Showing posts with label NGO. Show all posts
Showing posts with label NGO. Show all posts

Saturday, March 1, 2025

Evangelis perlu ditangani secara konsisten

harakahdaily.net
March 1, 2025

PERTUBUHAN Ekspresi Anak Muda Malaysia (ANAK MALAYSIA) tetap teguh dengan pendirian bahawa gerakan evangelis yang semakin berkembang perlu ditangani dengan lebih tegas oleh pihak berkuasa, seperti yang telah dinyatakan dalam kenyataan ANAK MALAYSIA sebelum ini. Isu ini bukan perkara baharu dan memerlukan perhatian yang lebih serius serta tindakan yang lebih berkesan oleh pihak kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan.

ANAK MALAYSIA merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Dewan Negeri Selangor (ADN) Sungai Panjang, Ustaz Razali Saari, yang telah membawa isu tersebut ke sidang dewan baru-baru ini. Keberanian beliau dalam membangkitkan permasalahan ini mencerminkan kepentingan dan keprihatinan yang seharusnya dikongsi oleh semua pihak, khususnya pemimpin Islam negara ini.

Namun begitu, ANAK MALAYSIA kecewa dengan sikap acuh tidak acuh Kerajaan Negeri Selangor yang tidak memandang serius isu ini. Sikap sambil lewa ini hanya memberikan ruang kepada agenda evangelis untuk terus berkembang tanpa sebarang pemantauan yang sewajarnya.

Sepatutnya, perkara ini diberikan perhatian yang lebih mendalam dan diwujudkan satu jawatankuasa khas bagi menilai serta menyiasat isu ini dengan lebih mendalam.

ANAK MALAYSIA mengingatkan bahawa usaha evangelis ini bukanlah sesuatu yang bermusim atau bersifat sementara. Sebaliknya, ia merupakan agenda yang konsisten dan berterusan. Oleh itu, pihak berkuasa perlu mengambil langkah sama dalam menangani ancaman ini agar ia tidak semakin merebak dan mengancam keharmonian masyarakat Islam negara.

ANAK MALAYSIA turut menggalakkan serta mencadangkan agar lebih ramai Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen mengambil tanggungjawab untuk membawa isu ini ke peringkat legislatif yang lebih tinggi untuk memastikan keseriusan sebagai umat Islam dalam menegakkan prinsip yang termaktub dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan agar isu ini benar-benar diberi penekanan sewajarnya.

ANAK MALAYSIA menyeru semua pihak, terutama pemimpin Islam, NGO, dan badan berkuasa bertindak segera dalam menangani isu ini sebelum ia semakin berleluasa dan menjadi ancaman yang lebih besar kepada kestabilan negara.

MOHAMMAD ROSHARIZAN MOHD ROZLAN
Pengerusi
Pertubuhan Ekspresi Anak Muda 

HARAKAHDAILY 1/3/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Thursday, January 23, 2025

‘Siap bawa anjing lagi’: Layanan terhadap NGO?

harakahdaily
January 23, 2025

Serahan memorandum bantahan pengambilalihan saham MAHB
Syed Hassan (tengah) ketika ditemui media di pekarangan Pejabat Korporat MAHB, di sini hari ini.

SEPANG: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam kecewa selepas pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tidak menghantar pegawai yang bersesuaian bagi menerima memorandum bantahan penjualan saham syarikat itu.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali berkata, MAHB seharusnya menghantar pegawai komunikasi korporat dan bukannya pengurus kanan keselamatan.

“Ini merupakan kebiadaban yang sangat menjijikkan dalam kalangan orang Melayu. Mereka dapat tempat di dalam itupun kerana orang Melayu.

“Tapi orang-orang inilah yang menghina orang Melayu sendiri. Dia tak berani nak berdepan dengan orang Melayu, dia tak berani nak berdepan dengan NGO,” bidasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di luar pekarangan Pejabat Korporat MAHB, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa dan Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah dan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Zainol Talib.

Tambah Syed Hasan, perkara yang lebih mengecewakan ialah apabila pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar Unit Pengesan (K9) bagi mengawal keadaan di sekitar lokasi.

“Mereka siap bawa anjing lagi, bawa anjing polis. Hanya beberapa orang sahaja yang datang. Inilah nasib orang Melayu. Dibiarkan kami kepanasan. Apa salahnya kalau dah tahu kami datang, bawa empat atau lima orang masuk dan berjumpa dengan pegawai yang ada.

“Belum lagi orang Melayu hilang kuasa, belum lagi Zionis ‘control’ lapangan-lapangan terbang negara,” tempelak beliau terhadap layanan sedemikian.

Justeru, satu tarikh baharu akan ditetapkan oleh pihak NGO Melayu Islam bagi menghantar memorandum bantahan tersebut kepada pihak MAHB. 

Monday, December 26, 2022

DAP kecam tindakan Zahid lantik wakil NGO jaga masyarakat India

agendaily.com
Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang P Ramasamy mengkritik Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Baharu sehari Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengatakan DAP kini sudah menerima UMNO selepas berada bersama-sama dalam kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN), Timbalan Perdana Menteri itu dikritik dan dikecam kerana membuat pelantikan di luar bidang kuasa dan portfolionya.

Hari ini (25 Disember 2022), seorang pemimpin kanan DAP mengecam tindakan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana melantik seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ramesh Rao sebagai pegawai khasnya bagi menjaga hal ehwal masyarakat India di Malaysia baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, walaupun tidak menyebut nama Ramesh, berpendapat Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia itu tidak layak memegang jawatan berkenaan.

Dalam kenyataan di Facebooknya petang tadi beliau berkata Zahid tidak boleh sewenang-wenangnya melantik seorang pemimpin NGO bagi menjaga hal ehwal kaum India, malah menyifatkan pelantikan itu satu penghinaan kepada kaum berkenaan.

“Bukan, seorang pemimpin NGO yang dilihat lebih mementingkan pemimpin UMNO sejak dari dahulu hingga sekarang,” kata Ramasamy sambil menegaskan hal ehwal kaum India bukannya terletak di bawah portfolio Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang mengingatkan mengenai penderitaan masyarakat India di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun.

Beliau turut mempersoalkan apakah dengan pelantikan itu Zahid beranggapan dia akan berbeza kali ini dalam menangani masalah dihadapi masyarakat India.

“Saya tidak pasti sama ada pelantikan sebegitu adalah sesuatu yang pujian atau penghinaan terhadap kaum India di negara ini.

“Apabila BN secara keseluruhannya tidak dapat menyelesaikan masalah utama masyarakat India, bagaimana mungkin perlantikan seorang NGO yang kontroversi akan mengubah nasib masyarakat yang banyak berkorban untuk pembangunan negara.

“Zahid sendiri ketika pelantikannya berkata beliau akan menyalahkan pemimpin NGO itu jika gagal menangani isu kaum India. Jadi jelas sekali bahawa Zahid sedar sepenuhnya tentang kapasiti orang ini tentang apa yang dia boleh lakukan dan tidak.

“Ia hanya menunggu masa sebelum dia mengumumkan bahawa orang ini telah gagal untuk berkhidmat kepada masyarakat India dan oleh itu dia memecatnya,” katanya lagi.

Ramasamy melihat bahawa Zahid dapat membebaskan dirinya daripada kesalahan sekiranya pemimpin NGO terbabit gagal menangani isu masyarakat India pada masa depan.

Beliau turut mempersoalkan kenapa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri membenarkan Zahid membuat pengumuman dan keputusan tidak masuk akal itu.

“Nasihat saya kepada Zahid supaya beliau menumpukan perhatiannya kepada peranannya sebagai timbalan perdana menteri dan portfolio yang beliau pegang.

“Dia tidak seharusnya sesat dengan membuat pelantikan ad hoc yang bukan dalam bidang kuasanya. Saya ulangi bahawa pelantikan pemimpin NGO itu mungkin lebih mendatangkan mudarat daripada kebaikan kepada masyarakat India,” katanya.

Laporan media menyebut, Ramesh mula mendapat perhatian ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak apabila NGO yang diasaskannya kerap membuat laporan polis terhadap pihak yang mengkritik kerajaan.

Dia juga pernah menganjurkan sidang media untuk balu penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, A Santamil Selvi bagi memohon maaf kepada Najib dan isterinya Rosmah Mansor.

Monday, December 12, 2022

Lebih 10,000 mohon sertai Muafakat Nasional, kata Annuar

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-December 12, 2022 2:49 PM
Annuar Musa terharu dengan sambutan orang ramai dalam NGO, Muafakat Nasional, di mana beliau sendiri mengetuainya.

PETALING JAYA: Bekas pemimpin Umno, Annuar Musa berkata, lebih 10,000 permohonan keahlian diterima NGO baharu, Muafakat Nasional, yang diketuainya.

Katanya, permohonan itu diterima hanya beberapa jam selepas keahlian pertubuhan itu dibuka secara dalam talian, semalam.

“Saya amat terharu betapa ramainya di luar sana anak bangsa yang prihatin terhadap agama, bangsa, dan negara serta cintakan muafakat.

“Tiba tiba saya merasa suatu kekuatan baru untuk terus berjuang bersama mereka yang jujur dan ikhlas,” katanya di Facebook.

Semalam, Annuar berkata, permohonan menyertai NGO itu mula dibuka kepada orang ramai menerusi laman muafakatnasional.org.my.

‘Muafakat Nasional’ merupakan nama sama merujuk kepada kerjasama antara Umno dan PAS, yang dibentuk pada 2019, iaitu setahun selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan, pada PRU14.

Annuar kemudian menyatakan beliau akan “mengaktifkan” NGO Muafakat Nasional dengan dirinya sebagai presiden, demi berperanan merapatkan kerjasama dan perpaduan dalam kalangan ummah serta mengukuhkan sistem politik, berdasarkan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Bulan lalu, pembantu Annuar menjelaskan Muafakat Nasional bukannya parti politik, tetapi ia berdaftar sebagai NGO di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Minggu lalu, Annuar dipecat Umno susulan kritikan terhadap presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi, selain didakwa membantu kempen parti musuh, pada PRU15.

Sunday, August 14, 2022

Jangan berhenti desak isu LCS, peserta protes beritahu rakyat

freemalaysiatoday.com
Anne Muhammad dan Reshna Reem Ganesan
-August 14, 2022 5:22 PM

Peserta protes membawa plakad antaranya tertera ‘H20 letak jawatan’, ‘buang penyamun’, ‘RM6 bilion hilang’ dan ‘kapal hilang radar!’.

KUALA LUMPUR: Rakyat digesa jangan berhenti mendesak isu berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM6 bilion supaya tindakan dapat diambil terhadap pihak terlibat.

Pengasas bersama Muda, Amir Abd Hadi, yang mengetuai protes “Mana Kapal LCS” berkata menjadi hak orang ramai untuk menyuarakan kebimbangan mereka mengenai isu itu.

“Mereka tidak boleh mendiamkan kita. Kami akan terus memperjuangkan kebenaran dan memastikan mereka yang terlibat bertanggungjawab,” katanya di hadapan kira-kira 200 peserta yang hadir.

Amir turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan imej kapal yang tidak lengkap hasil lawatan media ke tapak pembinaan LCS di Lumut, Perak, semalam.

“Memalukan kerana kapal itu kelihatan sama seperti yang mereka tunjukkan kepada kami pada 2017,” katanya.

Amir menggesa Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein meletak jawatan kerana gagal bertanggungjawab ke atas projek LCS yang mengalami kelewatan selama bertahun-tahun.
Kira-kira 200 peserta protes isu kapal tempur pesisir (LCS) berhimpun di depan pusat membeli-belah Sogo.

Sementara itu, Naib Presiden Muda, Shahrizal Denci mempersoalkan bagaimana Malaysia mahu melawan lanun di perairan negara tanpa adanya kapal perang.

“Macam mana mahu lawan lanun di Semporna kalau pakai kapal kayu,” soalnya.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyambut baik tindakan kerajaan bersetuju laporan LCS dinyahklasifikasikan serta laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) disiarkan kepada umum.

“Namun, semuanya mesti didedahkan secara terbuka. Jangan sunting sebarang nama dalam laporan itu,” katanya.

Protes yang berlangsung dalam hujan di depan pusat membeli-belah Sogo hari ini turut dihadiri gabungan mahasiswa, NGO dan wakil parti politik yang semuanya memakai baju berwarna hitam.

Mereka turut membawa replika LCS dan plakad dengan tulisan antaranya “H20 letak jawatan”, “buang penyamun”, “RM6 bilion hilang”, “kapal hilang radar!” serta “Jawab surat panglima TLDM”.

Turut kedengaran laungan “hidup rakyat” dan “mana LCS”. Peserta protes bersurai pada 3.30 petang.

Sebelum protes berlangsung, anggota polis menghalang kenderaan dari memasuki Jalan Tuanku Abdul Rahman.

LCS mendapat perhatian selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengkritik kelewatan projek itu.

PAC berkata, sehingga kini tiada satu pun LCS disiapkan dan diserah kepada tentera laut walaupun perjanjian kontrak pada Januari 2014 menggariskan bahawa LCS 1 iaitu dua kapal pertama sepatutnya diserahkan kepada kerajaan pada April 2019.

Semalam, dalam lawatan media ke Lumut, Perak, Boustead Naval Shipyard (BNS) menunjukkan terdapat lima LCS sedang dalam pembinaan dengan salah satunya sudah mencapai kemajuan 60%, manakala empat lagi mencapai kemajuan 48%, 43%, 36% dan 22%.

Tuesday, October 12, 2021

NGO serah memorandum desak Parlimen bahas isu Kertas Pandora, Panama

freemalaysiatoday.com
Yasmin Abdul Latif
-October 12, 2021 3:52 PM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Mas Ermieyati Samsuddin (tengah) melihat memorandum yang diserahkan kumpulan NGO di luar Parlimen hari ini.

PETALING JAYA: Sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum kepada Parlimen bagi mendesak Dewan Rakyat segera membahaskan Kertas Pandora dan Panama.

Antara NGO terbabit ialah Pertubuhan Generasi Gabungan Aspirasi Rakyat Malaysia (GEGAR), Pertubuhan Permata Angkatan Perpaduan Islam Kuala Lumpur dan Selangor (MAP), Pertubuhan Sejagat Malaysia Cawangan Selangor, Pertubuhan Kebajikan Taman Melewar Gombak (PKTM) serta empat NGO lain.

Mereka berkata, perbahasan itu perlu agar harta negara tidak dimanipulasi demi kepentingan peribadi melalui pengaliran keluar wang secara haram.

“Kami mewakili rakyat Malaysia mendesak Parlimen segera membincangkan isu pengaliran wang ke luar negara berjumlah RM1.8 trilion dari 2004 hingga 2015 seperti yang dilaporkan Global Financial Integrity (GFI).

“Kami mempunyai hak untuk mendapatkan penjelasan penuh dan telus.”

NGO itu berkata, pendedahan Kertas Pandora dan Panama boleh dijadikan petunjuk untuk menyiasat pengaliran keluar wang secara haram.

Mereka berkata, pendedahan itu menyebabkan Malaysia disenaraikan dalam senarai kelabu Kesatuan Eropah (EU) sebagai negara mengelak cukai, terbabit penipuan cukai, pengubahan wang dan menyembunyikan sumber kekayaan.

“Ini menunjukkan kelemahan agensi penguatkuasaan berwajib di Malaysia menghalang aliran wang secara haram sehingga menjejaskan ekonomi negara, nilai mata wang susut dan kemajuan negara terbantut.

“Oleh itu, kerajaan hendaklah menjalankan siasatan telus, komprehensif dan tanpa konflik kepentingan agar rakyat mendapat penjelasan penuh berhubung perkara ini.”

Terdahulu, kumpulan NGO itu menyerahkan memorandum terbabit kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Mas Ermieyati Samsuddin untuk disampaikan kepada menterinya.

Turut hadir ialah Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik.

Wednesday, June 30, 2021

Muslihat 'orang susah'

 hmetro.com

Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

ANTARA barangan keperluan yang sering diberi kepada golongan memerlukan.

Kuala Lumpur: Mereka sanggup memberikan butiran palsu, mencipta pelbagai alasan semata-mata untuk menerima bantuan yang disalurkan kepada golongan memerlukan.

Namun hakikatnya, 'orang susah' ini sebenarnya mempunyai kemampuan, malah ada yang hanya ingin menambahkan stok barangan di rumah menerusi bantuan badan bukan kerajaan (NGO).

Perkara itu dikongsi beberapa NGO yang mendedahkan secara purata sekurang-kurangnya terdapat lima kes penipuan di kalangan pemohon di setiap lokasi bantuan setiap hari.

Presiden Intelek Muda Nasional (Intelek) Mohamad Fadly Mohd Zain berkata, senario itu berlaku sejak awal program pemberian bantuan kepada golongan terjejas apabila pandemik Covid-19 melanda negara pada tahun lalu.

Katanya, perkara itu berjaya dikesan seawal penyerahan maklumat peribadi untuk tujuan rekod apabila ada pemohon bantuan enggan bekerjasama dengan memberikan maklumat apabila diminta berbuat demikian.

"Intelek sudah menyalurkan ribuan bantuan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan setiap kali itu juga, ada (pemohon) yang mencuba nasib untuk mendapatkan bantuan.

"Ada antara mereka pada awalnya merayu bantuan, namun selepas sekretariat meminta maklumat penuh, dia tidak memberikan kerjasama.

"Paling menyedihkan, ada yang merayu bantuan, tetapi apabila dihantar ke rumah, kita boleh lihat lambakan bantuan sebelum ini yang anggarannya boleh digunakan untuk tempoh lima hingga enam bulan akan datang," katanya.

Sementara itu, aktivis sosial, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang berkata, pihaknya juga berdepan situasi sama di mana pemohon meminta bantuan wang tunai.

Katanya, selepas dibantu, pemohon sama kembali menghubunginya dan meminta bantuan tambahan.

"Bila saya tak bagi, dia (pemohon) marah dan ugut saya pula. Semakan kita mendapati banyak kes yang pengadu hanya mahukan wang tunai dan bukan barangan. Jadi kita kena pastikan betul-betul supaya tidak tiris," katanya.

Bagi Presiden Kelab Perantau 11, Fairuz Mohamad, pihaknya berdepan situasi apabila pemohon tidak memaklumkan perkara sebenar bahawa mereka sudah menerima bantuan daripada pihak lain.

Katanya, dia pernah menerima laporan daripada sukarelawan mengenai pemohon yang meminta bantuan, walaupun sebenarnya bekalan masih banyak di rumah.

"Bila sukarelawan tanya (pemohon bantuan), mereka hanya tersenyum tanpa mengetahui ramai lagi yang sangat memerlukan untuk meneruskan hidup, bukan menambahkan stok sedia ada," katanya.

'Hilang berkat ambil hak orang lain'
Ustaz Jafri Abu Bakar.
Mengambil hak orang lain adalah sesuatu yang ditegah di dalam Islam kerana sikap ihsan dan prihatin sangat dituntut terutama ketika ada individu lain yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Pendakwah bebas, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi berkata, selain itu agama Islam menegah umatnya daripada selalu meminta-minta dan perkara berkenaan ditegaskan di dalam beberapa hadis sahih.

"Jika kita mengambil sesuatu barang yang bukan hak kita, itu dikira mengambil hak orang lain. Kesannya orang yang benar-benar susah, tidak akan dapat bantuan dan perbuatan itu menyebabkan hilang berkat.

"Di dalam hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda "Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan dalam semua perkara…'. Jadi jelas, kita perlu ada ihsan kepada orang lain dan tidak mementingkan diri," katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang juga Pengasas Kompleks Islam Darul Faizin, Bandar Baharu, Kedah berkata, sikap tamak menjadikan seseorang itu mementingkan diri sendiri sehingga lupa setiap bantuan sudah diaturkan untuk penerima tertentu.

Justeru katanya, masyarakat perlu sentiasa peka dan mengutamakan mereka yang benar-benar memerlukan tanpa ada perasaan tamak haloba yang akan membawa kepada kebinasaan di dunia dan akhirat.

Disiarkan pada: Jun 30, 2021 @ 2:00pm

Friday, October 2, 2020

NGO gesa pihak berkuasa henti ‘kegilaan’ Anwar mahu jadi PM

mykmu.net
October 2, 2020

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Penggerak Komuniti Negara mendesak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan menghentikan segera “kegilaan” Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Pengerusinya, Nor Hizwan Ahmad membuat desakan itu susulan kenyataan Anwar sebelum ini yang mendakwa memperoleh majoriti mencukupi untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

Katanya, ahli Parlimen Port Dickson itu mendahului Yang di-Pertuan Agong dengan membuat pengumuman itu, selain bertentangan dengan Perkara 43(4) perlembagaan persekutuan.

“Perkara 43 (4) memperuntukan bahawa apabila perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka perdana menteri hendaklah meletak jawatan melainkan jika atas permintaanya Parlimen dibubarkan oleh Agong.

“Anwar sebelum ini menyatakan kerajaan Muhyiddin telah jatuh. Siapa Anwar yang sewenang-wenang mengumumkan kerajaan telah jatuh?

“Perhimpunan hari ini adalah untuk membuat laporan polis agar tindakan dapat dilakukan bagi menghentikan “kegilaan” itu.

“Ia tidak boleh biarkan lagi supaya kita sama-sama dapat teruskan kehidupan, bangunkan negara serta keluar daripada pendemik Covid-19,” katanya pada sidang media sambil memaklumkan sebanyak 46 laporan polis dibuat di seluruh negara supaya tindakan diambil ke atas Anwar.

Katanya, tindakan Anwar itu juga secara tidak langsung menimbulkan ketidakstabilan ekonomi dan mengganggu keamanan negara.

“Perbuatan ini menggugat keadaan ekonomi negara yang kini berada dalam fasa pemulihan akibat Covid-19. Sejurus selepas sidang media Anwar pada 23 Sept, pasaran saham Malaysia jatuh merudum.

“Ini adalah suatu bentuk tindakan ganas terhadap keamanan dan ekonomi negara. Maka tindakan sewajarnya perlu dilakukn segera oleh pihak berkuasa. Jika dibiarkan entah berapa kali pengumuman September akan dibuat lag,” katanya.

Hizwan yang juga merupakan setiasaha politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin turut menyarankan supaya Anwar bersara daripada politik kerana era kepimpinannya telah berakhir dan tidak lagi sesuai untuk mengetuai negara.

“Beliau harus terima kenyataan bahawa zamannya telah berlalu. Beliau memimpin Malaysia masa silam Malaysia dan tidak lagi sesuai untuk masa depan negara.

“Saya juga menyeru beliau untuk memberi sokongan kepada perdana menteri dan kerajaan dalam membangunkan negara pada masa-masa sukar ini,” katanya.

Pada 23 Sept lepas, Anwar mendakwa mendapat sokongan ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan persekutuan yang baru.

Beliau mendakwa mempunyai sokongan majoriti hampir 2/3 ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan, sekali gus menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

Kenyataan Anwar itu dinafikan oleh pemimpin parti yang menganggotai kerajaan.

 FMT

Tuesday, September 24, 2019

Saya tak 'hilang' - ADUN Paya Jaras

MyMetro
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my

MOHD KHAIRUDDIN. FOTO Arkib NSTP

TIDAK ‘hilang’, sebaliknya dinasihatkan pasukan keselamatan supaya tidak tampilkan diri di lokasi perobohan rumah buat sementara waktu. Itu kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

Beliau mengulas berhubung dakwaan segelintir pihak bahawa dia ‘hilang’ sejak Rabu minggu lalu ketika bermulanya perobohan rumah di Paya Jaras Hilir bagi pelebaran Sungai Kedondong untuk mengatasi banjir kilat.

Menurutnya, ketiadaan di khemah penempatan sementara penduduk terbabit adalah atas nasihat pasukan keselamatan.

“Ada portal memetik netizen kata YB hilang. (Sebenarnya) ini adalah nasihat pasukan keselamatan.

“Saya agak tidak gembira dengan berita itu. Ini isu panas, tengah emosi. Mantan Perdana Menteri turun (lokasi), mantan Menteri turun, semua nak politikkan.

“Jika (saya) tunjuk muka di situ apa jadi? Nasihat pihak keselamatan, belum masanya lagi (turun lokasi),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tamu program Mornink Blues Utusan Online, hari ini.

Menjelaskan lanjut, katanya, walaupun tidak turun ke lokasi, namun dia mendapatkan badan bukan kerajaan (NGO), Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan air untuk mengurangkan beban penduduk.

“Bukan maksud apabila saya tidak dilihat di situ, tidak ada komunikasi. Ada beberapa keluarga yang datang berjumpa.

“Berbincang macam mana nak buat. Kita jumpa persatuan mewakili mereka.

“Tetapi saya tidak mahu dilihat seolah-olah gambaran nak berlawan di Facebook (FB). Sebab fokus utama adalah besarkan sungai mengatasi banjir,” katanya.

Rabu minggu lalu, sebanyak 36 rumah dirobohkan daripada 92 rumah yang dibanci untuk perobohan bagi projek pelebaran Sungai Kedondong.

Projek itu untuk mengatasi banjir di kawasan Paya Jeras Hilir, Paya Jaras Hulu, Paya Jaras Tengah, Paya Jaras, sebahagian Merbau Sempak dan Kubu Gajah.

Saturday, August 17, 2019

Isu Zakir: NGO gesa PM tidak tunduk 'desakan minoriti'

Haspaizi Zain


Sebuah NGO yang dinamakan sebagai Persatuan Saudara Islam meminta Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad supaya tidak tunduk dengan desakan "kumpulan minoriti" yang mahukan pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik diusir dari Malaysia.

Presidennya, Osman Abu Bakar menyokong pendirian perdana menteri sebelum ini untuk membenarkan Zakir berada di negara ini.

"Keputusan Dr Mahathir (mempertahankan Zakir) amat kami alu-alukan dan kami menyokong pendirian beliau.

"Kami amat berharap agar Dr Mahathir tidak tunduk kepada desakan kumpulan minoriti yang mahukan Zakir diusir keluar," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, hari ini.

Osman (Gambar berbaju batik) sebelum itu bersama ahli persatuan berkenaan membuat laporan polis terhadap lima individu yang didakwa memutarbelitkan kenyataan Zakir sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Lima individu terbabit ialah Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy; Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago; Adun Bagan Dalam, M Satees dan bekas duta Malaysia ke Argentina, Dennis J Ignatius.

Dalam laporan polis yang dibuat, Osman meminta lima individu berkenaan disiasat di bawah Akta Hasutan.

'Jangan campuri urusan umat Islam'

Dr Mahathir sebelum ini menyifatkan keputusan untuk membenarkan Zakir tinggal di negara ini umpama 'ditelan mati emak, di luah mati bapa'.

Bagaimanapun dalam perkembangan terbaru perdana menteri berkata status Zakir sebagai Penduduk Tetap (PR) akan ditarik balik jika polis mendapati pendakwah berkenaan melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kesejahteraan negara.

Semalam, Zakir yang juga penceramah bebas dipanggil ke Bukit Aman untuk keterangan direkodkan berhubung ceramahnya di Kelantan pada 8 Ogos lalu, yang didakwa berbaur perkauman.

Pihak polis juga tidak membenarkan pendakwah itu berucap dalam satu program yang dijadulkan berlangsung di Perlis.

Sementara itu, Osman meminta rakyat berbilang kaum di negara ini menghormati agama masing-masing dan jangan sesekali mencampuri urusan umat Islam.

"Umat Islam tidak pernah mempertikai kepercayaan penganut agama lain di negara ini. Jadi, bukan Islam jangan mencampuri urusan agama Islam.

"Bahkan pada musim perayaan tertentu penganut agama lain, pihak berkuasa yang beragama Islam ditugaskan untuk menjaga keamanan.

"Jadi, bagi bukan Islam jangan campuri urusan umat Islam apatah lagi anda tidak faham tentang Islam," katanya.

Wednesday, August 7, 2019

Tiga NGO desak Mahathir berundur selewatnya 9 Mei 2021

MALAYSIADATELINE

Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim

Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebulat suara meminta Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim selewat-lewatnya pada 9 Mei 2021, genap tiga tahun Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan Persekutuan.

Tiga NGO tersebut ialah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).

NGO berkenaan menerusi surat terbuka bersama kepada Dr Mahathir menggesa Perdana Menteri dan kepimpinan PH mengambil langkah jelas untuk membawa kestabilan politik negara dengan meletakkan pakej peralihan berdasarkan perjanjian sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurut surat tersebut, pergolakan PKR selaku parti komponen utama dalam gabungan PH sedang meresahkan rakyat dan komuniti antarabangsa kerana berpotensi untuk memecahbelahkan gabungan tersebut serta menyebabkan politik negara ini dalam keadaan kucar-kacir.

“Kerisauan kami adalah agenda pembaikan kerajaan PH yang akan terhenti atau lebih parah, apa yang sedang dicapai kini akan terundur kepada sistem yang lama sekiranya kestabilan politik tidak dipulihkan.

“Kerisauan kami hanya tertumpu kepada kestabilan politik dan tanggungjawab dalam penggal ke-14 Parlimen tanpa ada sebarang kecenderungan untuk PRU15,” kata ketiga-tiga NGO tersebut dalam surat terbuka bersama hari ini.

Mengulas lanjut berhubung penyerahan kuasa tersebut, walaupun tidak ada ketetapan masa yang dinyatakan dalam perjanjian, Dr Mahathir dalam pelbagai majlis sering berkata tempoh peralihan akan mengambil masa dua hingga tiga tahun selepas PH membentuk kerajaan.

“Bagi memastikan kelancaran peralihan, Anwar perlu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri enam bulan sebelum tarikh yang ditetapkan.

“Dengan pelan peralihan yang jelas, ini akan memadamkan desas-desus dan teori-teori konspirasi yang dibuat oleh mereka yang ingin mendapat laba daripada ketidakstabilan dan perpecahan gabungan PH,” kata NGO itu.

Dalam pada itu, ketiga-tiga NGO berkenaan turut mengemukakan beberapa langkah lain untuk mengembalikan kestabilan politik.

Antara cadangan tersebut ialah menetapkan had penggal Perdana Menteri agar tidak memegang kuasa terlalu lama dan pengurangan penumpuan kuasa eksekutif yang dimiliki Perdana Menteri.

Tiga NGO itu juga mahu pengukuhan institusi awam utama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Jabatan Peguam Negara dipercepatkan.

“Kami menggesa pimpinan kerajaan PH, Dr Mahathir, Majlis Presiden PH dan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk mengambil tindakan tanpa lengah lagi bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan ini.

“Mesej yang jelas mesti dihantar kepada semua, yang kebajikan negara dan agenda reformasi mendahului kepentingan peribadi dan parti,” kata kenyataan bersama itu.

Tiga NGO itu turut menasihatkan PH bahawa parti itu hanya mempunyai kurang daripada empat tahun untuk memenuhi janji serta memulihkan kestabilan politik dan pentadbiran.

Dalam perkembangan lain, tiga NGO berkenaan turut mengadakan sidang media hari ini dan berjanji tidak akan menganjurkan himpunan Bersih 6 bagi menuntut Dr Mahathir mengundurkan diri.

Sebaliknya, menurut Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann selaku jurucakap NGO berkenaan, Dr Mahathir perlu menetapkan satu tarikh peralihan kuasa yang jelas.

Katanya, tarikh antara setahun dari sekarang hingga selewat-lewatnya 9 Mei 2021 perlu ditetapkan untuk mengelakkan pelbagai khabar angin daripada disebarkan.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/tiga-ngo-desak-mahathir-berundur-selewatnya-9-mei-2021/

Thursday, August 1, 2019

Dr M akui jumpa pembangkang, berahsia soal Azmin

Geraldine Tong 
Diterbitkan Hari ini 12:18 tengahari


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengaku berjumpa dengan pemimpin pembangkang, yang dispekulasi mempunyai kaitan dengan perbincangan berhubung jawatan perdana menteri.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau sering mengadakan perjumpaan dengan pelbagai individu termasuk wakil dari NGO.

"Perjumpaan itu berlangsung tapi saya jumpa semua orang, bukan hanya pembangkang, tapi juga NGO.

"Seperti yang anda tahu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang sentiasa kata dia sokong saya. Tak ada perkara baru," katanya ketika ditanya pemberita mengenai laporan berhubung perjumpaan itu di sidang media di Putrajaya pagi ini.

Mengulas sama ada perjumpaan itu turut melibatkan pemimpin Umno dan Gabungan Parti Sarawak, Dr Mahathir berkata: "Mereka datang jumpa saya, jadi saya jumpa mereka. Saya dengar apa yang mereka nak kata. Ramai antara mereka yang menyatakan sokongan kepada saya. Terima kasih banyak."

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali hadir dalam mesyuarat itu, Dr Mahathir secara sarkastik sekadar berkata: "Perjumpaan ini rahsia, saya tak boleh beritahu".

Laporan The Star yang memetik sumber menyatakan pemimpin pembangkang berjumpa Dr Mahathir pada Selasa lalu untuk menyatakan sokongan agar perdana menteri itu berkhidmat sehingga habis penggal.

Menurut laporan itu, antara yang hadir ialah bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Ketua Whip GPS Fadillah Yusof.

Laporan itu juga mendakwa Dr Mahathir turut meminta seorang menteri kanan PH menghadiri perjumpaan itu namun nama menteri yang dimaksudkan tidak didedahkan.

[Berita lanjut menyusul]

Sunday, July 14, 2019

Polis tahan individu disyaki terlibat bikin video seks kaitkan menteri

News | Diterbitkan 13 Jul 2019, 11:58 malam 


Ketua Polis Negara Abdyul Hamid Bador memaklumkan pasukan itu telah menahan beberapa individu termasuk ahli parti politik, NGO kerana disyaki terlibat dalam pembikinan dan penyebaran video seks dikaitkan dengan seorang menteri.

Bernama melaporkan Abdul Hamid berkata wujud konspirasi, pakatan tertentu dalam pembikinan, penyebaran video seks yang dikaitkan seorang menteri untuk menjatuhkan seseorang yang tidak dinamakan.

Abdul Hamid juga dipetik Bernama menjelaskan pihak berkuasa juga telah mengenal pasti dalang di sebalik pembikinan, penyebaran video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri itu.

Dipercayai ia berkait dengan klip video melibatkan Menteri Hal Ehwal EKonomi Mohamed Azmin Ali.

Pada 12 Jun lali, bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengakui dirinya terlibat dalam hubungan seks sejenis mendakwa pasangannya ialah Azmin selepas satu rakaman video menjadi tular.

Haziq mendakwa rakaman itu dibuat tanpa keizinannya di sebuah bilik hotel di Sandakan.

Azmin bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut, menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Sementara itu, The Star pula melaporkan Abdul Hamid berkata pihak polis masih sedang menyiapkan siasatan mengenai kes seks video ini.

"Kami masih menunggu hasil ujian makmal bagi menentukan kesahihan video tersebut.

"Kami telah menghantar kertas siasatan kepada timbalan pendakwaraya sebanyak dua kali. Setiap kali, ia dihantar balik untuk siasatan lajut, terbaru pada Khamis," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Rumah Kediaman Blok Melati di Keramat Wangsa Kuala Lumpur malam tadi.

Abdul Hamid dipetik The Star juga berkata daripada beberapa tangkapan yang dibuat pihak polis, beberapa individu yang ditahan telah dilepaskan

[Berita penuh menyusul]

Friday, June 28, 2019

Muafakat UMNO, Pas, MCA, MIC dan NGO semakin utuh



Budaya politik matang sejahtera yang diterjemahkan menerusi kerjasama UMNO dan Pas terus menunjukkan perkembangan positif apabila kini mula disertai MCA, MIC dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk daripada gagasan sejahtera.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, muafakat antara ahli-ahli parti tersebut yang semakin terserlah bukan sahaja di peringkat pusat tetapi juga di peringkat negeri malah turut dapat dilihat di peringkat cawangan.

Menurutnya, sudah banyak program yang dijalankan mereka secara bersama dan ia merupakan satu perkembangan positif yang mereka lihat kerjasama politik sebegitu yang dipercayai amat dinantikan oleh rakyat.

“Budaya politik matang sejahtera itu bukan sahaja kita nak lihat satu anjakan paradigma, perubahan pendekatan politik yang bukan lagi politik berdasarkan persepsi atau perkauman yang sempit,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Raya Pas Johor di Dewan Jubli Perak di Bandar Baru Uda.

Majlis itu turut dihadiri antaranya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Samsolbari Jamali dan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Tuan Ibrahim berkata, mereka turut memberi jaminan bahawa politik Malaysia itu perlu dijaga menerusi tiga perkara iaitu keharmonian negara, kestabilan parti politik yang jadi peneraju kepada negata dan mahu melihat masa depan negara yang lebih baik. 

UTUSAN ONLINE

Ta'awun pimpin rakyat bangkit tumbang PH

USTAZ HANAFI ZULKAPLI 
28 JUNE 2019


TA'AWUN PAS-Umno yang berlaku sekarang ini serta kesediaan PAS dalam melakukan ta'awun dan tahaluf dengan mana-mana parti politik dan NGO serta NGI yang boleh menerima perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS menunjukkan sikap keterbukaan PAS yang berdiri teguh dengan prinsip Islam yang diperjuangkan.

Pasca PRU14 memperlihatkan bagaimana kebangkitan kaum teras Melayu dan Bumiputera di Malaysia atas tindak balas kepada kerajaan PH yang banyak kepincangan walau baru setahun lebih memerintah sejak 9 Mei 2018 lalu.

Tindak balas respon rakyat umum terhadap kerajaan PH ini dapat disaksikan apabila dalam 3 PRK dimenangi oleh pihak pembangkang menerusi ta'awun PAS-Umno iaitu di Cameron Highland, Rantau dan Semenyih.

Malah perkiraan berdasarkan undi popular berdasarkan keputusan PRU 14 yang lalu, jika gabungan undi antara Umno menerusi BN dan juga PAS menerusi Gagasan Sejahtera adalah sebanyak 6 juta lebih dan angka ini mengatasi undi popular PH yang memperolehi 5,795,954 undi.

Sehubungan itu, usul ta'awun yang dibentangkan dalam Muktamar PAS Pusat oleh wakil Dewan Ulamak PAS Pusat yang disokong sebulat suara oleh seluruh perwakilan disambut baik juga oleh Pemuda PAS Selangor. Usul ini menunjukkan sikap dan tindakan PAS terhadap perkembangan realiti semasa sama ada dari sudut perkembangan dakwah serta realiti politik semasa khususnya pasca PRU14.

Pemuda PAS Selangor juga melihat usul ini sangat penting bagi memimpin kebangkitan rakyat terhadap respon balas kepincangan Kerajaan PH dengan wujud persefahaman antara dua parti politik teras Melayu Islam yang paling lama dan terbesar di Tanah Air kita.

Ini kerana dengan teknologi canggih semasa pada hari ini, maklumat sangat senang diakses oleh rakyat dengan lebih cepat dan meluas. Maka kebangkitan rakyat ini akan lebih terpimpin dengan strategi ta'awun dan tahaluf siyasi yang dilakukan oleh PAS dalam menyatukan suara rakyat bagi menolak kepincangan kerajaan PH pada PRU 15 akan datang.

Justeru, Pemuda PAS Selangor akan terus menyusun langkah untuk memastikan usul ini dapat dijayakan dengan baik secara penuh di peringkat anak muda negeri Selangor khususnya.

"Demi Islam"
"Bangkit; Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah"


USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Tarikh : 24 Syawal 1440 / 28 Jun 2019 

- HARAKAHDAILY 28/6/2019

Friday, June 14, 2019

Isu Zakir Naik, NGO lancar petisyen 'sejuta tandatangan' sokong Dr M

News | Diterbitkan Hari ini 7:04 malam 


Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan sejumlah NGO lain melancarkan petisyen sejuta tandatangan untuk menunjukkan sokongan kepada kerajaan berhubung isu ekstradisi Zakir Naik.

Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kempen itu agar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak akur kepada tekanan mana-mana pihak berkenaan perkara itu.

"Kerajaan setakat ini masih bertahan dan tidak tunduk kepada tekanan India dan desakan segelintir pihak di sini serta terus membenarkan Zakir berada di Malaysia selagi beliau tidak menyalahi undang-undang negara ini.

"Namun suasana dan iklim politik mutakhir ini agak sukar dan membimbangkan. Justeru kita mesti segera bertindak untuk menyatakan pendirian kita dan sokongan kepada langkah kerajaan...," katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.

Mohd Azmi menggesa umat Islam bersama-sama mempertahan hak kerajaan untuk tidak mengekstradisi Zakir.

Katanya, Zakir ialah seorang intelektual Islam yan diperakui antarabangsa dan syarahannya tidak menghina atau menghasut mana-mana agama seperti didakwa.

Beliau juga berkata Zakir mungkin tidak akan mendapat keadilan di India dalam perbicaraan berkaitan pengubahan wang haram terhadapnya.

Walaupun Zakir telah menyerahkan dokumen aliran kewangan kepada pihak berwajib negar itu, katanya, India masih mahu pendakwah kontroversi itu diekstradisi.
"Semua dokumen aliran kewangan dan tanggungjawab membayar cukai sudah diserahkan kepada pihak berwajib India.

"kami yakin ramai berpandangan bahawa Dr Zakir bukan lagi mahu diadili di mahkamah India kerana sudah pasti tidak akan mendapat perbicaraan adil apatah lagi ketika beliau diberi persepsi buruk oleh kerajaan dan media di sana," katanya lagi seperti dipetik.

Isnin lalu, Mahathir berkata Malaysia ada hak untuk menentukan sama ada pendakwah warga India itu akan mendapat perbicaraan adil di sana jika dihantar pulang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan berkenaan usaha Direktorat Penguatkuasaan India (ED) untuk mendapatkan waran tangkap terhadap Zakir dan individu lain dalam perbicaraan yang sedan didengar di mahkamah Mumbai di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2002.

Menurut laporan itu, mahkamah Mumbai akan memutuskan sama ada waran tangkap tanpa jaminan perlu dikeluarkan terhadap Zakir untuk pendengaran akan datang, yang dijadual pada 19 Jun ini.

Selain itu, ED juga akan memohon notis merah Interpol terhadap pendakwah warga India itu.

Zakir sebelum ini mendakwa dakwaan terhadapnya adalah palsu dan kini berstatus penduduk tetap Malaysia.

Tuesday, May 21, 2019

Mana pergi pemimpin Melayu dalam kerajaan?

USTAZ AHMAD FAISAL MOHD PUAIT
21 MAY 2019


SUNYI sepi suara pemimpin Melayu Islam dalam Kerajaan PH dalam berhadapan isu Kuota Matrikulasi. Mereka seolah takut memberi komentar, mungkin alergik dengan perkataan 'Melayu dan Bumiputera', bimbang dituduh rasis dan fanatik perkauman.

Benak fikir pemimpin Melayu Islam dalam Kerajaan hanyut dengan tema Rahmatan Lil 'Alamin yang senarionya cenderung mempertahankan bukan Melayu-Islam bagi menunjukkan sifat rahmah mereka. Tidak pelik, sehingga kini mereka masih berdiam diri dalam isu Kuota Matrikulasi.

Sepatutnya Pemimpin Melayu dalam Kerajaan PH bertindak tegas mempertahankan keputusan Kabinet dan merasionalisasikan pandangan awam secara ilmiah. Bukan berdiam diri dan memilih isu-isu yang memberi keuntungan peribadi sahaja. Sekalipun kaum 'itu' memberi banyak undi dalam PRU-14, tetapkanlah prinsip anda.

Keadilan dalam Islam bererti memberi hak kepada yang berhak, bukannya diukur dengan nilai kesamarataan semata mata. Inilah takrifan yang telah diperkenalkan oleh Islam yang menjadi asas manusia untuk berhukum.

PAS melalui Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) ingin menegaskan bahawa sokongan PAS bukan atas dasar batang tubuh ataupun politik kepartian, namun kita menyokong atas dasar dan prinsip yang menguntungkan rakyat.

Dewan Pemuda PAS Perak mendesak agar semua tokoh berpengaruh, NGO, Pertubuhan kemasyarakatan dan pemimpin-pemimpin parti politik khususnya Pemimpin Melayu dalam Kerajaan PH bersikap berani dan tegas menyatakan pendirian mempertahankan Menteri Pendidikan.

AHMAD FAISAL MOHD PUAIT
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Perak

16 Ramadhan 1440H | 21 Mei 2019

Thursday, April 11, 2019

Penyokong NGO, PH bergelut di Rantau

B Nantha Kumar
Diterbitkan Hari ini 7:11 malam


PRK RANTAU | Tindakan sebuah NGO melakukan demonstrasi di Pekan Rantau berakhir dengan insiden pergelutan antara ahli NGO terbabit dan penyokong Pakatan Harapan (PH).

Kejadian itu berlaku selepas kira-kira 10 ahli Gabungan Anti DLP (Program Dwi Bahasa) berdemo bagi menolak pelaksanaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Mereka turut membawa kain rentang tertulis "Mahathir kambing hitamkan sekolah Tamil, Kami bantah PPSMI, Tok Mat sokong bahasa ibunda dan Streram kata sangat sibuk".

Selain itu turut meminta pengundi Rantau agar tidak mengundi calon PH, Dr S Streram pada 13 April ini.

Susulan tindakan itu, penyokong PH berkumpul di lokasi berkenaan sehingga berlaku pertengkaran dan tolak menolak antara mereka.

Namun pergelutan tersebut dihentikan apabila pihak polis tiba dan menenangkan keadaan kira-kira 10 minit selepas itu.

Menurut Theeyagu Loganaden yang mengetuai NGO terbabit, mereka kecewa dengan Streram kerana enggan menjelaskan pendirian mengenai cadangan pelaksanaan semula PPSMI.

"Kami ke Rantau untuk ingin tahu pendirian calon-calon di PRK ini berkenaan pelaksanaan semula PPSMI.

"Ketika kami jumpa (calon BN) Mohamad Hasan beliau beritahu kami menyokong bahasa ibunda.

"Namun, Streram tidak layan kami, katanya sangat sibuk dengan kempen PRK. Maka, kami berceramah hari ini untuk menolak Streram pada PRK ini," jelasnya kepada Malaysiakini.

Selain Mohamad, beliau menjelaskan turut berkempen untuk calon bebas R Malar pada PRK itu.

Bagaimanapun, bekas setiausaha agung PKR, P Janapala mendakwa tindakan NGO tersebut merupakan provokasi dan mempunyai agenda tertentu.

"Ketika saya tanya kepada mereka apa kena-mengena dengan PPSMI dengan Streram yang belum lagi menang dalam PRK ini? Mereka tidak jawab sebaliknya berkata ini hak mereka untuk berkempen.

"Saya hormati hak mereka untuk berdemo. Tapi, demo itu kena logik sikit. Isu PPSMI ini isu kerajaan pusat. Kalau nak tanya, pergilah kepada Perdana Menteri, Menteri Pendidikan atau menteri-menteri India yang ada di kabinet. Apa kena-mengena dengan Streram?

"Bukannya dia diangkat sebagai menteri di kabinet pun selepas menang di Rantau," jelasnya.

Wednesday, April 3, 2019

Tanya NGO kenapa beri makan kepada pengundi, kata Anwar

Faiz Zainudin
-April 3, 2019 8:22 AM

Anwar Ibrahim (duduk 4 dari kanan), S Streram (duduk 3 dari kanan) dan beberapa pemimpin PKR menikmati hidangan nasi lemak dan capati di Taman Sri Ramai.

SEREMBAN:  Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai jamuan yang dihidangkan ketika menghadiri satu siri ceramah sempena kempen pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau.

“Ini program bawah kelolaan NGO, mereka jemput dan kena tanya mereka mengapa buat jamuan.

“Calon pun hadir? Itu kena tanya NGO, saya datang atas jemputan,” katanya selepas Majlis Perjumpaan Bersama Masyarakat India Kuala Sawah di Taman Sri Ramai, Rantau.

Pada kempen hari ke-4 Pakatan Harapan (PH), Anwar, calon PH S Streram, pemimpin PKR dan pengundi kawasan tersebut dijamu nasi lemak dan roti canai.

Menurut salah seorang wakil penganjur program itu, jamuan tersebut dianjurkan penduduk sekitar Taman Sri Ramai dengan dibantu pemimpin PKR peringkat cabang.

Katanya, ia dilakukan sebagai adat menghormati tetamu termasuk Anwar yang hadir.

“Penduduk datang jauh, takkan tak bagi makan. Datang saja-saja.
Program jamuan itu dianjurkan penduduk sekitar Taman Sri Ramai dengan dibantu pemimpin PKR peringkat cabang.

“Program ini dikelolakan oleh penduduk kampung, lagipun nasi lemak berapa saja, kita buat makan-makan tidak minta duit dengan calon,” katanya.

Majlis tersebut dihadiri lebih 200 penduduk.

Selain Streram, pemimpin lain yang hadir pada majlis berkenaan ialah Ahli Parlimen Selayang William Young dan beberapa pemimpin PKR.

FMT turut bertanyakan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang kebetulan ada di majlis berkenaan.

Katanya, pihak penganjur sememangnya melakukan kesalahan kerana mengadakan jamuan kepada pengundi yang turut dihadiri calon PRK.

“Ikut peraturan SPR, memang salah tambahan lagi ada calon PH,” kata pegawai SPR tersebut.

Untuk rekod, kesalahan itu termaktub dalam Bahagian 3, Kesalahan Rasuah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Thursday, March 28, 2019

NGO Felda hilang sabar

SITI NORHAWA MOHD. ALI
28 Mac 2019

MAZLAN ALIMAN (tiga dari kiri) bersama wakil Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia, Persatuan SuaraC Generasi Kedua Felda (SGK2) dan Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. 
UTUSAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

KUALA LUMPUR 27 Mac - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Felda meluahkan rasa kecewa, malah hilang sabar setelah 10 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih tidak membawa sebarang pelan rancangan pemulihan Felda, sebaliknya bayaran pinjaman sara hidup pula diturunkan.

Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF), Datuk Mazlan Aliman berkata, pihaknya menggesa pengurusan tertinggi Felda menarik balik pekeliling mengenai penurunan bayaran pinjaman sara hidup yang didakwa bercanggah dengan janji manifesto PH.

Mazlan yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berkata, penurunan kadar bayaran pinjaman sara hidup adalah satu pengkhianatan kerana kadar yang ditetapkan sekarang adalah perjanjian antara peneroka dan pihak Felda sejak sekian lama.

“Masalah kedudukan kewa­ngan Felda bukan hujah yang sepatutnya mereka beri. Dengan sumber kewangan yang ada sekarang kami tidak nampak mengapa perlu kurangkan bayaran pinjaman sara hidup ini. Lembaga Pengarah Felda kena jawab.

“Dalam manifesto mereka kata setuju dengan perjanjian sedia ada maknanya mereka setuju kadar bayaran pinjaman sekarang malah berjanji akan tambah kadarnya. Tetapi kini lain yang terjadi apabila pengurusan tertinggi ambil keputusan untuk kurangkan.

“Selain itu, Kertas Putih yang akan dibentangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kelak tidak seharusnya hanya mendedahkan penyelewengan, tetapi warga Felda ingin melihat juga pelan dan tindakan segera pemulihan Felda menjelang PH memerintah sebagai kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Mazlan, beliau meng­ingatkan kerajaan PH untuk konsisten menunaikan janji mereka terutamanya kepada warga pene­roka yang menjadi satu penyumbang besar kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Jelas Mazlan, pihaknya tidak mahu pekeliling itu menambah beban peneroka yang pendapatan semakin berkurang dengan bayaran bantuan sara hidup bulanan yang sering tertunggak.

“Dalam PRU lalu buat pertama kali dalam sejarah 19 kawasan Felda memberi kemenangan kepada PH dengan harapan mereka dapat menikmati hidup lebih baik dengan kerajaan baharu, terutamanya anak-anak muda Felda yang inginkan perubahan.

“Sekiranya pembaharuan tidak dibuat dan situasi ini berkekalan sampai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), saya ingin nyatakan bahawa sokongan ini akan hilang dan lenyap apabila kerajaan gagal beri perubahan dengan apa yang berlaku pada waktu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mazlan turut menggesa kerajaan untuk mela­kukan rombakan besar-besaran terhadap struktur organisasi Felda dengan mengambil kira pelantikan melibatkan anak-anak warga Felda yang lebih memahami masalah sebenar Felda.

“Pelantikan pengurusan baharu dalam kalangan orang yang tiada roh Felda menjadi punca mengapa dasar-dasar yang ditetapkan menyimpang daripada objektif sebenar penubuhan Felda dan usaha kerajaan PH mereformasi Felda,” katanya.

Sementara itu, Bahagian Komunikasi Korporat Felda ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu pihaknya sedia maklum mengenai perkara itu dan akan memberikan jawapan dalam masa terdekat.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ngo-felda-hilang-sabar-1.871166#ixzz5jRbTMvoK
© Utusan Melayu (M) Bhd

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-