Thursday, August 16, 2018

Najib cabar Guan Eng lapor polis isu RM19b bayaran balik GST

Diterbitkan 16 Ogs 2018, 10:26 malam


Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mencabar Menteri Kewangan Lim Guan Eng membuat laporan polis berhubung dakwaan RM19 bilion wang bayaran balik GST 'dirompak' BN.

"Di sebalik tuduhan dibuat di parlimen di mana mereka mempunyai kekebalan atau imuniti kononnya BN merompak RM19 bilion dari dana tuntutan GST, Lim sepatutnya secara peribadi membuat laporan polis dengan menyatakan secara jelas BN telah merompak dana cukai input GST sebanyak RM19 bilion," katanya melalui kenyataan di Facebook malam ini.

Najib berkata demikian susulan dakwaan Lim sebelum ini bahawa tabung bayaran balik GST kurang sebanyak RM19.428 bilion dan mendakwa wang berkenaan disalah guna oleh pentadbiran lama.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Najib berkata kerajaan kehilangan sekurang-kurangnya RM31 bilion susulan penghapusan GST Jun lalu, dan pengecualian cukai selama tiga bulan sebelum SST dilaksanakan pada September depan.

"Saya mahu menyatakan dengan jelas berikutan pengecualian cukai selama tiga bulan, kehilangan pendapatan adalah sekurang-kurangnya RM15 bilion. Terdapat juga pengurangan tambahan sekurang-kurangnya RM8 bilion bagi bulan September dan Disember 2018.

"Dengan menghentikan secara pra-matang GST, kerajaan baharu dengan mudah akan terdedah kepada tuntutan cukai input GST sebanyak RM8 bilion bagi yang dikutip pada April dan Mei, di mana kerajaan perlu membayarnya kerana peniaga kini boleh menuntut kesemua cukai input," katanya.

Malah, tambah Najib, jumlah itu mungkin lebih tinggi bagi beberapa bulan pertama kutipan SST.

Ini kerana, katanya, pengguna mengambil kesempatan membeli barangan mewah seperti kereta dan barangan mahal lain ketika pengecualian cukai dan sebelum perlaksanaan SST.

"Selain itu, pemansuhan GST serta sistem penguatkuasaan kendirinya turut memberi ruang kepada lari cukai atau pengisytiharan cukai korporat lebih rendah sebagaimana berlaku ketika SST lalu dan ini pasti akan menambah kebimbangan terhadap kerajaan baharu ini.

"Ini adalah sebab sebenar mengapa banyak janji manifesto Pakatan Harapan kekal tidak ditunaikan dan mengapa program bantuan kepada golongan memerlukan akan dipotong manakala kenaikan gaji kakitangan awam dibekukan," katanya.

Najib juga mendakwa kerajaan HARAPAN akan memperkenalkan pelbagai cukai baru bagi menebus kerugian susulan pemansuhan GST.

"Rakyat kini perlu bersedia untuk pelbagai cukai baharu lain dari Pakatan Harapan berikutan pemansuhan GST dan negara tidak lagi berupaya mengutip cukai dari ekonomi tidak sah dan daripada mereka yang lari cukai," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-