Tuesday, July 31, 2018

Komunis tetap pengganas, kata veteran tentera

Bernama 
Diterbitkan 31 Jul 2018, 6:11 petang


Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Perlis menegaskan, pihak komunis akan selamanya kekal sebagai pengganas dan tidak layak diangkat sebagai pejuang kemerdekaan.

Yang Dipertuanya Datuk Idrus Kassim berkata setiap kekejaman yang dilakukan pihak komunis terhadap pasukan keselamatan negara merupakan fakta sejarah yang tidak mampu diubah dan akan diingat selamanya.

“Pengganas tetap pengganas dan sampai bila-bila pun tidak boleh dimegah-megahkan untuk diangkat mereka sebagai pejuang,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas forum bertajuk ‘Perlukah Kita Menulis Semula Buku Sejarah?’ yang dianjurkan ‘Imagined Malaysia’ bagi membincangkan peranan komunis sebagai pejuang kemerdekaan dan sama ada pihak kerajaan perlu mengubah sejarah zaman darurat.

Dalam forum tersebut, beberapa panelis menggesa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) menilai semula buku teks Sejarah dan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan puak berhaluan kiri dalam naskhah rujukan utama pelajar sekolah.

Dalam pada itu, Idrus berkata forum seumpama itu tidak sepatutnya diadakan secara terbuka kerana ia amat sensitif terutama kepada keluarga yang menjadi mangsa kekejaman komunis.

“Semua orang tahu tentang kekejaman komunis, buat apa nak dibincangkan lagi. Lebih dikesali isu ini turut dibangkitkan oleh orang berbangsa Melayu sedangkan majoriti yang menjadi mangsa kekejaman komunis adalah orang-orang dan askar Melayu.

"Pihak penganjur sepatutnya lebih berhati-hati dalam memilih tajuk dan sebaiknya dirujuk kepada pihak berkaitan kerana apabila ada rasa tidak puas hati rakyat, akan timbul huru hara dalam negara,” katanya.

Idrus juga berharap kerajaan PH tidak akan melayan sebarang cadangan berhubung perkara tersebut walaupun ia datang daripada penyokong PH sendiri.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-