Monday, July 30, 2018

Mahkamah tetap 3 September keputusan kes banglo Lim Guan Eng

Predeep Nambiar | July 30, 2018
Hakim membenarkan lebih masa kepada pendakwa untuk memeriksa representasi pihak pembelaan.
Peguam Ramkarpal Singh berkata tiada pengesahan sama ada kes rasuah Lim Guan Eng akan digugurkan. (Gambar fail)

GEORGE TOWN:
Peguam Lim Guan Eng berkata keputusan menggugurkan tuduhan rasuah terhadap menteri kewangan itu 2 tahun lepas bergantung kepada budi bicara peguam negara, dan menambah bahawa Mahkamah Tinggi memberi tempoh sehingga 3 September depan kepada pihak pendakwaan untuk memutuskan tentang penarikan balik kes.

Peguam Ramkarpal Singh berkata buat masa sekarang tidak ada pengesahan sama ada kes Lim akan digugurkan kerana pihak pendakwaan belum memeriksa representasi yang dikemukakan oleh pembelaan.

Katanya representasi itu diserahkan kepada pihak pendakwaan pada 6 Julai lepas dan pendakwa berkata mereka memerlukan masa sebulan untuk mengkajinya.

“Hakim memberikan mereka tempoh sebulan untuk memeriksa reprsentasi kami bagi pihak kedua-dua yang dituduh,” katanya, merujuk kepada Lim dan ahli perniagaan, Phang Li Koon.

“Representasi kami agak menyeluruh. Mungkin mereka memerlukan masa untuk memeriksanya,” katanya di luar mahkamah hari ini.

Lim tidak hadir walaupun Phang hadir bersama peguam beliau, V Sithambaram.

Timbalan pendakwaraya Abdul Rashid Daud menggantikan Datuk Masri Mohd Daud yang kini berada di luar negara.

Lim yang merupakan ketua menteri Pulau Pinang pada waktu itu dituduh pada 2016 menggunakan jawatan awamnya untuk meluluskan permohonan sebuah syarikat untuk menukar status tanah pertanian kepada perumahan.

Beliau juga dituduh menggunakan kedudukannya untuk membeli sebuah banglo daripada Phang pada harga RM2.8 juta di bawah harga pasaran sebenar sebanyak RM4.27. Phang dituduh bersubahat.

Lim mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri kewangan pada 21 Mei lepas berikutan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum 9 Mei.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-