Tuesday, July 17, 2018

Aktivis PKR persoal Dr M, jangan mungkiri janji PH

FMT Reporters | July 17, 2018
Seorang pemimpin Pemuda PH berkata janji kepada rakyat yang mengundi gabungan itu perlu dipenuhi.
Syukri Razab. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Pemuda PKR memberi amaran kepada Pakatan Harapan agar jangan mudah memungkiri dasar-dasarnya, selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan manifesto pilihan raya gabungan itu bukan sesuatu yang tidak boleh diubah.

Ketua Strategi Pemuda Pakatan Harapan, Syukri Razab berkata, kenyataan perdana menteri boleh menjadi duluan kepada kerajaan untuk memungkiri janji-janji yang terkandung dalam manifesto bersama untuk pilihan raya lepas.

“Tindakan ini seolah-olah menggambarkan manifesto yang dibuat sebelum Pilihan Raya dahulu tidak dibina atas asas yang benar-benar kukuh. Walhal kita semua maklum manifesto itu adalah natijah daripada pungutan suara rakyat hasil daripada berpuluh tahun perjuangan pakatan pembangkang sebelum ini,” kata Syukri.

Beliau berkata satu janji sudah dimungkiri, iaitu apabila kerajaan berkata ia akan mengubah suai Biro Tata Negara (BTN), walaupun ia berjanji untuk memansuhkan program yang dikritik sebagai “alat membasuh otak” kerajaan dulu.

Beliau tertanya apakah kerajaan PH bawah Dr Mahathir juga akan mengekalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Semalam, Dr Mahathir mempertahankan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai pilihan PH untuk jawatan speaker Dewan Rakyat walaupun gabungan itu sebelum ini berjanji untuk melantik seorang wakil rakyat.

“Saya ingatkan manifesto bukan ‘Bible’, ia hanyalah panduan. Kadang-kadang kita boleh melakukan sesuatu, kadangkala kita dapati ia tidak boleh dilakukan. Jadi, kita perlu praktikal,” katanya.

Syukri berkata walaupun manifesto bukan kitab suci, dokumen tersebut perlu dimuliakan sebagai janji-janji yang membuka laluan kepada Pakatan Harapan membentuk kerajaan.

“Jika benar-benar terdapat keperluan untuk meminda sesuatu janji, hal tersebut mestilah dibuat dengan memuliakan suara rakyat mengikut kaedah pungutan suara,” tambahnya.

“Hal ini penting supaya rakyat memahami bahawa Kerajaan hari ini tidak akan senang-senang untuk mengubah janji.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-