Friday, August 31, 2018

Perbarisan Hari Kebangsaan 2018: 'Sayangi Malaysiaku'

TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN
31 OGOS 2018

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi tabik hormat semasa hadir pada sambutan Hari Kebangsaan ke - 61 di Dataran Putrajaya hari ini. Sambutan kali ini yang bertemakan 'Sayangi Malaysiaku' mencatatkan sejarah kerana ia signifikan bagi meraikan pemerintahan kerajaan Persekutuan, yang kini diterajui Pakatan Harapan (PH). Foto - Bernama

PUTRAJAYA - Seramai 12,395 peserta kontinjen acara Perbarisan dan Perarakan terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta pelajar sekolah terlibat pada sambutan Hari Kebangsaan 2018.

Bertemakan Sayangi Malaysiaku, sambutan Hari Kebangsaan menyaksikan empat komponen utama perarakan yang terdiri daripada kenegaraan, ketenteraman awam, keselamatan negara dan rakyat bersepadu.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V telah berkenan berangkat mencemar duli untuk bersama-sama rakyat meraikan sambutan ini.

Turut hadir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta suami Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dijangka seramai 300,000 orang rakyat berbilang kaum terutamanya di sekitar Putrajaya dan Lembah Klang termasuk negeri-negeri lain serta pengunjung luar negara hadir bagi menunjukkan semangat kemerdekaan dengan tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan acara bersejarah tersebut.

Sebanyak 14 das tembakan oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja yang diketuai oleh Mejar Asri Che Wil melambangkan 14 buah negeri.

Pancaragam gabungan pasukan beruniform melibatkan 524 anggota daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Jumlah aset udara yang digunakan sebanyak 68 unit terdiri daripada 21 helikopter, 18 pesawat pejuang, 16 pesawat latihan dan 13 pesawat pengangkut ATM.

Seramai 800 peserta terdiri daripada 37 syarikat pelaburan daripada pelbagai sektor dab industri utama menyertai kontijen GLC dan sektor awam yang diselaraskan Khazanah Malaysia.

Kontinjen pembawa bendera gergasi bersaiz 80 kaki x 40 kaki diwakili oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dengan kekuatan 60 peserta.

Sambutan Hari Kebangsaan kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya Pakatan Harapan berjaya mentadbir negara selepas menewaskan Barisan Nasional pada PRU 14, Mei lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-