Tuesday, August 28, 2018

Mansuh caj rawatan RM1 di hospital kerajaan tak benar

Kementerian Kesihatan mohon orang ramai henti kongsi berita palsu

tyrazalhe 28/08/2018
Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 16 Zulhijjah 1439H, Selasa Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menafikan dakwaan kononnya akan menghapuskan caj rawatan RM1 di klinik kesihatan dan hospital kerajaan, sebagaimana ditularkan individu tertentu di media sosial.

Kenyataan KKM dibuat susulan dakwaan pemilik akaun Facebook Haitullah Azrin Aidil Adzmi, kononnya bayaran RM1 tidak lagi digunakan di hospital kerajaan berikutan pelaksanaan skim insurans kesihatan sosial yang bakal dilaksana mulai Januari 2019.

Pemilik akaun itu mendakwa, skim insuran dengan penolakan sebanyak 5 peratus daripada gaji bulanan dikenakan kepada semua rakyat Malaysia tanpa pengecualian, dan turut memuatnaik keratan akhbar berkaitan perkara berkenaan.

Bagaimanapun, KKM dalam kenyataan ringkas menafikan dakwaan individu terbabit dan menjelaskan bahawa kementerian atau menteri kesihatan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang ditularkan itu.

“Kementerian Kesihatan Malaysia tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti status yang ditulis pemilik akaun FB terlibat. Mohon supaya tidak berkongsi berita palsu ini,” katanya.

Penjelasan ringkas itu menerima 111 komen daripada pengguna media sosial, yang rata-ratanya keliru dengan kesahihan berita dan kenyataan kementerian berkenaan.

“Keliru, status di Facebook tidak benar. Kerata akhbar itu sebenarnya benar atau tidak?,” soal pemilik akaun Mat Hafiz.

“Jadi, kenyataan menteri di akhbar itu betul ke tidak kalau status itu tidak benar,” tulis Mohdzaiful Mzaiful Abuhassan.

Kementerian itu bagaimanapun hanya menjawab ringkas bahawa apa yang ditulis individu terbabit adalah tidak langsung disebut oleh Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

20 Ogos lalu, Dr Dzulkefly dilaporkan mengumumkan Skim insurans kesihatan sosial bagi kategori golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) akan dilaksanakan mulai tahun depan.

Beliau berkata, pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat bermula dengan kelompok B40 dan diperluaskan kepada kategori lain termasuk berpendapatan sederhana (M40), namun tidak menyatakan rancangan menghapuskan caj bayaran di hospital kerajaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-