3 JUN 2018
Mohd Akmal
IPOH - Pemuda Pas Perak mencadangkan agar Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar sebagai Peguam Negara.
Ketua Pemudanya, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, cadangan eksklusif itu diutarakan jika kerajaan tidak berminat melantik Peguam Negara dalam kalangan pegawai di Jabatan Peguam Negara.
Beliau berkata, pihaknya secara terbuka menyatakan sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong yang meletakkan syarat Peguam Negara mesti beragama Islam.
“Untuk membawa keharmonian negara dan mengekalkan keamanan negara kami mencadangkan YDP Agong memperkenankan dan melantik Datuk Zainul Rijal Abu Bakar sebagai Peguam Negara yang baru, yang mana pengalaman dan keilmuan beliau tidak dapat di sangkal.
“Fungsi Peguam Negara adalah sebagai penasihat utama kerajaan Malaysia, bagaimana Orang bukan Islam hendak menasihati Pemimpin Islam sedangkan tidak mempunyai pengetahuan Islam dan berlainan agama,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kontroversi cadangan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang baharu.
Mohd Akmal turut mempersoalkan pemilihan individu luar dari Jabatan Peguam Negara untuk dilantik sebagai Peguam Negara berbanding pegawai-pegawai berpengalaman yang ada di jabatan tersebut.
“Adakah pegawai di Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai ilmu undang-undang? Adakah tiada langsung masyarakat Melayu Islam tidak berdisiplin dan tidak berintegriti untuk menjadi Peguam Negara?
“Kami menyokong penuh saranan YDP Agong agar kerajaan kini wajib melantik Peguam Negara di kalangan orang Islam bagi mengelakkan sebarang bentuk ancaman penjajahan minda yang tersirat dan mengelakkan implikasi besar kepada kehidupan masyarakat di Malaysia,” katanya.
Katanya, selain itu, turut menjadi kebimbangan adalah kebanyakan kes-kes yang menyentuh soal agama Islam tidak mampu dikendalikan oleh Peguam Negara bukan Islam.
Menurut Mohd Akmal, kebimbangan itu berasas kerana orang Islam bimbang perbicaraan berkaitan agama Islam nanti bukan berasas kepada akidah mentauhidkan ALLAH SWT tetapi berdasarkan logik dan pena’akulan akal semata-mata.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.