Friday, June 22, 2018

Lelaki muncul ganggu demo sokong Agong

Faiz Zainudin | June 22, 2018

Lelaki itu berkata himpunan hari ini lebih banyak menyalahkan pihak lain daripada untuk memperkukuhkan institusi Islam.

VIDEO INSIDE

Lokman (tengah, sebelah songkok kuning) bersama peserta tunjuk perasan menyokong raja-raja Melayu.

KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki muncul mengganggu satu tunjuk perasaan di Masjid Negara hari ini, yang berhimpun untuk menyatakan sokongan kepada Agong, raja-raja Melayu dan institusi Islam, anjuran NGO Pemantau Malaysia Baru bersama beberapa NGO lain.

Lelaki itu tiba-tiba muncul pada sidang media oleh pengerusi penganjur, Datuk Lokman Noor Adam, setengah jam selepas peserta mula berhimpun.

“Adakah perhimpunan sebegini masih lagi relevan untuk memperkukuhkan institusi Islam? Saya nampak sekarang ini bukan untuk perkukuh institusi Islam kerana ucapan-ucapan tadi banyak kepada menyalahkan pihak lain,” katanya.

“Nampaknya kamu berada di pihak yang tidak benar,” kata lelaki itu kepada Lokman.

Lelaki itu berang apabila beberapa peserta himpunan cuba membawanya pergi apabila jawab-menjawab bertukar tegang.

“Nak pukul saya pukul sekarang,” kata lelaki itu mencabar peserta tunjuk perasaan.

Mereka kemudian menyerahkan lelaki itu kepada polis dan dilepaskan sebaik sahaja tunjuk perasaan tamat.

Terdahulu, lebih 50 orang berhimpun di depan Masjid Negara dan membantah artikel bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times, Datuk A Kadir Jasin, dan artikel yang dikaitkan kepada aktivis Hishammuddin Rais.

Lokman mendakwa isu kos perbelanjaan Agong yang ditimbulkan Kadir sebenarnya kos perbelanjaan monarki British, Ratu Eizabeth.

“Kadir menggunakannya untuk gambaran seolah Agong kita membuat perbelanjaan tersebut. Ini satu perkara yang saya anggap jelas melanggar Akta Hasutan, dengan tujuan untuk menghina Agong dan mewujudkan rasa benci rakyat kepada Agong.

“Bagaimana Hishammuddin boleh mengeluarkan kenyataan bahawa Agong kaki…saya sebut tak sanggup, perkataan tersebut dahsyat. Dia sebut bertan-tan syabu dibawa masuk ke Istana Negara.”

“Amat mengejutkan dah beberapa minggu tidak ada kenyataan daripada PH mengarahkan polis mendakwa mereka. Saya tahu mereka diarah oleh orang yang penting dalam negara, tapi tidaknya jangan nampak sangat konspirasi untuk menukar sistem raja berperlembagaan,” katanya.

Kadir dan Hishammuddin sekarang sedang disiasat pihak berkuasa. Kadir di blog peribadinya berkata kira-kira RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Agong.

Kadir berkata dia hanya mahu mengatakan raja-raja tidak perlu jaminan daripada ahli politik kerana kedudukan mereka dijamin oleh Perlembagaan.

Beliau membuat keputusan untuk melepaskan jawatan kedua media dan komunikasi di Majlis Penasihat Kerajaan bagi mengelakkan kesipuan di pihak majlis.

Sementara Hishammuddin pula percaya blognya digodam untuk memfitnahnya kerana laman itu disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sementara itu, tunjuk perasaan hari ini turut dihadiri pemimpin PAS, Dr Zuhdi Marzuki yang hadir atas kapasiti peribadi.

Beliau berkata PAS belum membincangkan isu ini. “Mungkin dalam mesyuarat akan datang kita akan putuskan pendirian kita,” katanya.

Peserta demo membawa pelbagai sepanduk seperti “jangan kurang ajar” yang berlatarkan wajah Kadir dengan kesan tapak kasut padanya.

Kebetulan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kadir turut bersolat Jumaat di majid yang sama, tetapi tunjuk perasaan bermula selepas Dr Mahathir beredar dan Kadir tidak kelihatan ketika demo berlangsung.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-