Calon BN itu berkata jika calon PH terbabit tidak mampu menyanggah keputusan dibuat pimpinan tertinggi, lebih baik pengundi DUN Sungai Kandis sokong BN.
PETALING JAYA: Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam persoal apakah pendirian Mohd Zawawi Ahmad Mughni berhubung isu tarian gelek sewaktu kutipan derma Tabung Harapan Malaysia (THM).
Lokman berkata, jika calon Pakatan Harapan (PH) itu tidak mampu menyanggah keputusan dibuat pimpinan tertinggi, adalah lebih baik jika pengundi DUN Sungai Kandis memberikan undi kepada BN.
“Agaknya apa pendirian ustaz terhadap keputusan PH memanggil tarian gelek LGBT untuk mengutip derma bagi Tabung Harapan ya?
“Mampukah seorang Adun PH menyanggah perdana menteri atau timbalannya? Jika tidak, serahkan tugas itu kepada pembangkang dengan mengundi BN pada 4 Ogos depan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam rakaman video berdurasi 15 saat itu, memaparkan beberapa wanita menari dengan mendedahkan aurat sewaktu majlis kutipan derma THM pada 25 Julai lalu.
Sejak ditubuhkan, THM sehingga ke hari ini sudah mengumpul sumbangan sebanyak RM162 juta setakat jam 3 petang tadi.
Terdahulu, Lokman berjanji akan mempertahankan Maahad Tahfiz Al Fateh, yang mana Zawawi merupakan pengetua di sekolah agama berkenaan.
“Jika mahu selamatkan pusat tahfiz, undilah saya. Saya akan pertahankan hingga darah terakhir saya. Ini janji saya,” katanya.
Mengulas lanjut, Lokman meminta pengundi yang tidak berpuas hati dengan PH selepas 70 hari memerintah negara agar menyuarakan bantahan mereka melaluinya.
“Pada 4 Ogos ini, bukan hendak pilih saya atau Zawawi tapi pungutan suara. Kalau anda berpuas hati undilah PKR. Tapi sekiranya anda merasakan PH perlu penuhi janji, undilah saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.