Wednesday, July 18, 2018

Tiada cukai jika tidak beli

Sistem SST berbeza dengan GST – Dr. Mahathir
SULTAN MUHAMMAD V menerima buku titah Diraja yang disampaikan oleh Dr. Mahathir Mohamad pada Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Majlis Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. BERNAMA

KUALA LUMPUR 17 Julai - Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) adalah berbeza dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang didakwa sebagai punca harga barang meningkat.

Disebabkan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan telah pun meng­u­­mumkan pemansuhan GST dan akan menarik balik perundangan sistem percukaian itu di Parlimen.

“Kita sudah umum sifar GST. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah untuk memastikan Parlimen memansuhkannya.

“SST adalah berbeza, cukai hanya dikenakan apabila membeli. Jika tidak beli, tiada cukai dikenakan. Tetapi GST ini sumber cukai, sama ada beli atau tidak, harga akan tetap meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lobi Parlimen selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-14 hari ini.

Sementara itu, Dr.Mahathir menegaskan kerajaan tidak akan menyekat sebarang percakapan ataupun kritikan Ahli Parlimen pada sesi perbahasan di Parlimen.

“Esok kita tengoklah tetapi Ahli Parlimen susah sedikit mahu kawal. Biasanya dia nak cakap dan kita punya dasar ialah tidak ada sekatan. Nak cakap apa, cakaplah,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam titah pembukaan mesyuarat menyatakan keyakinannya sesi perbahasan akan berlangsung dengan berhemah.

Berkenaan titah Seri Paduka, Dr. Mahathir percaya mesejnya ialah supaya kesederhanaan di­terapkan dalam semua perkara termasuklah soal agama.

“Kita harus bertimbang rasa terhadap agama orang yang berlainan daripada kita dan mereka juga harus hormat kita punya agama

“Kalau kita mula cabul agama lain, kita akan terima padahnya,” jelas beliau.

Menyentuh jenaka Seri Paduka yang meminta semua wakil rak­yat duduk dan ‘tidak lari’ sebelum memulakan titah, Dr. Mahathir hanya berkata, ia ditujukan kepada mereka yang berkaitan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tiada-cukai-jika-tidak-beli-1.711149#ixzz5LYnLUKR5
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-