Monday, August 27, 2018

JPP PKR tentukan kelayakan Rafizi untuk bertanding

MOHD. HAFIZI AHMAD dan JULIA ISMAIL
27 Ogos 2018 12:55 PM

Rafizi Ramli.

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menentukan nasib Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung kelayakan beliau untuk bertanding pada pemilihan parti kali ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pucuk kepimpinan parti tidak mempunyai masalah dengan Rafizi yang bertanding sebagai calon Timbalan Presiden pada pemilihan parti September depan.

Bagaimanapun, Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, JPP yang dipengerusikan oleh Datuk Rashid Din akan menentukan sekiranya pencalonan Rafizi itu melanggar peraturan pemilihan parti.

"Kita kena lihat bagaimana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) melihat kes ini sebab Rafizi sepatutnya tidak mendapat apa-apa halangan (bertanding). Dia tidak bersalah, jadi apa salahnya?

"(Dari segi parti tiada apa-apa masalah) JPP ada. Dia akan lihat, okey terima kasih," katanya ketika ditemui di Bangunan Parlimen di sini pagi tadi.

Media hari ini melaporkan PKR mungkin berhadapan dikenakan tindakan pembubaran oleh ROS sekiranya membenarkan Rafizi bertanding sebagai calon Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu pada September ini.

Sumber dalaman PKR memberitahu, walaupun Rafizi mendakwa telah mendapat surat pengecualian daripada ROS untuk bertanding pada pemilihan parti, bekas Ahli Parlimen Pandan itu tidak pernah menunjukkan bukti tersebut.

Sementara itu, Setiausaha JPP PKR, Senator Ismail Yusof berkata, beliau tidak pernah melihat sebarang surat pengecualian daripada ROS yang membenarkan Rafizi bertanding pada pemilihan parti.

Ismail berkata, JPP serta Jawatankuasa Bantahan, Rayuan dan Disiplin parti akan membincangkan isu mengenai Rafizi supaya tidak berlaku perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan parti.

"Dalam peruntukan peraturan pemilihan memang ada sekiranya terlibat dengan kes mahkamah (tidak boleh bertanding) kecuali mendapat pengecualian. Tetapi saya tidak melihat apa-apa dokumen berkaitan saudara Rafizi.

"Saya pun baru baca pagi tadi dan belum boleh buat apa-apa komen. Setakat ini isu Rafizi kami tidak pernah bincangkan. Petang ini kita akan bermesyuarat dan akan bincangkan sekali," katanya. 

- K! ONLINE

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-