Monday, June 18, 2018

Tunjukkan barangan runcit murah selepas GST sifar, kata aktivis

Robin Augustin | June 18, 2018

Mencapai penjimatan 30% hingga 50% dalam tempoh kurang sebulan seperti didakwa Salahuddin Ayub, adalah ajaib, kata aktivis pengguna.

Salahuddin berkata harga sayur-sayuran dan daging lebih murah selepas penghapusan GST 6%. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kumpulan pendesak pengguna mahu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub membuktikan dakwaan beliau bahawa harga sayur-sayuran, daging dan keperluan asas lain turun sehingga 50% selepas cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berkadar sifar.

Pergerakan Pengguna Malaysia (MCM) berkata banyak barangan makanan segar memang dikecualikan daripada GST sebelum kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) memansuhkan bayaran cukai itu untuk semua jenis barangan dan perkhidmatan.

“Kami fikir kenyataan menteri itu pramatang. Mencapai penjimatan 30% ke 50% dalam tempoh kurang sebulan adalah ajaib,” kata presidennya Darshan Singh Dhillon kepada FMT.

“Tentu hebat jika beliau dapat membuktikan kenyataan itu dengan sedikit data untuk dikongsi dengan orang awam,” kata beliau.

Ketua pegawai eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Ali Salman turut menyuarakan keraguan berhubung dakwaan penurunan harga berikutan GST berkadar sifat.

“Dulu kami telah jelaskan GST bukan faktor utama peningkatan kos barangan dan perkhidmatan,” katanya.

Katanya, oleh sebab barangan mudah rosak itu telah sedia berkadar sifar, langkah baru kerajaan tidak berkemungkinan menyebabkan harganya akan turun.

Beliau berkata, harga harus ditentukan oleh kuasa pasaran melainkan berlakunya darurat awam atau keadaan tertentu yang menghendaki campur tangan kerajaan.

Salahuddin dilaporkan berkata harga barangan segar menurun dengan banyak selepas kadar GST disifarkan pada 1 Jun lepas.

Beliau juga berkata, harga barangan dan perkhidmatan lain akan mengambil masa untuk turun.

“Harga sayuran ada yang turun sehingga 50%, sementara harga ayam dan daging seperti daging lembu turut berkurangan,” katanya.

“Saya diberitahu anda boleh beli ayam pada harga RM5 atau RM6 setiap kilogram. Daging lembu boleh dibeli pada harga RM30 hingga RM33, tetapi batang pinang lebih mahal,” katanya pada satu majlis rumah terbuka Hari Raya baru-baru ini.

Pada 1 Jun lepas, kerajaan melaksanakan GST berkadar sifar selepas ia diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional pada 1 April 2015.

Kerajaan dijangka menggantikan GST dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-