Tuesday, July 17, 2018

Dr M pertahan keputusan laksana SST ganti GST

Faiz Zainudin | July 17, 2018
Perdana menteri berkata, SST tidak sama dengan GST yang menyebabkan harga barangan lain turut meningkat.
Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan menguji terlebih dahulu pelaksanaan semula SST. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan keputusan kerajaan Pakatan Harapan memperkenalkan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Perdana menteri berkata, SST pada kadar 10% bagi jualan dan 6% perkhidmatan tidak sama dengan GST yang menyebabkan harga barangan lain turut meningkat.

Katanya, kerajaan akan menguji terlebih dahulu pelaksanaan semula SST dan beliau belum melihat rang undang-undang atau Akta berkaitan cukai itu yang akan dibawa ke sesi Parlimen kali ini.

“Kita dah umumkan kadar sifar terhadap GST, sekarang kita nak pastikan Parlimen mansuhkan GST.

“Setahu saya, 10% jika anda beli, jika tidak beli tak perlu bayar, manakala GST adalah cukai yang menyerang punca, sama ada anda beli atau tidak, semua harga akan meningkat,” katanya selepas perasmian serentak Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjanji akan menghapuskan GST menerusi manifesto pilihan raya umum ke-14 dan Kementerian Kewangan menurunkan kadar GST kepada 0% mulai 1 Jun lalu.

Kerajaan Barisan Nasional memperkenalkan GST pada kadar 6% mulai 1 April 2015 dan kira-kira RM44 bilion dikutip daripada sistem percukaian itu.

GST akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai 1 September nanti yang dijangka menyumbang RM4 bilion kepada pendapatan negara.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, Akta SST dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan sebelum diluluskan.

Terdahulu, Agong menyokong tindakan kerajaan PH menghapuskan GST, menstabilkan harga minyak serta memberi bantuan sara hidup dalam usaha meringankan beban rakyat.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, semua ahli Parlimen bebas membangkitkan sebarang isu di Dewan Rakyat dan dasar kerajaan ialah tidak menyekat kebebasan bersuara.

“Esok kita tengoklah, tetapi ahli Parlimen susah sedikit nak ‘control’. Biasanya dia nak cakap dan kita punya dasar ialah tidak ada sekatan. Nak cakap apa, cakaplah.”

Mengulas “amaran” Agong secara berseloroh kepada ahli Parlimen supaya tidak meninggalkan Dewan Rakyat, Dr Mahathir menyifatkan ia sekadar gurauan.

“Itu mungkin gurauan baginda, tetapi siapa makan cili, dia yang rasa pedas.”

Semalam, semua ahli Parlimen pembangkang, kecuali 3 orang, keluar dewan kerana mendakwa pelantikan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai speaker melanggar peraturan Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Barisan Nasional dan PAS mendakwa PH tidak menyerahkan nama speaker kepada setiausaha Dewan Rakyat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Parlimen mula bersidang.

Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah bagaimanapun mengesahkan pihaknya menerima notis pencalonan speaker pada 2 Julai lalu, iaitu 14 hari sebelum Dewan Rakyat mula bersidang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-