Tinggi


KUALA LUMPUR: Beberapa dokumen ber­kaitan kes berprofil tinggi dipercayai dibawa keluar Polis Diraja Malaysia (PDRM) da­ripada Pejabat Peguam Negara di Putrajaya dekat sini semalam bagi siasatan lanjut.

Difahamkan, sepasukan penyiasat tiba di bangunan pejabat agensi berkenaan kira-kira pukul 5.30 petang.

Menurut sumber, turut serta ke pejabat tersebut iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun diiringi Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek.

Ujarnya, mereka dikatakan mengambil masa kira-kira satu jam sebelum membawa keluar beberapa beg dipercayai mempunyai dokumen berkaitan.

“Bagaimanapun, tiada sebarang pengesahan mengenai dokumen yang dibawa keluar dan disiasat pihak polis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 11 Mei lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menegaskan, beliau tidak akan meletakkan jawatannya sebagai Peguam Negara.

Mohamed Apandi berkata, ini disebabkan oleh jawatan yang di­sandangnya itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan itu dibuat susulan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyatakan beliau hilang keyakinan kepadanya.

Bagaimanapun semalam, Mohamed Apandi diarahkan bercuti berkuat kuasa serta merta bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadapnya dan tugas-tugas Peguam Negara akan diambil alih oleh Peguam Cara Negara buat masa ini.

Dr. Mahathir memberitahu, tindakan yang bakal diambil terhadap peguam negara itu akan dibuat berdasarkan undang-undang negara.

Dalam pada itu, bulan lalu, tempoh perkhidmatan Peguam Negara dilanjutkan selama tiga tahun lagi sehingga 2021.

- Utusan Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-