Thursday, July 19, 2018

Menteri: Taib Mahmud bersih daripada semua salah laku pada 2013

Minderjeet Kaur | July 19, 2018
Liew Vui Keong berkata, SPRM menjalankan beberapa siasatan ke atas bekas ketua menteri Sarawak itu dan hasilnya diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

DEWAN RAKYAT

Jabatan Peguam Negara memutuskan semua kertas siasatan ke atas Taib Mahmud ditutup pada 2013. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara membersihkan nama Gabenor Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud daripada sebarang salah laku sejak 2013, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang meminta perdana menteri menyatakan jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberi keutamaan untuk memulakan siasatan ke atas Taib atas dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“SPRM sudah menjalankan beberapa siasatan terhadap bekas ketua menteri Sarawak itu.

“Semua hasil siasatan sudah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.”

Beliau berkata, selepas meneliti semua bukti yang ada, Jabatan Peguam Negara memutuskan semua kertas siasatan membabitkan isu itu ditutup pada 2013.

Mei lalu, Francis Paul Siah, pemimpin sebuah NGO Sarawak dikenali sebagai Movement for Change Sarawak, menggesa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull membuka semula kertas siasatan terhadap Taib.

Siah berkata, beliau membuat laporan kepada SPRM terhadap Taib pada Mac 2011.

Pada 3 Julai lalu, Shukri dilaporkan berkata, SPRM tidak dapat mengambil sebarang tindakan terhadap Taib walaupun 15 fail siasatan dibuka sejak 2015 atau 2016.

Ini kerana katanya, Taib tidak mempengerusikan sebarang mesyuarat atau membuat keputusan terhadap projek tertentu.

“Kita sudah buka 15 fail siasatan sejak 2015 atau 2016 lagi, siasatan itu memang sebahagiannya betul seperti apa yang ditohmah. Masalahnya, dia (Taib) tidak buat keputusan, dia tidak mempengerusikan mesyuarat.

“Tidak ada satu kes yang mengaitkannya kerana orang lain yang buat keputusan. Kita dah serahkan kepada Jabatan Peguam Negara, tidak boleh kaitkan melainkan kita ada terima maklumat baru.

“Dia tidak buat keputusan terhadap tanah atau projek-projek tertentu. Undang-undang tidak benarkan kita ambil tindakan terhadapnya,” katanya awal bulan ini.

Taib dikaitkan dengan pelbagai dakwaan rasuah semasa beliau menjadi ketua menteri Sarawak dari 1981 hingga 2014, termasuk salah guna kuasa, rampasan tanah dan menerima sogokan.

Pada 1 Mac 2014, Taib mengangkat sumpah sebagai gabenor Sarawak ke-7 selepas meletak jawatan sebagai ketua menteri pada 28 Februari 2014 dan khidmatnya disambung 4 tahun lagi Februari lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-