Saturday, August 18, 2018

Hak milik 999 tahun: Umno sokong MB Perak tolak permintaan DAP

FMT Reporters | August 18, 2018

Khairy berkata memberikan status hak milik tanah 999 tahun kepada kampung baru 'ultra vires' Perlembagaan Persekutuan.

PETALING JAYA:
Khairy Jamaluddin berkata Umno memberikan sokongan kepada Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu untuk menolak permintaan DAP yang tetap mahu kerajaan negeri memberikan status hak milik tanah 999 tahun kepada kampung baru.

Terdahulu, DAP Perak mengingatkan Faizal perkara itu dijanjikan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan dan PH komited untuk melaksanakan semua janji-janjinya.

“Tak boleh. Ini soal Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tanah Negara. Saya harap menteri besar jangan tunduk kepada desakan DAP,” kata Ahli Parlimen Rembau itu di Twitter hari ini.

“Umno memberi sokongan kepada menteri besar untuk menolak permintaan ‘ultra vires’ (melampaui kewenangan) Perlembagaan Persekutuan ini.”

Faizal dalam ucapan penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini berkata kerajaan negeri tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun kepada kampung baru kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menteri besar berkata Majlis Tanah Negara (MTN) memutuskan tempoh pajakan bagi kampung baru dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun, dan hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming hari ini berkata Perlembagaan Persekutuan menetapkan tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri dan MTN “hanya memberikan nasihat”.

“Jangan salah faham, ini bukan tanah baharu, ini adalah lot kediaman yang didiami oleh penduduk sebelum kemerdekaan sejak 1948 iaitu waktu darurat, sudah wujudnya kampung baru,” kata Nga.

“Saya ingin tekankan apabila kita berikan hak milik kekal, kita bagi kepada semua bangsa dan ini perlu ditegaskan.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-