28 JULAI 2018
Tun Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto - Bernama
SHAH ALAM - Mahu atau tidak, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menyerahkan kepimpinan negara kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila sudah sampai masanya.
Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, Dr Mahathir perlu akur kerana perkara tersebut adalah salah satu syarat dipersetujui sebelum kerjasama antara beliau dan PH berlaku.
Menurutnya, pandangan peribadi Dr Mahathir sama ada suka atau tidak terhadap Anwar sudah menjadi tidak penting dan tidak terpakai berdasarkan perjanjian yang telah dicapai.
"Walaupun mungkin secara personaliti, Dr Mahathir lebih kenal Anwar kerana beliau lama dalam kerajaan dan dalam masa yang sama tahu kebolehan atau kekurangan Anwar dalam memimpin, ia sudah menjadi tidak penting.
"Sama ada beliau setuju atau tidak, percaya atau tidak, ia sudah termaktub dalam perjanjian awal dengan PH," katanya.
Kelmarin, Dr Mahathir dalam satu temubual dengan portal berita antarabangsa menegaskan pendapat peribadinya tidak penting dan sama ada suka atau tidak, beliau perlu mempercayai Anwar untuk mengambil alih jawatannya nanti.
Kata Ahmad Marthada lagi, dalam PRU sebelum ini, Anwar memang dinamakan sebagai calon perdana menteri dan ia tidak dapat disangkal walaupun Dr Mahathir kemungkinan mempunyai nama lain yang lebih layak menggantikan beliau.
"Saya juga yakin, akan lebih banyak kenyataan-kenyataan serupa yang akan diungkapkan lagi oleh Dr Mahathir mengenai Anwar, namun ia tidak dapat mengubah apa-apa," katanya.
Sementara itu, nada berbeza disuarakan Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian yang melihat dari sudut positif kenyataan Dr Mahathir berdasarkan usaha perdamaian antara kedua-dua mereka.
Katanya, beliau lebih suka menunggu apabila Anwar mempunyai tanggungjawab dalam struktut pentadbiran negara dan melihat kolaborasi antara Anwar dengan Mahathir sebelum membuat sebarang kesimpulan.
"Selepas PRU kita lihat Tun M rujuk anwar dalam beberapa perkara.bermakna, saya rasa itu perubahan yang telah berlaku dalam kedua-dua mereka berbanding pada tahun 1998 lalu. Kepercayaan itu yang sedang dibina semula.
"Buat masa sekarang, Anwar akan fokus kepada pemilihan dalam parti dahulu.Kemudian saya yakin, Anwar akan bertanding di PRK dan kembali ke Parlimen. Dari situ kita akan lihat bagaimana kedua-duanya akan berganding semula dan kita akan nampak peranan lebih signifikan Anwar di sisi Dr Mahathir," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.