Sunday, July 29, 2018

'Menteri sepatutnya bincang dengan persatuan pelajar'

MUHAMMAD AFHAM RAMLI
29 JULAI 2018

Muhammad Faizzuddin (kiri, tiga depan) dan Wan Rohimi (tengah) bersama-sama mahasiswa dan NGO hadir memberi sokongan.

KUALA LUMPUR - Tindakan memanggil, mengugut mahasiswa dengan mengambil keterangannya disifatkan satu perbuatan untuk menakut-nakutkan mereka.

Peguam Jabatan dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda Pas Malaysia, Wan Rohimi Wan Daud berkata, amalan menakutkan mahasiswa sebegini adalah satu amalan yang sering dilihat sebelum PRU14 lagi.

Menurutnya, diharapkan Malaysia baru ini berubah, namun dilihat ia lebih teruk lagi.

"Menteri sepatutnya memanggil persatuan pelajar untuk duduk berbincang berhubung isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ini. Saya minta kerajaan PH bukan hanya bercakap tentang 'rule of law' sahaja, tetapi perlu hayati perkara itu.

"Jadi saya harap selepas ini tidak ada lagi polis memanggil pimpinan pelajar untuk diambil keterangan yang saya rasa tidak perlu," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Kira-kira jam 11.15 pagi tadi, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Mohd Faizzuddin Zai dan timbalannya, Mohamad Shafiq Sharif hadir ke IPD Dang Wangi untuk dirakam keterangan susulan himpunan yang dianjurkan di hadapan Kompleks Sogo di sini bagi menzahirkan bantahan terhadap pengiktirafan UEC pada 21 Julai lalu.

Sementara itu, Mohd Faizzuddin berkata, pihaknya menyifatkan hal itu adalah satu sekatan daripada pihak berkuasa di bawah pimpinan PH.

"Kita kecewa dengan kerajaan hari ini yang tidak meraikan suara anak muda. Kita percaya PH mahu membawa Malaysia baru, tapi hakikatnya itu hanya tipu daya dan retorik semata-mata.

"Kami hari ini seolah-olah melakukan jenayah, namun itu tidak menggentarkan kami. Malah kami akan terus giat berkempen untuk membantah UEC," katanya.

Jelasnya, mereka tidak akan tunduk kerana percaya rakyat Malaysia diberi hak untuk menikmati kebebasan untuk berekspretasi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-