Showing posts with label Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Show all posts
Showing posts with label Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Show all posts

Saturday, December 31, 2022

COVID-19: Tujuh kes import antara 583 kes baharu

wartarakyat.com.my
By Wartawan WartaRakyat
-December 31, 2022
SEBANYAK 583 kes baharu Covid-19 direkodkan di seluruh negara, semalam dengan tujuh daripadanya melibatkan kes import.

Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di portal KKMNow, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan wabak itu meningkat kepada 5,026,164 kes.

Data sama turut merekodkan satu kematian baharu akibat Covid-19, menjadikan angka keseluruhan korban meningkat kepada 36,853 orang.

Selain itu, sebanyak 930 kes sembuh pula dilaporkan, menjadikan angka keseluruhan meningkat kepada 4,976,990 kes.

Sementara itu, secara keseluruhannya, Malaysia masih mempunyai 12,322 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 94.6 peratus bersamaan 11,653 kes sedang dalam kuarantin wajib di rumah.

Selain itu, terdapat 637 atau 5.2 peratus mendapatkan rawatan lanjut di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) (0), unit rawatan rapi (ICU) (16) dengan 16 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga kini, kadar penggunaan wad ICU di paras 65.6 peratus, alat bantuan pernafasan (39 peratus) dan katil hospital (70.6 peratus).

Saturday, January 30, 2021

Seramai 66 individu jalani kajian pertama vaksin Covid-19

 malaysiagazette.com

By Muhammad Azizul Osman

- 30 January 2021

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan pihaknya telah menjalani ujian kajian pertama vaksin Covid-19.- Gambar hiasan.


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan pihaknya telah menjalani ujian kajian pertama vaksin Covid-19.

Menurut Twitter KKM, seramai 66 individu sihat telah dipilih bagi program itu.

“Kajian Vaksin Covid-19 yang pertama di Malaysia telah bermula hari ini di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

“Seramai 62 individu yang sihat telah dipilih menjadi sukarelawan. Suntikan bermula hari ini dan beberapa hari seterusnya mengikut jadual,” ciap kementerian itu hari ini.

Menurut KKM lagi, kajian klinikal fasa tiga itu adalah kerajaan antara Malaysia dan China yang dijalankan menerusi Institut Biologi Perubatan Akademi Sains Perubatan China (IMBCAMS).

“Kajian sama turut dijalankan di Brazil. Kajian Klinikal Fasa 1 dan 2 telah dilakukan di China.

“Vaksin kajian menggunakan platform vaksin tidak aktif yang diperbuat daripada virus yang telah dimatikan,” jelas KKM lagi.

KKM juga berkata kira-kira 3,000 sukarelawan terlibat di seluruh negara bagi kajian ini.

Kesemua mereka akan menerima suntikan di sembilan hospital KKM yang terdekat yang dijadikan tapak kajian dibawah seliaan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM. 

– MalaysiaGazette

Thursday, June 11, 2020

Ibadah Haji tahun ini ditangguh, kata menteri agama

Adam Abu Bakar
-June 11, 2020 4:46 PM

Negara lain yang turut menangguhkan penghantaran jemaah haji masing-masing tahun ini ialah Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand dan Brunei. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini mengumumkan penangguhan pelaksanaan ibadah haji bagi seluruh umat Islam di negara ini pada tahun ini sehingga tahun depan.

Zulkifli berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan berdasarkan taklimat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tabung Haji serta Jawatankuasa Muzakarah Khas bagi hal ehwal agama Islam.

“Selain Malaysia, antara negara lain yang turut menangguhkan penghantaran jemaah haji mereka ialah Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand dan Brunei.

“Saya amat harapkan semua bakal haji bersabar dan redha. Tabung Haji akan keluarkan kenyataan rasmi selepas ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, beliau sendiri sudah menjemput duta kerajaan Arab Saudi ke Malaysia untuk bertemu dan menyerahkan surat rasmi penangguhan ibadah Haji bagi negara iniuntuk disampaikan kepada Mohammed Saleh Taher Banten selaku menteri haji dan umrah kerajaan Arab Saudi.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi di bawah kepimpinan Khadim al-Haramain al- Syarifain Raja Salman Abdulaziz atas usaha gigih membendung penularan jangkitan Covid-19 di Tanah Suci.

“Kami amat menghargai segala pengorbanan kerajaan Arab Saudi dan wira barisan hadapan mereka yang masih bertungkus-lumus dan berterusan memerangi wabak ini, khususnya di 2 buah Kota Suci yang dicintai seluruh umat Islam,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif TH Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, semua bakal haji yang giliran haji diperuntukkan pada musim haji tahun 2020 akan diberi keutamaan untuk menunaikan fardu haji pada tahun 2021.

“Bagi bakal haji yang gilirannya adalah pada tahun 2021, mereka akan turut diberikan peluang tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa.

“Bahkan, semua bayaran haji yang didebit akan dipulangkan semula mengikut kadar penuh ke dalam akaun TH bakal haji masing-masing dalam masa terdekat,” katanya.

Menerusi soalan lazim yang dikeluarkan TH turut memaklumkan bahawa kuota jemaah haji bagi rakyat Malaysia pada tahun ini adalah seramai 31,600. Semua jemaah tidak dibenarkan menunaikan ibadah haji walaupun dengan menggunakan visa furada.

Manakala itu, bagi mereka yang membuat rayuan haji dan sudah diluluskan oleh TH untuk menunaikan haji pada tahun ini, maka kelulusan rayuan haji mereka adalah terbatal dan perlu membuat rayuan semula untuk tahun 2021.

Sementara itu, setiap syarikat pengelola jemaah haji yang dilesenkan oleh TH hendaklah memulangkan semula bayaran pakej haji kepada bakal haji yang sudah membuat bayaran, tertakluk kepada syarat yang sudah dipersetujui di antara bakal haji dan syarikat pengelola.

Tuesday, May 5, 2020

KKM buat laporan polis berhubung fitnah berkaitan isu kontrak RM30 juta

Oleh MALAYSIA DATELINE
May 5, 2020 8:53 pm

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini membuat laporan polis berhubung fitnah yang mendakwa lima pegawai Menteri dan Kementerian itu telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan hari ini KKM berkata, laporan tersebut dibuat di Balai Polis Putrajaya.

“Fitnah itu dibuat menerusi penulisan di beberapa akaun Facebook termasuk di akaun Facebook ‘Teuku Shafiz Rullah’, ‘STEADYAKU47’, dan akaun Twitter ‘Fadzilah Mamat@Fadzilahmamat’,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, posting di Facebook dan kicauan di Twitter berkenaan mendakwa SPRM telah menahan dua pegawai kanan Menteri Kesihatan dan tiga pegawai kementerian itu.

Katanya lagi, posting itu antara lain mendakwa ‘Menteri Kesihatan juga terlibat’ dalam siasatan SPRM terhadap syarikat yang memperolehi kontrak RM30 juta.

“KKM melahirkan rasa kesal terhadap fitnah tersebut.

“Sehubungan itu, KKM berharap pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dapat melakukan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook dan Twitter berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya.

“KKM juga memohon kepada netizen supaya menghentikan perkongsian tersebut,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil beberapa syarikat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mendapat kontrak secara tidak layak bagi menyediakan kelengkapan makmal yang dianggarkan bernilai RM30 juta.

Sumber SPRM berkata, ia turut termasuk sebuah syarikat pembinaan yang didakwa memperolehi projek pembinaan makmal Kementerian Kesihatan.

Menurut sumber itu, siasatan kini terarah kepada proses pelantikan kontraktor bagi setiap perolehan untuk memastikan ianya dilaksanakan tanpa rasuah, salah guna kuasa dan perlu mematuhi undang-undang serta peraturan ditetapkan.

Metro melaporkan, pada 30 April lalu, peguam Wee Choo Keong meminta KKM bersikap telus berhubung kontrak perolehan yang diberikan kepada sebuah syarikat yang didakwa tidak layak, yang membabitkan usaha melawan Covid-19.

Beliau mendakwa syarikat itu adalah sebuah syarikat pemaju hartanah tetapi mendapat kontrak melengkapkan makmal bagi tujuan saringan jangkitan dan kemudian untuk membekalkan PPE.

Thursday, April 30, 2020

Covid-19: Hari ke-16 kes baru bawah 100, jumlah kini 6,002


Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, terdapat 84 pesakit Covid-19 yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah kes pulih kepada 4,171, atau 69.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ia menjadikan hari ini hari ke-16 berturut-turut bilangan kes baru kurang daripada 100.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 57 kes baru yang dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini sebanyak 6,002 kes.

Daripada jumlah itu, bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula sebanyak 1,729 kes, katanya lagi.

"Daripada 57 kes baru, 25 adalah kes import, manakala 32 kes melibatkan penularan tempatan," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham memaklumkan dua lagi pesakit meninggal dunia, menjadikan jumlah korban kini seramai 102 orang, iaitu 1.7 peratus daripada jumlah kes.

Sebanyak 36 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), kurang empat berbanding semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 14 pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan, juga kurang empat berbanding semalam.

Berikut adalah dua pesakit yang meninggal dunia:

Pesakit 4,657 (kematian ke-101)

Lelaki warga Malaysia berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah darah.

Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 daripada kluster PUI (pesakit bawah siasatan) Bali (iaitu kes ke-4,476).

Beliau telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 12 April dan disahkan meninggal dunia pada jam 4.14 petang, 29 April.

Pesakit 5,282 (kematian ke-102)

Lelaki warga Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 16 April dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.55 tengah hari, hari ini.

Berhubung kes di kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), Noor Hisham memaklumkan ada 10 kes baru dilaporkan di Selayang Baru, empat di sekitar pasar borong Selayang dan satu di Kampung Sungai Lui.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Wednesday, April 29, 2020

COVID-19: 55 kes pulih, 94 kes baharu, tiada kematian hari ini

Jumlah kumulatif kes kematian kekal 100 kes
29/04/2020


 
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah


PUTRAJAYA, 6 Ramadan 1441H, Rabu – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengumumkan 94 kes baharu positif COVID-19 sehingga 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 5,945.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah 94 kes baharu berkenaan 72 kes adalah kes import melibatkan warganegara dan pelajar Malaysia yang pulang dari Indonesia.

“Manakala 55 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad ialah 4,087 kes.

“Dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal 100 kes,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini COVID-19 di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, 34,113 sampel telah diambil daripada aktiviti survelan merangkumi survelan klinikal iaitu Influenza Like Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di klinik-klinik dan hospital KKM; saringan bagi anggota kesihatan; persampelan sebelum pembedahan kecemasan di hospital KKM; dan persampelan di makmal swasta.

Daripada jumlah itu, 6,100 adalah sampel klinikal survelan iaitu ILI dan SARI, dengan 71 sampel disahkan positif COVID-19.

Bagi kes ILI, lapan kes disahkan positif daripada 1,322 sampel yang diambil manakala kes SARI membabitkan 63 kes positif daripada 4,778 sampel.

Katanya, KKM juga memantau keputusan ujian COVID-19 yang dijalankan oleh sektor swasta, dengan ujian ini dihantar ke makmal swasta dan didapati terdapat 84 kes positif dikesan daripada 22,081 ujian yang dijalankan di makmal itu.

“Aktiviti survelan ini sememangnya bertindak sebagai sistem pengesanan awal dan sistem amaran awal bagi penularan COVID-19 di Malaysia.

“Pihak KKM akan terus menjalankan aktiviti survelan COVID-19 di Malaysia walaupun selepas PKP ditamatkan, dengan aktiviti ini akan terus dimantapkan lagi termasuk di sektor swasta dan melibatkan pelbagai zon,” katanya lagi. 
– Bernama

PKP fasa 4: Pemulihan tuntut komitmen kerajaan, rakyat

Keluk pandemik berjaya diratakan, peningkatan kes pulih COVID-19
29/04/2020


KUALA LUMPUR, 6 Ramadan 1441H, Rabu – Sedar tak sedar, Malaysia sudah pun memasuki fasa keempat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan negara kini berada dalam fasa pemulihan COVID-19.

Dengan keluk pandemik yang berjaya diratakan, serta peningkatan kes pulih COVID-19, keberkesanaan pelaksanaan tiga fasa PKP sebelum ini beransur-ansur dapat dilihat hasil tindakan proaktif dan agresif kerajaan membendung penularan pandemik itu.

Malah ia turut dapat dibuktikan dengan apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam mengumumkan kes positif COVID-19 terendah direkodkan sejak PKP dilaksana pada 18 Mac, dengan 31 kes dilapor sehingga 12 tengah hari semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut berkata sektor ekonomi digalakkan kembali berfungsi seperti biasa kerana negara kini memasuki fasa pemulihan, namun perlulah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) KKM.

“Ternyata kejayaan dan pencapaian melandaikan lengkung dan mengawal penularan virus COVID-19 adalah kejayaan bersama, iaitu rakyat dan kerajaan,” kata beliau semalam.

Bagaimanapun telah berkali-kali diingatkan, perkembangan positif situasi ini sekarang bukan bermakna rakyat boleh menghela nafas lega dan terus berasa selesa dengan tidak mematuhi PKP.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah mengingatkan, tiada gunanya PKP ditamatkan untuk tempoh seketika dan dikenakan semula selepas itu, jadi kerajaan mengajak rakyat bersabar dengan biar susah sekarang demi kesenangan pada masa akan datang.

Namun sebelum itu, rakyat terus dituntut memberikan komitmen jitu mematuhi PKP, kerana hukuman yang bakal menanti mereka yang ingkar, sudah pasti tidak mengira darjat.

Semalam sahaja, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dijatuhi hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Gerik, Perak kerana melanggar PKP dengan menghadiri satu jamuan dua minggu lepas.

Turut dijatuhi hukuman denda maksimum RM1,000 semalam di Mahkamah Majistret Gerik kerana melanggar PKP dengan menghadiri jamuan yang sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria.

Dengan sedikit kelonggaran yang telah diberikan kerajaan yang menyaksikan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dibenarkan pulang, serta mereka yang terkandas di kampung halaman dibenarkan membuat pergerakan, rakyat pastinya mengharapkan agar lebih banyak kelonggaran akan diberikan selepas ini.

Memetik kata Dr Noor Hisham: “PKP tidak boleh menghapuskan COVID-19 sepenuhnya. Malahan masyarakat perlu bersedia menghadapi virus ini untuk tempoh yang lebih panjang.”

Perjuangan kita menentang musuh yang tidak kelihatan ini masih belum berakhir. 

– Bernama

Sunday, April 26, 2020

Covid-19: 38 kes baru, tiada kematian, 66.8% pesakit pulih


Tiada pesakit Covid-19 yang meninggal dunia hari ini, menjadikan jumlah kematian akibat wabak itu kekal sebanyak 98, atau 1.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes di Malaysia, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam sidang media di Putrajaya hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah turut memaklumkan seramai 100 pesakit pulih dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah kes pulih kepada 3,862, atau 66.8 peratus.

Sementara itu, sebanyak 38 kes baru Covid-19 dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini kepada 5,780, katanya lagi.

Mengambil kira pesakit yang sudah pulih, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan di Malaysia kini 1,880. "Mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan di hospital," kata Noor Hisham.

Seramai 36 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), iaitu sama seperti bilangan semalam.

Daripada jumlah itu, 15 pesakit memerlukan bantuan pernafasan, kurang seorang berbanding semalam.

[Berita lanjut menyusul]

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Sunday, April 19, 2020

1 kematian, jumlah pulih terus atasi jangkitan baru Covid 19

Nur Hasliza Mohd Salleh
-April 19, 2020 5:02 PM


PUTRAJAYA: Kes positif jangkitan Covid-19 menunjukkan penurunan 3 hari berturut-turut dengan 84 kes baru dicatatkan dalam tempoh 24 jam berbanding 54 kes semalam.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 5,389 kes.

Sejak kelmarin, kes positif Covid-19 yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) hanya melibatkan 2 angka, iaitu tidak melebihi 100 orang.

Dalam sidang media harian mengenai wabak Covid-19 di sini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah turut mengumumkan 1 kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah korban akibat wabak itu sebanyak 89 kes.

Tambahnya, 95 pesakit disahkan pulih dan dibenarkan keluar wad menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh seramai 3,197 orang.

Noor Hisham berkata, kes kematian ke-89 melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 51 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, komplikasi jantung dan buah pinggang.

Tambahnya, beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 ke-2726 dan menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsum, Johor pada 13 April lalu sehingga disahkan meninggal dunia petang semalam.

Beliau berkata, 46 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 26 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau juga berkata, satu kluster jangkitan baru dikenal pasti melibatkan 43 pelajar Malaysia yang pulang dari Indonesia pada 16 April melalui KLIA.

Pelajar terbabit pulang dari Temboro, sebuah kawasan zon merah Covid-19 di Magetan, Jawa. Mereka kini dikuarantin dan menjalani rawatan.

Saturday, April 18, 2020

8 doktor pakar China tiba bantu usaha negara perangi wabak Covid-19

Bernama
-April 18, 2020 9:21 PM
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM akan berkongsi kajian dengan pakar dari China mengenai Covid-19.

PUTRAJAYA: Lapan doktor pakar dari China telah tiba di negara ini, bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha memerangi Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, pihaknya telahpun mengadakan ‘teleconferencing’ dengan doktor dari China itu dan akan memperhalusi pelbagai isu bersama mereka.

Menurutnya, ada di antara 8 orang doktor itu, adalah daripada Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, Guangdong.

“Antara kepakaran mereka ialah ‘intensivist’ dan pakar penyakit berjangkit dan ‘data analytic’ dan juga pelbagai kepakaran dari situ.

“Jadi mungkin dengan kepakaran mereka di Hubei (China) hari itu, kita boleh kongsi dan juga dapat melihat kajian kita contohnya dan juga perkhidmatan kita di hospital.

“Juga bagaimana kita boleh pertingkatkan lagi perkhidmatan kita,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Jelasnya, pakar terbabit akan menjalani proses kuarantin sama seperti mereka yang lain, apabila tiba ke negara ini seperti yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.

Sementara itu beliau memberitahu, pihaknya kini sedang melihat dari segi “strain” Covid-19 atau virus yang terbahagi kepada 3 jenis iaitu A, B dan C.

“Kita tertanya-tanya, tetapi kita dimaklumkan di China ialah strain B, dan hari ini kita laksanakan juga pengasingan dan kultur virus tersebut di IMR (Institut Penyelidikan Perubatan). Daripada kultur tersebut, kita bandingkan gelombang pertama dan gelombang kedua.

“Mungkin kita akan berkongsi pendapat hasil kajian kita dengan pihak negara China. Bila kita lihat pada gelombang pertama, kebanyakan pesakit, 16 pesakit kita adalah dari Wuhan (China),” katanya.

Menurut Noor Hisham, pihaknya mendapati jenis strain daripada gelombang pertama ialah strain B, iaitu persamaan dengan jenis strain yang terdapat di Wuhan.

“Tetapi yang gelombang ke-2, rakyat Malaysia yang terlibat, kita dapati virus tersebut juga virus strain B, bukan C (seperti) yang dikatakan.

“Tetapi saya percaya sebab ramai yang balik dari luar negara, mungkin kita akan ada kes import dan kita akan laksanakan lebih banyak lagi ujian ataupun pengasingan virus dan juga kultur virus tersebut, dan kita akan lihat kepada keseluruhan susunan genom virus tersebut,” katanya.

Tambah beliau, selepas KKM mendapat keseluruhan susunan genom yang lengkap, barulah mereka dapat membandingkan kes gelombang pertama, gelombang kedua, dan kes import, sama ada dari Amerika Syarikat (AS) ataupun United Kingdom (UK).

“Strain jenis A yang dikatakan berkaitan dengan kelawar dan sebagainya yang didapati di AS, dan strain B, iaitu di Wuhan, China dan dikatakan Malaysia dan Singapura mempunyai strain C.

“Tetapi kita dapati sekarang ini daripada gelombang pertama, yang kes dari Wuhan adalah strain B.

“Jadi mungkin lebih banyak lagi kajian akan dilaksanakan baru kita nampak. Ini pun kita akan berbincang dengan rakan sejawat kita dari China. Mungkin dapat lihat bagaimana kita boleh bekerjasama (dengan China) untuk meningkatkan lagi pengesanan virus, rawatan, kesihatan awam,” katanya.

Wednesday, April 15, 2020

Covid-19: 1 kematian, 85 kes baru - terendah sejak sebulan lalu


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 85 kes baru Covid-19 setakat pukul 12 tengah hari tadi, iaitu jumlah kes baru terendah sejak 14 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini sebanyak 5,072 kes.

Jumlah kes dilaporkan pada 14 Mac adalah 35. Sejak itu, bilangan kes baru setiap hari mencecah 100 dan ke atas.

Noor Hisham turut memaklumkan seorang lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia hari ini, menjadikan jumlah kematian menjadi 83 orang.


Pesakit yang meninggal dunia hari ini merupakan lelaki warga Malaysia berusia 69 tahun, dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Beliau dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 21 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 6.41 pagi hari ini.

Selain itu, sejumlah 169 pesakit Covid-19 telah sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah hari ini, menjadikan jumlah kes sembuh kepada 2,647 kes.

Ia menjadikan kadar kes sembuh kepada 52.2 peratus, iaitu pertama kali kadar sembuh melebihi separuh daripada jumlah keseluruhan kes.

Setakat ini, seramai 56 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), kurang empat berbanding semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 32 pesakit memerlukan bantuan pernafasan, kurang satu berbanding semalam.

Perlu tingkatkan kepatuhan PKP

Dalam pada itu, Noor Hisham menyambut baik kenyataan Majlis Keselamatan Negara berkenaan tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) pada fasa tiga.

"Berdasarkan pemantauan pihak berwajib dan keadaan trafik kebelakangan ini, didapati masyarakat semakin tidak akur terhadap arahan PKP.

"KKM khuatir ketidakpatuhan ini boleh membatalkan usaha keras semua pihak yang telah diambil setakat ini. Terima kasih kepada semua pihak berwajib dalam membantu menguatkuasakan arahan PKP ini agar tahap keakuran dapat ditingkatkan," katanya.

Menurutnya lagi, kepatuhan masyarakat perlu terus dipertingkatkan memandangkan PKP fasa pertama dan kedua ternyata dapat mengawal penularan wabak Covid-19.

"(Jumlah kes harian) tanpa kenaikan mendadak. Manakala jumlah kes harian yang didiscaj dari wad meningkat saban hari. Ini menunjukkan kemajuan yang

memberangsangkan hasil daripada pelaksanaan PKP, seperti yang dapat dilihat pada tren jumlah kes aktif harian," katanya lagi.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Friday, April 10, 2020

Puncak jangkitan Covid-19 mungkin sudah berlalu, kata Noor Hisham

Nur Hasliza Mohd Salleh
-April 10, 2020 8:18 PM
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata pihaknya menjangkakan Malaysia sudah melepasi tempoh kemuncak kes jangkitan Covid-19 minggu lalu walaupun beberapa pihak meramalkan ia akan berlaku pada pertengahan bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya melihat trend kes yang positif semakin berkurang.

Jelasnya, perkembangan itu adalah petanda yang baik untuk negara.

Noor Hisham berkata, sebelum ni, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan JP Morgan menjangkakan negara akan mengalami peningkatan mendadak dengan 6,900 kes positif pada 14 April.

Bagaimanapun, kata Noor Hisham angka itu hanya andaian.

Menurutnya, KKM menjalankan analisis terhadap data terkini jangkitan Covid-19 secara dekat berdasarkan realiti dengan mengambil kira fakta dan data sedia ada.

“Trend kita agak stabil. Tiada lonjakan eksponen (exponential surge), ini adalah tanda yang baik untuk kita,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau menambah KKM berjaya menurunkan kadar R-Naught (kadar jangkitan daripada seorang pesakit kepada individu lain) daripada kadar 3.55 kepada 1.00.

Jelasnya, perkembangan itu bermakna individu yang positif Covid-19 berupaya menjangkitkan 3.55 orang lain. Namun, KKM berjaya mengurangkan daripada 1 kes positif kepada 1 jangkitan sahaja.

“Sekarang (kadar) 1, kita mengharapkan kadar 0.9 pada 14 April ini,” katanya.

Oleh, katanya, pakar kesihatan menasihatkan supaya proses inkubasi awam dijalankan selama 6 minggu.

Noor Hisham juga berkata pasukan perubatan dari China dijangka tiba dalam masa 2 minggu lagi untuk bertukar pengalaman mengendalikan pandemik Covid-19.

Beliau berkata banyak perkara yang boleh dipelajari oleh kedua-dua negara, sambil menambah Malaysia sedang mencari peluang kerjasama dengan China untuk menjalankan kajian terhadap virus itu.

“Jika kita boleh mengasingkan virus dan melakukan urutan keseluruhan genomik, maka kita sebenarnya boleh mengenal pasti virus itu kerana ini adalah virus baru,” katanya.

Monday, April 6, 2020

Elak dekati haiwan: Usah tambah panik

MyMetro
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my

Arie Dwi bersama kucing peliharaannya.
FOTO Ihsan pembaca

PERSATUAN Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) meminta Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah merujuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Dunia untuk Kesihatan Haiwan (OIE) sebelum mengeluarkan kenyataan berkaitan haiwan peliharaan dan Covid-19.

Presidennya, Arie Dwi Andika berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan salah faham, kekeliruan dan panik dalam kalangan masyarakat khususnya yang mempunyai haiwan peliharaan.

Menurut Arie, dia terpanggil untuk bersuara kerana banyak kiriman WhatsApp diterimanya daripada orang awam dan pengikut Animal Malaysia yang rata-ratanya bimbang selepas terbaca kenyaatan Dr Noor Hisham berhubung nasihatnya untuk tidak mendekati haiwan peliharaan masing-masing.

“Saya berharap Malaysia tidak melangkaui dan mendahului dua badan utama iaitu WHO dan OIE dalam mengeluarkan sesuatu kenyataan berhubung Covid-19.

“Setakat ini, hanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat kenyataan sendiri secara tunggal mengenai Covid-19 dan hubungannya dengan haiwan.

“Dibimbangi masyarakat Malaysia terkeliru antara wabak khusus berjangkit dengan haiwan dan Covid-19 yang menular pada manusia,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Arie, sebelum ini, WHO ada mengeluarkan kenyataan tiada bukti menunjukkan haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing boleh menyebarkan wabak Covid-19 kepada manusia.

“Justeru, diminta semua masyarakat menyampai dan mendengar berita sahih saja,” katanya.

Terdahulu, Noor Hisham meminta pemilik haiwan supaya membawa haiwan peliharaan masing-masing untuk diperiksa di klinik bagi mengetahui sama ada ia dijangkiti Covid-19 atau sebaliknya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media perkembangan harian Covid-19 di Putrajaya, petang tadi.

Noor Hisham kemudian mengingatkan orang ramai untuk mencuci tangan sebelum dan selepas menguruskan haiwan peliharaan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 10:11 PM

Thursday, April 2, 2020

Duduk di rumah, 2 minggu ini amat penting, kata KP Kesihatan

Nur Hasliza Mohd Salleh
-April 2, 2020 7:13 PM

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, fasa kedua PKP yang bermula semalam hingga 14 April ini menjadi penentu sama ada negara berupaya mendatarkan keluk data jangkitan Covid-19.

PUTRAJAYA: Tempoh 2 minggu pada fasa kedua perintah kawalan pergerakan (PKP) amat penting untuk mengubah keadaan sewaktu negara dilanda pandemik Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, fasa kedua PKP yang bermula semalam hingga 14 April ini menjadi penentu sama ada negara berupaya mendatarkan keluk data jangkitan Covid-19 pada akhir minggu pertama atau minggu ke-2 bulan ini.

Katanya, sekiranya anggota masyarakat memainkan peranan masing-masing dengan berada di dalam rumah, kerap mencuci tangan dan mengamalkan penjarakkan sosial, perkara itu boleh dicapai.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pembertita sama ada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mencadangkan supaya tempoh lanjutan tempoh PKP.

Beliau berkata, sehingga kini pihak kementerian menjangkakan PKP akan berakhir seperti tarikh yang diumumkan.

Bagaimanapun katanya, beberapa hari sebelum tempoh PKP yang dijadualkan berakhir kementerian akan meneliti keadaan terkini jangkitan virus tersebut.

“Apa yang boleh saya cakap (sekarang), ia bertambah baik.

“Tapi masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pada fasa ke-2 PKP, didapati 40% pesakit terdiri daripada kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, manakala baki yang kain merupakan ”kes diimport” (kes dari luar negara).

Tambahnya, sehingga kini sebanyak 18,826 saringan dibuat dengan 15,380 sampel dibawa ke makmal.

Daripada angka itu, 1,407 adalah kes positif, 10,000 kes negatif dan 3,773 kes masih menunggu keputusan.

“Manakala itu yang belum disaring sebanyak 3,400 kes,” katanya.

Wednesday, April 1, 2020

Fasa 1 PKP ada tanda kejayaan putus rantaian Covid-19, kata Noor Hisham

Faiz Zainudin
-April 1, 2020 7:22 PM
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi bayangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan 2 minggu lalu menampakkan hasil dalam memutuskan rantaian Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkiraan itu dibuat berdasarkan graf jumlah positif Covid-19 yang mendatar dan tidak menunjukkan peningkatan mendadak.

Katanya, trajektori jumlah kes positif Covid-19 yang direkodkan adalah lebih rendah daripada yang diunjurkan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang meramalkan kenaikan mendadak berterusan dalam bilangan kes baru, namun sebaliknya berlaku.

“Tindakan kita untuk tempoh 2 minggu dalam fasa pertama PKP kita lihat kes (positif) tidak naik secara mendadak tapi mendatar, jadi nampak daripada graf itu ada kejayaan ataupun tanda-tanda awal dalam kita melaksanakan PKP.

“Jadi kita harap, fasa ke-2, kita dapat pertingkat strategi dan aktiviti kita terutamanya di kawasan ‘hotspot’ yang dikenal pasti dan kalau ada kes naik mendadak di kawasan tersebut kita akan laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),

“Kemudian kita akan saring semua orang dan akan asingkan mereka untuk dirawat,” katanya semasa sidang media di KKM hari ini ketika ditanya adakah fasa pertama PKP berjaya.

Noor Hisham bagaimanapun memaklumkan, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan jangkitan Covid-19 dapat dikawal dengan sepenuhnya, kerana fasa 2 PKP ini memerlukan kepatuhan rakyat sangat tinggi bagi memastikan wabak tidak terus menular.

“Apa yang penting, setiap kita kena perketat amalan, duduk di rumah, kerap basuh tangan dan amalkan jarak 1 meter.

“Kalau kita boleh terus laksanakan itu, kita boleh bawa kejayaan, ramai yang mula terkesan dengan Covid-19 dengan berlaku perubahan tingkah laku, termasuk tidak bersalam, ini amalan kita sekarang,” katanya sambil berharap graf jangkitan baru dapat dikurangkan dalam tempoh 2 minggu terakhir PKP.

Terbaru, 2 kes kematian Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang meninggal dunia seramai 45 orang.

Sebanyak 142 kes jangkitan baru dilaporkan hari ini berbanding 140 semalam dan jumlah positif setiap hari mendatar menjadikan jumlah mangsa 2,908 orang sehingga kini.

Dalam pada itu, seramai 108 mangsa jangkitan Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad hari ini, yang tertinggi dalam sehari setakat ini, menjadikan bilangan pesakit yang sembuh 645 orang sehingga kini.

Fasa ke-2 PKP bermula hari ini dan berakhir pada 14 April depan.

Sebanyak 3 kawasan dikenakan perintah PKPD iaitu di Simpang Renggam, Johor; Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor dan Menara City One, Kuala Lumpur.

Monday, March 30, 2020

14 hari terakhir PKP penentu putuskan rantaian Covid-19, kata Noor Hisham

Faiz Zainudin
-March 30, 2020 8:00 PM

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehari sebelum perintah kawalan pergerakan dilaksanakan, 10,000 rakyat Malaysia pulang dari luar negara.

PUTRAJAYA: Tempoh dua minggu terakhir perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berakhir 14 April ini menjadi penentu sama ada usaha untuk memecahkan rangkaian jangkitan Covid-19 berjaya ataupun sebaliknya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keberhasilan PKP sangat bergantung pada disiplin rakyat Malaysia.

“Kita telah menyelesaikan 2 minggu (PKP) dan 2 minggu lagi terpulang kepada anda dan saya,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini, hari ini.

Jelas Noor Hisyam kerajaan berusaha untuk meratakan keluk kes dan mengelakkan berlakunya kenaikan mendadak kes jangkitan baru.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham tidak menolak tindakan tegas diambil terhadap rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara diletakkan di pusat kuarantin khas sekiranya ingkar arahan kuarantin sukarela seperti ditetapkan.

“Kita terus pantau mereka yang balik, tetapi masih ada yang keluar dari rumah. Kita akan lihat bagaimana nak kuatkuasakan tindakan untuk pastikan mereka duduk di rumah dalam tempoh yang ditetapkan atau tempatkan mereka di pusat kuarantin khas KKM,” katanya ketika ditanya sama ada kementerian mengesan kes rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara, tetapi gagal mematuhi perintah kuarantin di rumah bagi mengelak kemungkinan penyebaran Covid-19.

Beliau sekali lagi menasihati mereka yang kembali dari luar negara agar menjalankan kuarantin kendiri sendiri di rumah, termasuk mengasingkan diri daripada ahli keluarga sendiri sekurang-kurangnya 14 hari dari tarikh ketibaan, selain mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan tangan.

Katanya, KKM bimbang gelombang ketiga Covid-19 di negara ini akan menyaksikan peningkatan dalam kes import.

Katanya, antara golongan yang dibimbangi menyebabkan penyebaran wabak itu, termasuklah rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara, seperti yang meninggalkan negara semasa cuti sekolah awal bulan ini dan pelajar yang belajar di luar negara.

Noor Hisham berkata, berdasarkan maklumakn diperolehinya jumlah rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara adalah kira-kira 10,000 orang sehari sebelum PKP berkuat kuasa pada 18 Mac.

“Selepas ia dikuatkuasakan, saya dimaklumkan oleh Jabatan Imigresen, jumlah itu adalah sekitar 4,000 sehari. Semuanya itu adalah rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara,” katanya.

Sunday, March 29, 2020

3 jenis ubat boleh guna rawat Covid-19

KKM akan menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan kualiti, keselamatan serta keberkesanan ubat-ubatan terjamin demi kepentingan pesakit.
 – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2020.


BEKALAN ubat Klorokuin, Hidroksiklorokuin dan kombinasi Lopinavir/Ritonavir sedia ada di Malaysia yang digunakan untuk merawat penyakit lain, boleh digunakan dalam rawatan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata semakan pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati tiga jenis ubat itu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

Beliau berkata bekalan ubat-ubatan yang perlu diimport seperti Favipiravir dan Remdesivir (ubat antiviral) akan sentiasa dimudah cara oleh KKM bagi kegunaan rawatan Covid-19.

“Bagi ubat kajian Remdesivir, Malaysia dipilih oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk terlibat dalam kajian klinikal ‘Multicenter Adaptive Solidarity trial - Covid-19’ yang mana ubat kajian tersebut akan digunakan.

“NPRA akan menyediakan laluan ‘expedited review’ untuk membawa masuk produk kajian klinikal ini ke Malaysia secepat mungkin manakala bagi ubat Favipiravir, KKM sedang berusaha mendapatkan ubat tersebut daripada pembekal,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau malam tadi.

Noor Hisham berkata dalam situasi pandemik Covid-19 ketika ini, sekiranya bekalan daripada pihak pemegang pendaftaran sedia ada untuk ubat-ubatan tidak mencukupi, KKM masih boleh mendapatkan bekalan alternatif daripada produk yang tidak berdaftar dengan menggunakan pengecualian peruntukan undang-undang kelulusan khas ketua pengarah Kesihatan KKM.

KKM akan menjalankan pemantauan secara berterusan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans bagi memastikan kualiti, keselamatan serta keberkesanan ubat-ubatan adalah terjamin demi kepentingan pesakit, katanya. 

– Bernama, 29 Mac, 2020.

Friday, March 27, 2020

KKM jangka tsunami dalam gelombang ketiga Covid-19

Hariz Mohd
Diterbitkan Hari ini 7:22 pm

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan tsunami gelombang ketiga wabak Covid-19 di negara ini berikutan jumlah besar rakyat Malaysia bercuti ke luar negara semasa tempoh cuti sekolah awal bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan kini merupakan sebahagian daripada persediaan menghadapi gelombang ketiga.

"Kami menjalankan PKP ini sebagai persiapan untuk ekspektasi kami, di mana tiga minggu lalu kami fikir akan ada gelombang ketiga, atau apa yang kami panggil tsunami," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, pihak berkuasa kesihatan mendapati ramai rakyat Malaysia meninggalkan negara ini untuk bercuti sepanjang tempoh itu, termasuk ke Jepun dan Korea.

Ini katanya walaupun negara-negara berkenaan dikenal pasti sebagai berisiko tinggi untuk dilawati bersama Itali dan Iran.

Beliau mendedahkan terdapat kementerian memberi kelulusan kepada 8,000 kakitangannya untuk bercuti di luar negara.

[Berita penuh menyusul]

Thursday, March 26, 2020

3,000 pesara kesihatan bantu baris hadapan

MyMetro
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Gambar Hiasan. FOTO Arkib NSTP

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mendapatkan perkhidmatan 3,000 pesara pakar perubatan dan jururawat untuk membantu pasukan barisan hadapan merawat pesakit jangkitan koronavirus baharu (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya kini dalam proses pengurusan untuk mendapatkan khidmat kumpulan terbabit.

Selain itu, beliau berkata, KKM juga akan mendapatkan perkhidmatan 3,500 jururawat dan pembantu perubatan.

“Kesemua mereka sedang menjalani kursus ‘post basic’ (latihan lanjutan).

“Seramai 2,400 jururawat terlatih sudah pun dikerahkan dan diagihkan ke hospital serta klinik memerlukan,” katanya dalam sidang media harian terkini mengenai Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, seramai 1,895 kakitangan KKM disaring dan diletakkan di bawah pengawasan akibat wabak berkenaan.

Katanya, daripada jumlah itu, tiada kakitangan didapati positif Covid-19 manakala negatif (1,187) dan masih menunggu keputusan (708).

“Kita berharap keputusan akan diperoleh selewat-lewatnya hari ini (semalam). Mereka yang belum dapat keputusan perlu diasingkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 7:26 PM

Wednesday, March 25, 2020

Pelanjutan PKP diharap landaikan graf COVID-19

Persediaan termasuk 3,400 unit katil, 300 wad rawatan rapi
25/03/2020


PUTRAJAYA, 30 Rejab 1441H, Rabu – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM ) berharap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini akan ‘melandaikan’ graf penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini berikutan jangkaan yang dibuat JP Morgan bahawa akan berlaku peningkatan kes sehingga 6,000 kes pada bulan itu.

“Kita telah laksanakan aktiviti awam serta PKP dan kita harap dapat mengesan dan pastikan kes yang positif diasingkan dan akan diberi rawatan.

“Kita harapkan dengan tindakan kita, KKM dapat kurangkan kes positif dan tidak mencapai 6,000,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Beliau berkata antara persediaan yang dilakukan ialah menyediakan 3,400 unit katil dan menyasarkan untuk mendapatkan 300 wad unit rawatan rapi khusus bagi COVID-19 serta alat bantuan pernafasan.

“Secara keseluruhan bukan hanya 3,400 katil tapi pertambahan 5,292 katil di mana kita dapat tempatkan kes simptom tapi positif atau kes bergejala ringan tapi positif.

“Kita akan kosongkan wad untuk kes yang sederhana dan kes kritikal di hospital,” katanya. 

-Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-