Tuesday, July 17, 2018

NGO pro-pembangkang dilarang protes, berarak ke Parlimen

Faiz Zainudin | July 17, 2018

Kira-kira 50 penyokong Pemantau Malaysia Baru berkumpul di luar ibu pejabat polis bagi menunjukkan sokongan kepada Agong dan membantah pemerintahan DAP yang didakwa memperkudakan Dr Mahathir.
Polis melarang Lokman Noor Adam (tengah) dan peserta meneruskan perarakan ke bangunan Parlimen.

KUALA LUMPUR: Lebih 50 penyokong sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dihalang mengadakan protes dan perarakan ke Parlimen bagi menunjukkan sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong serta membantah pemerintahan DAP yang didakwa memperkudakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam yang mengetuai perhimpunan itu berkumpul di tempat letak kenderaan Bukit Aman untuk berarak ke Parlimen sejauh kira-kira 1km.

Beliau mendakwa polis mengadakan sekatan atas arahan Dr Mahathir.

“Kita dah cuba nak berhimpun, tapi dihalang polis yang mana saya tahu mereka hanya jalankan tugas. Polis hanya dengar arahan daripada Mahathir.

“Nampak sangat Tun Mahathir takut. Mereka sebenarnya (kerajaan) nak kita gempur, kali ini kita akur,” katanya berucap di depan peserta yang berkumpul sejak 8.30 pagi tadi .
Dua peserta wanita menggantung poster di leher bagi menunjukkan solidariti terhadap Agong.

Lokman kemudiannya mengarahkan peserta bersurai secara aman tanpa melakukan sebarang provokasi kira-kira 10 pagi.

“Jangan bertempur dengan polis. Kita hari ini hanya nak pertahankan apa yang ada dalam Perlembagaan. Jangan kita dilabel sebagai rasis dan ganas,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V merasmikan Persidangan Penggal Pertama Dewan Rakyat dan Dewan Negara selepas pilihan raya umum ke-14 yang menyaksikan Pakatan Harapan mengalahkan Barisan Nasional secara mengejut.

Persidangan itu bermula semalam dengan majlis mengangkat sumpah speaker Dewan Rakyat, selepas Dr Mahathir mengumumkan pelantikan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yunos.

Dr Mahathir turut mengetuai istiadat mengangkat sumpah 220 ahli Dewan Rakyat, kecuali 2 ahli Parlimen, termasuk Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bercuti sakit selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada pankreas, baru-baru ini.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari sehingga 16 Ogos ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-