Wednesday, May 16, 2018

Segerakan Keputusan Mengenai GST, SST - Pekema


KUALA LUMPUR: Ketidak tentuan mengenai bila cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan dihapuskan sedikit sebanyak mengganggu pasaran jualan kenderaan kerana para pembeli berharap harga akan turun selepas pemansuhan cukai berkenaan.

Menurut Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abdul Rahman, kerajaan perlu membuat keputusan segera berhubung isu tersebut.

"Para pembeli ketika ini mengharapkan agar pembatalan ini (GST) akan menurunkan harga kereta. Oleh itu saya berpendapat kerajaan perlu membuat keputusan segera kerana para pembeli sanggup menunggu janji pilihan raya," kata Zainuddin menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, GST akan dihapuskan dan akan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Ditanya mengenai kesan peralihan sistem percukaian GST terhadap penjualan kenderaan, Zainuddin berkata, hal itu masih belum jelas kerana kerajaan belum mengumumkan jumlah peratusan SST yang bakal dikenakan.

Semalam, media melaporkan Pengarah Jualan dan Pemasaran Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd., Christopher Tan dipetik sebagai berkata, harga kenderaan dijangka naik sedikit kesan daripada SST, jika ia masih menggunakan formula kiraan Peraturan Cukai Perkhidmatan 1975.

Christopher turut berkata, sewaktu peralihan daripada SST kepada GST pada 1 April 2015, harga kenderaan mengalami sedikit penurunan.

- UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-