Showing posts with label pengganas komunis. Show all posts
Showing posts with label pengganas komunis. Show all posts

Sunday, February 23, 2025

'Komunis tembak perut ayah hingga terburai' - Waris tragedi Bukit Kepong

bharian.com.my
Oleh Alias Abd Rani 
bhnews@bh.com.my
- Februari 23, 2025 
Zaleha Ahmad, 75, menceritakan detik tragedi Bukit Kepong yang meragut nyawa bapanya kira-kira 72 tahun lalu. - NSTP ALIAS ABD RANI

MUAR: Ditembak ketika bersarapan hingga usus terburai antara detik hitam dilalui lima sekeluarga dalam serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong, kira-kira 72 tahun lalu.

Allahyarham Ahmad@Mohamad Jaafar yang berkhidmat sebagai 'mata-mata' kepada pasukan keselamatan ditembak dua kali oleh komunis dalam serangan dinihari ketika kebanyakan penduduk sedang lena dibuat mimpi.

Anak arwah, Zaleha Ahmad, 75, berkata melalui penceritaan arwah ibunya, Mariam Ibrahim, tragedi berdarah itu berlaku ketika dia berusia tiga bulan dan berada di pangkuan arwah bapanya.

Menurut Zaleha, kejadian berlaku sekitar jam 4.30 pagi ketika mereka sekeluarga sedang menikmati sarapan sebelum terdengar tembakan dari luar.

"Ibu memberitahu, bapa menjenguk melalui tingkap sebelum bahunya ditembak. Bapa terjatuh, namun sempat bangun dan beritahu ibu supaya sembunyikan adik-beradik dalam peti besi di balai polis.

"Belum sempat berbuat apa-apa, komunis sudah tercegat depan pintu lalu melepaskan tembakan mengenai perut hingga usus terkeluar. Waktu itu, bapa masih hidup dan ibu bersama empat adik-beradik kami ditarik keluar ke tepi sungai.

"Arwah bapa masih dalam rumah dan ibu terdengar mereka (komunis) mahu membakar berek polis. Jadi arwah ibu merayu sambil mengangkat tangan kepada komunis agar membenarkannya membawa keluar ayah," katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong Sempena Sambutan Hari Polis Ke-218, di Galeri Darurat Bukit Kepong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Polis Johor, Datuk M Kumar serta Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz.

Menurut Zaleha lagi, mereka sekeluarga berkumpul di tepi perigi, manakala ibu bersama abangnya berusia tiga tahun ketika itu, berjalan ke berek polis untuk membawa keluar arwah bapanya yang masih hidup.

"Ibu beritahu, arwah bapa meninggal dalam bot ketika sedang dibawa ke Hospital Muar dan dikebumikan di Seri Menanti, Muar," katanya sambil berlinangan air mata.

Katanya lagi, arwah ibunya turut diacukan senapang di leher supaya memujuk anggota polis keluar menyerah diri.

"Ibu dipaksa oleh komunis namun anggota terbabit enggan menyerah dan komunis kemudian lari ke hutan berhampiran," katanya.

Seorang lagi waris mangsa serangan komunis Bukit Kepong, Jariah Jidin, 75, berkata arwah bapanya, Jidin Omar, ditembak komunis di perut sebelum meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Ketika itu, katanya dia masih di dlaam kandungan ibunya.

"Kami kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata angkara serangan komunis.

"Yang menjadi kenangan kami ialah membesar tanpa ayah, kami anak yatim. Bapa kami sudah meninggal, tapi kami waktu itu menempuh kehidupan yang sukar, menumpang kasih dengan arwah datuk.

"Akibatnya, hidup kami menderita... setiap kali tibanya majlis peringatan ini, saya terbayang bagaimana sukarnya kami tempuh perjalanan ini," katanya.

Tuesday, July 31, 2018

Pengiktirafan komunis penghinaan buat perwira negara

BERNAMA
31 JULAI 2018

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA - Sebarang pengiktirafan terhadap perjuangan pengganas komunis termasuk memuatkan perjuangan puak berhaluan kiri itu dalam buku teks Sejarah merupakan satu penghinaan kepada perwira negara yang berjuang untuk kemerdekaan negara, kata seorang bekas pegawai tentera.

Brig. Jen (B) Datuk Jamil Rais Abdullah berkata, ramai perwira negara terkorban selain ada yang cedera parah sehingga mengalami kecacatan kekal ketika berjuang membanteras anasir komunis di negara ini.

Katanya tempoh darurat 1948-1960 menyaksikan ramai anggota tentera gugur dalam pertempuran dengan komunis.
“Kami rasai kehilangan (rakan-rakan kami). Ramai kawan-kawan saya terbunuh... (Justeru) Saya tidak boleh terima (pengiktirafan komunis dan dimasukkan dalam buku teks Sejarah). Tindakan ini adalah tidak wajar kerana ia akan mengguris perasaan para pejuang dan perwira negara. Mana boleh sewenang-wenangnya lupa perjuangan rakan-rakan sebelum ini?

“Kami mempertaruhkan nyawa dan berjuang habis-habisan kerana ia adalah semangat kami, demi kedaulatan negara,” katanya selepas menghadiri istiadat perbarisan bersempena sambutan Hari Pahlawan 2018 di Dataran Pahlawan Negara, di sini hari ini.

Jamil antara anggota tentera terlibat dalam 'Operasi Iblis' di kawasan hutan Ulu Kinta, Perak yang dilancarkan oleh Markas Briged Kedua lnfantri Malaysia pada 1971, bertujuan mencari dan memusnahkan Unit Penggempur Ke-5 Pasukan Gerakan Komunis (PGK) yang beroperasi merangkumi kawasan Bukit Berapit, Air Kala, Hutan Simpan Kinta dan Slim River.

Baru-baru ini media melaporkan wacana ‘Should We Rewrite Our History Book?’ (Haruskah Kita Menulis Semula Buku Sejarah?) membincangkan peranan komunis sebagai pejuang kemerdekaan dan membangkitkan persoalan sama ada kerajaan perlu menulis semula sejarah zaman darurat.

Pada forum tersebut, beberapa panelis menggesa kerajaan PH menilai semula buku teks sejarah dan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan puak berhaluan kiri dalam naskhah rujukan utama pelajar sekolah.

Sementara itu, Kapten (B) Datuk Azmi Abdul Hamid berkata, usaha mengiktiraf pengganas komunis akan mengelirukan rakyat dan golongan muda.

“Saya tidak setuju (pengiktirafan perjuangan komunis) pada saya tindakan itu melampau,” katanya yang juga pernah terlibat dalam Operasi Iblis 1971.

Sementara itu, Lt. Kol (B) Harbans Singh berkata pengganas komunis telah menyeksa dan membunuh anggota-anggota tentera negara dengan kejam.

Beliau memberi contoh Peristiwa Gubir 1976 yang menyaksikan anggota Angkatan Tentera Malaysia terbunuh dalam pertempuran

"Mereka cacatkan mukanya dan memotong buah zakar seorang pegawai. Jadi bagaimana kita hendak iktiraf perjuangan komunis?

“Sebarang cadangan untuk memasukan fakta perjuangan pengganas ke dalam buku teks harus ditolak sama sekali oleh semua pihak,” katanya.

 - Bernama

Komunis tetap pengganas, kata veteran tentera

Bernama 
Diterbitkan 31 Jul 2018, 6:11 petang


Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Perlis menegaskan, pihak komunis akan selamanya kekal sebagai pengganas dan tidak layak diangkat sebagai pejuang kemerdekaan.

Yang Dipertuanya Datuk Idrus Kassim berkata setiap kekejaman yang dilakukan pihak komunis terhadap pasukan keselamatan negara merupakan fakta sejarah yang tidak mampu diubah dan akan diingat selamanya.

“Pengganas tetap pengganas dan sampai bila-bila pun tidak boleh dimegah-megahkan untuk diangkat mereka sebagai pejuang,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas forum bertajuk ‘Perlukah Kita Menulis Semula Buku Sejarah?’ yang dianjurkan ‘Imagined Malaysia’ bagi membincangkan peranan komunis sebagai pejuang kemerdekaan dan sama ada pihak kerajaan perlu mengubah sejarah zaman darurat.

Dalam forum tersebut, beberapa panelis menggesa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) menilai semula buku teks Sejarah dan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan puak berhaluan kiri dalam naskhah rujukan utama pelajar sekolah.

Dalam pada itu, Idrus berkata forum seumpama itu tidak sepatutnya diadakan secara terbuka kerana ia amat sensitif terutama kepada keluarga yang menjadi mangsa kekejaman komunis.

“Semua orang tahu tentang kekejaman komunis, buat apa nak dibincangkan lagi. Lebih dikesali isu ini turut dibangkitkan oleh orang berbangsa Melayu sedangkan majoriti yang menjadi mangsa kekejaman komunis adalah orang-orang dan askar Melayu.

"Pihak penganjur sepatutnya lebih berhati-hati dalam memilih tajuk dan sebaiknya dirujuk kepada pihak berkaitan kerana apabila ada rasa tidak puas hati rakyat, akan timbul huru hara dalam negara,” katanya.

Idrus juga berharap kerajaan PH tidak akan melayan sebarang cadangan berhubung perkara tersebut walaupun ia datang daripada penyokong PH sendiri.

- Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-